Isnin, 28 Julai 2008

Isra' dan Mikraj : Suatu Renungan

Yang dimaksudkan dengan Al-Isra’ di sini ialah perjalanan yang mulia lagi bersejarah dan Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al- Aqsa di Al-Quds di Palestin, adapun Mikraj pula ialah peristiwa naik kelapisan langit tertinggi di mana Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam telah bertemu dengan Allah Rabbul Jalil, kesemuanya ini berlaku dalam semalam sahaja.Pendapat sejarah telah berbelah bagi tentang masa berlakunya mukjizat Isra’ dan Mikraj ini. Ada yang mengatakan berlakunya dalam tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusan baginda. Pendapat Ibnu Sa’d yang telah digariskan di dalam kitabnya “AT-TABAQAT AL-KUBRA” mencatatkan bahawa mukjizat ini berlaku sebelum lapan belas bulan hijrah RasuluLlah.
Terdapat satu persoalan yang lain pula telah ditimbulkan iaitu apakah perjalanan RasuluLlah ini dengan ruhnya sahaja ataupun ruh dan jasad sekali. Pendapat ramai orang Islam ialah nabi disertai dengan jasad sekali dan di sinilah baru ternampaknya mukjizat pengembaraan baginda yang mulia yang telah dikurniakan kepada junjungan kita Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.Tentang kisah pengembaraan ini telah dihidangkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dengan selengkapnya. Di malam yang bersejarah ini RasuluLlah telah menunggang “Buraq” sejenis binatang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari baghal. Binatang ini melangkah kakinya sejauh mata memandang.
Setelah baginda sampai dan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa serta menunaikan sembahyang dua raka’at, Jibril membawa baginda dua biji gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. RasuluLlah memilih susu, lalu Jibril pun berkata: “Engkau telah memilih yang fitrah dan semulajadi” Setelah itu barulah RasuluLlah naik ke langit pertama, ke dua, ke tiga dan seterusnya dibawa ke “Sidratul Muntaha” dan di situlah Allah menyampaikan kepada baginda segala apa yang telah disampaikan. Antaranya Allah menyampaikan kewajiban sembahyang lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap Muslim lelaki dan perempuan yang mana pada mulanya diwajibkan lima puluh raka’at sehari semalam.Pada keesokan pagi baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita dari RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam menyebabkan orang Musyrikin semuanya bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik dan mengetawakan ini, kepada yang lain untuk diketawakan.
Di samping itu terdapat di antara mereka yang mencabar RasuluLlah dengan meminta supaya menceritakan dan membuat satu gambaran tentang “Baitul Muqaddis” yang telah dilihat oleh RasuluLlah kalaulah betul baginda telah pergi dan sembahyang di dalamnya. Sebenamya untuk membuat gambaran atau laporan memang sukar kerana di masa itu tidak terlintas di ruangan kepala dan ingatan baginda SallaLlahu ‘alaihi Wasallam untuk meneliti sehalusnya berapa tiang, berapa pintu dan sebagainya. Walaupun begitu Allah Subhanahu Wa ta’ala telah menampakkan di mata kasar RasuluLlah gambar dan pemandangan Baitul Muqaddis secara terperinci dengan tiga dimensinya.
Ini membawa RasuluLlah dapat menjawab pertanyaan yang dihadapkan kepada baginda dan dengan ini juga baginda dapat menjawab cabaran mereka tadi dengan menjawab selengkapnya segala pertanyaan mereka.Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, katanya: “Puak Quraisy telah mendusta segala cakapku, kemudian akupun bangun ke anjung (Saidina Ismail). Lepas itu Allah pun menampakkan kepadaku “Baitul Muqaddis”, membolehkan aku menceritakan segala-galanya tentang tempat-tempat dan tanda-tanda keistimewaan pemandangan Baitul Muqaddis yang dipaparkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.Beberapa orang Musyrikin yang telah mendengar cerita Isra’ dan Mikraj itu berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar terperanjat dan kebingungan tetapi dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab; “Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu”.
Pada subuh pagi hari Isra’ itu jibril telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya. Adapun RasuluLlah sebelum diturunkan sembahyang itu padanya, baginda sembahyang dua raka’at pagi dan dua raka’at petang. Segala-galanya adalah mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.
PENGAJARAN DAN RENUNGANSepatah kata mengenai RasuluLlah dan mukjizat:- Setengah-setengah pengkaji sejarah RasuluLlah begitu gemar memperbesar-besarkan sangat tentang penghidupan Nabi Muhammad sebagai manusia biasa. Ini mereka lakukan ketika mengulas dengan panjang lebar bahawa kehidupan seharian baginda sebagai tidak berpaut dan bertaut dengan perkara-perkara luar biasa iaitu mukjizat. Mereka mengatakan bahawa baginda pernah menegaskan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan mukjizat. Pengulasan mereka itu bersandarkan kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang bermaksud: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya perkara perkara mukjizat itu berada di sisi Allah”. [Surah Al-An’am 6: 109]
Gambaran ini menyebabkan sipembaca sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaibi Wassalam akan mendapat gambaran di kepalanya bahawa penghidupan seharian Nabi Muhammad itu memang jauh dan tidak berbau langsung dengan perkara-perkara yang selalunya dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada para anbiya’Nya yang terdahulu untuk menyokong dan memperkuatkan risalah dan pengutusan mereka.Bila kita perhatikan dan mengkaji dengan teliti tentang pendapat dan teori ini nescaya ternampak tembelangnya kerana pendapat mi adalah dianjurkan dan didokong oleh para orientalis seperti Gustov Lobon, Ojist Kont, Hume, Gold Zihar dan lain-lain lagi. Timbulnya pendapat dan teori ini adalah disebabkan oleh ketiadaan iman dan kepercayaan mereka terhadap pencipta mukjizat tadi iaitu Allah Subhanahu Wata’ala kerana apabila keimanan dengan Allah tidak menetap di sanubari seseorang itu maka persoalan dan perkara yang lain menjadi gampang belaka dan di kala ini tidak perlu lagi kepada mukjizat-mukjizat itu.Malangnya pendapat ini telah disambut baik oleh setengah-setengah orang Islam dan memang malang nasib dunia Islam di mana kalangan orang Islam sendiri telah berusaha dan bertungkus-lumus untuk menyebarkan hasil pemikiran asing ini.
Usaha penyebaran yang merosakkan ini dilakukan tidak lain kerana mereka tertawan dan tertipu dengan keindahan putar-belit barat, terpesona dengan godaan kemajuan sains dan teknologi barat. Antara mereka yang terpengaruh dengan keindahan pesona kemajuan dan teknologi barat itu ialah Syaikh Muhammad ‘Abduh, Muhammad Farid Wijdi, dan Hussain Haikal.Dan bila penyerang ideologi dan seteru Islam yang profesional mendapati ada juga orang Islam yang cuba melariskan pendapat-pendapat barat ini maka semakin bertambah luas lagi jalan dan peluang baru kepada penyerang ideologi ini untuk memasukkan dengan lebih banyak lagi racun-racun berbisa ke dalam masyarakat ummat Islam dan tidak perlu lagi taktik yang tradisional untuk melancar serangan terang-terangan terhadap aqidah Islam dan menanam fahaman athies di otak kepala orang-orang Islam.
Yang demikian mereka cuba memberi gambaran dan sifat-sifat yang tertentu kepada RasuluLlah seperti kehandalan, kepintaran, kepimpinan dan bermacam-macam lagi di dalam bentuk-bentuk yang menarik sekali dan di masa yang sama mereka cuba membuat sesuatu gambaran kehidupan RasuluLlah yang terpisah dan mukjizat dan luar biasa yang bukan bukan yang tidak boleh sampai oleh akal manusia yang singkat.Tujuan mereka berbuat demikian ialah supaya lama-kelamaan akan tercipta suatu gambaran dan nama baru mengenai diri RasuluLlah di kalangan umat Islam. Boleh jadi mereka menamakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang pintar atau Muhammad pemimpin atau Muhammad Perwira atau apa sahaja yang boleh melenyapkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam sebagai Nabi dan Rasul di mana segala sifat dan faktor keNabian, wahyu dan sebagainya dan perkara-perkara ghaib malah apa sahaja yang boleh menukarkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam dan alam keNabian dan keRasulan kepada metologi dan cerita-cenita dongeng kerana keNabian berasaskan wahyu dan mukjizat sedangkan manusia dari dongeng metologi tidak sedemikian.
Akhirnya segala-galanya ini membawa kepada suatu tanggapan dan kepercayaan bahawa sebab ramainya bilangan pengikut Nabi Muhammad tidak lain tidak bukan adalah kerana kepintaran dan kecerdikanNya. Cubalah perhatikan semuanya nampak dengan jelas dan nyata tentang maksud mereka menamakan penganut ugama Islam dengan Nabi Muhammad di tempat ‘muslimin dan Muslim’.Tetapi apakah tujuan sebenarnya di sebalik gambaran dan lukisan tentang hakikat Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang sebenarnya itu? Sekiranya ingin kita menyingkap dan mendedah di bawah cahaya logik dan kajian objektif maka ternyatalah kepada kita:
-i) Sekiranya kita kembali meneliti sekali lagi tentang zahiriyyah dan gejala wahyu itu dan telah pun kita memperkatakan selengkapnya bahawa ia menjadi unsur utama dalam penghidupan seharian Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam maka ternyata kepada kita bahawa sifat-sifat yang lain tanpa ragu-ragu lagi. Kenabian adalah satu hakikat yang tidak dapat disukat atau dipertimbangkan mengikut perasaan biasa manusia. Demikian juga mukjizat, yang merupakan anugerah istimewa dan unggul kepada peribadi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang tidak boleh dilucutkan atau dibenteras ‘mukjizat’ dan perkara-perkara luar biasa ini kecuali setelah berjaya melucutkan sama sekali sifat kenabian darinya atau akibat akhirnya ialah mengingkarkan agama itu sendiri.

Meskipun tujuan maklumat ini tidak dinyatakan sejelasnya oleh pengkaji-pengkaji dan kalangan orientalis umun dengan hanya menyebut kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, kecerdikan, keberanian, kebijaksanaannya bermain politik dan sebagainya sudah cukup untuk membayangkan dan menyatakan tujuan dan matlamat mereka itu kerana tujuan dan maksud biasanya datang selepas pembayang.Oleh kerana setengah-setengah mereka ini tidak sabar dan sanggup menahan lebih jauh lagi maka tidak ada jalan lain melainkan meluahkan isi hati mereka dengan menyatakan secara terang-terangan bahawa mempercayai agama itu sama dengan mempercayai perkara mukjizat yang mustahil.[Dr. Shibli Shamil mengatakan ini dalam muqaddimah terjemahan ke bahasa Arab sebuah buku ulasan mengenai teori Evolusi Darwin]. Bukankah engkau lebih mengetahui bahawa tidak ada erti untuk memperkatakan sesuatu tentang keengkaran atau keimanan mereka terhadap mukjizat itu, sekiranya sejak awal-awal lagi mereka telah mengingkar agama itu sendiri.
ii) Andaikata kita meneliti tentang sirah kehidupan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam kita dapati begitu banyak sekali Allah Subhanahu Wata’ala menunjukkanmu ke atas Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Semuanya tidak dapat kita tolak kerana sirahnya adalah mengikut sandaran hadith yang benar dan riwayatnya bertaut pula, yang membawa kita percaya sepenuhnya malah mencapai peringkat kita meyakininya.Antaranya peristiwa mengeluarkan air dari antara jari—jarinya yang mulia. Peristiwa ini diceritakan oleh Imam Bukhari di dalam kitab hadithnya di bawah tajuk ‘Air Sembahyang’, Imam Muslim pula mencatatkannya di dalam bab sifat, atau tingkah laku, Imam Malik meriwayatkannya di dalam kitabnya Al-Muwatta’ di bawah judul ‘Kebersihan’ dan dan para imam hadith terkemuka yang lain mengikut aliran masing-masing. Al-Zarqani sendiri yang mengambil dari Al Qurtubi menceritakan dengan katanya: ‘Sesungguhnya pengaliran air antara jari-jari Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam disebut beberapa kali di dalam beberapa tempat kejadian yang bersejarah, sirahnya mengikut berbagai aliran yang kesemuanya membawa kepada pengetahuan yang benar dan sahih terhadap peristiwa ini.
Dan di antara yang lain pula ialah hadith pembelahan bulan di zaman RasuluLlah iaitu ketika itu puak musyrikin meminta baginda melakukan sedemikian. Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam kitab hadithnya di dalam fasal ‘Ahadithul Anbiya’ dan Muslim di dalam fasal ‘Sifatul Qiyamah’ begitu juga para ‘ulama’ hadith yang lain. Ibnu Kathir berkata: ‘.... tentang ini banyak hadith mutawattir dengan sandaran yang benar dan boleh dipercayai telah memperkatakan seluruh ‘ulama’ sepakat memperkatakan tentang peristiwa yang bersejarah ini berlakunya di zaman RasuluLlah, di mana ianya merupakan antara mukjizat-mukjizat yang teragung.Yang peliknya mereka tidak berhenti-henti memperhebohkan dengan mencanangkan sifat-sifat kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam di samping melucutkan dan mengenepikan segala sesuatu yang berupa mukjizat dan sesuatu yang luar biasa dan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam dan ketika yang sama mereka sengaja melupakan segala hadith yang benar dan bertaut (mutawattir), langsung tidak memberi sebarang perhatian. Positif pun tidak, negatif pun tidak juga. Seolah-olah kitab-kitab hadith tidak pun mengandungi perkara ini sedangkan apa yang dikemukakan lebih daripada sepuluh aliran dan cara saranan.
Sebabnya mereka membisu ialah untuk mengelak diri supaya tidak terjerumus kepada masalah yang rumit di mana mereka terpaksa menghadapnya ketika bersekemuka dengan hadith-hadith tadi kerana hadith-hadith ini amat terang bercanggah dengan prinsip-prinsip yang berputar ligat di otak kepala mereka. [Antara mereka ialah pengarang Hayat Muhammad SaLlaLlahu ‘alaihi Wasallam yang begitu terang sekali hendak melepaskan dari ikatan hadith supaya teorinya begitu romantis dan tidak ditempelak oleh hadith itu. Beliau ialah Hussain Haekal.]
iii) Perkataan mukjizat ini bila diperhatikan dengan teliti maka didapati ia tidak mempunyai satu definasi yang tersendiri dan apa yang telah diertikan semata-mata makna dan pengertian yang nisbi atau relatif. Mengikut apa yang telah ditakrifkan, perkataan mukjizat ini bermakna perkara-perkara yang luar biasa dan perkara ini pula sering bertukar dan berubah mengikut peredaran masa, kadang-kadang berubah ertinya dan satu kebudayaan ke satu kebudayaan dan kebolehan sesuatu umat. Biasa berlaku di suatu masa yang lalu mukjizat dan luar biasa bagi puak yang perimitif yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan.
Tapi yang sebenarnya mengikut orang yang berfikiran waras bahawa ‘biasa dan luar biasa’ itu kesemuanya asal mukjizat dan luar biasa berlaku. Cakerawala mukjizat, peredaran planet mukjizat, akal fikiran manusia mukjizat, kuasa tarikan bumi mukjizat, perjalanan darah mukjizat, jiwa dan roh manusia mukjizat sehingga manusia sendiri pun mukjizat juga. Memang tepat sekali apa yang disifatkan oleh ahli flkir Peranchis Chateaubriand katanya: “Manusia ini ialah penghidupan metafizika”Malangnya manusia ini selalu terlupa nilai mukjizat pada keseluruhannya kerana setiap waktu berkisar dan bermain dengannya, entah kerana mereka tidak tahu atau kerana bongkak, dikira mukjizat itu hanya pada perkara yang memeranjatkan sahaja. Manusia sering membuat ukuran untuk mempercayai atau tidaknya terhadap sesuatu perkara itu berdasarkan biasa atau luar biasanya sesuatu perkara. Inilah kejahilan manusia yang paling aneh meskipun ianya telah maju di bidang kemajuan dan pengetahuan.
Sekiranya manusia itu merenung dan memerhatikan dengan penuh ketelitian ke arah ‘alam akan terhidanglah kepadanya suatu ciptaan yang semuanya serba mukjizat belaka dan akan tersinar di otak kepalanya bahawa Tuhan yang mencipta alam ini tidak mengalami kesulitan dan kesukaran baginya untuk menokok-tambah sebarang mukjizat yang lain pula ke atas ‘alam ini ataupun menukar-ganti setengah-setengah sistem yang biasa dikendalikan kepada suatu cara yang lain pula. Seorang orientalis Inggeris “William Jones” pernah menyuarakan hasil renungan beliau terhadap ‘alam ini dengan katanya: “Tidak sukar bagi tenaga yang telah mencipta ‘alam ini untuk menambah atau membuang sebahagian darinya. Memang senang untuk mengatakan bahawa perkara ini tidak tergambar di kepala manusia.
Yang sebenarnya orang yang mengatakan demikian tidak tergambar di kepalanya gambaran sebenar tentang kewujudan ‘alam ini”. Ertinya kalaulah ‘alam ini tidak ada kemudian diceritakan kepada orang yang engkar dan tidak percayakan perkara-perkara mukjizat dan luar biasa bahawa dunia ini akan ada, dengan serta merta dia akan menjawab bahawa perkara ini tidak mungkin berlaku dan tidak terlintas di kepalanya kerana keengkarannya terhadap mukjizat. Inilah apa yang harus difahami oleh setiap Muslim tentang RasuluLlah dan segala yang telah dikurniakan Tuhan kepada baginda dan mukjizat yang luar biasa.
(2) Rahsia berlakunya Isra’ dan Mikraj dalam keadaan RasuluLlah sedang mengalami cubaan:Begitu pahit dan maung sekali segala pancaroba yang dirasai oleh RasuluLlah dan pihak Quraisy dan yang paling dahsyat sekali dialami oleh RasuluLlah ialah penghinaan di Thaif seperti yang telah kita perkatakan dahulu. Di dalam doa restu baginda ke hadrat Ilahi ketika baginda berehat dan penat lelah di pokok-pokok di dusun anak-anak Rabi’ah nampak sekali kelemahan dan keperluan manusia kepada pertolongan Ilahi dan inilah pengakuan kehambaan manusia kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin; Di dalamnya juga menampakkan pengaduan RasuluLlah kepada Allah Subhanahu WataàLA di samping merestui pertolongan dan kurniaannya, juga terbayang kegelisahan apakah ini suatu kemurkaan dari Allah kerana sesuatu perintah yang telah terlanggar.
Oleh yang demikian di antara do’a restu baginda “sekiranya ini tidak mendapat murka maka tidaklah hamba hiraukan”.Selepas itu disusuli pula dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh RasuluLlah bukanlah suatu angkara murka dari Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunnah dan dasar da’wah Islamiyyah di setiap waktu dan ketika.
(3) Perjalanan Isra’ RasuluLlah ke Baitul Muqaddis dan keberangkatan kelapisan langit ketujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Antaranya mempertandakan bahawa Baitul Muqaddis bukanlah satu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah dan mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam dengan risalah RasuluLlah, tegasnya wujudnya suatu pertalian dan hubungan yang rapat dan erat di antara para Anbiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke’alam ini.Peristiwa ini juga memberi suatu suluhan isyarat bahawa setiap masa harus berwaspada dan menjaga keselamatan dan kehormatan tanah suci ini serta menjaganya dari sebarang rupa pencerobohan dari luar dan dalam. Inilah hikmat Ilahi yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap Muslim tidak akan membelakangkan masalah Baitul Muqaddis yang telah dinodai oleh tangan-tangan Zionis dan meminta dari setiap Muslim supaya membersihkan tanah ini dan noda kecemaran yang telah melandanya.
Siapakah yang mengetahui bahawa peristiwa Isra’ yang teragung inilah mendorongkan Salahuddin A1-Ayubi Rahimahullah bangun serentak menyeru kaum Muslimin menentang dan menghalau musuh salibi durjana dan berambus pulang ke Eropah semula dengan diselubungi oleh mendung kegagalan yang sial.
(4) Susu ialah yang menjadi pilihan RasuluLlah ketika Jibril membawa datang satu piala yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak; ianya sebagai simbolik kepada Islam, agama fitrah dan semulajadi. Jelasnya ‘aqidah dan hukum-hakam agama mi sesuai dan seiring dengan kehendak semulajadi manusia seluruhnya, tanpa ada suatu apapun di dalam Islam bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia. Andaikata ‘alam ini dan tabi’at semulajadi diibaratkan dengan suatu badan dengan dimensinya maka Islam pula ialah baju yang terpotong mengikut ukuran yang benar-benar menepati ukuran badan tadi.Inilah sebabnya mengapa Islam tersiar dengan meluasnya ke merata tempat dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Walau setinggi mana manusia mencapai tamaddun dan kemajuan kebendaan namun ia tetap mahu menjawab laungan perasaan dalaman yang bersifat semulajadi dan untuk demikian sanggup membebaskan dirinya dari belenggu rekaan yang kosot-moyot yang tidak berpijak dan berpandukan neraca semulajadi. Hanya Islam sahaja satu agama dan sistem yang unik yang boleh memberi keselesaan yang mendalam kepada neraca semula jadi manusia.
(5) Perjalanan Isra’ dan Mikraj berlaku dengan roh dan jasad sekali, jiwa dan badan RasuluLlah sekali. Sebilangan terbesar umat Islam di zaman lampau dan sekarang bersependapat mengatakan demikian. Imam Al Nawawi di dalam mengulas kitab Muslim menyatakan: “Pendapat yang sebenarnya seperti yang dipegang dan diperkatakan oleh sebahagian besar (majoriti) orang awam dan para fuqaha’ Islam yang terdahulu dan yang terakhir bahawa Isra’ Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam berlaku sekali lagi dengan jasad baginda. Kesan peninggalan sejarah juga membuktikan sedemikian dan tidak dapat dan tidak mungkin kenyataan. Athar ini ditolak dan ditukar dengan yang lama dan tidak boleb diengkar melainkan kalau dapat dibawa suatu penafsiran yang lain”. [Al-Nawawi Al-Sahih Muslim & Fathul Bari Al-Sahih Al-Bukhari]
Imam Ibnu Hajar di dalam kitab pengulasan hadith Bukhari menyatakan bahawa Isra’ dan Mikraj itu berlaku kedua duanya di dalam waktu satu malam, ketika Rasulullah masih sedar dan jaga dengan kedua-dua jasad dan rohnya sekali. Inilah pendapat majoriti ‘ulama’ hadith dan fuqaha’ Islam dan ‘ulama’ tauhid. Berita peristiwa ini turut berpindah dari seorang ke seorang dan tidak seharusnya menarik diri dari mempercayai centa ini kerana tidak ada suatu sebab pun yang membolehkan akal fikiran menolaknya.
Di antara bukti-bukti yang menolak keraguan apakah RasuluLlah berangkat dengan jasad dan rohnya ialah kehairanan kaum Quraisy, kerana perkhabaran itu terlalu ganjil bagi mereka. Oleh yang demikian mereka dengan serta merta mendustakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Kalaulah peristiwa ini setakat melibatkan roh sahaja maka tidak menjadi sebarang kegemparan di kalangan kaum Quraisy kerana pemandangan dan gambaran yang dilihat dalam tidur itu tidak ada sekatan dan batasan had. Kalau demikian maka perkara ini sama saja bagi orang Muslim dan kafir.
Kalau peristiwa ini berlaku dengan roh sahaja mengapa puak Quraisy begitu bersunguh sungguh untuk mengambil tahu dengan tepat tentang sifat-sifat Baitul Muqaddis, pintu, tiang dan sebagainya. Semuanya ini bertujuan untuk menekan dan mencabar Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.Bagaimana boleh berlakunya peristiwa ini dan apakah boleh tergambar di otak kepala manusia? Segala-galanya berlaku sepertimana mukjizat-mukjizat yang lain boleh terjadi. Bukankah telah kita katakan bahawa ‘alam ini semuanya mukjizat dan luar biasa belaka. Kalau semua ini dapat diterima oleh akal fikiran mengapa pula yang ini tidak dapat diterima dengan mudah juga.
(6) Berwaspada dan berhati-hati dalam mencari cerita Isra’ Mikraj, agar jangan terperangkap oleh sebuah kitab yang bernama: “Mikraj Ibni ‘Abbas” kitab ini penuh bersirat dengan hadith-hadith yang palsu yang tidak ada asal dan sanadnya, memang pengarangnya yang bertujuan buruk ini cuba meletakkan pembohongan-pembohongan itu kepada Ibnu Abbas r.a., sedangkan Ibnu ‘Abbas bersih dari demikian seperti yang diketahui oleh orang-orang yang berakal, Ibnu Abbas sebenarnya tidak pemah mengarang sebarang kitab mengenai Mikraj Rasul, sebenarnya kitab ini disusun dan muncul di zaman akhiran pemerintahan Umawiyah.
Bila kitab ini ditemui oleh pendakwah-pendakwah jahat, mereka dapati banyak pembohongan yang dikaitkan kepada Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang boleh menggoncangkan iman banyak manusia, mereka pun memperkenalkan kitab ini, mereka tonjol-tonjolkan kitab ini, (Salah seorang dan mereka yang menulis pujian dan mengagung-agungkan kitab ini, ialah Doktor Louis Audh. Kenalkah anda siapa itu Louis Audh ?) di samping mereka tahu sebelum semua orang tahu bahawa kitab ini didustakan atas nama Ibnu Abbas, hadith-hadith yang terdapat dalamnya semua palsu dan salah, tetapi terbalik songsang begitu cepat sekali yang dusta menjadi benar pada mereka, ini adalah kerana bertujuan mengelirukan pemikiran orang-orang muslimin dan dengan tujuan membuat kesamaran terhadap agama Islam.
Selamat menyambut Isra dan Mikra pada esok hari-27 Rejab 1429 Hijrah. Moga iman kita terus kekal dan bertambah mantap dengan kekuasaan Allah SWT.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude