1) Syukur kepada Allah kerana dimurahkan rezeki dalam bulan ini. Mungkin kerana, anak dalam kandungan isteri yang telah mencapai usia 7 bulan, rezeki keluarga kami semakin banyak mutakhir ini.Alhamdulillah.
2) Baru tadi, saya dihadiahkan sebentuk cincin oleh seorang ustaz, merangkap usahawan Muslim yang berjaya. Nak menolak, takut dia terasa, namun saya menganggap ia pemberian ikhlas daripadanya, kerana kesungguhan beliau mahu saya menerima pemberian itu.
3) Saya menganggap cincin itu, sebagai cincin jihad dan cincin perjuangan. Ini kerana, menurut ustaz tersebut, beliau sudah lama ingin menghadiahkan cincin itu kepada saya. Harganya juga bukan murah. Namun, segala nikmat itu, saya berdoa agar terus istiqamah bersama perjuangan mendaulatkan agama Allah.
4) Pagi esok, sekali lagi saya bermusafir ke Miri, terpaksa meninggalkan anak, isteri dan anak dalam kandungannya, selama 2 hari. Moga dalam ketabahannya dan kadang kala menanggung kepenatan dan keperitan mengandungkan anak kedua kami, dimudahkan oleh Allah sewaktu dia hendak bersalin nanti.
5) Sesungguhnya saya teringat, apabila seorang pemuda bertanya kepada Nabi SAW "Apakah suatu perkara yang bila aku bertanya kepadamu, maka selepas ini tidak perlu aku bertanya lagi, Ya Rasulullah?" Dengan kalam yang jami'(ringkas tetapi padat dan bermakna), Rasulullah SAW menjawab "Katakanlah-Aku beriman kepada Allah, dan istiqamahlah di atas landasan itu".
6) Justeru, istiqamah di atas iman yang dianugerahkan Allah memerlukan mujahadah. Adakala kita bersemangat, dan adakala kita tersungkur dek pedaya iblis. Moga di atas segala nikmat yang Engkau kurniakan, samada dari hambaMu atau salah seorang dari hambamu, hakikatnya dariMu jua, tidak melalaikan diri ini, agar terus istiqamah di jalan agama yang mulia. Amin.
17 April 2009
11.37 malam, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan