Rabu, 14 Mei 2008

Antara kasih ibu dan sayang anak


MEI adalah bulan istimewa untuk ibu-ibu di seluruh Malaysia di mana 11 Mei adalah tarikh keramat sambutan Hari Ibu.Namun tanggungjawab dan bakti ibu tidak kira status dan latar belakang mereka, tetap sama - melahir, mendidik dan membesarkan anak-anak sehingga menjadi manusia.

Bercakap tentang Hari Ibu, ingin saya menarik perhatian kepada kisah yang telah saya tulis awal April lalu di ruangan ini.

Kisah bagaimana seorang ibu tua yang uzur dimarah oleh anak-anaknya di sebuah restoran makanan segera.

Kisah tersebut telah mengundang maklum balas diluar jangkaan daripada pembaca termasuk kisah kiriman seorang pembaca yang saya namakan Aidid (bukan nama sebenar).

Sengaja saya simpan kisah Aidid untuk disiarkan minggu ini kerana ia sesuai sekali dengan suasana Hari Ibu yang sedang diraikan.

Kalau setiap kali menjelang Hari Ibu kita didedahkan dengan pelbagai sambutan dan perayaan, hadiah-hadiah dan majlis eksklusif, tetapi apa kata kali ini kita renung bersama cerita Aidid yang pada saya boleh dijadikan iktibar dalam memenuhi tanggungjawab sebagai anak.

Tanpa mahu mempertikai jasa dan pengorbanan ibu yang tidak ternilai dengan apa-apa juga di dunia ini, saya mengajak anda berfikir, sudahkah cukup pengorbanan dan bakti kita sebagai anak kepada orang tua kita, khususnya ibu?

Bagi Aidid, pengalaman menjaga ibunya yang sakit di hospital merupakan saat cukup berharga dalam hidupnya malah itu juga belum dapat menebus jasa ibu kepadanya.

Saya catatkan kisah Aidid buat renungan kita bersama.

"Saya menangis ketika membaca tulisan kakak mengenai ibu yang ditengking anaknya di restoran makanan segera awal April lalu. Malah semasa menaip e-mel ini juga saya menangis sungguh-sungguh. Hati saya sebak. Serta merta teringat ibu yang terbaring lesu di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana diserang angin ahmar.

"Ketika saya menulis e-mel ini, sudah 13 hari ibu berada di ICU, dalam tempoh itu ibu juga telah menjalani tiga kali pembedahan. Setiap kali ingatkan ibu, air mata saya mengalir.

"Malah ada ketikanya saya berdoa agar kesakitan ibu dipindahkan kepada saya. Setiap kali berdoa saya memohon agar ibu pulih.

"Melihat keadaan ibu setiap hari, saya menjadi sebak, risau dan tidak keruan. Namun sebagai anak, saya selalu berada di sisinya, menyuapkan bubur setiap kali tiba waktu makan. Saya juga amat takut jika dia kelaparan atau tidak cukup tenaga sebab darah sentiasa diambil.

"Keadaan ibu lemah, jangkitan kuman dan demam yang berpanjangan membuatkan ibu semakin kurus.

"Ketika ibu tidur dengan tenang, saya anggap ia sebagai satu bonus dan kebahagiaan bagi saya. Walaupun di wad perempuan saya dan abang sentiasa bergilir-gilir menjaga dan memanjakan ibu selama 24 jam sehari.

"Jika siang bekerja, malam saya akan berada di hospital dan sebelum subuh pulang ke tempat tinggal saya di kawasan C.

"Rasanya banyak lagi yang saya perlu lakukan untuk ibu tercinta. Seperti mana yang kakak tulis, memberi makan orang tua menuntut kesabaran yang bukan sedikit.

"Begitulah yang saya rasakan. Mereka tiada selera, sukar menelan, batuk dan mudah muntah. Saya pernah dua kali menadah muntah ibu dengan tangan sebab dia takut mengotorkan tilam hospital.

"Bayangkan seorang ibu tua yang uzur begitu takut untuk mengotorkan harta hospital walaupun ada orang yang akan mengemas dan membersihkannya. Sebagai anak, saya amat menginsafi keadaannya itu.

"Sebagai orang tua dan buta huruf pula, ibu juga mudah terasa hati. Pernah beberapa kali saya melihat ibu sebak dan bergenang air mata apabila jururawat yang bertugas berkata, 'beratnya badan mak cik ini' setiap kali mahu mengangkatnya.

"Dalam keadaan lain hati saya tersentuh apabila ibu enggan membuang air besar walaupun disuruh berkali-kali kerana tidak mahu jururawat yang bertugas membasuh punggungnya.

"Saya juga membantu ibu menukar lampinnya. Memanglah agak kekok pada mula-mulanya tapi lama kelamaan saya menjadi mahir. Tapi saya lega kerana dapat melaksanakan tanggungjawab itu.

"Saya bertambah risau apabila ibu yang sihat dan cergas sebelum ini terpaksa melalui pembedahan tiga kali di kepala akibat saluran darah di otak yang bocor.

"Bayangkan bagaimana perasaan seorang anak terpaksa membuat keputusan nekad untuk membenarkan pembedahan dilakukan segera walaupun peluangnya hanya 50-50.

"Kini setelah hampir sebulan dan selama 13 hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ibu semakin pulih. Dia sudah mampu mengerakkan badannya walaupun lemah. Dia masih belum boleh bangun dan sedang menjalani fisioterapi.

"Selama ini ibu amat menjaga kami. Mengambil berat tentang apa sahaja. Teringat saya kalau ibu tidak mengomel tentang rambut yang sudah panjang, saya tidak akan memotong rambut saya.

"Teringat juga saya setiap kali balik kampung ibu memasak makanan yang kami suka. Masakan ini juga merapatkan hubungan kami adik-beradik. Begitulah lazatnya masakan air tangan ibu.

"Namun saya yakin, setiap kejadian ada hikmahnya. Walaupun mungkin ibu akan berkerusi roda selepas ini, saya amat berterima kasih dan bersyukur kepada para doktor dan jururawat yang banyak membantu ibu.

"Saya yakin dengan doa serta izin Allah juga ibu akan kembali sembuh untuk terus membahagiakan kami adik- beradik. Sebagai anak apa lagi yang mampu saya katakan melainkan mengucap syukur yang tidak terhingga di atas nikmat dan kebahagiaan yang Allah pinjamkan kepada saya dan keluarga.

"Walau apa keadaan ibu, dia tetap ibu yang perlu disanjung, dihormati, dikagumi dan diberi kasih sayang setiap saat dan ketika. Semoga Allah tunaikan hajat kami - melihat ibu kembali berjalan dan tersenyum seperti masa lalu. Mudah-mudahan semua itu akan menjadi kenyataan.

"Sebab itu saya amat tersentuh dengan cerita yang kakak tulis. Saya kecewa yang amat sangat apabila masih ada anak-anak yang 'kurang ajar' terhadap ibu bapa mereka

"Saya juga selalu menjadikan kisah seperti itu sebagai pengajaran untuk diri saya. Kini, hati saya berbunga bahagia apabila melihat ibu mampu membuka mata dan mengenali saya semula.

"Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk ibu. Inilah waktunya kami adik-beradik membalas segala kasih sayang yang telah ibu curahkan.

Walau tidak mungkin terbalas, walau ibu tidak pernah meminta balasan di atas segala pengorbanannya, saya tahu kami adalah segala-galanya bagi ibu terutama dalam saat dia amat-amat memerlukan perhatian dan belaian kami.

"Bahagianya saya kini, kerana masih diberi peluang untuk menatap wajah ibu, melihatnya tersenyum walaupun dalam kesakitan. Dialah ibu, wanita yang saya sanjung, hormat dan kasihi melebihi apa sahaja di dunia ini. Janji saya, selagi saya bernafas ibulah keutamaan saya.

"Sempena Hari Ibu, saya tidak menyediakan jambangan bunga, barang kemas, hadiah eksklusif atau membawa ibu menyaksikan persembahan hebat artis dan makan di hotel-hotel mewah.

"Cuma saya berhajat untuk memeluk dan menciumnya sebagai tanda kasih dan sayang saya sambil memohon keampunan di atas segala salah silap yang telah saya lakukan selama ini. Saya juga ingin memohon restu ibu untuk terus bernafas dengan doa dan harapan agar hidup saya sejahtera di dunia dan akhirat.

"KepadaMu Ya Allah, hambaMu yang kerdil ini memohon agar dipanjangkan usia ibu dan dipulihkan kesihatannya. Kepada ibu, saya berjanji akan berusaha menjadi anak yang soleh, insya-Allah. Selamat Hari Ibu!'' begitu Aidid menutup ceritanya.

Tersentuh benar hati saya dengan kata-kata akhir Aidid. Tiada kata yang mampu saya luahkan melainkan bersyukur kerana Aidid dikurniakan sifat yang baik dan berbudi mulia.

Mendoakan perkara yang sama untuk anak-anak, saya turut mengharapkan semoga dibuka pintu hati generasi muda di luar sana untuk mencontohi Aidid. Sejuk perut ibu yang mengandung.

Lalu teringat saya, selalunya anak perempuan yang lebih mengambil berat tentang ibu bapa tetapi kali ini nampaknya tanggungjawab itu sudah diambil alih oleh anak lelaki.

Doa saya agar ibu Aidid akan sembuh dan terus membahagiakan anak-anaknya.

Menutup kata, salam Hari Ibu kepada semua ibu-ibu di Malaysia. Buat dia yang saya panggil Mak, semoga terus sihat dan diberi kekuatan untuk terus melindungi kami semua. Terima kasih di atas segala-galanya. Semoga 11 Mei akan mencatat satu lagi sejarah keluarga yang lebih membahagiakan buat kita semua.

Mengundur diri, sepatah kata buat renungan bersama:

"Kasih sayang seorang ibu diibaratkan sebagai simbol dan lambang kelembutan serta keanggunan seorang wanita. Ia lahir menjadi sumber kasih sayang yang Allah ciptakan sebagai mata air yang mengalir tenang bersandarkan rasa cinta dan kasih yang meluap-luap terhadap anak-anak yang menjadi permata hati mereka.''


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude