Mutakhir ini banyak artikel yang menyentuh tentang perhimpunan haram yang kononnya dianjurkan oleh Pakatan Rakyat pada Isnin, 14 Julai yang lepas di Parlimen. Akibatnya Menteri Dalam Negeri ; Datuk Seri Hamid Albar terpaksa meminta maaf kepada rakyat akibat kesesakan luar biasa kerana sekatan pihak polis yang menjangka perhimpunan itu akan berlaku berdasar kepada info di dalam blog dan sms.
Persoalannya benarkah Pakatan Rakyat merancang perhimpunan itu? Atau sekadar provokasi dari pihak berkenaan dan akhirnya menyebabkan persepsi rakyat kepada Pakatan Rakyat menjadi negatif. Tetapi saya yakin, kejadian Isnin lepas hanya menampakkan kelemahan dan kebimbangan tidak bertempat pemerintah. Bahkan rakyat semakin meluat dengan gelagat pemerintah yang seolah-olah seperti orang yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri, sedangkan dia sendiri tidak pasti perkara itu berlaku ataupun tidak!
Seperkara lagi yang ingin saya sentuh, mengapa di dalam media massa ditunjukkan perhimpunan atau demonstrasi di seluruh dunia apabila harga minyak semakin meningkat, tetapi bila perhimpunan yang sama ingin dibuat di dalam negara dilabel sebagai perhimpunan haram dan negatif ? Penganjur memang ingin meminta permit untuk mengajurkan perhimpunan aman, tetapi seringkali ditolak kerana kononnya keadaan akan menjadi tidak terkawal. Saya yakin peserta himpunan tidak pernah membuat rusuhan dan bergaduh dengan pihak keselamatan seperti mana yang berlaku di Korea. Tetapi media massa yang dikuasai pemerintah menggambarkan begitulah perhimpunan yang akan berlaku jika dibenarkan.
Ternyata, hak untuk rakyat menyuarakan bantahan terhadap ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara sering dinafikan. Benarkanlah perhimpuan atau demonstrasi aman itu berlaku, Insya Allah dengan kecekapan pihak penganjur ia akan berlangsung dengan selamat dan profesional. Ia hanya akan menjadi kelam kabut bila terdapatnya provokasi dari SB dan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kesimpulannya, perhimpunan aman perlu diteruskan sebagai tanda suara rakyat didengari. Jika BN masih berdegil tidak mahu mendengar rintihan rakyat, tunggulah PRU ke-13 nanti, Insya Allah sekali lagi tsunami poltik akan berlaku dan menumbangkan terus antara pemerintah yang terlama di dunia ketika ini!
17 Julai 2008, 14 Rejab 1429 Hijrah
12.15 tgh, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan