
1) Nabi SAW pernah bersabda " Bantu saudara kamu yang dizalimi dan yang menzalimi". Sahabat bertanya bagaimana membantu si zalim? Nabi menyatakan " Dengan mencegah dia dari melakukan kezaliman itu".
2) Secara umum, hadith ini menganjurkan kita untuk membantu orang yang dizalimi dan ditindas. Para sahabat mengerti bagaimana caranya. Namun yang menjadi kemusykilan, bagaimana membantu mereka yang menzalimi yang dinyatakan Nabi SAW.
3) Lalu Nabi SAW memberikan jalan penyelesaian untuk menghentikan suatu kezaliman-dengan cara mencegah si zalim itu dari berterusan melakukan kezaliman.
4) Para ulama berpandangan mencegah itu boleh datang dalam bentuk teguran, nasihat atau doa, agar si zalim celik matanya, tersentak mindanya dan terbuka pintu hatinya agar sedar dan insaf, bahawa dia telah melakukan kezaliman.
5) Namun begitu, jika telah melebihi had, sehingga umat Islam dibunuh sewenang-wenangnya seperti yang berlaku di Palestin oleh tentera Israel, maka di waktu itu, wajib mempertahankan diri dan dibolehkan untuk menyerang balas.
6. Dalam konteks organisasi, atau sesebuah kerajaan, tidak kira ketua/pemimpin mahupun orang bawahan elakkan berlaku zalim kepada orang lain. Ini kerana Allah mengharamkan kezaliman berlaku sesama manusia, begitu juga makhluk Allah yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.
7. Ingatlah, bahawasanya mereka yang menzalimi orang lain, sebenarnya menzalimi dirinya sendiri. Jika dia tidak disedarkan, celakalah nasibnya di akhirat nanti, kerana orang yang dizalimi akan menuntut di hadapan Allah kepada si zalim.
8) Moga kita beroleh kewaspadaan tentang perlunya menghindari kezaliman, agar kita tidak mudah mempunyai kecenderungan untuk gembira melihat orang lain derita atau teraniaya akibat kezaliman yang kita lakukan!
1 Oktober 2010, 22 Syawal 1431 Hijrah,
8.10 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan