Jumaat, 25 April 2008

Kerjasama jamin bekalan makanan


PUTRAJAYA 24 April – Malaysia dan Thailand bersetuju menerokai peluang-peluang baru dalam perdagangan dan pelaburan selain bekerjasama memastikan penerusan bekalan makanan di rantau ini.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat delegasi di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatnya, Samak Sundaravej selama sejam di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata selama 45 minit.

Pada sidang akhbar bersama di sini, Abdullah berkata, Kuala Lumpur turut prihatin dengan isu-isu sempadan yang ditimbulkan oleh Samak serta memberi jaminan akan cuba mengatasi halangan yang wujud bagi menangani isu-isu itu.

“Kita bersetuju untuk meneruskan kerjasama bagi berkongsi kekayaan dalam program pembangunan kedua-dua negara. Saya juga gembira dengan kerjasama berkaitan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“(Pada masa sama) kita juga akan terus mengadakan mesyuarat tahunan khususnya mesyuarat suruhanjaya bersama (JMC). Ia merupakan mekanisme penting untuk pertukaran pendapat terutama menerusi rundingan yang dibuat dengan Perdana Menteri (Thailand) sebelum beliau,” kata Abdullah.

Sementara itu, Samak yang melawat Malaysia selama dua hari mulai semalam berkata, beliau dan Abdullah berpuas hati dengan jalinan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Pada 2007, nilai perdagangan kedua-dua negara meningkat 10 peratus berbanding hanya AS$16 bilion pada 2006, manakala nilai pelaburan pula bertambah sebanyak 15 peratus,” katanya.

Dalam hubungan ini, kata beliau, menteri perdagangan Thailand akan berhubung dengan rakan sejawatnya di Malaysia untuk menetapkan tarikh JMC kedua bagi mengukuhkan kerjasama perdagangan serta jaminan bekalan makanan di Asia Tenggara.

Thailand merupakan pengeluar beras terbesar dunia dan sebahagian besar beras import Malaysia dibawa masuk dari negara itu.

“Berhubung isu keamanan di selatan Thailand, saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas persefahaman dan sokongan padu yang kami terima.

“Berdasarkan rangka kerja Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kerajaan Thai amat komited untuk melihat keamanan dan pelaksanaan pendekatan yang diambil dalam menyelesaikan konflik itu,” katanya.

Tegas Samak: “Dalam konteks ini, saya dan Abdullah juga membincangkan soal pembangunan sosioekonomi untuk memperbaiki taraf hidup penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita beri jaminan akan meneruskan kerjasama erat dalam soal keselamatan dan perisikan berdasarkan tiga konsep iaitu pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.

“Mengenai pendidikan, memorandum persefahaman (MoU) mengenainya akan ditandatangani.''

Samak berkata, kumpulan kerja yang dibentuk di antara kedua-dua pihak berhubung usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di selatan negara itu akan mengadakan pertemuan Mei ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kumpulan kerja ini kerana menyalurkan biasiswa dan latihan untuk guru di kawasan tersebut. Kerjasama ini diteruskan dan akan dilakukan secara intensif,” katanya.

Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ini menempatkan pelajar dari wilayah selatan Thailand di sekolah-sekolah agama di negara ini, manakala guru mereka pula dilatih di institusi-institusi pendidikan di sini.



.Ulasan : Diharapkan Malaysia dan Thailand dapat terus bekerjasama dalam menangani krisis makanan dunia yang semakin memuncak

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude