KUALA LUMPUR 4 Mei - Sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari kedua, esok akan menyaksikan ahli-ahli Parlimen membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong selepas sesi soal jawab lisan.
Pada sesi soal jawab selama satu jam setengah yang bermula pada pukul 10 pagi itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dijadual mengemukakan soalan pertama kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.
Beliau yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam soalannya meminta kementerian itu menyatakan bilakah kerajaan akan menggubal undang-undang mengenai penjanaan dan pembekalan tenaga bagi memastikan sistem pengurusan tenaga yang mapan.
Sebaik sahaja soalan pertama selesai dijawab, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dijadual mengemukakan soalan nombor dua.
Khairy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam soalannya meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan sama ada kerajaan akan memperkenalkan langkah baru dalam menangani masalah kenaikan harga barang dan harga minyak.
Khamis lalu, sesi soal jawab lisan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat terganggu hampir sejam apabila beberapa ahli Parlimen terutama daripada parti pembangkang sering mempersoalkan beberapa peraturan mesyuarat.
Perkara itu menyebabkan soalan pertama hanya dapat dikemukakan selepas 20 minit sesi itu bermula untuk dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Secara keseluruhan pada hari itu, hanya tiga soalan dapat dijawab ekoran kekecohan tersebut.
Berikutan itu juga, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya mungkin akan mengkaji semula siaran langsung sidang Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, Kabinet membuat keputusan untuk meneruskan siaran langsung Dewan Rakyat selama setengah jam itu menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Kata Ahmad Shabery, siaran langsung itu hanya secara percubaan dan akan dikaji semula penyiarannya jika insiden memalukan seperti yang berlaku Rabu lalu, berulang lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron pula menjangkakan kekecohan seperti itu tidak akan berulang lagi pada sidang hari kedua Parlimen esok.
Menurutnya, perbuatan pembangkang itu sungguh mengecewakan kerana orang ramai yang hadir menyaksikan sidang hari pertama Dewan Rakyat hanya sempat mendengar tiga soalan sahaja.
''Saya berharap keadaan yang sama tidak akan berulang lagi esok kerana kita mahu membincangkan masalah rakyat,'' katanya yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Ulasan : Jangan salahkan MP Pakatan Rakyat jika MP BN menjadi punca kekecohan yang berlaku. Kita nantikan siaran langsung sidang Parlimen pada jam 10.30 pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan