Selasa, 29 April 2008

K'jaan terus beri subsidi, titah Agong

Kerajaan akan berusaha meneruskan pemberian subsidi dan pelbagai bantuan lain demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam menghadapi kesan langsung kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan bertitah, lebih RM36 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu bagi membendung kenaikan harga barang dan meringankan beban perbelanjaan rakyat.

"Paras harga minyak di pasaran antarabangsa yang tinggi telah memberi kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan.

"Sehubungan ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk mengenakan kawalan harga dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan untuk membendung kenaikan harga demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," titah baginda.

Bertitah merasmikan pembukaan penggal pertama persidangan parlimen ke-12 di Dewan Rakyat, baginda amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah menyalah guna kemudahan subsidi itu dengan menyorok dan menyeludup barangan keperluan yang berkenaan ke luar negara demi mengaut keuntungan besar.

"Perbuatan tersebut sangat hina kerana mendatangkan kesusahan dan merampas hak rakyat," titah baginda.


Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Antara yang hadir termasulklah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku suami kepada ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh).

Menurut laporan Bernama, baginda turut mengingatkan rakyat bahawa langkah yang diambil kerajaan tidak mencukupi jika rakyat sendiri tidak mengamalkan sikap bijak berbelanja.

Proses pilihanraya

Baginda turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran proses pilihanraya umum 8 Mac lalu dan ahli-ahli parlimen menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama mereka dan tidak menggunakan Dewan Rakyat bagi kepentingan politik individu.

Tuanku Mizan seterusnya bertitah kepada semua pihak agar memikul tanggungjawab memastikan semua kaum bersatu padu dan menangkis segala cubaan untuk memecahbelahkan rakyat kerana kunci kejayaan negara adalah hasil kestabilan politik dan perpaduan kaum.

Baginda turut menyentuh usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah dengan menstrukturkan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di samping menubuhkan jawatankuasa parlimen mengenai pencegahan rasuah.
Titah baginda lagi, pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna jika rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan masih berlaku.

Mengenai pengumuman perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini untuk memperkasakan sistem kehakiman negara, Tuanku Mizan bertitah ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem itu terus kekal adil, dihormati dan bebas daripada sebarang pengaruh selaras dengan kehendak rakyat.

"Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara," titah baginda.

Koridor ekonomi

Mengenai pembangunan lima koridor pembangunan wilayah ekonomi, baginda mahu kerajaan memastikan pelaksanaannya memberi manfaat kepada semua rakyat.

Titah baginda, ini kerana projek pembangunan ekonomi itu tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu tetapi meliputi seluruh negara, selain bakal mewujudkan lebih 12 juta pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Sehubungan itu, baginda berharap pelaksanaan lima koridor tersebut akan menggiatkan lagi aktiviti ekonomi, menaikkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan serta mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, negeri dan wilayah.

Baginda bertitah, ekonomi negara tahun lalu berkembang 6.3 peratus melebihi sasaran enam peratus dan pendapatan per kapita, meningkat melebihi RM23,000 manakala kadar inflasi kekal rendah pada dua peratus dan kadar pengangguran pada 3.3 peratus.

Tuanku Mizan seterusnya mahu kerajaan menilai semula keutamaan program dan projek pembangunan yang dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) semasa kajian separuh penggal kelak bagi mencapai lima teras Misi Nasional.

Selain itu, titah baginda, kajian separuh penggal RMK9 juga mesti memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing negara.

Kurang kadar kemiskinan

"Beta menghargai kesungguhan kerajaan beta melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK9. Sehingga Mac lalu sebanyak RM81.7 bilion bersamaan 40.8 peratus daripada peruntukan sebanyak RM200 bilion telah dibelanjakan.

"Ini telah memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor pembinaan dan industri berkaitan pembinaan. Beta berharap kadar pertumbuhan yang mapan ini dapat dikekalkan," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah baginda turut berbangga dengan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan kepada 3.6 peratus berbanding 75 peratus semasa negara mencapai kemerdekaan, manakala kadar kemiskinan tegar berjaya dikurangkan kepada 0.7 peratus.

"Beta yakin kemiskinan tegar akan dapat dihapuskan menjelang tahun 2010," titah baginda.

Baginda juga mahu kerajaan, dalam menghadapi persekitaran yang semakin mencabar agar meningkatkan usaha-usaha meneroka sumber-sumber pertumbuhan dan pasaran baru di samping memperluaskan pasaran sedia ada, menghasilkan produk dan perkhidmatan baru, membina perkongsian pintar serta mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti.

Tuanku Mizan juga bertitah baginda yakin kejayaan lebih besar akan dikecap apabila negara memasuki fasa 50 tahun yang kedua selepas kemerdekaan standing dengan negara-negara maju.

Ulasan : Daulat Tuanku. Moga Tuanku terus diberi kesihatan untuk menjadi YDPA dan segala titah Tuanku harapnya difahami oleh semua Ahli Parlimen. Esok 30 April, bermula siaran langsung persidangan Parlimen di RTM 1 pada 10.30 pagi.

Ku Li: Perlembagaan benarkan EGM

Cadangan menghentikan bahagian Umno mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) untuk membincangkan masalah parti akan hanya menggalakkan akar umbi menyuarakan pendapat mereka secara tidak mengikut undang-undang, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

"Pemimpin menggesa ahli parti berjumpa mereka. Kenapa mereka tidak menggalakkan mereka mengadakan mesyuarat mengikut prosedur yang ditetapkan perlembagaan parti," katanya.

Bernama memetik Tengku Razaleigh sebagai berkata, kurangnya mesyuarat dan perundingan akan hanya melemahkan parti.

"Perasaan rakyat tidak dapat dikawal. Jika mahu menjadi stereotaip, dengan itu hanya perlu menulis semuanya dalam sekeping kertas untuk mereka ikuti, ulangi apa yang kita mahu mereka katakan.

"Tetapi ini sebuah negara merdeka dan semua orang berhak menyuarakan apa yang mereka mahu katakan. Sama ada apa yang mereka katakan itu betul atau tidak, biar rakyat menentukannya," katanya.

Tengku Razaleigh, yang juga ahli parlimen Gua Musang, mengulas kenyataan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya semua bahagian parti berhenti mengadakan EGM untuk membincangkan masalah parti dan menggesa peralihan kuasa.

Ditanya sama ada banyak bahagian merancang untuk mengadakan EGM, Tengku Razaleigh berkata terdapat mereka yang telah bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat itu.

"Perlembagaan parti membenarkannya. Saya bukan kata ia bertentangan dengan semangat (parti) tetapi jika mahu mengadakan mesyuarat agung (khas), tiada yang dapat menghalangnya. Ia dibenarkan oleh perlembagaan.

"Tetapi sama ada mereka boleh mendapatkan sebanyak mana (bahagian) untuk mengadakan mesyuarat serupa supaya mereka dapat mengadakan perhimpunan agung luar biasa, itu merupakan perkara berbeza," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sidang pertama parlimen ke-12 hari ini.

Mukhriz tidak setuju

mukhriz mahathirSementara itu, Bernama juga melaporkan, ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir turut tidak bersetuju dengan gesaan presiden Umno supaya bahagian parti tidak lagi mengadakan EGM kerana ia merupakan hak ahli parti.

"Saya ingat tidak sesuai untuk pesiden menyatakan EGM tidak diperlukan kerana ini hak ahli di peringkat bahagian untuk memutuskan sama ada EGM itu diperlukan atau tidak," katanya ketika ditemui di lobi parlimen.

Mukhriz berkata, jika ada bahagian yang mahu terus mengadakan EGM, mereka tidak patut dihalang.

Katanya, beliau berharap ketua-ketua cawangan Umno diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing melalui sesi soal jawab dalam perjumpaan dengan presiden parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kalau mereka datang dari seluruh negara berjumpa dengan presiden tetapi jika tidak diberi peluang untuk bercakap, maka saya ingat itu tidak bermakna.

"Biarlah mereka menyampaikan maklumat dan isi hati mereka secara langsung kepada presiden," katanya.

Radzi: Bazir masa

Sementara itu, bekas setiausaha agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberitahu agensi berita itu, mengadakan EGM pada masa ini hanya membazirkan masa kerana perhimpunan agung parti akan diadakan pada Disember.

"Tidak banyak masa yang ada untuk mengadakannya (EGM). Jika mereka mahu lakukan, misalnya, mencadangkan usul untuk memansuhkan sistem kuota, mereka perlukan separuh daripada jumlah bahagian untuk mengadakan EGM.

"Hanya selepas itu baru boleh mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

"Tetapi mesyuarat peringkat cawangan akan bermula tidak lama lagi, bulan Julai, jadi tidak ada cukup masa untuk mengadakannya, walaupun ia dibenarkanoleh perlembagaan," katanya.

Ulasan : UMNO masih berpolemik sesama sendiri dan ini buktinya. Kita yakin rakyat dapat melihat the true colours of UMNO now!

Menara kecemasan sementara TNB tumbang, seorang maut

KUALA LUMPUR 29 April – Seorang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut setelah menara kecemasan sementara (ERS) bagi menghantar bekalan elektrik di Kota Kinabalu, Sabah tumbang ketika dalam proses pemasangan.

TNB dalam kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, seorang warga kerja yang dalam keadaan kritikal kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth dan tiga lagi yang cedera dirawat di Hospital Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, kejadian berlaku di tapak menara penghantaran sementara di talian 132 kilovolt (KV) yang terletak di antara Kayu Madang dan Universiti Malaysia Sabah.

Kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi ini apabila semua pasukan pemasangan ERS seramai 30 orang sedang menjalankan ujian di menara tersebut setelah menamatkan pemasangan talian penghantaran yang baru dibaiki.

Ketika ujian sedang dijalankan, satu daripada kabel penyokong telah tercabut dan menyebabkan menara ERS menjadi tidak stabil.

“Ia menyebabkan tiga lagi kabel penyokong turut tercabut dan menumbangkan menara tersebut,” kata kenyataan itu.

Ulasan : Kes ini perlu disiasat dengan rapi agar punca sebenar tumbangnya menara itu dapat dikenalpasti.

Kelantan sedia litar untuk mat rempit tunjuk kehebatan


KOTA BHARU 29 April — Golongan ’mat rempit’ di Kelantan akan dapat membuktikan kehebatan mereka menunggang motosikal di litar khas yang akan dibina oleh kerajaan negeri tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya pembinaan litar di Tanah Merah itu bukan satu pembaziran kerana ia memberi ruang kepada pihak berkuasa menangani gejala lumba haram dalam kalangan golongan muda di negeri itu.

"Mat rempit ini sering buat ibu-ibu risau. Bila berlaku perkara yang tidak diingini, kasihan kita lihat ibu-ibu mereka, isteri atau anak-anak mereka menangis.

"Kita buat litar ini untuk beri tempat yang sesuai untuk mat-mat rempit ini meluahkan perasaan dan menunjukkan keberanian dan keperwiraan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan tambahan bajet 2008 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz berkata litar itu dibuat berdasarkan syor polis yang meminta kerajaan negeri membina litar motosikal khusus untuk kegunaan mat-mat rempit bagi mengelak mereka menggunakan jalan raya sebagai litar lumba.

“Kita mahu kalau anak-anak muda ini nak tunjukkan keberanian, biarlah bertempat. Dalam masa yang sama, kita selitkan nasihat dan doa ketika naik kenderaan,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri akan meneliti cadangan ketua pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) supaya diadakan zon khas untuk kawasan pertanian bagi meningkatkan hasil terutama bekalan beras.

Katanya kerajaan negeri juga bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed selain menjalin kerjasama erat dengan kerajaan pusat dalam usaha meningkatkan hasil pertanian di Kelantan.

Usul tambahan bajet 2008 itu diluluskan setelah mendapat persetujuan sebulat suara.

Persidangan dewan disambung esok.

— BERNAMA

Ulasan : Perkara ini pastinya ada pro dan kontra. Tetapi kita tunggu dan lihat. Moga perancangan Kerajaan Kelantan ini akan mampu menangani masalah mat rempit.


MB Perak arah Pengarah JAIP bertukar ?

SITIAWAN 29 April — Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury hari ini diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan telah diminta keluar dari pejabatnya oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi.

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri yang mengesahkan perkara itu berkata Jamry telah dihubungi menerusi telefon oleh Mohammad Nizar untuk berbuat demikian tanpa diberi peluang menjelaskan apa-apa bagi membela dirinya.

Tidak pula diberitahu ke pejabat mana Jamry ditukarkan.

Sementara itu, Jamry ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut dan memaklumkan bahawa beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah petang ini di Istana Kinta di Ipoh.

“Setakat ini saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu. Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya selepas mengadap Sultan petang ini,” katanya.

— BERNAMA

Ulasan : Jika Pakatan Rakyat melakukan begini, ia dipotretkan sebagai sesuatu yang jahat. Tetapi jika BN begini, seolah-olah perkara biasa. Saya yakin rakyat dapat menilai dan berusaha mendapatkan fakta sebenar di sebalik isu ini.


Selalunya, setiap kali saya menziarahi bumi Sarawak, saya akan pulang dengan perasaan yang tidak betul. Ada rasa bersalah yang mengiringi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Terasa begitu banyak dan luas peluang dakwah yang ada di sana. Apatah lagi dengan kedudukan Muslim sebagai minoriti kecil, sedangkan Sarawak adalah di antara wilayah Borneo yang terawal menerima Islam.
Saya pernah menyertai program mengkursuskan kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara, anak-anak yatim dan miskin melalui kerjasama PERYATIM - PERKIM, anak-anak ahli perniagaan Kuching yang sebahagiannya bersekolah di Australia dan New Zealand malah tidak lupa, program bersama pelajar sekolah melalui Task Force, program yang dikendalikan di bawah Jabatan Pelajaran di Miri, melalui sahabat saya Muhtar Suhaili.

Tetapi kunjungan kali ini sedikit berbeza. Perasaan bersalah itu tidak muncul dalam bentuknya yang lepas. Pastinya ia kesan daripada program kali ini. Saya pulang dengan rasa syukur dan puas kerana program kali ini bukan bersama mad’u, sebaliknya bersama da’ie, barisan pendakwah di Bumi Kenyalang.

Saya telah dijemput oleh Pusat Latihan Sarawak (PLS) yang dikendalikan oleh JAKIM Sarawak, untuk mengisi bengkel Training of Trainers (ToT). PLS di bawah kendalian Tuan Haji Hazaruddin Baharuddin selaku Pengarahnya, telah mengumpulkan panel penceramah mereka, pendakwah dari pelbagai NGO, kepimpinan persatuan pelajar dan mahasiswa Islam, wakil institusi pendidikan seperti UNIMAS, IKMAS dan ramai lagi. Boleh dikatakan, peserta kali ini adalah jentera penggerak dakwah yang utama di bumi Kuching, juga Sarawak.
Inilah program yang saya nanti-nantikan, kerana peluang seperti ini membolehkan proses duplikasi dilakukan dan meramaikan lagi pendakwah yang berkongsi hasrat, matlamat dan metodologi yang sama dengan apa yang saya lakukan buat masa ini.

Bengkel ini diisi dengan wacana ‘membedah’ buku The 7 Habits of Highly Effective People dengan keyakinan bahawa ilmu bukan hanya berkaitan dengan isi kandungan buku, malah presentation dan cara ilmu disampaikan juga merupakan suatu ilmu dan kemahiran yang perlu dipelajari. Inilah mesej program kali ini.

Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang berkongsi pengalaman dan pandangan tentang dakwah, termasuk maklum balas saya tentang program-program yang pernah saya kendalikan sebelum ini di Sarawak, untuk dimanfaatkan oleh peserta yang juga merupakan pendakwah-pendakwah utama di sana.

Seperti kata Tuan Haji Hazaruddin semasa ucapan perasmian penutup, mungkin cabaran besar yang sedang membelenggu pendakwah semasa, ialah soal presentation. Bagaimana dakwah itu disampaikan agar efektif dan meninggalkan kesan yang baik.
Terima kasih kepada Ustaz Mohd Izwan Yusof yang mengusahakan kedatangan saya. Semoga Allah jua yang membalas segala usaha rakan-rakan di Sarawak ke arah menyebarkan Islam sebagai rahmat buat alam.
Terima kasih kepada peserta Bengkel ToT kerana melangsaikan buku AKU TERIMA NIKAHNYA. Terima kasih juga di atas kesempatan membawa saya mencari Kek Lapis di Kampung Gersik serta Terubuk Masin di Pasar Satok, buah tangan untuk Ummu Saif dan anak-anak.
(Diambil dari laman www.saifulislam.com)
Ulasan : Buat Ustaz Hasrizal Jamil, syukran atas segalanya. Moga Allah merahmati segala usaha dan dakwah yang telah disampaikan. Ternyata, beliau bersemangat menyampaikan ceramah walaupun bermula dari pagi hingga ke petang. Tips beliau "Penceramah akan bankrap idea jika tidak bersedia mendengar ceramah orang lain". "Dan jika nak orang bersemangat dengar kita berceramah, kita kena bersemangat menyampaikan ceramah". Syabas dan tahniah buat Ustaz Hasrizal Jamil dari kami di Bumi Kenyalang. Semoga segala input yang diterima akan diproses menjadi output yang berguna dalam melaksanakan gerak kerja dakwah di sini. Sesungguhnya bukan mudah proses membina dan membangunkan manusia apalagi memanusiakan manusia.

Timbalan Speaker: 17 anggota pembangkang sokong Wan Junaidi


KUALA LUMPUR 28 April – Persidangan pertama Parlimen ke-12 mencatat perkembangan menarik apabila dua anggota Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan seorang daripadanya turut mendapat sokongan daripada 17 anggota pembangkang.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee masing-masing memperoleh 157 dan 140 undi dalam pengundian yang diadakan hari ini.

Mereka mengetepikan cabaran daripada anggota pembangkang, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang hanya mendapat 81 undi.

Dengan komposisi Dewan Rakyat yang terdiri daripada 140 Ahli Parlimen BN dan 82 anggota pembangkang, kejayaan Wan Junaidi memperoleh 157 undi menunjukkan pencalonannya turut disokong oleh 17 wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, identiti kumpulan Ahli Parlimen pembangkang itu tidak diketahui kerana pengundian dibuat secara sulit.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika diminta mengulas kemenangan Wan Junaidi – yang turut dicapai hasil daripada sokongan Ahli Parlimen pembangkang – menerima keputusan tersebut secara positif.

“Semua anggota pembangkang mengundi Seng Giaw kecuali seorang. Pembangkang sudah beri sokongan padu kepada calon kita, tetapi (Wan Junaidi dan Ronald) menang... kita terimalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Daripada 82 anggota Parlimen pembangkang, 31 ialah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (28) dan Pas (22), manakala Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali merupakan wakil rakyat Bebas yang bertanding atas tiket Pas.

Proses pengundian bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijalankan secara sulit iaitu dengan kesemua 222 wakil rakyat menulis nama dua calon pilihan mereka di atas kertas sebelum dikumpulkan oleh petugas Parlimen untuk pengiraan.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat diadakan sebaik sahaja 222 anggota Parlimen selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada pukul 12.30 tengah hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan dua nama iaitu Wan Junaidi dan Ronald sebagai calon BN yang bertanding bagi merebut dua jawatan yang dipertandingkan itu sebelum disokong oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula mencadangkan nama Seng Giaw sebagai calon daripada pakatan pembangkang yang kemudian disokong oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Keputusan pemilihan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada pukul 12.50 tengah hari dan disambut dengan tepukan gemuruh anggota Dewan.

Wan Junaidi, Ahli Parlimen Santubong selama lima penggal, ketika mengulas kemenangannya berkata, rakan-rakan daripada anggota pembangkang telah menyatakan sokongan kepada beliau sebaik sahaja mengetahui namanya dicalonkan untuk jawatan itu.

“Mereka menyokong saya setelah mendapat tahu kemampuan, pengalaman dan latar belakang saya dalam bidang undang-undang,” katanya.

Ulasan : Menyokong tidak bermakna setuju dengan BN. Apapun wakil rakyat dari Pakatan Rakyat perlu bekerja keras dalam menyampaikan hujjah berdasarkan fakta dan data yang tepat.


Speaker teliti dakwaan Wan Azizah tak dijemput

KUALA LUMPUR 28 April - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan meneliti dakwaan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak menerima kad undangan rasmi untuk upacara pembukaan Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-12, esok.

Katanya, beliau juga akan meneliti dakwaan bahawa suami Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dijemput untuk menghadiri upacara pembukaan itu seperti kelaziman.

"Kalau saya fikir ia patut diperbetulkan, saya akan betulkan. Tetapi biarlah munasabah kerana saya baru sahaja dilantik menjadi Speaker sedangkan jemputan sudah dihantar lebih awal.

"Siapa yang berhak dijemput, akan kita jemput... bukankah ini Parlimen, tidak kira dia (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke atau sesiapa sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya selepas sidang Dewan Rakyat ditangguhkan hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali memberitahu pemberita bahawa Ketua Pembangkang itu tidak menerima jemputan rasmi, sebaliknya hanya menerima sepucuk surat sedangkan Ahli Parlimen lain menerima kad jemputan beserta pasangan masing-masing.

Azmin turut membangkitkan isu bahawa urutan mengemuka pertanyaan di Dewan Rakyat kali ini tidak seperti lazimnya iaitu ketua pembangkang diberi peluang mengemukakan pertanyaan lebih awal.

Katanya, kali ini, Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim diberi peluang pertama mengemukakan soalan lisan sedangkan Wan Azizah menjadi orang ketiga yang diberi peluang mengemukakan soalan.

Mengulas mengenainya, Pandikar Amin berkata, urutan pertanyaan mengikut kepentingan sesuatu isu yang dikemukakan.

"Jika perkara itu penting untuk didengar rakyat ia akan didahulukan, tidak kiralah ia pertanyaan daripada pihak pembangkang atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, sebagai orang tengah, bukan mudah untuknya memuaskan hati semua pihak dan mungkin tindakan yang dibuat dirasakan adil untuk satu pihak.

"Jika pertanyaan yang dikemukakan pembangkang pada fikiran saya betul dan mengikut peraturan, sudah pasti ia akan diberi layanan sama," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pihak Parlimen telah menghantar kad jemputan kepada semua Ahli Parlimen dan pasangan masing-masing untuk hadir ke upacara tersebut.

Beliau juga berkata, urusan mengatur susunan soalan-soalan dilakukan oleh pihak Parlimen dan tidak semestinya Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang diberi peluang mengemukakan soalan pertama.

Ulasan : Nampaknya telah berlaku double standard. Apapun kita nantikan siasatan oleh Speaker Parlimen ; Datuk Pandikar Amin Mulia. Apakah BN takut dengan bayang-bayang sendiri?

222 ahli Parlimen angkat sumpah

KUALA LUMPUR 28 April - Acara mengangkat sumpah 222 ahli Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini berjalan lancar dengan didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 53, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Pelantikan Pandikar Amin sebagai Yang Dipertua dibuat mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh Perdana Menteri yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan itu kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah melalui surat bertarikh 10 April 2008.

Pelantikan itu kemudian disokong oleh Najib.

Sebelum majlis itu bermula, Pandikar Amin dipakaikan songkok dan jubah Speaker oleh Roosme dan pembantunya.

Pandikar Amin yang berkelulusan undang-undang sebelum ini pernah dilantik sebagai Senator dan juga merupakan Presiden Parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu) yang kini sudah dibubarkan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah turut hadir menyaksikan majlis tersebut.

Selain media tempatan, wartawan dari agensi berita luar turut memenuhi lobi Parlimen bagi menyaksikan majlis tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh kemudian mencelah dan mempersoalkan tindakan seorang Ahli Parlimen BN yang tidak mengangkat tangan semasa upacara mengangkat sumpah anggota di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen yang dimaksudkan oleh Karpal ialah Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad (BN-Mersing) yang juga Timbalan Menteri Kesihatan.

Karpal kemudian meminta izin Pandikar Amin untuk mengangkat tangan kiri memandang tangan kanan beliau kurang kuat semenjak mengalami kemalangan jalan raya pada 2005 yang menyebabkan Pengerusi DAP itu terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Sebaik sahaja proses mengangkat sumpah selesai, Pandikar Amin kemudian mengumumkan bahawa pemilihan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan diadakan.

Perdana Menteri kemudian bangun dan mencalonkan Ahli Parlimen BN dari Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen BN Beluran, Datuk Ronald Kiandee.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang bangun dan mencalonkan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw sebagai calon pakatan pembangkang untuk bertanding jawatan tersebut.

Selepas selesai proses penamaan calon daripada kedua-dua pihak, Pandikar Amin kemudian memberitahu bahawa pemilihan akan dilakukan secara undi bersurat.

Wan Junaidi mendapat 157 undi, Ronald memperoleh sebanyak 140 undi manakala Seng Giaw pula mendapat 81 undi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, wakil rakyat yang tidak mengangkat tangan semasa upacara mengangkat sumpah tidak akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, Ahli Parlimen berkenaan mungkin terlupa berbuat demikian semasa upacara berkenaan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

"Kalau peraturan kata angkat, angkat sahajalah. Mungkin dia terlupa sebab orang ramai tengok. Takkan nak gantung dia pulak. Tak ada apa-apa kesan dan takkan jejas kedudukan (Datuk Abdul) Latiff (Ahmad) sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Pandikar Amin semasa itu mengingatkan kepada Ahli Parlimen sekiranya boleh mereka diminta mengangkat tangan semasa mengangkat sumpah.

"Kalau boleh tolong angkat tangan, mungkin dia sakit tangan," kata Pandikar Amin.

Mengulas perkara yang sama, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen BN Semporna berkata, perkara itu tidak menunjukkan Ahli Parlimen tersebut tidak menghormati Dewan kerana beliau mungkin terlupa mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, seelok-eloknya beliau mengangkat tangan ketika mengangkat sumpah kerana ia sudah menjadi amalan.

Pada perkembangan yang lain pula, Datuk Abdul Gaphur Salleh (BN-Kalabakan) mempersoalkan kepada Speaker terhadap pakaian Datuk Ibrahim Ali (Pas-Pasir Mas) kerana tidak memakai sut gelap seperti yang ditetapkan oleh peraturan Dewan.

Abdul Gaphur membuat teguran itu sebelum Ibrahim mengangkat sumpah kerana beliau (Ibrahim) mengenakan kot dan seluar berwarna coklat cerah berbanding warna gelap seperti sepatutnya.

"Saya difahamkan beliau ahli bebas bertanding pada pilihan raya umum, tumpang logo lain. Kali ini dilonggarkan peruntukan mesyuarat sebab beliau wakil bebas," kata Pandikar Amin diikuti dengan sorakan dan tepukan barisan pembangkang.

Semasa mengangkat sumpah, Ibrahim sempat mencelah dan berkata: "Terima kasih Tuan Speaker. Tuan Speaker memang bijaksana," katanya.

Ulasan : Selamat bertugas buat semua "khadam rakyat". Tanggung di dunia, jawab di akhirat.

Subsidi ditambah jika harga beras terus meningkat

KUALA LUMPUR 28 April – Kerajaan akan menambah subsidi beras tempatan sekiranya harga bahan makanan itu terus meningkat di pasaran dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Langkah itu, katanya, diambil bagi memastikan harga beras kekal stabil dan tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Menurut Shahrir, strategi subsidi itu dapat mengelak kegiatan menyorok beras oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan daripada kenaikan harga beras import dengan mengurangkan bekalannya di pasaran.

“Ada tekanan untuk harga beras dinaikkan. Untuk mengelakkan beras tempatan disorok dan dijual di pasaran gelap, kerajaan perlu beri subsidi bagi menentukan harga beras kekal pada paras kawalan.

“Kalau kita tidak tambah subsidi, kita terpaksa naikkan harga kawalan beras tempatan dan ini mungkin menyebabkan ia tidak dapat dibeli oleh golongan berpendapatan rendah. Untuk mengelakkan gejala ini berlaku, kita kena tambah subsidi,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Shahrir berkata, kerajaan memang telah memberikan subsidi kepada petani dalam bentuk baja dan bahan bakar untuk membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran padi.

Pada masa sama, menurut beliau, kerajaan juga memberi subsidi kepada pengeluar beras hancur 15 peratus ke atas bagi mengawal harganya di sekitar RM1.65 dan RM1.75 sekilogram memandangkan beras jenis itu banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.

Harga beras dunia naik mendadak tahun ini berikutan peningkatan permintaan terhadap makanan ruji itu selepas pengeluarannya merosot akibat kemarau.

Beberapa negara pengeluar beras termasuk Vietnam dan Kemboja kini mengawal eksport bahan makanan itu untuk menjamin bekalan beras domestik.

Malaysia menghasilkan 65 hingga 70 peratus beras untuk keperluan tempatan, manakala selebihnya diimport terutama dari Thailand.

Dengan kenaikan mendadak harga beras Siam sejak kebelakangan ini, kerajaan menjangkakan rakyat akan bertukar menggunakan beras tempatan kerana harganya yang rendah.

Pada 19 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM4 bilion untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi.

Shahrir memberitahu, langkah menambah subsidi beras akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM4 bilion tersebut.

Ulasan : Jumlah pengeluaran beras negara hanyalah 70 %. 30 % lagi diimport dan di antara pengimport utama adalah Thailand. Dalam hal ini, pemerintah wajib membantu dari segala sudut demi memastikan rakyat tidak lapar, termasuk antaranya kempen elakkan pembaziran makanan, yang kini berleluasa di negara kita dek leka dengan kesenangan yang ada.

Lebih baik tiada EGM - Pusatkan tumpuan kepada usaha selesaikan masalah rakyat

KUALA LUMPUR 28 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua bahagian UMNO tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan isu pemilihan pucuk pimpinan, sebaliknya memusatkan tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Lebih baik tindakan seperti ini (EGM) tidak dilakukan kerana kita pada waktu ini memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan, jadi kita tumpukan pada hal yang diperlukan oleh rakyat,” kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO amat menyedari tentang masalah dan kehendak rakyat apabila mereka terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, ahli UMNO tidak boleh leka dengan soal parti terutama berhubung dengan pemilihan pucuk pimpinan sehingga mereka lupa tanggungjawab dalam membela kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, ahli UMNO perlu mengukuhkan perpaduan mereka dan memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam mengambil sebarang tindakan yang dapat meringankan beban kehidupan rakyat ketika ini ekoran kenaikan harga barang keperluan termasuk bahan bakar.

Malah, katanya, rakyat juga mahukan pembaharuan dalam hal-hal tertentu seperti perundangan dan integriti seperti yang telah dijanjikan kerajaan sebelum ini.

“Jika ini tidak dilakukan, parti kuat macam manapun, rakyat tidak akan terima. Rakyat menyokong kerana kita ada program untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, sikap rakyat itu bukan bermakna kerajaan tidak menjayakan program pembangunan sebelum ini, tetapi rakyat berpendapat ia belum mencukupi.

Sebab itulah, katanya, UMNO perlu mengambil langkah mengikis tanggapan pihak tertentu bahawa ahli UMNO terlalu sibuk dengan urusan pemilihan pucuk pimpinan pada Disember ini hingga lupa pada agenda membela kebajikan rakyat.

MT UMNO, ujar Abdullah, telah membincangkan perkara itu supaya ahli UMNO tidak terlalu leka dengan soal pemilihan dan mengambil tindakan-tindakan yang boleh memecahbelahkan parti serta memesongkan kerajaan daripada menjalankan tanggungjawabnya.

“Kita telah diberi mandat untuk memerintah dan menjadi kerajaan yang perlu bekerja dan memberi perhatian kepada rakyat,” katanya.

Abdullah menegaskan, UMNO tidak mahu dituduh sebagai parti yang sibuk dengan berpolitik dan pemimpinnya pula sentiasa bergaduh kerana berebut jawatan dalam parti.

“Memang ia menarik dan semua orang mahu tahu... kita akan kurangkan hal itu (politiking) dan membuktikan kepada rakyat bahawa soal parti adalah soal parti dan apabila tiba masanya nanti, semua ahli akan mengambil bahagian masing-masing dan menentukan kepimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam mengatasi pelbagai masalah rakyat dan melakukan pembaharuan, isu pemilihan pucuk pimpinan masih menjadi perhatian semua pihak.

Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, kertas kerja mengenai pelaksanaan stok penimbal bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan lain sentiasa mencukupi akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut Perdana Menteri, Kabinet juga telah menerima cadangan mengenai penyediaan kemudahan perumahan yang harganya lebih rendah bagi membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan mereka, lebih-lebih lagi ketika harga barang semakin meningkat.

Katanya, walaupun ia sukar dilakukan, usaha perlu dibuat bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah, misalnya melalui penawaran harga rumah yang lebih murah.

Ulasan : UMNO telah jadi parti elit dan tidak lagi merakyat. Tidak sebagaimana PKR dan PAS. Justeru, UMNO tidak akan relevan lagi buat rakyat Malaysia kini.

Pertahan ketuanan Melayu

KUALA LUMPUR 28 April - UMNO akan terus berperanan memperjuangkan ketuanan Melayu supaya kaum itu tidak dipandang rendah dalam negara sendiri, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Presiden UMNO berkata, orang Melayu tidak boleh hidup sebagai 'kuli', sebaliknya mereka perlu dilihat berada pada satu kedudukan yang sama dengan kaum- kaum lain.

Justeru, katanya, usaha untuk memajukan dan memperkasakan orang Melayu akan diteruskan tetapi dalam masa yang sama hak-hak kaum lain tetap terpelihara.

Ujarnya, masih terdapat orang Melayu yang perlu diperkasakan dan diperkuatkan meskipun ada dalam kalangan mereka ketika ini telah menempa beberapa kejayaan.

''Orang Melayu merupakan penduduk asal di negara ini dan tidak boleh hidup sebagai kuli. Oleh itu untuk menjadi 'tuan' kita perlu berjaya kerana kita mahu orang Melayu berperanan dalam pembangunan negara.

''Inilah yang dikatakan ketuanan Melayu dan bukannya hendak perintah orang lain atau memaksa kuasa terhadap orang lain,'' kata Abdullah kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ketuanan Melayu di negara ini semakin terhakis selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu.

Abdullah berkata, formula kekuatan Barisan Nasional (BN) adalah apabila wujud sifat permuafakatan yang jitu antara parti-parti komponen BN.

''UMNO memperjuangkan kemajuan orang Melayu tetapi kita tidak berhak menggunakan kuasa untuk mendominasi kaum lain. Asas inilah yang menjadi kekuatan parti komponen dalam BN.

''UMNO tidak pernah lupa bahawa kekuatan BN adalah hasil daripada muafakat dan kerjasama antara parti-parti komponen lain,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebagai tunjang kepada BN, UMNO perlu menjadi sebuah parti yang mampu memberi kekuatan kepada pakatan itu.

''Bagaimanapun, kesemua ini tidak akan terhasil jika UMNO tidak bermuafakat dengan parti komponen lain. Kita bersama-sama memahami semangat ini dan inilah kunci kejayaan kita.

''Oleh itu perjuangan ketuanan Melayu selama ini adalah untuk memajukan orang Melayu dan dalam masa yang sama kita akan pastikan hak-hak kaum lain akan tetap terpelihara,'' katanya.

Sementara itu, Abdullah menyambut baik pemilihan Ahli Parlimen BN, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, yang lebih menarik ialah Wan Junaidi turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang.

''Bagus tu... saya puji Wan Junaidi kerana beliau disenangi oleh kebanyakan Ahli Parlimen termasuk pembangkang,'' tambahnya.

Ulasan : Telah banyak diulas sebelum ini. Ketuanan Melayu memang penting, tetapi jika sampai tahap agama Islam yang sinonim dengan bangsa Melayu tidak diamalkan sepenuhnya, ia tidak akan kesampaian. Bahkan keindahan Islam tercemar dengan gelagat dan peel perangai orang Melayu yang tidak mengamalkan Islam.

Isnin, 28 April 2008

Antara merebut nama Allah dan mempertahan akidah


BANYAK pihak mendesak saya memberi pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya Kristian di Malaysia. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberi pandangan ringkas dengan berkata: “Ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan. Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible bahasa Melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak edisi Inggerisnya? Adakah ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu

Didesak

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: “Jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-sunah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut. Kadangkala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu terpenting adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap Muslim atau bukan Muslim di negara ini. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis. Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya : Mengapakah kita sentiasa merasakan akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil Tuhan Allah? Mengapakah tidak dirasakan itu lebih memudahkan bagi menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam? Maka apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam atau kebimbangan disebabkan kelemahan umat Islam?”

Jika kita membaca al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah! (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman! (Surah al-Zukhruf ayat 87-88). Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.” Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (surah al-Ankabut ayat 63). Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantah golongan bukan Muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. disuruh mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik. Justeru, soal bukan Muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah. Apakah patut kita kata kepadanya: “Awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan Muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan.” Apakah ini tindakan betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah.” Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha Suci Allah dari dakwaan awak.”

Keamanan

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah menyebut: (maksudnya)... Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40). Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian, Allah menyebut: (maksudnya) Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti).” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. (Surah al-Maidah ayat 73). Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa di kalangan ulama Muslimin sejak dahulu yang membantah. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini. Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia akan begitu defensive, tidak memiliki antibodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan. Sehingga Allah menyebut (maksudnya): Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: Nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata: “Jika sebutan nama Tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka sekian lama memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk nabi, Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraisy dahulu. Quraisy pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: Labbaikallahhumma yang bermaksud: Menyahut seruan-Mu ya Allah! Al- Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraisy Mekah, seperti berikut: “Sesungguhnya Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraisy ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: Barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan nama-Mu Ya Allah!).” Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah generasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirik agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik. Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi pada masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang- orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu. Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3). Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiah, uluhiah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan Muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zat-Nya, ibadah kepada-Nya dan sifat-sifat-Nya.

Mudah

Persoalan tauhid antisyirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w. telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang Badwi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan. Bukan sahaja Badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi tambah serabut. Bertahun-tahun masih kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta... lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan Tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut? Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid antisyirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah... Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘ iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah generasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut Tuhan bapa, Tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang antisyirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama Nabi Ibrahim, Ishak, Ya‘kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar di KAFA, JQAF dan pelbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, ini adalah isu kelemahan umat Islam memahami akidah yang sebenar. Generasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan. Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bila kita mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, pelbagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan. Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Ulasan : Saya bersetuju dengan sebahagian besar isi kandungan artikel Dr Asri. Namun usaha pencegahan melalui undang-undang ataupun sadd al-zarai' perlu juga dibuat. Ini kerana hakikatnya kini, aqidah umat Islam di negara kita khasnya dan di seluruh dunia amnya semakin menipis dan terhakis. Pada waktu yang sama, pihak pemerintah perlu mengurangkan hiburan yang langsung tidak bermanfaat di media arus perdana. Walaupun ada program agama di TV dan gerakan dakwah dari pelbagai NGO diusahakan, tetapi ia seakan tidak bermakna kerana di waktu tangan kanan membina, ada pula tangan kiri yang meruntuh !


Kilang tilam Maghribi terbakar, 55 maut


CASABLANCA, Maghribi 27 April – Kebakaran di sebuah kilang tilam di bahagian termiskin di bandar raya ini awal pagi semalam menyebabkan 55 pekerja terbunuh dan sekurang-kurangnya 24 cedera.

Seorang ketua penyelamat berkata, pasukan bomba tiba di tempat kejadian lewat beberapa jam dan pintu terkunci sehingga menyukarkan kerja-kerja memadam api dan menyelamat.

Kebakaran terjadi di bangunan kilang empat tingkat di kawasan perindustrian di pinggir Casablanca yang merupakan pusat ekonomi negara ini.

Menurut pasukan bomba, 54 orang mati dan 24 cedera dalam kebakaran itu tetapi agensi berita dan pihak berkuasa negara ini menyatakan 55 orang terbunuh.

Ketua Operasi Penyelamat Bulan Sabit Merah, Jawad el-Mejdoubi berkata, pasukan bomba tiba selepas dua jam kebakaran bermula sementara pasukan penyelamat lain tiba selepas empat jam.

Beliau berkata, mereka mendapati pintu kecemasan kilang itu disekat sementara tingkap di pasang dengan jeriji besi dan bomba mengambil masa lebih lapan jam untuk memadam kebakaran.

“Saya fikir kami tidak menyedari sebesar mana kebakaran ini.

“Mayat-mayat rentung dan tidak dapat dikenal pasti. Ini kebakaran paling teruk setakat ini,” kata Jawad di wad kecemasan Hospital Ibn Rochd.

Menteri Dalam Negeri, Chakib Benmoussa yang berada di tempat kejadian berkata, para penyiasat sedang mengenal pasti punca kebakaran, suasana bekerja dan langkah keselamatan di kilang tersebut.

Pihak berkuasa tempatan menyalahkan bahan kimia di dalam bangunan itu yang menyebabkan api marak dengan cepat dari tingkat bawah hingga tingkat paling atas.

Menurut bomba, kebanyakan mangsa terperangkap di tangga berputar.

Ahli keluarga mangsa dan seorang mangsa yang terselamat berkata, pintu kilang itu ditutup sehingga menghalang mangsa menyelamatkan diri.

Anjing-anjing polis dan peralatan seismos digunakan mengesan mangsa yang terperangkap di bawah bangunan kilang yang separuh runtuh, tetapi usaha tidak berjaya berikutan bahang dan asap tebal.

Chakib berkata, bahan kimia mudah terbakar turut menyebabkan usaha menyelamat tertangguh beberapa jam.

Seorang pegawai bomba memberitahu, 54 orang - 21 wanita dan 28 lelaki - terbunuh dalam kejadian dengan lima mayat lagi rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti jantinanya.

Seramai 80 penyelamat menyertai 200 anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran dengan beribu-ribu penduduk tempatan berkumpul di sekeliling bangunan kilang.

Kira-kira 100 orang berada di dalam bangunan kilang itu semasa kejadian dengan kebanyakan kematian berlaku di tingkat tiga yang merupakan tempat pekerja wanita melakukan kerja menjahit.

Ulasan : Saya masih terkenang kejadian rumah panjang yang terbakar di Skrang(sempada nantara Sri Aman dan Betong) yang pernah saya ceritakan dalam artikel Ziarah Dakwah 2008 tempoh hari. Persoalan dalam kejadian di Maghribi ini, kenapa pintu kecemasan ini disekat. Dan di antara faktor begitu banyak kematian, kerana pasukan bomba lambat sampai. Moga pihak berkenaan lebih efisyen dalam usaha menyelamat mangsa.


Remaja ditahan bantu siasatan kes cabul murid

KUALA TERENGGANU 27 April - Seorang remaja berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes seorang murid perempuan berusia sembilan tahun mendakwa dicabul di dalam semak berhampiran rumahnya di Kampung Gong Pasir Oh, Jabi di Besut, pada malam Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, suspek yang sudah tidak bersekolah itu ditahan di rumahnya di kampung tersebut keesokan harinya.

Menurutnya, tindakan segera itu hasil laporan polis yang dibuat oleh ibu tiri mangsa, seorang warga Thailand di Balai Polis Jerteh kira-kira pukul 9.45 malam pada hari kejadian.

Menurut beliau, dalam laporan itu mangsa mendakwa remaja yang juga jirannya, telah mengajak mangsa ke semak tersebut untuk menghisap rokok kira-kira pukul 7 malam.

''Namun, apabila kedua-duanya selesai menghisap rokok, suspek meraba mangsa sebelum membuka seluarnya lalu menggesel kemaluannya pada badan mangsa,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari.

Mohd. Fauzi memberitahu, takut dengan tindakan jirannya itu, mangsa melarikan diri pulang ke rumahnya lalu memberitahu perkara tersebut kepada ibu tirinya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Ulasan : Bila remaja dan generasi muda hari ini tidak dikenalkan dengan Tuhan dan hanya takut kepada Hantu (meminjam kata-kata SaifulIslam.Com), maka perkara seumpama ini perlu diambil perhatian oleh kita semua. Jika tidak, kita bimbang ia akan menjadi senario biasa di dalam masyarakat, Wal Iya Zu Billahi Min Zalik.

Kembali ke matlamat asal UMNO - Shahrir

JOHOR BAHRU 27 April - Perpecahan akibat perebutan jawatan dalam UMNO boleh dielakkan sekiranya semua pihak dalam parti itu kembali kepada matlamat asal memperjuangkan kepentingan masyarakat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perebutan jawatan hanya akan membawa tanggapan bahawa UMNO merupakan parti politik yang terlalu eksklusif sehingga merenggangkan hubungan dengan masyarakat.

"Kalau kita tidak terlalu eksklusif sebagai parti politik dan tidak melihat kepada jawatan dalam parti tetapi melihat kembali kedudukan asal dan tujuan asal kita sebagai parti politik yang membela kepentingan orang ramai, ini akan mengekalkan sokongan rakyat kepada UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia Malaysia (YMM) daerah Johor Bahru di sini hari ini.

Menurut Shahrir, Barisan Nasional (BN) perlu menggerakkan rancangan pembangunan kerana BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk memelihara kesejahteraan rakyat.

"Ini masa untuk kita bekerja. Kita mempunyai tanggungjawab sebagai kerajaan yang baru mendapat mandat daripada pengundi, kita patut melaksanakan apa yang dijanjikan pada pilihan raya lepas," tegasnya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO pada Disember ini, Shahrir berkata, beliau masih belum lagi memikirkan mengenainya.

Katanya, beliau berpendapat perkara tersebut tidak perlu terlalu diutamakan memandangkan tanggungjawabnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu didahulukan.

Mengenai cadangan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri dipertandingkan di kalangan ketua-ketua bahagian, Shahrir berkata, hak bersuara dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut adalah lebih penting daripada jawatan itu.

Ulasan : UMNO hanya akan betul jika ikhlas meletakkan Islam dan menghayatinya dalam seluruh gerak kerja mereka. Perjuangan memartabatkan bangsa penting, namun mendaulatkan agama lebih penting !

Hamid Karzai terselamat cubaan bunuh

KABUL 27 April – Presiden Afghanistan, Hamid Karzai (gambar) terselamat dalam serangan pihak militan sewaktu perbarisan tentera yang menyaksikan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lebih 11 yang lain cedera, hari ini.

Pergerakan Taliban mengaku melancarkan serangan tersebut tetapi menafikan ia percubaan untuk membunuh Hamid.

Taliban mendakwa tiga anggotanya terbunuh tetapi laporan itu tidak dapat disahkan oleh pegawai keselamatan.

Menurut saksi, beberapa das tembakan yang dipercayai oleh penembak tepat, ditujukan ke arah pentas yang menempatkan Presiden dan pegawai tinggi kerajaan.

Para pegawai berkata, Hamid dan anggota Kabinet, para duta, komander-komander tentera Amerika Syarikat (AS) meniarap di atas lantai atau dibawa keluar tanpa mengalami kecederaan.

Seorang pemberita yang berada di tempat kejadian memberitahu, para pengawal Presiden telah memberi perlindungan kepada Hamid sambil menjerit ke arah orang ramai: “Jangan lari, awak akan ditembak.”

Hamid kemudiannya dikeluarkan dari tempat kejadian dengan sebuah kereta sementara kejadian tembak menembak berterusan selama 15 minit.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Jeneral Mohammad Zahir Azimi berkata, seorang ketua suku puak terbunuh dan 11 cedera dalam kejadian itu.

“Dua atau tiga Ahli Parlimen cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Hamid muncul di televisyen tidak lama selepas itu dalam keadaan selamat bagi memberi jaminan kepada rakyat dan menyatakan beberapa penyerang telah ditangkap.

Dalam kenyataan e-mel kemudiannya, Presiden Afghanistan itu menyatakan, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa menyiasat serangan itu.

Serangan itu dilancarkan ketika Hamid naik di atas pentas selepas membuat pemeriksaan tabik hormat tentera dan tembakan 21 das meriam.

Majlis merupakan perarakan tahunan tentera yang ke-16 bagi meraikan kejatuhan pendudukan Kesatuan Soviet.

Ulasan : Paparan yang ditunjukkan oleh TV3 malam tadi memang menggemparkan. Hampir-hampir ada yang terbunuh. Namun ia juga mungkin peringatan buat Hamid Karzai agar tidak terus mengikut telunjuk Amerika.

Jumaat, 25 April 2008

Kerjasama jamin bekalan makanan


PUTRAJAYA 24 April – Malaysia dan Thailand bersetuju menerokai peluang-peluang baru dalam perdagangan dan pelaburan selain bekerjasama memastikan penerusan bekalan makanan di rantau ini.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat delegasi di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatnya, Samak Sundaravej selama sejam di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata selama 45 minit.

Pada sidang akhbar bersama di sini, Abdullah berkata, Kuala Lumpur turut prihatin dengan isu-isu sempadan yang ditimbulkan oleh Samak serta memberi jaminan akan cuba mengatasi halangan yang wujud bagi menangani isu-isu itu.

“Kita bersetuju untuk meneruskan kerjasama bagi berkongsi kekayaan dalam program pembangunan kedua-dua negara. Saya juga gembira dengan kerjasama berkaitan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“(Pada masa sama) kita juga akan terus mengadakan mesyuarat tahunan khususnya mesyuarat suruhanjaya bersama (JMC). Ia merupakan mekanisme penting untuk pertukaran pendapat terutama menerusi rundingan yang dibuat dengan Perdana Menteri (Thailand) sebelum beliau,” kata Abdullah.

Sementara itu, Samak yang melawat Malaysia selama dua hari mulai semalam berkata, beliau dan Abdullah berpuas hati dengan jalinan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Pada 2007, nilai perdagangan kedua-dua negara meningkat 10 peratus berbanding hanya AS$16 bilion pada 2006, manakala nilai pelaburan pula bertambah sebanyak 15 peratus,” katanya.

Dalam hubungan ini, kata beliau, menteri perdagangan Thailand akan berhubung dengan rakan sejawatnya di Malaysia untuk menetapkan tarikh JMC kedua bagi mengukuhkan kerjasama perdagangan serta jaminan bekalan makanan di Asia Tenggara.

Thailand merupakan pengeluar beras terbesar dunia dan sebahagian besar beras import Malaysia dibawa masuk dari negara itu.

“Berhubung isu keamanan di selatan Thailand, saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas persefahaman dan sokongan padu yang kami terima.

“Berdasarkan rangka kerja Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kerajaan Thai amat komited untuk melihat keamanan dan pelaksanaan pendekatan yang diambil dalam menyelesaikan konflik itu,” katanya.

Tegas Samak: “Dalam konteks ini, saya dan Abdullah juga membincangkan soal pembangunan sosioekonomi untuk memperbaiki taraf hidup penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita beri jaminan akan meneruskan kerjasama erat dalam soal keselamatan dan perisikan berdasarkan tiga konsep iaitu pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.

“Mengenai pendidikan, memorandum persefahaman (MoU) mengenainya akan ditandatangani.''

Samak berkata, kumpulan kerja yang dibentuk di antara kedua-dua pihak berhubung usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di selatan negara itu akan mengadakan pertemuan Mei ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kumpulan kerja ini kerana menyalurkan biasiswa dan latihan untuk guru di kawasan tersebut. Kerjasama ini diteruskan dan akan dilakukan secara intensif,” katanya.

Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ini menempatkan pelajar dari wilayah selatan Thailand di sekolah-sekolah agama di negara ini, manakala guru mereka pula dilatih di institusi-institusi pendidikan di sini.



.Ulasan : Diharapkan Malaysia dan Thailand dapat terus bekerjasama dalam menangani krisis makanan dunia yang semakin memuncak

Kanak-kanak tempatnya di syurga


SOALAN: SAYA sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu. Baru-baru ini kami dikurniakan anak tetapi malangnya ia meninggal sejurus dilahirkan.

Hati saya dan suami sangat sedih sehinggakan ada kalanya kami seolah-olah mempertikaikan takdir yang menimpa. Bagaimanakah kami mahu meredakan peristiwa ini?

JAWAPAN

Allah SWT berjanji bahawa manusia pasti diuji. Firman-Nya yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155).

Sementara itu dalam surah al-Mulk ayat 2, Allah SWT menjelaskan: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Apa yang menimpa puan pernah menimpa Baginda Rasulullah SAW. Baginda dikurniakan tujuh orang anak, enam hasil perkahwinan dengan Khadijah. Mereka ialah Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Fatimah, Ummu Kalthum. Seorang lagi bernama Ibrahim hasil perkahwinan Baginda dengan Mariah Qibtiyah.

Anak-anak lelaki Rasulullah SAW meninggal sewaktu kecil lagi, manakala tiga anak perempuan meninggal dunia selepas berkahwin dan semasa Nabi SAW masih hidup. Hanya Fatimah yang hidup lebih lama daripada bapanya.

Kesemua anak lelaki Baginda meninggal ketika usia mereka masih kecil. Qasim dikatakan meninggal ketika umurnya tujuh tahun, begitu juga Abdullah. Ibrahim pula meninggal ketika berusia 16 bulan. Baginda yang menjadi kekasih Allah SWT telah diuji dengan pemergian anak-anak Baginda.

Kanak-kanak yang meninggal di awal usia ditempatkan di dalam syurga. Oleh itu sabarlah, dan berserahlah kepada Allah SWT terhadap takdirnya. Yang pastinya darah daging puan sudah ada di dalam syurga. Di sana mereka akan dijaga dan disusukan oleh ibu susuan. Mereka tiada di hadapan kita tetapi mereka melalui kehidupan di alam lain dengan penuh nikmat.

Beriman kepada qada dan qadar bererti mempercayai bahawa Allah SWT adalah zat yang Maha Kuasa di seluruh alam ini untuk menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di alam ini dengan kebijaksanaan dan kehendak-Nya sendiri tanpa diganggui sesuatu kuasa asing. Dengan erti kata yang lain, sesuatu perkara yang telah berlaku atau yang sedang berlaku atau yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah qada dan qadar (takdir) Allah SWT untuk menentukan dan menetapkan kedudukan sesuatu perkara tadi.

Maka, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berjalan dengan ilmu dan iradat Allah SWT yang direncanakan-Nya sejak mula lagi mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT ke atas alam ini, termasuklah ketentuan yang ditakdirkan ke atas manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang daripada yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu. (al-Ra’d: 8)

Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan bahawa segala sesuatu yang berlaku sudah ditentukan kadarnya. Hal ini diperkukuhkan lagi dalam surah Yunus ayat 107.

Oleh itu apabila seseorang itu ditimpa bencana, tidak ada yang boleh menyelamatkannya selain daripada Allah SWT. Begitu juga apabila Allah SWT menghendaki seseorang itu memperoleh kebaikan, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang atau menolak kebaikan tersebut. Dalam ayat yang lain, firman Allah bermaksud: Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 284)

Setiap orang yang beriman bahawa Allah SWT jualah yang mentakdirkan seseorang hamba itu sama ada ketentuan berbentuk kebaikan ataupun ketentuan berbentuk sesuatu keburukan adalah di atas kebijaksanaan dan belas kasihan Allah yang bersifat Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani.

Seseorang itu jangan meremeh atau memperkecilkan nikmat Allah kerana angkuh dan besar diri dan jangan pula gelisah di atas bala bencana yang menimpa diri mereka. Malah hendaklah mereka itu bersyukur atas nikmat Allah dan bersabar atas musibah yang menimpa. Ini kerana semua itu sudah tertulis dalam ketentuan Ilahi, dan semua yang berlaku itu adalah baik dan adil bagi Allah SWT.

Dalam hadis yang sahih daripada Abi Yahya Syuhaib bin Sinan r.a yang bermaksud: Sungguh menghairankan mengenai perkara orang mukmin bahawa semua perkara baginya adalah baik. Dan yang demikian tidak ada kebajikan pada setiap perkara seseorang itu, kecuali orang mukmin yang sempurna imanya. Jika ia beroleh kesenangan, ia bersyukur adalah kebajikan baginya, dan jika ia beroleh kesusahan, ia bersabar adalah kebajikan baginya. (riwayat Muslim, no:2999 ).


2 pemuda culik, rogol pelajar dipenjara, sebat

KOTA KINABALU 24 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua pemuda, masing-masing 28 dan 29 tahun tiga bulan selepas mengaku bersalah melakukan jenayah kekerasan termasuk menculik dan merogol seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Rompon, Tambunan, pada 15 April lalu.

Pada perbicaraan di dua mahkamah berasingan itu, kedua-dua mereka iaitu Mohd. Ariffin Bidin, 29, dari Kampung Tarap, Bongawan dan rakannya, Mohd. Sahrizal Suhaili, 21, dari Kampung Pirasan, Kota Belud turut dikenakan sebatan masing-masing 25 dan 20 kali.

Di Mahkamah Sesyen, Mohd. Ariffin didakwa bersama Mohd. Sahrizal menyebabkan cedera parah terhadap mangsa yang berusia 21 tahun antara pukul 6.50 petang, 15 April dan pukul 5 pagi, 16 April lalu di bulatan King Fisher, Jalan Bangka-Bangka, di sini.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama itu, dia dikenakan penjara lima tahun penjara dan sebatan lima kali.

Bagi pertuduhan kedua, dia bersama Mohd. Sahrizal dituduh di bawah Seksyen 365 KK iaitu menculik dan dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM1,000 atau penjara lima bulan.

Pertuduhan ketiga pula Mohd. Ariffin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(2) KK iaitu merogol mangsa dan dikenakan hukuman penjara 23 tahun dan sebatan 10 kali.

Bagi kesalahan keempat, dia sekali lagi didakwa merogol mangsa antara pukul 2 pagi dan 4 pagi, 16 April lalu, di suatu tempat di Jalan Lama dari Kota Kinabalu ke Tambunan dan dikenakan hukuman penjara 23 tahun dan sebatan 10 kali.

Hakim Duncan Sikodol pada perbicaraan itu memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap Mohd. Ariffin dan Mohd. Sahrizal berjalan serentak selepas menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret.

Sementara, Mohd. Sahrizal turut didakwa melakukan empat kesalahan di mahkamah yang sama iaitu bersama Mohd. Ariffin menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa dan menculik. Bagi dua kesalahan itu, dia dipenjara 10 tahun dan sebatan lima kali serta denda RM1,000.

Bagi kesalahan lain, dia yang didakwa merogol mangsa di tempat yang sama dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali.

Mohd. Sahrizal turut didakwa melakukan kesalahan keempat iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa. Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 377C KK itu, dia dipenjara 15 tahun penjara dan sebatan lima kali.

Mohd. Sharizal, yang tidak bekerja dan Mohd. Ariffin yang merupakan mekanik sambilan dan penjual ikan di Pasar Bongawan kelihatan terkejut apabila hukuman tersebut dibacakan.

Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam semasa ditanya Duncan mengapa sanggup melakukan jenayah seperti itu memberitahu mereka dipengaruhi oleh minuman keras dan syabu.

''Adakah arak dan syabu mempengaruhi kamu berbuat begini? Mengapa pula arak dan syabu tidak suruh kamu terjun sahaja dari bangunan,'' kata Duncan selepas mereka mengakui gagal mengawal hawa nafsu kerana pengaruh minuman keras dan dadah.

Terdahulu pada sebelah pagi, kedua-dua mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas tiga kesalahan iaitu mencuri tiga buah kereta Perodua Kancil di tiga tempat berasingan.

Mohd. Sahrizal dan Mohd, Ariffin didakwa melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 379A KK iaitu mencuri dua buah kereta di Jalan Sepanggar dan di Kota Kinabalu.

Bagi kesalahan dua kesalahan ini, Majistret Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lima tahun dan denda RM10,000.

Sementara Mohd. Ariffin didakwa melakukan kesalahan ketiga iaitu mencuri sebuah lagi kereta Perodua Kancil di Inanam dan dikenakan hukuman penjara 15 bulan serta denda RM5,000 dan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suhaimi Ibrahim dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Sabah, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Ulasan : Ternyata apabila nafsu menguasai diri, inilah akibatnya. Moga mereka beroleh keinsafan di sebalik tembok besi kelak.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude