Soalan | Mengapa undang-undang hudud Islam amat ditakuti dan digeruni oleh orang Islam sendiri dan orang-orang kafir, sedangkan undang-undang tersebut belum pernah dilihat, atau belum dilaksanakan di Malaysia? - SAIFUL ISLAM, Kuala Lumpur
Jawapan | Perlu disedari dan diamati bahawa hakikatnya undang-undang hudud Islam adalah undang-undang Allah SWT. Dia Tuhan kita, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Allah yang sedemikian sifatnya, bolehkah berlaku apabila Dia menciptakan undang-undang untuk manusia, diciptakan undang-undang yang zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Mana mungkin demikian.
Apa yang berlaku sebenarnya adalah salah faham dan salah tanggapan.
Yang pasti adalah, kerana sifat belas kasihan Allah kepada manusialah, maka diciptakan undang-undang hudud, yang amat serasi dan sesuai dengan manusia, demi kebaikan hidup manusia di dunia hingga ke akhirat.
Jangan hanya dilihat kepada hukuman itu secara prejudis atau kerana kononnya kasihan kepada penjenayah yang dihukum sedangkan mungkin kesalahannya tidak seberapa.
Islam mengajak manusia melihat kepada skop yang lebih luas iaitu misalnya, kesan kepada kesalahan mencuri atau merompak, betapa merananya mangsa yang mengumpul harta dengan titik penuhnya, tiba-tiba disamun dengan begitu mudah.
Dalam sekelip mata, segala yang diusaha dan diimpikan kesenangan dalam kehidupan hilang lenyap.
Lihat kepada penjenayah yang berleluasa sekarang berbanding dengan hukuman atau undang-undang yang ada sekarang ini, tidak pernah mengajar penjenayah menjadi insaf.
Penjenayah terus melakukan jenayah sehingga menjadikan jumlah kes jenayah terus meningkat dari semasa ke semasa, tanpa sebarang kesudahan.
Keselamatan harta benda, malah keselamatan nyawa manusia menjadi begitu mudah dinodai. Sampai bila masyarakat yang tidak berdosa akan terus menerima pada tersebut?
Penjenayah sebenarnya adalah orang yang berpenyakit sosial. Usaha mengubati penyakitnya dengan undang-undang yang ada tidak mendatangkan kesembuhan, malah penyakitnya semakin merebak.
Tidakkah terfikir orang yang waras jika ubat yang ada gagal menyembuhkan, mengapa tidak diiktiharkan ubat yang baru?
Ada atau tidak ubat lain yang boleh menyembuhkan penyakit jenayah? Jawapannya sudah tentu ada.
Ubat itu ialah undang-undang hudud Islam. Ada pun yang menyebabkan masyarakat umum takut, ngeri dan menentang huduh tersebut, bukan kerana sifat undang-undang itu.
Contohnya undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang ini ke atas perogol, perompak dan sebagainya. Penjenayah akan dikenakan hukuman sebatan, memang ia mengerikan dan amat dahsyat sehingga meninggalkan parut besar yang cukup mengerikan. Ada yang dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Bukankah ini mengerikan? Tetapi semuanya diterima umum, tanpa mengatakan ianya kejam dan ngeri.
Kenapa undang-undang hudud sukar diterima? Kerana peranan media yang anti-Islam, khususnya yang antihudud Islam dengan gambaran yang wujud sekarang ini, memberikan kesan negatif yang menakutkan ummah.
Dengannya, masyarakat terpengaruh menolak hukum-hukum Islam, dengan alasannya ianya tidak berperikemanusiaan.
Allah SWT pernah menyebut dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan sebagai pencegahan (nakaalan) dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Maidah, ayat 38)
Perkataan 'nakaalan' dalam ayat tersebut membawa maksud, Allah berjanji kepada manusia, bahawa hukuman yang diciptakan-Nya merupakan suatu pencegahan daripada-Nya dengan memalingkan hati-hati manusia dari hendak meneruskan kerja jenayah kepada lain-lain perkara.
Maka dengan pencegahan itu, jenayah akan terhapus.
Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulllah s.a.w. yang melaksanakan hukuman itu, kepada penjenayah pada zamannya.
Sepanjang beberapa tahun, hanya segelintir sahaja penjenayah dihukum. Jenayah amat terkawal dan hampir tidak berlaku.
Cuba lihat di akhir ayat tersebut. Maksud 'Azeezun' maksudnya, Allah Maha Perkasa. Perkasa dalam konteks Allah (melalui undang-undang-Nya) mampu mencegah jenayah sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak mampu. Yang boleh memberi jaminan hanya Allah SWT sahaja.
Akhir sekali maksud 'Hakeem' atau Maha Bijaksana. Allah amat mengetahui apa yang Dia buat adalah untuk kebaikan manusia, sedangkan manusia sehebat mana pun tidak mampu untuk membuat kebaikan, lebih-lebih lagi kebaikan di akhirat.
Allah Maha Bijaksana kerana Dia tahu ia adalah kebaikan untuk manusia.
Sekiranya media-media perdana seluruhnya, dapat memberikan gambaran yang adil kepada undang-undang Islam, khususnya hudud, maka tidak ada sebab manusia akan menolaknya kerana ia untuk kebaikan dan kesentosaan manusia seluruhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan