Rabu, 14 Mei 2008

Tunjukkan kasih kepada ibu semasa hayatnya


MEGA: Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menyebut tiga kali “ibu mu, barulah bapa mu.” Apakah maksud yang tersirat di sebalik hadis tersebut?

NORSIAH: Hadis di atas menjelaskan penghormatan kepada ibu kerana kedudukan yang penting dan peranan yang dimainkan dalam kehidupan manusia. Ibu merupakan alam pertama selepas keluar dari alam zuriat bagi seorang anak. Mari kita hurai maksud yang tersirat di sebalik hadis tersebut dengan meneliti beberapa ayat al-Quran:

a. Ibu merupakan tempat bermulanya kehidupan manusia (yang memerlukan pengorbanan).

Sesungguhnya dalam perut/rahim ibulah berlaku rahsia yang amat besar, dijadikan oleh Allah dan ditiupkan roh. Begitu juga apabila ibu-ibu menyusukan anaknya, ia merupakan suatu tanggungjawab yang bukan mudah untuk dilaksanakan.

b. Sanggup Menanggung Risiko

Apabila ibu mengandung dan seterusnya akan melahirkan, kesusahan dan kepayahan yang dialami bukan saja untuk menjaga kesihatan dan kemaslahatan diri tetapi juga kesihatan dan kemaslahatan diri anak yang dikandung. Seterusnya memikirkan pula tentang keselamatan bayinya setelah dilahirkan, termasuk bagaimana untuk menyusukan dan sebagainya.

Hal ini telah ditunjukkan oleh dua orang wanita mulia iaitu ibu Nabi Musa a.s. (al-Qasas: 10 & 13 ) dan Isa a. s.

(Mariam: 18-20 & 27-28 & 32) serta (al-Qasas: 13)

c. Ibu Sekolah Pertama Seorang Anak

Seorang anak akan menghabiskan masa hayat setelah kelahirannya ke dunia dengan seorang ibu. Ibulah orang pertama yang akan didengari suaranya dan seterusnya bakal mencorakkan seluruh elemen hidup masa depan anak tersebut.

Bagi anak-anak yang sudah bekerja dan sudah berkeluarga adakalanya jarang menjenguk ibu di kampung. Anggapan mereka kirim wang setiap bulan sudah mencukupi. Adakah benar demikian?

NORSIAH: Perbuatan mengirim wang ke kampung semata-mata belum mencukupi untuk menepati maksud berbakti kepada keduanya. Melainkan atas persetujuan dan keselesaan mereka, dan ada sebab-sebab syarie yang amat mendesak. Hal ini kerana, berbakti kepada mereka adalah secara berterusan dan tidak dikira mencukupi hanya dengan sekali sekala balik ke kampung atau mengirim wang sebulan sekali.

Perbuatan anak mengirim wang setiap bulan belum mampu membalas jasa ibu yang memelihara dengan baik atas dasar kasih sayang dan penuh ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran daripada anak-anak mereka.

Bayangkan pada masa anak-anak tidak berdaya, sekiranya ibu tidak mengganti lampin, maka akan tenggelamlah anak dengan air kencing sendiri.

Ibu tidak pernah senang hati dengan keselamatan anak-anaknya, walaupun didatangi oleh seekor nyamuk, sanggup tidak tidur malam gara-gara menjaga nak yang kurang sihat, malah tidak pernah mengeluh walaupun dalam keadaan serba kepayahan dan keletihan.

Al-Quran telah mengajar apa yang wajib dilakukan oleh seorang anak.

Antaranya, berterima kasih kepada mereka sebagaimana firman Allah dalam surah Lukman ayat 14.

Kedua, berbuat baik kepada keduanya. Pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak merupakan pengalaman panjang yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Ringkasnya, dalam peta minda seorang ibu dan ayah, kebajikan anaklah yang mendapat tempat utama. Maha Bijaksana Allah yang telah menyarankan kepada anak supaya berlaku ihsan kepada kedua ibu bapanya. Firman-Nya yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa...(al-Isra’: 23)

Istimewa untuk ibu adalah kerana ibu telah mengandung dalam keadaan lemah, melahirkan dengan keadaan penuh kesakitan dan mencemaskan dan seterusnya menyusukan dalam masa dua tahun dengan pelbagai kepayahan.

Ketiga, menjaga mereka dengan baik. Anak-anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa mereka dengan baik. Suruhan dalam ayat di bawah adalah secara umum kepada semua anak yang dilahirkan oleh ibu. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah tua dan tidak berdaya.

Keempat, merendah diri dan berdoa untuk mereka dan berdoalah untuk kebaikan mereka sama ada semasa mereka hidup mahu pun selepas mati. Ketahuilah, mereka juga tidak pernah putus-putus untuk mendoakan kebajikan anak-anak, walaupun anak-anak sudah dewasa, bekerja dan berumahtangga. Dalam hal ini, kita boleh merujuk surah al-Isra’: 24.

Bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia tanggungjawab anak-anak masih belum terputus, berbakti kepadanya termasuklah menunaikan amanatnya, menghubung tali silaturrahim dengan orang yang pernah dihubunginya serta berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabatnya.

Kisah ‘Al-Qamah adalah antara contoh anak yang derhaka. Adakah perbuatan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua boleh dikategori sebagai derhaka?

NORSIAH: Menghantar kedua orang tua ke rumah jagaan orang tua, tanpa sebab-sebab munasabah adalah merupakan perbuatan dosa dan boleh dikategorikan kepada anak durhaka sekiranya tidak mendapat persetujuan dan keredaan dari pihak mereka.

Alasannya, jika perbuatan menyakitinya dengan perkataan “ah” pun sudah ditegah apatah lagi menyakitinya dengan perbuatan iaitu mengasingkan dirinya daripada si anak yang telah dipelihara, dibelai dan diberi sepenuh kasih sayang.

Ini benar-benar menghiris hati ibu bapa, iaitu telah menyakiti mereka dari segi fizikal, mental dan emosi. Panduan ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 23 seperti di atas.

Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar yang seganding dengan dosa syirik kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Rasulullah telah bersabda: Apakah kamu semua mahu aku beritahukan kamu dosa yang paling besar, diulangi baginda tiga kali. Jawab kami: Bahkan wahai Rasulullah. Sabda Rasulullah: Syirik terhadap Allah dan mendurhakai kedua ibu bapa. (Muttafaq alaih)

Salah satu sebab berbuat demikian ialah kesukaran menjaga ibu terutama yang telah lanjut usia. Apakah pula ganjaran kepada mereka yang sabar dalam memelihara ibu bapa yang dalam usia emas ini?

NORSIAH: Kesukaran menjaga ibu terutama yang telah lanjut usia adalah alasan yang tidak boleh diterima melainkan si anak sudah tidak mampu untuk mengurus diri sendiri menurut syarie. Atau atas permintaan ibu sendiri atau dalam situasi yang tidak ada pilihan demi kemaslahatan dan kebahagiaan diri si ibu.

Namun dalam keadaan ini si anak masih belum terlepas dari tanggungjawab untuk berbakti kepada ibunya.

Antara ganjaran anak yang memelihara ibu mereka ialah:

lKeampunan dan balasan syurga dari Allah SWT. (Rujuk surah al-Ahqaaf: 16)

lMendapat kemuliaan di sisi Allah.

lDimakbulkan doa.

Allah memakbulkan doa anak yang berbuat baik kepada ibunya. Berdasarkan peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Umar al-Khatab, apabila bertemu seorang lelaki yang bernama Uwais bin Amir supaya memohonkan keampunan untuk dirinya (Umar). Lelaki ini mempunyai keistimewaan di mana doanya dimakbulkan oleh Allah disebabkan jasanya menjaga dan melayan ibunya dengan baik.

Ramai antara kita yang merasai kasih sayang ibu, hanya setelah ia tiada di dunia. Kenapa begitu?

NORSIAH: Begitulah lumrah manusia, lambat untuk bersyukur dengan nikmat dan kurniaan Allah. Oleh itu Allah mengingatkan manusia dengan tegas supaya bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih kepada ibu bapa.

Ingatlah anak-anak! Masa dan kesempatan yang ada ini jangan disia-siakan, berbaktilah kepada ibu bapa sebelum mereka menutup mata, supaya tidak menyesal di kemudian hari. Pepatah Melayu mengingatkan: ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude