Kerajaan akan mencadangkan penubuhan suruhanjaya pelantikan kehakiman bagi mengenal pasti dan mencadangkan nama-nama calon hakim kepada perdana menteri, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan membantu menilai dan menyemak calon dalam cara yang sistematik serta amanah untuk perdana menteri, berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas.
Bagaimanapun, hak perlembagaan perdana menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal, katanya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata kerajaan mencadangkan perubahan itu bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan.
"Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama.
"Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan," katanya dalam ucaptama bertajuk 'Delivering Justice, Renewing Trust' di jamuan malam Majlis Peguam di sini malam ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan anggota keluarga hakim-hakim mahkamah agung yang dipecat semasa krisis kehakiman pada 1988 - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah.
Eusoffe dan Wan Suleiman yang telah meninggal dunia diwakili oleh anggota keluarga mereka.Sebagai tambahan, Abdullah berkata kerajaan akan memulakan semakan terma perkhidmatan dan ganjaran dalam badan kehakiman.
"Terdapat keperluan mendesak untuk menetapkan gaji dan imbuhan di tahap yang betul bagi memastikan bidang kehakiman dapat menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik di negara ini," katanya.
Abdullah berkata perkara ini dan langkah lain yang akan diumumkan apabila tiba masanya, akan membentuk pakej perubahan yang menyeluruh bagi memperkukuhkan kapasiti serta kredibiliti badan kehakiman.
Ulasan : Badan kehakiman di Malaysia telah dicemari dengan pelbagai persepsi negatif. Moga penubuhan suruhanjaya ini dilaksanakan dengan telus dan integriti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan