Rabu, 14 Mei 2008

Korban lebih 12,000 gempa bumi di China





DUJIANGYAN, China – Pasukan penyelamat hari ini bertungkus-lumus menggali runtuhan rumah dan sekolah untuk mencari mangsa yang terperangkap berikutan gempa bumi paling dahsyat di China dalam tempoh 30 tahun.

Angka kematian daripada bencana itu meningkat hari ini kepada hampir 12,000 orang dengan ribuan lagi masih hilang.

Sehari selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 itu menggegarkan wilayah Sichuan, barat daya negara ini petang semalam, media rasmi melaporkan pasukan penyelamat telah sampai ke pusat gempa di daerah Wenchuan, di mana bilangan korban masih tidak diketahui.

Namun hujan lebat menjejaskan operasi dan sekumpulan askar payung terjun menangguhkan misi ke kawasan itu disebabkan ribut kencang, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Pengarah Jabatan Bantuan Bencana di Kementerian Hal-Ehwal Awam, Wang Zhenyao melaporkan angka korban meningkat kepada 11,921 orang.

Sekurang-kurangnya 10,000 orang masih tertimbus di Mianzhu, 100 kilometer dari pusat gempa, lapor Xinhua,

Jumlah korban dijangka meningkat lagi dan belum dapat dianggarkan disebabkan kawasan bencana yang terpencil dan kesukaran untuk mencari mangsa yang tertimbus.

Gempa bumi itu dan beberapa gegaran susulan mengakibatkan kerosakan meluas di seluruh tengah dan barat daya negara ini.

Pakar penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang berlumuran darah dari runtuhan bangunan dan kira-kira 34,000 askar membanjiri kawasan gempa untuk menyertai operasi bantuan.

Harapan menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis dan mayat yang ditutup plastik diletakkan di tepi jalan dan memenuhi pekarangan sekolah.

Hanya 58 mangsa yang berjaya dikeluarkan setakat ini dari runtuhan bangunan di serata kawasan gempa, kata jurucakap Biro Seismologi China, Zhang Hongwei kepada Xinhua.

“Kita perlu mengejar masa. Mangsa boleh bertahan untuk tempoh beberapa waktu dan sekarang bukanlah masanya untuk berputus asa,” kata Zhenyao dan menambah, usaha menyelamat boleh mengambil tempoh seminggu.

Gegaran susulan melanda kawasan kejadian buat hari kedua, menyebabkan penduduk lari ke jalan di ibu kota wilayah, Chengdu.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gegaran itu bermagnitud antara 4 hingga 6.

Ke timur pusat gempa, 1,000 pelajar dan guru dilaporkan terbunuh atau hilang apabila sebuah sekolah menengah runtuh di daerah Beichuan.

Lebih 900 pelajar dikhuatiri maut apabila sebuah lagi sekolah runtuh.

Menurut Xinhua, sehingga 5,000 terbunuh dan 80 peratus bangunan runtuh di Beichuan.

Gempa bumi itu adalah yang paling dahsyat di negara ini sejak 1976 iaitu apabila 240,000 maut di Tangshan, dekat Beijing.

BEIJING 13 Mei - Tangisan dan jeritan lemah mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan menyebabkan pasukan penyelamat China terpaksa bergelut dengan masa untuk memastikan mereka dapat dikeluarkan hidup-hidup.

Sehingga pukul 12 malam ini, iaitu selepas lebih 34 jam gempa berukuran 7.8 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan di barat daya China, sekurang-kurangnya 12,000 mangsa dilaporkan maut.

Sementara itu, puluhan ribu mangsa dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan dengan anggaran sekurang-kurangnya 18,000 orang tertimbus di bandar Mianyang dan lebih 10,000 lagi terperangkap di bandar Mianzhu.

Kedua-dua bandar tersebut terletak di wilayah Sichuan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, lebih 3,600 kematian dicatatkan di bandar Mianyang yang berjiran dengan daerah Wenchuan iaitu kawasan yang menjadi pusat gempa semalam.

Angka rasmi yang diperoleh pihak berkuasa menyaksikan seramai 18,645 mangsa dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Para penyelamat berkata, mereka bertungkus-lumus membongkar runtuhan untuk mengeluarkan mangsa dan sangat berharap lebih ramai mangsa berjaya dikeluarkan hidup-hidup.

"Hujan lebat di kebanyakan kawasan bagaimanapun menyukarkan usaha menyelamat,'' kata seorang anggota penyelamat.

Menurutnya, keadaan hujan dan cuaca yang semakin gelap menyebabkan operasi terpaksa dihentikan sebelum disambung semula keesokan hari.

Sementara itu, China hari ini menyatakan bahawa tiada sebarang laporan mengenai rakyat asing terkorban dalam gempa yang melanda negara itu kurang tiga bulan dari tarikh Sukan Olimpik Beijing 2008 diadakan.

"Sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai warga asing yang terkorban," kata jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang.

Kementerian Luar Malaysia pula mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang cedera atau maut dalam gempa bumi berkenaan.

Ini berdasarkan kenyataan Kedutaan Malaysia di Beijing dan pejabat konsul Malaysia di Kunming bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan terjejas mengalami kecederaan atau terkorban.

Ulasan : Selepas Taufan Nargis menimpa Myanmar, kini China dilanda gempa. Mungkin sedikit sebanyak menjejaskan persiapan Olimpik pada Ogos 2008 nanti. Apapun pada pandangan saya, ini ingatan dari Allah. Kalau di Myanmar, junta tentera bertindak zalim kepada rakyatnya. Di China juga, kezaliman berlaku bila rakyat Tibet dibunuh dan penduduk Islam di wilayah Xing Jiang terus ditindas.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude