Isnin, 26 Mei 2008

KEDAULATAN PULAU BATU PUTIH:Kerangka Minda Di sebalik Tuntutannya


Ruhanie Ahmad

Sejarah membuktikan Pulau Batu Putih – biar hanya sebesar padang bola - adalah milik Kesultanan Johor. Pulau ini adalah warisan bangsa Melayu di bumi Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Malangnya, pada 23 Mei 2008, kedaulatan pulau ini telah dengan rasminya dirampas daripada Malaysia dan diserahkan kepada Singapura berasaskan pelbagai fakta bukan sejarah.

Fakta-fakta inilah yang telah dihurai, dikupas, dipertikai dan diwarnakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengikut citarasa segelintir kuasa neoimperialis tertentu yang berkepentingan terhadap kegunaan strategik pulau berkenaan di bawah Singapura.

Ini bermakna, kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih tidak akan tergadai jika fakta bukan sejarah tidak dijadikan asas utama tuntutan Singapura.

Ini bermakna, Singapura yang disifatkan sebagai sahabat Malaysia, jelas tidak menghormati fakta sejarah bila ia menuntut kedaulatan pulau tersebut.

Ini bermakna, ketulenan persahabatan Singapura terhadap Malaysia adalah sesuatu yang perlu sentiasa dikaji dan sentiasa dicurigai.

Ini juga bermakna, fakta sejarah tidak boleh dijadikan jaminan tunggal untuk Malaysia mempertahankan kedaulatan mana-mana wilayahnya yang berhampiran Singapura di hari muka.

Daripada hujah di atas, Singapura seolah-olah menuntut kedaulatan Pulau Batu Putih berasaskan kerangka minda bahawa mana sahaja wilayah jiran tetangganya yang difikirkan strategik kepada survivalnya, boleh dituntut dan dijadikan miliknya, asalkan wujud undang-undang dan ruang perundangan yang boleh diheret hingga ke ICJ.

Kerangka minda seperti ini adalah manifestasi betapa rakus dan betapa terdesaknya pulau kecil ini untuk menguasai ruang dan bumi yang lebih besar dan luas di luar lingkungan kedaulatannya bagi menampung penduduknya yang dipercayai berkembang hingga 10 juta orang di hari mendatang.

Insaflah. Republik pulau ini adalah sekutu Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara. Lantas, mustahilkah jika Pulau Batu Putih suatu hari kelak ditukar menjadi satu kompleks ketenteraan yang canggih dan moden demi memenuhi kepentingan strategik dan kepentingan geopolitik sekutu-sekutunya di abad ke-21 di rantau ASEAN?

Kita mesti sentiasa tegas dan waspada. Kita juga mesti berani bersuara bahawa walau keputusan ICJ memang muktamad, ini tidak bermakna kita mesti merelakannya atau mesti tunduk kepada Singapura.

Hakikatnya, di bumi Malaysia kini masih terdapat pelbagai lagi kepentingan strategik Singapura, termasuklah beberapa loji takungan air di Johor.

Siapa boleh menjangka suatu hari nati, atas asas undang-undang, lokasi ini juga mungkin diheret ke ICJ supaya kedaulatannya diserahkan kepada Singapura?

Pertanyaan ini memang keterlaluan. Tetapi, tindakan Singapura menuntut kedaulatan Pulau Batu Putih juga adalah sesuatu yang mustahil jika republik itu benar-benar tulen dalam merangka, memelihara dan menghargai persahabatannya dengan kita.

Jadi, tidakkah sikap “hati kering” negara itu perlu sentiasa dicurigai dan dicemburui sepanjang hayat? Atau, mestikah kita perlu adakan majlis jamuan makan durian dan golf bilateral pada setiap tahun dengan Singapura?

Perlukah ada lagi pembesar kita mengelirukan rakyat jelata dengan menyifatkan keputusan ICJ kononnya “kemenangan bersama” kepada Malaysia dan Singapura?

Perlukah Perdana Menteri kita meluahkan retorika diplomasi kononnya yang “menang pun tak menang semua” dan yang “kalah pun tak kalah semua” kerana “itulah keadilannya” dan “keadilan itu mestilah diakui’’?

Kenyataan seperti di atas hanya mencerminkan kedangkalan segelintir pembesar kita dalam mentafsirkan perkembangan geopolitik serantau dan global dalam konteks survival negara-bangsa di hari muka.

Kenapa tidak ramai pembesar kita yang berani bersuara seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegur Singapura “supaya tidak angkuh dengan keputusan ICJ” itu.

Oleh itu, dalam kita kesedihan, wajarlah kita yakin bahawa Allah SWT memberikan kita kekalahan ini untuk menguji sejauh manakah kebijaksanaan kita mentafsirkan hikmah di sebalik kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

Allah SWT juga memberikan kekalahan ini untuk menduga kepintaran kita menyedari dan menginsafi wilayah mana lagikah yang boleh dirampas kedaulatannya daripada kita oleh pihak asing di hari muka.

Dengan keinsafan seperti ini, pembesar kita perlu cerdas berfikir dan pantas bertindak. Seluruh kepentingan strategik Singapura di Johor perlu dikaji semula supaya tidak memungkinkan “pisang berbuah dua kali” dalam konteks kedaulatan negara.

Kajilah keseluruhannya secara teliti, tegas dan profesional. Auditlah keseluruhannya untuk memastikan tiada cacat celanya. Demi agama, bangsa dan negara, jangan kita beri muka kepada mana-mana pihak yang amat licik untuk bermuka-muka!

Sesudah itu, pastikanlah bahawa seluruh pemimpin kita adalah kelompok yang faham, sensitif, pintar dan mampu mentafsir kerangka minda Singapura terhadap Malaysia supaya kefahaman itu membolehkan kita sentiasa menentingkan kedaulatan negara dan maruh bangsa bila berurusan dengan republik berkenaan di hari muka.

Ulasan : Memang sedih bilamana kedaulatan Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura. Dan sebagaimana kata penulis, Singapura pastinya mempunyai misi tersendiri di sebalik tuntutannya ke atas pulau ini. Pemerintah perlu berusaha mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude