Rabu, 6 Januari 2010
Hujjah Menolak Penggunaan Kalimah Allah Oleh Kristian
Mohd Aizam bin Mas’od
Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan
Abstrak
Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini
seharusnya ditangani dengan bijak. Perbincangan ilmiah dengan memahami
maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua
pihak. Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu
sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar
tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam
mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.
Pendahuluan
Pada 31 Disember 2007, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah 'Allah'. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal. Pada 3 Januari 2008, cabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006. Pada 19 Mac 2008, Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly. Oleh itu, artikel ini digarap dalam rangka menyediakan hujah menolak penggunaan kalimah ’Allah’ oleh penganut Kristian.
Alasan Gereja Katolik Menggunakan Kalimah ‘Allah’
Dalam akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007, terdapat laporan bertajuk ‘Church leaders explain use of 'Allah'. Terdapat lima alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam akhbar terbitan mereka. Alasan yang dikemukakan ialah seperti berikut:
a) Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.
b) Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
c) Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
d) Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
e) Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-hujah Menolak Alasan Pihak Gereja Katolik
Alasan pertama: Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.
Hujah-hujah Menolak:
a) Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas berasal daripada bahasa Arab. Kalimah ini tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nama-nama lain daripadanya. Kalimah ‘Allah’ adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya. Dari segi struktur linguistik, kalimah ‘Allah’ lebih superior daripada apa jua perkataan daripada apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah . Oleh kerana itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan ‘Allah’ kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu ‘Allah’.
b) Di peringkat antarabangsa, penggunaan kalimah ‘Allah’ dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama dan umat Islam. Ia diiktiraf oleh kamus serta eksiklopedia terkemuka di dunia. Antaranya:
i. Kamus Oxford - Allah : Name of God among Muslims.
ii. Ensiklopedia Britannica - Allah : “God”, the one and only God in the religion of Islam.
iii. Ensiklopedia Katolik - Let it be noted that although Allah is an Arabic term, it is used by all Moslems, whatever be their language, as the name of God.
c) Dalam konteks Malaysia kalimah ‘Allah’ tidak diterjemahkan kepada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan. Oleh itu kalimah ‘Allah’ di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam teks al-Quran tanpa pengubahsuaian pada lafaz (terjemahan) mahupun maksud kalimah tersebut.
Ini terbukti sebagaimana definisi ‘Allah’ yang kemukakan oleh Kamus Dewan Edisi Empat:
Allah : Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~ azzawajalla Tuhan Yg Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala terpujilah Tuhan yg Maha Tinggi.
Kamus Pelajar pula mendefinisikan kalimah ‘Allah’ seperti berikut:
Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan sifat-sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini.
Oleh itu kalimah ‘Allah’ tidak boleh dianggap sebagai terjemahan tuhan dalam bahasa Melayu atau ‘god’ dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.
d) Perbuatan pihak Gereja Katolik menterjemahkan perkataan ‘god’ kepada ‘Allah’ juga tidak menepati istilah yang digunapakai oleh masyarakat di negara ini. Perkataan ‘god’ menurut Kamus Dewan Inggeris-Melayu ialah:
n 1. male deity, dewa, tuhan; (archaic) betara: the Greek ~s, dewa dewa Yunani; 2. idol, berhala, patung; 3. so., st. deified, tuhan: money has become his ~, wang telah menjadi tuhan baginya; make a ~ of /so.,st/, bertuhankan /sso, sst/; 4. G~, Tuhan; (in Islam) Allah.
Takrifan ini dibuat oleh Kamus Dewan berdasarkan budaya yang menjadi amalan masyarakat di negara ini. Ini bermakna ‘god’ bagi selain Islam diterjemahkan sebagai dewa dan tuhan. Manakala ‘God’ (huruf ‘g’ besar) ia digunakan sebagai kata ganti nama yang merujuk kepada ‘Allah’ dan bukan terjemahan bagi kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Inggeris (seperti pada takrif no. 4 di atas). Ia seperti juga umat Islam menggunakan huruf besar untuk setiap huruf pertama bagi kata-kata ganti nama yang lain apabila merujuk kepada ‘Allah’ seperti Aku, Kami, Dia dan Engkau.
e) Bible bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan kalimah ‘Allah’ juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti penterjemahan dan perundangan Malaysia. Maksud kredibiliti perterjemahan iaitu sehingga kini tidak diketahui pihak berautoriti yang terlibat dalam penterjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu (misalnya adakah Dewan Bahasa dan Pustaka dirujuk dalam hal ini?). Tambahan pula, faktor perundangan menegah penggunaan kalimah-kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam. Oleh itu alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.
Alasan kedua: mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
Hujah-hujah Menolak
a) Alasan ini adalah bertitik tolak daripada sejarah kedatangan mubaligh Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara. Sejarah telah mencatatkan antara misi utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah untuk mengaut hasil bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini. Antara usaha-usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah menterjemahkan Bible ke dalam bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan upacara keagamaan dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.
Sebagai contoh, terjemahan Bible oleh Dr. Mekhior Leidekler dalam tahun 1733, telah diterima sebagai satu hasil terjemahan yang standard dan digunakan dengan meluas pada abad ke-18 dan ke-19 di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia. Kegiatan menterjemah Bible ini telah terus meningkat dengan munculnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu selepas menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Melaka pada tahun 1795.
Stamford Raffles ialah seorang tokoh penjajah Inggeris yang terlibat secara langsung dalam kegiatan mengembangkan agama Kristian menerusi kegiatan menyebar terjemahan kitab Bible.
Dalam tahun 1852 versi terjemahan dalam tuliasan rumi dan jawi diterbit dan disebarkan dengan meluas di Tanah Melayu. Stamford Raffles juga merupakan seorang penyokong kuat usaha para mubaligh Protestant dari Pertubuhan Mubaligh London yang berhasrat untuk mendirikan pusat percetakan di Melaka, Pulau Pinang, Singapura dan Betawi. Selain mencetak terjemahan Bible, kegiatan percetakan ini juga menerbitkan majalah-majalah Melayu yang mengandungi pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang diselitkan dengan propaganda Kristian dengan bertujuan pengembangan agama di Tanah Melayu. Sekitar tahun 1821 – 1905 pelbagai majalah diterbitkan seperti Buletin Arifin, Cermin Mata, Sahabat dan Warta Melayu.
Kegiatan menyebarkan bahan propaganda Kristian ini kemudiannya telah disertai oleh para paderi Protestant dari Amerika Syarikat yang mewakili Lembaga Pesuruhjaya-pesuruhjaya Amerika di Luar Negeri (The America Board of Commisioners of Foreign Missions).
Kesemua fakta ini menunjukkan ada alasan yang nyata untuk kerajaan tidak membenarkan pihak Kristian pada hari ini menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam Bible bahasa Melayu. Ini kerana terjemahan tersebut tidak melambangkan literature sebenar doktrin agama Kristian sebaliknya bahasa hanya dieksploitasi sebagai perantara untuk menyebarkan dakyah Kristian.
b) Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada ‘god’ juga tertolak. Ini kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di negara tertentu mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza. Dalam kes ini latar belakang bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.
c) Berkenaan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Asia Barat juga tidak boleh dijadikan hujah. Bangsa Arab bukan Islam sememangnya telah lama menggunakan kalimah ‘Allah’ berdasarkan faktor teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud di Asia Barat. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran datang untuk menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah ‘Allah’ yang digunapakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani.
d) Dalam konteks etimologi dan semantik pula, alasan Gereja Katolik untuk merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah tersasar jauh. Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada Kristian Arab dengan Kristian di Malaysia. Apa yang berlaku di negara-negara Arab ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan Bible daripada bahasa Suryani (Syria/Syam) atau Aramik dan bahasa Ibrani (Hebrew) kepada bahasa Arab. Perlu diketahui bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun bahasa yang sama iaitu rumpun Semitik. Oleh itu, Kristian Arab mempunyai hak untuk berhujah bahawa kalimah ‘Allah’ berkemungkinan berasal daripada nama asal tuhan mereka dalam bahasa Aramik atau Ibrani. Tetapi apa pula rasional pihak gereja Kristian untuk menterjemahkan ‘god’ dalam Bible bahasa Inggeris kepada ‘Allah’ dalam Bible bahasa Melayu? Bukankah kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang jauh berbeza dari segi etimologi dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan bahasa-bahasa itu?
Alasan ketiga: Mendakwa ayat-ayat al-Qur’an sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
Hujah-hujah menolak:
a) Antara ayat yang sering dirujuk oleh pihak gereja Katholik ialah surah al-‘Ankabut ayat 61:
Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan memperjalankan matahari dan bulan?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka mengapa mereka terpedaya?.
Begitu juga surah al-Ma’idah ayat 73:
Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Kedua-dua ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi hujah bagi golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia berdasarkan alasan-alasan
berikut:
i. Dalam surah al-‘Ankabut ayat 61, al-Qur’an hanya merakamkan sejauhmana kefahaman masyarakat Arab Jahiliyyah menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia bukan untuk mengiya atau membenarkan penggunaan tersebut. Sebaliknya ia mahu menjelaskan bagaimana kalimah ‘Allah’ sudah dikenal oleh masyarakat Arab sebelum Islam. Daripada informasi ayat-ayat seperti ini, al-Qur’an menjelaskan orang Arab Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai (1) pencipta langit dan bumi; (2) yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; (3) yang menurunkan air dari langit; dan (4) tempat menggantungkan harapan. Konsep ini jelas bertentangan dengan konsep ‘Allah’ yang sebenar iaitu sebagai Zat yang wajib disembah dan tidak dipersekutukan.
ii. Manakala surah al-Ma’idah ayat 73 pula tidak boleh menjadi alasan kepada pihak Kristian untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ini kerana Allah SWT sendiri menafikan golongan yang mengatakan Zat-Nya itu satu oknum daripada tiga oknum (triniti). Malah mereka dianggap kafir. Ini bermakna sebutan ‘Allah’ yang keluar dari lidah
golongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada kalimah ‘Allah’ yang sebenar. Sebagaimana maklum, kalimah ‘Allah’ merujuk kepada zat (esensi) yang dinamakan. Sebagai perumpamaan mudah, perkataan ‘kereta’ adalah merujuk kepada kenderaan bermotor. Oleh itu, tiada makna bagi orang yang menggunakan perkataan ‘kereta’ untuk merujuk kepada alat
menjahit pakaian. Sekiranya ia masih menggunakan perkataan ‘kereta’ tetapi merujuk kepada alat yang salah, ini bermakna penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak bermakna.
b) Menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi hujah bagi umat Islam. Ia melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui ‘Allah’ sebagai nama tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu bahasa.
Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai ‘Allah’ sepertimana yang dibentangkan oleh al-Quran juga hendaklah diterima. Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz ‘Allah’ di dalam al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka berbahasa Ibrani? Jika kalimah ‘Allah’ dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza. Al-Qur’an
mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti. Ini sekaligus member makna konsep ‘Allah’ di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia. Ia berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain.
Alasan keempat: Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
Hujah-hujah Menolak:
a) Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambing kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima. Perlu diketahui bahawa bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah “Malaysia” belum wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk kepada bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat Melayu Islam. Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlambangan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.
b) Memaksakan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kalangan Kristian Katolik yang bertutur dalam bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian. Telah dimaklumi bahawa kalimah ‘Allah’ itu adalah kalimah yang didominasi oleh umat Melayu Islam secara politik dan kebudayaan yang terdiri daripada 60% penduduk Malaysia berbanding hanya 9.1% penganut Kristian pelbagai mazhab. Bukankah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan dalam kalangan penganut Kristian berbahasa Melayu sendiri? Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti ‘Tuhan’ sepatutnya digunakan oleh Gereja Katolik bagi menjamin kepercayaan agama Kristian sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.
Alasan kelima: Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan
di dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a)
Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-hujah menolak:
a) Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) (untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam). Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana mana agama bukan Islam. Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain). Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan kepada perkataan ‘god’ di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negara ini. Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.
Hujah-hujah Tambahan
Sebagai tambahan kepada hujah-hujah tadi, empat persoalan dikemukakan terhadap Gereja Katolik berhubung tuntutan mereka yang memerlukan jawapan bagi umat Islam di Malaysia iaitu:
a) Mengapa Gereja Katolik tidak menggunakan kalimah asal bagi tuhan sebagaimana yang terkandung dalam bahasa asal kitab mereka? Mengapa nama tuhan perlu diterjemah sedangkan nama tuhan adalah satu kata nama khas yang sepatutnya digunapakai tanpa mengira bahasa pertuturan si penganut agama. Bukankah kalimah tuhan dalam Bible berbahasa Ibrani ialah Elohim, El, Eloh atau Elah?
b) Mengapa masih wujud percanggahan antara penganut Kristian tentang gelaran kepada tuhan? Pada Ogos 2007, seorang paderi Roman Katolik di Belanda, Tiny Muskens, telah membuat seruan supaya penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’. Bagaimanapun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Kristian sama ada dalam kalangan Protestan mahupun Katolik. Presiden Liga Katolik Bagi Hak Agama dan Sivil telah membantah saranan tersebut dalam kenyataannya, “Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to “Allah” all he wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It is not a good sign when members of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those of any other religion”. Manakala Pengerusi General Synod of the Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter juga menolak cadangan Muskens supaya penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’, beliau berkata, “I applaud every attempt to encourage dialogue with
Muslims, but I doubt the sense of this maneuver”.
Di samping itu, terdapat artikel berbahasa Arab tulisan Izzat Andrews, seorang penganut Kristian Koptik di Mesir berjudul ‘Allah bukan tuhan agama Kristian dan Yahudi’. Beliau mengatakan bahawa kalimah ‘Allah’ hanya berasal daripada penggunaan orang Jahiliyyah yang merujuk kepada tuhan bulan. Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab Yahudi mahupun Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim. Kenyataan-kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi agama Kristian masih menjadi suatu polemik dalam kalangan agamawan Kristian.
Oleh itu apa hujah Gereja Katolik di Malaysia untuk mempertahankan penggunaan kalimah ‘Allah’ sedangkan ia sendiri belum dimuktamadkan oleh Kristian di peringkat dunia?
c) Sebagaimana hujah yang telah dikemukakan sebelum ini, penjajah Kristian yang datang ke Tanah Melayu mempunyai dua matlamat utama. Antaranya ialah untuk menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini. Laporan Bernama yang dipetik dari majalah The Minaret terbitan Pusat Islam California mengatakan pendakyah Kristian menjadikan Malaysia antara negara sasaran bagi satu gerakan Kristianisasi yang digelar “Window 10/40”. Ini kerana Malaysia salah satu negara yang terletak di antara garis lintang 10 dan 40 di peta dunia. Malah dalam satu laporan, Jabatan Agama Islam Johor bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri telah merampas 250 judul buku mengenai ajaran Kristian dalam bahasa Melayu. Buku-buku tersebut menggunakan judul seperti Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenal Rasul. Sekali pandang kepada tajuk-tajuknya ia seperti taktik untuk cuba menarik minat orang-orang Islam membaca buku-buku ini.
Oleh itu, apa jaminan Gereja Katolik untuk mengatakan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya terbatas buat penganut Kristian dan bukan terhadap umat Islam?
d) Adakah Gereja Katolik bersetuju sekiranya dikatakan bahawa fakta-fakta tentang tuhan di dalam Bible itu tidak sejelas dan setepat al-Quran malah bercanggah antara satu sama lain. Sebagai contoh, terdapat ayat di dalam Bible yang merujuk kepada ke-Esaan tuhan seperti di dalam Perjanjian Lama yang menyebut; Ingatlah wahai bangsa Israel! Tuhan satu-satunya ialah Allah kita. Bagaimanapun di tempat yang lain banyak ayat yang menyanggah ke-Esaan tuhan seperti di dalam Perjanjian Baru; Setelah semua orang dibaptis, Jesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit
terbuka, dan Roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar satu suara dari Syurga mengatakan: “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hatiKu.”
Sedangkan fakta-fakta tentang Allah di dalam al-Quran amat konsisten dan tidak pernah berubah-ubah. Surah al-Ikhlas menyebut dengan jelas siapakah ‘Allah’ yang sebenar. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “ Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya”.
Sehubungan itu, al-Quran mengajar umat Islam apabila berlaku pertembungan antara Islam dengan ahli kitab (Yahudi dan Kristian), menjadi tanggungjawab umat Islam menyeru mereka supaya menerima konsep ‘Allah’ sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran tersebut. Allah SWT berfirman berkenaan hal ini di dalam surah Ali Imran ayat 64:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.
Persoalannya adakah Gereja Katolik bersedia untuk mempertimbangkan seruan al-Qur’an untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan merujuk kepada hakikat yang sama iaitu Tuhan Yang Maha Esa tanpa sebarang sekutu bagi-Nya?
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.
Pandangan Tokoh Ulama Luar Negara
Pandangan Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh al-Azhar) dan Ketua Lajnah Dialog Antara Agama al-Azhar, Fadhilat al-Syeikh Abdul Fattah ‘Allam
Beliau berpendapat bahawa tindakan kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat. Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disamaertikan dengan kalimah Rabb yang membawa makna Yang Mewujudkan. Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang tuhan yang mereka sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah. Hal ini sudah tentu amat tidak wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al- Hadith.
Pandangan Penasihat Undang-undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abikan
Beliau berpendapat bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan nama ‘Allah’ melainkan hanya kepada Yang Maha Pencipta (tuhan yang sebenar ). Ia kerana terdapat agama agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala, oleh itu nama ‘Allah’ tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan tuhan-tuhan yang selain-Nya.
Tokoh Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Constitutional Movement)
Kuwait, Syeikh Abdul Hamid al-Ballali
Beliau menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi tuhan mereka. Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah Allah. Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat yang leka. Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebagai sebaik-baik umat.
Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalahguna atau dipesongkan maknanya oleh pihak tertentu. Ianya seperti istilah ‘syahid’ yang juga digunapakai bagi penganut bukan Islam. Istilah ‘riba’ yang ditukarkan kepada ‘faedah bank’. Istilah ‘khamar’ yang ditukarkan kepada ‘minuman rohani’. Istilah ‘liwat’ yang ditukarkan kepada istilah ‘hubungan sesama jenis’. Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang fenomena ini sebagaimana kesedaran yang dipamerkan oleh Kerajaan Malaysia?
Keputusan Kerajaan
Keputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta P.U (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008, memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut sebagaimana yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
Kesimpulan
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada pihak Kristian. Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.
Rujukan
Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim
Al-Thabari, Jami‘ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an
_______(1990), Mengapa Kalimah Allah?, Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM KL.
A.S Hornby(1985), Oxford Advanced Learner’s Dictionary Of Current English,
Oxford University Press, Great Britain.
Neill,S(1956). Colonialism and Christian Missions. London: Lutterworth Press.
Berita Harian, 4 Februari 1997
Utusan Malaysia bertarikh 3 Februari 1997
Al-Kitab, The Bible Society Of Malaysia
http://www.news.com.au/story/0,23599,22254040-13762,00.html.
http://www.coptichistory.org/new_page_197.htm
http://www.britannica.com/eb/article-9005770/Allah.
http://www.newadvent.org/cathen/01316a.htm.
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx.
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx.
http://www.foxnews.com/story/0,2933,293394,00.html.
23 Fail Cawangan Aqidah JAKIM.
6 Januari 2010, 19 Muharram 1431 Hijrah,
9.28 pagi, Malaysia Timur
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tazkirah Ramadhan
- Amalan di bulan Ramadhan
- Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
- Jadilah Abid Rabbani bukan Abid Ramadhani
- Karnival Ibadah Ramadhan
- Kebaikan Berpuasa
- Keistimewaan bulan Ramadhan dan beramal di dalamnya
- Puasa Rohani dan Jasmani
- Ragam Ramadhan
- Ramadhan antara 2 zaman
- Ramadhan bulan penyucian
- Ramadhan elakkan pembaziran
- Salam Kedamaian 27 Ramadhan 1428
- Salam Ramadhan buat semua
- Salamun 'alaika Ramadhan
- Sedekah penyambung ukhuwwah
- Selamat menyambut Ramadhan
- Syawal Lambang Kemenangan Ummah
- Tadarus al-Qur'an penghias Ramadhan
- XPDC mencari Lailatul Qadr
- Zakat pengikat kasih menyebar rahmat
Klip Video Pilihan
- Aksi berani mati Mat Rempit II
- Aksi berani mati Mat Rempit III
- al-Qariah
- Amar Makruf Nahi Munkar
- Anak-anak Palestin yang dizalimi
- Apabila kereta menari
- Gelagat Mat Rempit masa kini
- Hayatilah semangat mereka
- Hukuman sebat tak mampu mencegah jenayah
- Kena bijak elak dari musuh!
- Kenanglah Jasa Ibu !
- Kita pasti mati
- Persitiwa Takbai yang tidak dapat dilupakan!
- Runtuhnya simbol kebanggan US !
- Sejadah pun solat
METODOLOGI IBN QAYYIM AL-JAWZIYYAH DALAM KITAB AL-AMTHAL FI AL-QUR'AN-DISERTASI SARJANAKU
GHULAM DAKWAH (IMAN DAN HARAKAH)
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 1) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 2) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 3) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 4) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 5) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 6) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM AL-DAKWAH (BHGN 7) OLEH HISYAM SOQR
- GHULAM DAKWAH (BHGN 8) OLEH HISYAM SOQR
Site Meter
Koleksi Kertas Kerja Bermanfaat
- Agama Islam ; Satu Kupasan Terhadap Ciri-ciri Perwatakannya
- Faham Agama dan Asas Akhlak
- Himpunan Kertas Kerja Menarik-Koleksi Akhi Ridwan Alias
- KERTAS KERJA I - KOMUNIKASI BERKESAN UNTUK FASILITATOR - OLEH DR.MU'ATI@ZAMRI (UPM)
- KERTAS KERJA II - KEBERKESANAN PENYAMPAIAN ; PENILAIAN DARI SUDUT METOD - OLEH DR.MUA'TI@ZAMRI (UPM)
- KERTAS KERJA KHAS-STRATEGIC MANAGEMENT BY DR DUSIT JAUL (INTAN SENIOR OFFICER)
- Konsep Latihan Dalam Islam : Persediaan Melahirkan Modal Insan Hadhari
- Latihan Dakwah di Sarawak ; Sorotan Masa Depan oleh Dr Azhar Ahmad
- Persediaan Latihan Para Daie : Ke Arah Menjadi Towering Personality oleh Dr Rusli Ahmad
- SIKAP DAN PERANAN UMAT ISLAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA - FINAL PART OLEH SALLEH BUANG (PEGUAM TERKEMUKA)
- SIKAP DAN PERANAN UMAT ISLAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA - PART 2
- Tok Kenali
- Uslub Dakwah Temporari ; Persediaan Alaf Baru
- “SIKAP DAN PERANAN UMAT ISLAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA"-PART 1 OLEH SALLEH BUANG (PEGUAM TERKEMUKA)
Laman Motivasi
Cakna Minda
- Allah bersama penolong agamanya
- Anak Soleh Solehah Impian Baitul Muslim
- Antara 2 Pandangan
- Antara kerakusan penguasa dan mujahadah pembela kebenaran
- Beza Orang Beragama dan Orang Yang Belajar Agama
- Bukan mudah mentarbiyyah generasi muda masa kini
- Intelectual Properties
- Ke Mana Menghilangnya Rakan Muda Masjid?
- Kebangkitan pro mahasiswa sudah bermula
- Keinsafan di sebalik tirai besi
- Konsert Gwen Stefani Yang Tak Bermoral
- Lambakan Program Hiburan Suburkan Hedonisme
- Malangnya Hari Kerana Hati
- Marhaban di Astro Tampilkan Lagu Pop Rock?
- Mari kita berfikir sejenak
- Moga pembunuh Nurin Jazlin dapat ditangkap!
- Panduan Bersandar Bulat kepada Rahmat Allah
- Penjara Tarbiyyah buat Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah
- Roh dan Jasad Umpama Sim Card dan Handset
- Rusuhan di Batu Buruk ; Konspirasi Dan Provokasi?
- Sambutan Kemerdekaan Negara Kosmetik
- Sampan Tua di Tepi Laut
- Tidakkan tercapai kejayaan semanis madu jika tiada usaha sepahit hempedu
Disertasi Ilmiah
- Disertasi Ilmiah 13 - Ustaz 13-Tidak diketahui
- Disertasi Ilmiah 12 - Ustaz 12-Ahmad Sonhadji
- Disertasi Ilmiah 1-Ustaz 1- Mustafa Abdul Rahman
- Disertasi Ilmiah 10 - Ustaz 10 -Dato' Yusoff Zaki
- Disertasi Ilmiah 11- Ustaz 11 - Haji Yusof Rawa
- Disertasi Ilmiah 2-Ustaz 2 - Pak Hamka
- Disertasi Ilmiah 3-Ustaz 3 - Syeikh Abdullah Basmeih
- Disertasi Ilmiah 4-Ustaz 4 - Prof.Dr.T.M Hasbi
- Disertasi Ilmiah 5- Ustaz 5-Al-Allamah Abd Murad
- Disertasi Ilmiah 8- Ustaz 8-Muhammad Said
- Disertasi Ilmiah 9 - Ustaz 9 -Muhammad Sa'id Umar
Top Entries 2
Top Entries I
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Final Part)
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part VI)
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part V)
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part IV)
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part III)
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part II)
- Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part I)
Diskusi Santai
Bacalah dengan mata hati
Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a:
Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya :
1) Benar-benar kenali Allah
2)Benar-benar jaga perintah Allah
3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw
4)Selalu berwudhu'
5)Redha menerima qadha dan qadar Allah
6)Yakin dengan janji Allah
7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk
8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan
9)Rajin dalam beribadah
10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah
11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda
12)Sedar syaitan musuh utama
My Favourites Links
- abg hisommudin(sahabatku)
- Abufadhl
- afyan
- Al-Kurauwi
- al-Sarawaki
- alexander
- amin idris
- Anis Ghani
- anwaruitm
- Azral Izwan
- Baim Bintulu
- BIC
- diya
- Dr Yusof Abbas
- fadzli yusof
- Generasi Dynamic
- Hafiz Bintulu
- Hamidi Zakaria
- Hikmatun
- info alternatif I
- info alternatif II
- Izzudin Bintulu
- janshah
- Kick de fella
- Musaza Nurfi
- Nasir Perak
- nisah haron
- pakdi
- prismantiq
- sikumb@ng
- teman petunjuk
- the rise of islam
- ulama ummah
- usrah rabbani
- Ust Fathi
- Ust Shahrul Zaman
- ust.khairuddin aman razali
- ust.tantawi
- ust.z
- Ustaz Hisyam Ilmuone
- ustaz muda
- zaid akhtar
- Zainulfaqar
- Zamri
- zulpahang
Arkib Blog
- Ogos 2011 (1)
- Julai 2011 (3)
- Februari 2011 (1)
- November 2010 (1)
- Oktober 2010 (6)
- September 2010 (3)
- Ogos 2010 (2)
- Julai 2010 (5)
- Jun 2010 (5)
- Mei 2010 (10)
- April 2010 (11)
- Mac 2010 (10)
- Februari 2010 (10)
- Januari 2010 (14)
- Disember 2009 (13)
- November 2009 (11)
- Oktober 2009 (22)
- September 2009 (14)
- Ogos 2009 (15)
- Julai 2009 (15)
- Jun 2009 (22)
- Mei 2009 (16)
- April 2009 (19)
- Mac 2009 (16)
- Februari 2009 (10)
- Januari 2009 (14)
- November 2008 (2)
- Oktober 2008 (12)
- September 2008 (13)
- Ogos 2008 (14)
- Julai 2008 (19)
- Jun 2008 (29)
- Mei 2008 (70)
- April 2008 (80)
- Mac 2008 (41)
- Februari 2008 (27)
- Januari 2008 (4)
- Disember 2007 (45)
- November 2007 (80)
- Oktober 2007 (43)
- September 2007 (31)
- Ogos 2007 (16)
- Julai 2007 (19)
- Jun 2007 (38)
- Mei 2007 (21)
Histats.com
Mengenai Saya
- iskandar zulkarnain
- Your attitude determine your altitude
Tiada ulasan:
Catat Ulasan