JOHOR BAHRU 1 Mei - Lebih 1,000 peserta yang mewakili 300 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan ‘berkampung’ selama dua hari di sini mulai esok untuk membincangkan pelbagai isu yang dijangka membawa kebangkitan baru kaum terbesar di Malaysia itu.
Kongres Permuafakatan Melayu itu merupakan antara pertemuan terbesar membabitkan orang Melayu pernah diadakan selepas perhimpunan yang membawa kepada penubuhan UMNO lebih 60 tahun lalu.
Perhimpunan esok bagi memperjuangkan hak dan kepentingan serta mempertahankan maruah Melayu ekoran semangat persepakatan yang dianggap kian ‘pudar’ berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Kongres itu dijadual disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.
Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gabungan Penulis Nasional (Gapena) itu juga diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berdepan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik.
Antara NGO ke kongres itu adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini yang menjadi lokasi penting kongres berkenaan dijangka menjadi tumpuan ramai untuk mengetahui hasil dan resolusi yang akan dirumuskan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu di negara ini.
Malah, sidang tersebut akan memberi peluang kepada wakil NGO berkenaan meluahkan pendapat dan seterusnya membuat resolusi penting pada Sidang Meja Bulat yang diadakan pada hari kedua kongres tersebut.
Sidang Meja Bulat yang bermula pukul 8.30 malam itu akan dipengerusikan oleh Prof. Datuk Zainal Kling dan Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan daripada Gabungan Penulis Nasional (Gapena).
Kongres itu dijadual bermula pukul 3 petang esok.
Sesi pembentangan melibatkan empat kertas kerja yang berkaitan Kedaulatan Politik Melayu, Kedaulatan Perlembagaan Malaysia, Kedaulatan Ekonomi Melayu dan Kedaulatan Agama, Kebudayaan dan Pendidikan Melayu.
Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi kepada kongres ini.
Ulasan : Saya berbangga menjadi seorang Melayu Islam. Tetapi saya tidak berbangga dengan gelagat sebahagian umat Melayu yang tidak mendaulatkan Islam dan menghayati Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Salahkah negeri Perak, Kedah, Selangor, Kelantan dipimpin oleh Pakatan Rakyat yang juga Menteri Besarnya adalah seorang Melayu Islam? Apakah hanya UMNO dan BN yang layak memerintah? Tepuk dada, tanyalah iman, Kita nantikan resolusi kongres ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan