
1) Bukan mudah berdakwah di akhir zaman ini. Meskipun niatnya baik, namun jika salah caranya, akan mengundang pelbagai kritikan malahan fitnah. Apatah lagi kini ramai yang mengaku bijak pandai agama walaupun tiada kelulusan formal mengenainya.
2) Namun begitu ingatan Nabi SAW dalam septong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. begitu menarik perhatian saya "Barangsiapa yang mengatakan masyarakatnya telah rosak, maka dialah paling rosak".
3) Dalam hal ini, Imam Nawawi memberi pandangan bahawa barangsiapa yang merasakan kaumnya telah rosak-serosaknya, sedangkan hanya dia yang belum rosak dan berasa bangga dan ujub, maka orang itu berdosa. Namun jika dia mengatakan demikian, lantaran kurangnya perhatian masyarakat pada agama, maka ia diharuskan dengan syarat sebagai peringatan.
4) Justeru, apapun maksiat yang berlaku kini, wajib kita bersama marah dan berusaha mencegahnya. Walaupun begitu pendekatan dakwah perlu tepat. Utamakan menerang dari menyerang, utamakan membimbing dari menghukum, benci perangai pelaku maksiat tetapi jangan dibenci diri pelaku maksiat itu. Dengan kata lain, dakwah yang penuh dengan sentuhan kasih sayang.
5) Iktibar terbesar sebagai bukti adalah ketika Nabi SAW dilempar batu oleh anak-anak penduduk Taif. Walaupun Nabi SAW boleh menerima tawaran Jibril a.s. untuk menelangkupkan bumi Taif, namun Nabi SAW tidak mahu kerana yakin penduduk Taif akan beriman suatu hari nanti.
6) Bahkan doa yang diungkapkan oleh Nabi SAW "Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengerti", adalah doa yang sangat baik untuk diamalkan oleh setiap daie. Ini kerana ada di kalangan pelaku maksiat terdiri dari kalangan mereka yang jahil dan belum mendapat petunjuk Allah SWT.
7) Kesimpulannya, dakwah akhir zaman ini penuh cabaran dan bukan mudah untuk mengubah sikap seorang insan, kerana ia bergantung kepada dirinya sendiri untuk berubah!
20 Julai 2010, 8 Sya'ban 1431 Hijrah,
1.40 petang, Malaysia Timur
1 ulasan:
assalamu'laikum,
Mohon izin untuk mengambil bberapa catatan & tazkirah.
Jazaakallah
Catat Ulasan