KUALA LUMPUR 4 Mei - Jenazah pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S. M Nasimuddin S.M Amin yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Los Angeles, California Khamis lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9 Hulu Langat dekat sini hari ini.
Jenazah Nasimuddin dikebumikan pada pukul 4.30 petang bersebelahan pusara ibunya Salbiah Abdul Majid.
Talkin dibacakan kenalan rapat keluarga Allahyarham, Sheikh Afeefudin Al Gaylani dari Iraq.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang diterbangkan dari Los Angeles tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH95 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini pada pukul 12.15 tengah hari.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pada 1.50 petang diiringi kaum keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
Orang ramai berpusu-pusu memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Allahyarham disolatkan dan dibawa ke tanah perkuburan di Hulu Langat kira-kira pukul 3.40 petang.
Lagi berita, gambar di muka 16
Hampir 7,000 orang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menziarahi jenazah Allahyarham di masjid berkenaan.
Ketiga-tiga anak lelaki Allahyarham, S.M Faisal, 29, S.M Nasaruddin, 25, dan S.M Faliq, 23, kelihatan tenang ketika membaca surah Yasin di sisi jenazah bapa mereka.
Bacaan Yasin dan tahlil itu turut disertai para pelajar Madrasah Sheikh Mohamad Salahuddin Al-Amin dari Hulu Langat dan Madrasah Al-Rahmaniah dari Bukit Beruntung dekat sini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Ketika ditemui, Abdullah menyifatkan Allahyarham Nasimuddin, 53, sebagai seorang usahawan yang banyak berjasa kepada negara.
"Saya berharap ahli-ahli keluarga beliau tenang menghadapi dugaan ini dan semoga rohnya dicucuri rahmat," ujarnya.
Mahathir pula menyifatkan pemergian Nasimuddin ke rahmatullah merupakan kehilangan besar kepada tanah air terutama dalam industri automotif.
"Kehilangannya sukar untuk dicari ganti," kata Mahathir.
Shahrizat pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang contoh usahawan Malaysia dan bukan sekadar usahawan Melayu.
"Kejayaan beliau turut menjadikannya sebagai idola para usahawan di negara ini termasuk kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain," jelasnya.
Menurut Shahrizat, Allahyarham merupakan seorang yang pemurah dan sering menderma untuk tujuan kebajikan.
"Namun, arwah tidak suka menunjuk-nunjuk dalam menderma serta tidak mahu publisiti meluas diadakan dalam aktiviti-aktiviti kebajikan," ujarnya.
Nasimuddin, 53, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di Los Angeles akibat kanser paru-paru pada Khamis lalu.
Beliau meninggalkan balu, Puan Sri Zaleha Ismail dan lima orang anak.
Menurut anak sulung Allahyarham, S.M Faisal, 29, pemergian bapanya amat dirasai bukan sahaja oleh kaum keluarga terdekatnya, malah seramai 4,000 kakitangan Kumpulan Naza.
''Kami tidak mahu terlalu bersedih atas kehilangan beliau, sebaliknya cukup mengenang segala pengorbanan dan sumbangannya demi keluarga, negara serta industri automotif negara.
''Kami amat berterima kasih kerana ramai tetamu datang memberikan penghormatan terakhir kepada beliau, ini menunjukkan ramai orang sayang kepadanya dan merasai pemergiannya,'' katanya.
Sementara itu, abang sulung, Datuk S. M. Sharifuddin, 57, pula berkata, Allahyarham amat berahsia tentang penyakitnya itu, malah cuba melawan kanser yang ditanggungnya tanpa pengetahuan keluarga.
''(Allahyarham) berkata I will come back (saya akan kembali) jadi saya terpaksa memegang amanah beliau agar menyimpan rahsia itu tetapi kami semua tidak tahu berapa lama Allahyarham menderita dengan penyakitnya,'' katanya sedih.
Ulasan : Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan membalas segala jasanya. Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Nasimuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan