BIDOR 1 Mei – Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana bertindak membenarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam semalam.
Menurut beliau, rakyat benar-benar tertipu dengan tingkah laku wakil pembangkang yang membuat kecoh di Dewan yang mulia itu hingga mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen.
Kata beliau, walaupun orang ramai suka melihat sesuatu pertelingkahan tetapi pada masa sama ia merendahkan martabat Parlimen hingga menjadi seperti pasar dan ‘barang permainan’ mereka yang tidak bertanggungjawab.
‘‘Sekali lagi saya ulangi, saya rasa kesal dan saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana siaran langsung itu telah mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen. Saya rasa bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.
‘‘Sepatutnya ia jadi tempat mulia, tetapi ramai yang menganggap perbuatan ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP telah merendahkan martabat Parlimen hingga ramai mengatakan ia tidak lebih daripada sebuah sarkas,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Menteri anjuran UMNO Cawangan Bidor dan Ketua-ketua UMNO di Dewan Undangan Negeri Sungkai di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Shabery menyatakan slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan itu.
Beliau berkata, kekecohan pada sidang Dewan boleh menjadikan rakyat muak terhadap semua ahli Parlimen, ahli politik dan kerajaan keseluruhannya apabila ahli-ahli Parlimen berbalah dan bertikam lidah di atas perkara yang remeh-temeh setiap hari.
Katanya, lama-kelamaan sudah tentu rakyat akan hilang kepercayaan terhadap ahli-ahli Parlimen kerana mereka sangkakan wakil rakyat yang dipilih adalah lebih pandai, bijak, matang, berhemah dan beretika.
‘‘Saya rasa ini bahaya. Apabila hilang kepercayaan, mereka tidak akan lagi percaya kepada sistem, Parlimen, kerajaan, menteri-menteri malah institusi pembangkang itu sendiri.
‘‘Akhirnya mereka beralih kepada urusan kehidupan masing-masing kerana merasakan bahawa ahli politik bukanlah tempat untuk mereka mengadu dan menaruh harapan,” katanya.
Kata Ahmad Shabery, apabila persepsi sedemikian berlaku dan berterusan ia akan mengakibatkan masa depan politik dan demokrasi negara hilang dan pudar begitu sahaja.
‘‘Mungkin bagi orang UMNO, mereka rasa ini satu perkara yang baik sebab kita tunjukkan itulah perangai pembangkang yang tuan-tuan pilih. Tetapi bagi saya ia satu kegagalan untuk menyakinkan rakyat bahawa Parlimen kita adalah Parlimen yang baik,” katanya.
Tambah beliau, tingkah laku pembangkang di Parlimen juga jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati kerajaan yang mengarahkan semua Menteri turun ke sidang Dewan bagi menjawab segala persoalan.
Katanya, bagi membolehkan langkah itu dilaksanakan kerajaan terpaksa mengubah mesyuarat Kabinet daripada hari Rabu ke hari Jumaat tetapi malangnya ia langsung tidak dihargai ahli Parlimen pembangkang.
‘‘Dulu mungkin ada Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri untuk jawab tetapi kini Menteri sendiri jawab.
‘‘Soalan tambahan pula kita bagi kepada pembangkang dan kita ikhlas nak turun dan nak jawab tetapi tak dihargai. Jadi untuk apa semua ini?,” katanya.
Ulasan : Tidak perlu meminta maaf, bahkan siaran langsung itu perlu dipanjangkan. Jangan jadikan alasan kelakuan ahli parlimen pembangkang teruk untuk menafikan hak rakyat menonton sidang Parlimen. Ahli Parlimen BN juga ada yang bersikap seperti ahli sarkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan