Jumaat, 23 Julai 2010

Sketsa minyak, gula dan gas




Oh minyak oh minyak kenapa kau naik harga?

Macam mana aku tak naik, harga aku rendah lagi

Oh minyak oh minyak kenapa kau kata harga rendah lagi?

Banding harga negara jiran


Oh gula oh gula kenapa naik tinggi sangat

Macam mana tak tinggi sangat, elak kencing manis

Oh gula oh gula kenapa telur dan daging tak naik juga?

Bukan urusan aku


Oh gas oh gas kenap kau naik jugak?

Macam mana aku tak naik, minyak gula pun naik

Oh gas oh gas, tak takut ke orang naik minyak?

Jamin harga barang tak naik



23 Julai 2010, 11 Sya'ban 1431 Hijrah,

9.57 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 20 Julai 2010

Dakwah kasih sayang



1) Bukan mudah berdakwah di akhir zaman ini. Meskipun niatnya baik, namun jika salah caranya, akan mengundang pelbagai kritikan malahan fitnah. Apatah lagi kini ramai yang mengaku bijak pandai agama walaupun tiada kelulusan formal mengenainya.


2) Namun begitu ingatan Nabi SAW dalam septong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. begitu menarik perhatian saya "Barangsiapa yang mengatakan masyarakatnya telah rosak, maka dialah paling rosak".

3) Dalam hal ini, Imam Nawawi memberi pandangan bahawa barangsiapa yang merasakan kaumnya telah rosak-serosaknya, sedangkan hanya dia yang belum rosak dan berasa bangga dan ujub, maka orang itu berdosa. Namun jika dia mengatakan demikian, lantaran kurangnya perhatian masyarakat pada agama, maka ia diharuskan dengan syarat sebagai peringatan.

4) Justeru, apapun maksiat yang berlaku kini, wajib kita bersama marah dan berusaha mencegahnya. Walaupun begitu pendekatan dakwah perlu tepat. Utamakan menerang dari menyerang, utamakan membimbing dari menghukum, benci perangai pelaku maksiat tetapi jangan dibenci diri pelaku maksiat itu. Dengan kata lain, dakwah yang penuh dengan sentuhan kasih sayang.

5) Iktibar terbesar sebagai bukti adalah ketika Nabi SAW dilempar batu oleh anak-anak penduduk Taif. Walaupun Nabi SAW boleh menerima tawaran Jibril a.s. untuk menelangkupkan bumi Taif, namun Nabi SAW tidak mahu kerana yakin penduduk Taif akan beriman suatu hari nanti.

6) Bahkan doa yang diungkapkan oleh Nabi SAW "Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengerti", adalah doa yang sangat baik untuk diamalkan oleh setiap daie. Ini kerana ada di kalangan pelaku maksiat terdiri dari kalangan mereka yang jahil dan belum mendapat petunjuk Allah SWT.

7) Kesimpulannya, dakwah akhir zaman ini penuh cabaran dan bukan mudah untuk mengubah sikap seorang insan, kerana ia bergantung kepada dirinya sendiri untuk berubah!



20 Julai 2010, 8 Sya'ban 1431 Hijrah,

1.40 petang, Malaysia Timur

Selasa, 6 Julai 2010

Sukarnya mencari sahabat yang soleh



1) Ungkapan di atas ditegaskan oleh Imam Ghazali Rahimahullah. Ia sewaktu membicarakan pentingnya memiliki sahabat yang soleh-yang boleh mendokong kita bila kita berada di pihak yang benar, dan menegur kita bila melakukan kesalahan.

2) Ini kerana sahabat adalah cerminan kepada diri kita. Lihat bagaimana para sahabat Nabi SAW r.a. yang memiliki akhlak seumpama Nabi SAW.

3) Akhir zaman yang berlaku, kawan makan kawan. Kawan tikam belakang. Kawan khianat kawan, bahkan musuh dalam selimut.

4) Yang berlaku kini, kawan bersama dengan kita dan ampu kita bila kita senang, berpangkat dan berpengaruh. Namun apabila kita susah, miskin, ditimpa bala-ramai yang melarikan diri, bahkan tidak lagi sanggup mengaku kita sebagai kawannya.

5) Justeru berpeganglah dengan sabda Nabi SAW " Sahabat yang baik seumpama penjual minyak wangi, biarpun kamu tidak membeli minyak wanginya, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau minyak wangi yang dijualnya. Sebaliknya, sahabat yang jahat seumpama tukang besi, kalaupun tidak terbakar baju kamu akibat api besi yang diketuk, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau hangitnya".

6) Berhati-hatilah memilih kawan di akhir zaman ini. Benarlah kata Imam Ghazali-Sukarnya mencari sahabat yang soleh di akhir zaman ini.



6 Julai 2010, 23 Rajab 1431 Hijrah,

8.01 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 2 Julai 2010

4 perkara diajar Nabi SAW agar kita mohon kepada Allah



1) Dar Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda " Ya Allah kurniakan daku petunjuk, sifat taqwa, keupayaan mengelak dari melakukan maksiat dan kekayaan jiwa". Hadith riwayat Muslim.

2) 4 perkara ini permata bernilai bagi seseorang jika memilikinya.

3) Petunjuk Allah sesuatu yang sangat mahal. Justeru, kita berdoa 17 kali sehari semalam di dalam solat fardu agar diberi hidayah dan petunjuk ke jalan yang lurus-jalan mereka yang telah Engkau beri nikmat iaitu para Nabi, para Siddiqin, golongan syuhada dan kelompok solihin.

3) Taqwa hanya dapat dinilai Allah. Istilah moden menyebutnya sebagai integriti. Taqwa benda di dalam hati. Penampilan luaran yang nampak baik dan alim, belum tentu menjamin adanya sifat taqwa dan amanah dalam diri seseorang. Hanya apabila merasai pengawasan Allah dan takut kepada balasan Allah, sifat taqwa akan muncul di dalam diri.

4) Keupayaan mengelakkan diri dari melakukan maksiat juga suatu nikmat yang besar dari Allah. Betapa hari ini, ramai manusia tenggelam dalam maksiat samada secara sedar atau tidak, zahir mahupun batin. Godaan nafsu yang tidak pernah kenyang dan bisikan iblis yang sentiasa mempedaya manusia, antara asbab utama ramai yang tergelincir dalam kancah maksiat.

5) Kekayaan bukan sekadar pada harta dan material semata-mata. Bahkan kekayaan yang sebenar apabila memiliki jiwa yang tenang, redha bila diuji, syukur bila dianugerahi bahkan mampu mengawal kemarahan diri apabila memuncak emosi.

6) Semoga 4 permata berharga ini dikurniakan Allah buat kita semua.



2 Julai 2010, 19 Rajab 1431 Hijrah,

8.30 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 1 Julai 2010

Kurniakan sifat qana'ah kepada kami Ya Allah



1) Nabi SAW bresabda " Lihatlah siapa yg di bawah kamu dan janganlah kamu lihat siapa di atas kamu, maka dengan itu, kamu tidak memandang hina dan rendah nikamt Allah ke atas kamu".

2) Justeru, kalau kita rasa pada hari ini, kita diuji dengan kesusahan dan kemiskinan, ada lagi yang lebih besar ujiannya berbanding kita. Masih kelihatan ada insan yang tidak berumah, tiada pekerjaan, sukar mencari makan walau sesuap nasi. Maka bersyukurlah jika nasib kita 10 kali ganda lebih baik berbanding mereka.

3) Para Nabi dan Rasul kebanyakannya menghadapi ujian yang sangat hebat dalam menyampaikan dakwah. Dicemuh, dihina, dipukul adalah lumrah. Namun mereka tetap thabat dan sabar. Pendakwah hari ini mungkin tidak sebegitu-menyampaikan ilmu dalam kelas beraircond, tiada bangkangan dari anak murid, bahkan ramai pengikut-dibimbangi menimbulkan sifat 'ujub dan riya'.

3) Begitu juga jika kita merasakan kita hebat dan angkuh dengan segala pangkat, kekayaan, dan segala bentuk kemewahan, ada lagi yang lebih kaya, berpangkat, berpengaruh dan mewah daripada kita.

4) Lihat sahaja tokoh yang paling kaya dan paling berpengaruh di dunia seperti Bill Gates dan Presiden US-Barrack Obama, mereka mempunyai kedudukan dan kekayaan berpuluh ganda dari kita. Maka, apalah sangat yang hendak dibanggakan jika sekadar dengan beberapa pangkat dan gelaran serta kuasa yang ada.

5) Kesimpulannya, bukan mudah mendidik sifat qana'ah berputik dalam hati. Hanya hati yang redha, syukur dan insaf dengan segala nikmat Allah yang berbentuk sementara sahaja, tidak akan menyalahkan Allah dan lupa diri. Moga Allah mengurniakan sifat qana'ah kepada kita semua. Amin



1 Julai 2010, 18 Rajab 1431 Hijrah,

8.27 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude