BAYANGKAN bagaimana hidup manusia jika Allah SWT menjadikan semua makhluk ciptaan-Nya berakal. Apa agaknya akan berlaku jika ternakan, tanaman dan hidupan liar di bumi boleh berfikir dalam setiap tindakan kerana semuanya berakal.
Fitrahnya, akal adalah penentu dalam mencorak martabat hidup insani dan satu-satunya pembeza mutlak antara manusia dan haiwan sebagai makhluk yang sentiasa bergerak di bumi.
Malah akal juga meletakkan makhluk bergelar manusia berada pada martabat termulia mengatasi malaikat atau sebagai makhluk yang lebih hina dan rendah martabatnya daripada haiwan.
Lantaran itu timbul ungkapan manusia haiwani dan manusia tidak berakal atau gila angkara perbuatan dan amalan luar tabie insani yang semuanya bermula dari akal.
Namun, berapa ramai yang ‘besar akal’ atau panjang serta tinggi akalnya berbanding manusia yang pendek atau rendah serta kurang akal?
Sebabnya, rendah, pendek atau kurang akal menjadi penyebab manusia dilanda pelbagai krisis dan masalah moral mahupun akidah.
Lebih bahaya apabila manusia yang besar dan panjang akalnya menjadi dalang kemaslahatan gara-gara hilangnya iman dalam sanubari.
Bagi menggambarkan pentingnya akal kepada manusia pula, perkataan akal dalam al-Quran berulangan sebutannya sebanyak 49 kali yang kesemuanya mengarah manusia untuk berfikir secara ‘berakal’.
Antara lain Allah SWT berfirman yang mafhum-Nya:
* Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A’raaf: 179).
* Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah, orang-orang yang pekak dan tuli (iaitu manusia yang paling buruk di sisi Allah ialah yang tidak mahu mendengar, menurutkan dan memahami kebenaran) yang tidak mengerti apa-apa pun (yang tidak menggunakan akal). (Al-Anfaal: 22).
Namun tidak semua perkara dan benda mampu dicapai dan diterima akal, walaupun akal tetap memikirkannya.
Ini kerana akal berkait terus dengan ilmu dan menurut Prof. Syed Muhammad Naquid Al-Attas, ilmu boleh dicapai melalui tiga perkara iaitu pancaindera, khabar yang benar (berita yang tepat) dan akal, tetapi pengetahuan mustahil untuk digapai.
Disebabkan besar, penting dan uniknya akal yang dianugerahkan hanya kepada manusia, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid menyarankan agar sebuah Institut Minda diwujudkan di negara ini.
Malah beliau mencadangkan agar kelab-kelab minda perlu ada di semua agensi sama ada di institusi pelajaran atau pendidikan mahupun di syarikat-syarikat korporat dan badan-badan pertubuhan besar.
Ini kerana katanya, soal tentang akal dan segala yang berkaitan dengannya telah banyak difikir, dikaji dan ditulis tokoh-tokoh ilmuwan Islam silam serta para sarjana barat.
“Persoalannya apakah penyelidikan, penelitian dan perbahasan mengenai ilmu akal-fikiran yang tekun wujud dalam masyarakat Melayu-Islam kita,” katanya semasa merasmikan seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran Dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seminar dua hari anjuran IKIM pada 13 dan 14 Mei lalu itu merupakan antara usaha organisasi itu dalam membincang dan memahami kedudukan serta konsep akal kalangan ilmuwan tempatan bagi memperkasakan akal fikiran insani dalam mengharungi kehidupan semasa.
Ia disertai oleh kalangan penggubal dan pelaksana dasar, pentadbir, ahli agama dan akademik, golongan cendekiawan, penyelidik dari sektor awam dan swasta serta ahli pertubuhan bukan kerajaan.
Pengarah dan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, krisis akal telah menjadi darah daging di kalangan bangsa Melayu walaupun perbincangan mengenai akal telah mendapat martabat sangat baik dalam tradisi persuratan Melayu melalui karya-karya Melayu klasik.
Menurutnya, hasil karya Hamzah Fansuri, Tun Sri Lanang dan Nur al-Din al-Raniri misalnya telah memanifestasikan akal dalam sudut epistemologi, metafizika dan falsafah keagamaan dalam memartabatkan keilmuan bangsa Melayu.
Sementara itu, Fellow Kehormat Akademik Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Mat Saat Mohamed Baki berkata, hanya 20 peratus manusia yang berfikir.
“Manakala tiga peratus mendakwa mereka berfikir walaupun mungkin mereka sebenarnya tidak berfikir, manakala lima peratus adalah manusia yang malas berfikir dan tiga peratus pula tidak berfikir,” katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika membicarakan ‘hubungan akal dengan diri, sikap dan tindakan’ yang memfokuskan mengenai ‘teknik-teknik merubah minda dan cara pengukurannya’.
Sebab itu kata Dr. Mat Saat yang juga Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Pantai, persaingan antara individu dalam perubahan minda lebih berkonsep ‘nak jadi malas mesti kreatif’ seperti orang naik pangkat dengan cara bodek, ampu dan yang seumpamanya.
Namun proses pemupukan akal, bakat dan watak individu, menurut Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar, adalah bertahap-tahap yang bermula dari pembinaan sistem otak ketika proses kehamilan seawal 16 hari.
Menurut mantan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) itu, usia enam tahun pertama selepas kelahiran adalah tempoh masa paling kritikal pada anak manusia.
“Ketika ini sistem otak dan sistem saraf menjadi perdana menteri yang akan memerintah otak seseorang anak melalui simulasi hidupan persekitarannya.
“Jika ibu yang baik dan mengamalkan tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah pada anaknya, akan terbentuklah baka anak yang baik,” katanya.
Menurut Dr. Noor Laily, syarat lain dalam memacu pembentukan akal berdaya fikir anak ialah bekalan oksigen terbaik, emosi yang positif serta sumber makanan yang baik lagi halal di samping simulasi yang tepat dan betul secara berulangkali dengan penjagaan kesihatan yang sempurna.
“Sebab itu Islam menetapkan empat sebab untuk manusia membuka mulut (bersuara) iaitu mengenai ilmu, silaturahim, pernyataan kasih sayang dan melafazkan kesyukuran,” ujarnya.
SEKILAS MENGENAI AKAL:
(Rujukan: Proses Pemupukan Akal, Bakat dan Watak oleh Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar (gambar):
* Peroleh ilmu, kemahiran dan maklumat lengkap serta kepelbagaian mengenai duniawi dan ukhrawi yang disertai berbudi bahasa dan bermaruah tinggi.
* Boleh memahami dan mengenali yang maaruf dan mungkar dengan mampu memilih perkara maaruf serta menolak kemungkaran.
* Boleh menggunakan akal untuk mengatasi nafsu.
* Boleh mengguna akal untuk membezakan yang sama tapi lain dan yang lain tapi sama.
* Mempunyai cukup ilmu fardu ain dan fardu Kifayah bagi menjadi insan yang baik, suka membantu dan sentiasa bersyukur.
* Bermaruah dan bermartabat tinggi serta mengenali ‘saya adalah saya.’
* Pembangunan akal manusia mestilah bermula dari dalam kandungan ibu lagi.
* Otak dan sistem saraf yang membentuk akal budi membangun sejak percantuman benih ibu dan ayah serta sebelum mencapai usia enam tahun.
* Otak-saraf (punca akal) adalah organ yang pertama terbina pada janin.
* Pembinaan dan pengukuhan asas otak-saraf berlaku dengan pesat pada hari ke-16 cantuman benih hingga hari kelahiran.
Bandingan kapasiti simpanan otak-saraf:
* Otak manusia - 125.5 trilion
* Arkib Negara Amerika - 12.5 trilion.
* IBM 3850 MTC - 250.0 bilion.
* Encyclopedia Britannica 19 vol - 12.5 bilion.
* Cakera Magnetik - 313.0 juta
* Cakera Liut (Floppy Disk) - 2.5 juta
* Buku - 1.3 juta
Proses pembinaan otak-saraf yang menjadi sumber akal insani:
* Setelah 16 hari kehamilan terbina sistem otak bayi.
* Menyusul pembinaan organ-organ lain dan ditiup roh serta ditulis empat perkara (usia, rezeki, amal dan cekal) serta terbinanya 100 bilion hingga 1 trilion neuron pada usia 120 hari dalam rahim ibu.
Tahap pembesaran neuron-neuron:
* 25 peratus pada hari lahir (cukup bulan).
* 50 peratus pada usia enam bulan.
* 85 peratus pada usia tiga tahun.
* 95 peratus pada usia enam tahun.
* Usia tujuh tahun asas akhlak terbina.
* Usia 10 tahun mampu berfikir, faham dan rela melakukan solat.
* Usia akil baligh sudah mula menanggung fardu ain dan fardu kifayah atas dasar akidah dan iman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan