KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan dicadangkan menarik balik subsidi minyak daripada golongan berkemampuan agar peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk memberi subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia adalah antara mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak dunia yang semakin meruncing sekarang.
Dengan cara itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak akan terjejas akibat situasi tersebut.
“Kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi kepada semua golongan kerana ini akan menyebabkan negara menerima kesan ekonomi yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai skim subsidi baru yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai usaha menangani kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia sekarang.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim baru itu akan tetap mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Ia ekoran harga minyak mentah dunia yang terus meningkat mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong semalam, berikutan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan global.
Ramon berkata, cara tersebut juga akan dapat mengatasi ‘kebocoran’ dalam pemberian subsidi harga minyak negara yang juga perlu ditangani segera oleh kerajaan.
“Subsidi yang tinggi di Malaysia menyebabkan penyeludupan minyak berleluasa dan akhirnya negara yang menerima kesan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu skim yang benar-benar kukuh dalam pemberian subsidi kepada pengguna.
Katanya, antara yang boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan maklumat pendapatan pengguna bagi menentukan mereka layak atau tidak untuk membeli minyak pada harga subsidi.
“Kelayakan subsidi kepada pengguna boleh ditentukan dengan mengenal pasti pendapatannya. Jika dia mampu, maka tidak perlu subsidi tetapi bagi yang kurang berkemampuan, mereka layak mendapat harga subsidi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga harus mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi ‘kebocoran’ dalam hal pemberian subsidi minyak memandangkan harga bahan itu di negara ini lebih murah berbanding negara jiran yang lain.
Katanya, subsidi secara berterusan akan meningkatkan ruang untuk kegiatan penyeludupan kerana wujudnya peluang menjual minyak subsidi pada harga yang tinggi di negara-negara jiran.
Ulasan : Saya bersetuju dengan cadangan ini. Rakyat yang berpendapatan rendah amat terkesan dengan kenaikan harga minyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan