KUALA LUMPUR 28 April – Kerajaan akan menambah subsidi beras tempatan sekiranya harga bahan makanan itu terus meningkat di pasaran dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Langkah itu, katanya, diambil bagi memastikan harga beras kekal stabil dan tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Menurut Shahrir, strategi subsidi itu dapat mengelak kegiatan menyorok beras oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan daripada kenaikan harga beras import dengan mengurangkan bekalannya di pasaran.
“Ada tekanan untuk harga beras dinaikkan. Untuk mengelakkan beras tempatan disorok dan dijual di pasaran gelap, kerajaan perlu beri subsidi bagi menentukan harga beras kekal pada paras kawalan.
“Kalau kita tidak tambah subsidi, kita terpaksa naikkan harga kawalan beras tempatan dan ini mungkin menyebabkan ia tidak dapat dibeli oleh golongan berpendapatan rendah. Untuk mengelakkan gejala ini berlaku, kita kena tambah subsidi,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Shahrir berkata, kerajaan memang telah memberikan subsidi kepada petani dalam bentuk baja dan bahan bakar untuk membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran padi.
Pada masa sama, menurut beliau, kerajaan juga memberi subsidi kepada pengeluar beras hancur 15 peratus ke atas bagi mengawal harganya di sekitar RM1.65 dan RM1.75 sekilogram memandangkan beras jenis itu banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.
Harga beras dunia naik mendadak tahun ini berikutan peningkatan permintaan terhadap makanan ruji itu selepas pengeluarannya merosot akibat kemarau.
Beberapa negara pengeluar beras termasuk Vietnam dan Kemboja kini mengawal eksport bahan makanan itu untuk menjamin bekalan beras domestik.
Malaysia menghasilkan 65 hingga 70 peratus beras untuk keperluan tempatan, manakala selebihnya diimport terutama dari Thailand.
Dengan kenaikan mendadak harga beras Siam sejak kebelakangan ini, kerajaan menjangkakan rakyat akan bertukar menggunakan beras tempatan kerana harganya yang rendah.
Pada 19 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM4 bilion untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi.
Shahrir memberitahu, langkah menambah subsidi beras akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM4 bilion tersebut.
Ulasan : Jumlah pengeluaran beras negara hanyalah 70 %. 30 % lagi diimport dan di antara pengimport utama adalah Thailand. Dalam hal ini, pemerintah wajib membantu dari segala sudut demi memastikan rakyat tidak lapar, termasuk antaranya kempen elakkan pembaziran makanan, yang kini berleluasa di negara kita dek leka dengan kesenangan yang ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan