KOTA BHARU 29 April — Golongan ’mat rempit’ di Kelantan akan dapat membuktikan kehebatan mereka menunggang motosikal di litar khas yang akan dibina oleh kerajaan negeri tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya pembinaan litar di Tanah Merah itu bukan satu pembaziran kerana ia memberi ruang kepada pihak berkuasa menangani gejala lumba haram dalam kalangan golongan muda di negeri itu.
"Mat rempit ini sering buat ibu-ibu risau. Bila berlaku perkara yang tidak diingini, kasihan kita lihat ibu-ibu mereka, isteri atau anak-anak mereka menangis.
"Kita buat litar ini untuk beri tempat yang sesuai untuk mat-mat rempit ini meluahkan perasaan dan menunjukkan keberanian dan keperwiraan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan tambahan bajet 2008 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Nik Aziz berkata litar itu dibuat berdasarkan syor polis yang meminta kerajaan negeri membina litar motosikal khusus untuk kegunaan mat-mat rempit bagi mengelak mereka menggunakan jalan raya sebagai litar lumba.
“Kita mahu kalau anak-anak muda ini nak tunjukkan keberanian, biarlah bertempat. Dalam masa yang sama, kita selitkan nasihat dan doa ketika naik kenderaan,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri akan meneliti cadangan ketua pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) supaya diadakan zon khas untuk kawasan pertanian bagi meningkatkan hasil terutama bekalan beras.
Katanya kerajaan negeri juga bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed selain menjalin kerjasama erat dengan kerajaan pusat dalam usaha meningkatkan hasil pertanian di Kelantan.
Usul tambahan bajet 2008 itu diluluskan setelah mendapat persetujuan sebulat suara.
Persidangan dewan disambung esok.
— BERNAMA
Ulasan : Perkara ini pastinya ada pro dan kontra. Tetapi kita tunggu dan lihat. Moga perancangan Kerajaan Kelantan ini akan mampu menangani masalah mat rempit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan