Khamis, 24 April 2008

Belasungkawa: Rustam sebati dengan karya kritis, protes

Oleh Nazmi Yaakub

KEMATIAN penganalisis politik, pengkaji sosiobudaya dan pengkritik sastera tanah air, Rustam Abdullah Sani atau lebih dikenali sebagai Rustam A Sani, semalam, adalah kehilangan besar kepada dunia penulisan dan sastera negara.

Kepulangan anak kelahiran Ipoh ke Rahmatullah juga mengejutkan dunia politik dan penulis tanah air kerana Allahyarham tidak ada sejarah penyakit jantung.

Pemergiannya secara tiba-tiba juga dijangka menjadikan majlis pelancaran dua bukunya, Failed Nation?: Concerns of a Malaysia Nationalist dan Social Roots of the Malay Left, yang dijadualkan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Sabtu ini, tidak sempurna.


Buku Failed Nation?: Concerns of a Malaysia Nationalist - memuatkan himpunan tulisan beliau di akhbar, majalah dan blog yang menganalisis isu politik tanah air, menilai nasionalisme dan Melayu Baru, mengkritik dunia pendidikan, media massa dan budaya bangsa.

Social Roots of the Malay Left pula diangkat daripada disertasi sarjananya di Universiti Kent, Canterbury, yang mengkaji politik Melayu kiri dalam perubahan struktur sosial dalam era kolonial pada 1930-an di tengah-tengah kemunculan golongan elit baru.

Kehilangan Rustam bukan saja diratapi ahli keluarga dan saudara-mara, bahkan juga sahabat-handai, sasterawan, pengarang, karyawan seni dan mereka yang terbabit dalam dunia politik serta sosiobudaya kerana sentuhan pena Rustam merangkumi pelbagai bidang.


Allahyarham mendapat pendidikan rendah dan menengah di Tanjung Malim bermula 1951 hingga 1963 sebelum melanjutkan pengajian ke Victoria Institution (1963-1964) serta memperoleh sarjana muda dalam Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM), pada 1970.

Sifat dahaga kepada ilmu mendorong beliau melanjutkan pengajian diploma dalam sosiologi di Universiti Reading, England bermula 1972 hingga 1973; sarjana dalam Pengajian Asia Tenggara di Universiti Kent, Canterbury (1973-1975); sarjana dalam sosiologi politik di Universiti Yale, Connecticut, Amerika Syarikat (1978-1981) dan diploma dalam Program Kajian Antarabangsa mengenai Penyelesaian Konflik di Universiti Uppsala, Sweden (1991).

Ini menjadikan bidang kajian Rustam meliputi teori sosiologi dan sains politik, statistik, nasionalisme Melayu, kajian elit politik dan pemodenan, selain sosiologi sastera kerana beliau sendiri mempunyai sentuhan kreatif terutama genre puisi yang menjadi akrab kepadanya sejak 1961.

Kumpulan puisinya, Riak-Riak Kecil yang menghimpun 39 puisi, meluahkan tanggapan dan pengalaman Rustam terhadap manusia serta nilai kemanusiaan di persekitarannya, sekali gus menjadikannya bernada protes, selain karyanya termuat di pelbagai antologi puisi.

Kecenderungan Rustam terhadap budaya ilmu turut diperlihatkan lewat kerjaya yang beliau pilih apabila menjadi penolong editor di Oxford University Press bermula 1965 hingga 1967 dan editor di penerbitan sama (1970-1971), sebelum terjun ke dunia akademik sebagai Penolong Pendaftar (Akademik dan Rekod) di UM (1971-1972) serta Pensyarah di Pusat Bahasa UM (1975-1976).

Pada 1976, beliau meninggalkan UM untuk bertugas sebagai Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum diberikan tanggungjawab untuk mengepalai jabatan itu bermula 1984 hingga 1986.

Allahyarham turut berpengalaman sebagai pensyarah Jabatan Sains Politik (1988-1989) di institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu dan mendapat Profesor Madya di jabatan sama (1989-1990).

Beliau meninggalkan UKM pada 1990 untuk berkhidmat di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia sebagai Felo Kanan, Ketua Editor dan Pengarah Eksekutif (Penerbitan) sehingga 1995.

Selepas menjadi Pengerusi Eksekutif di Pascabaru (M) Sdn Bhd antara 1995 hingga 1997, beliau kembali ke UM pada 1997 untuk berkhidmat sebagai Felo Kanan di Pusat Dialog Peradaban UM sehingga 1999.

Rustam tidak hanya sekadar menulis isu politik, bahkan anak kepada pengasas Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Abdullah Sani Raja Kechil atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam, terjun dalam realiti politik sehingga pernah menjadi Timbalan Presiden PRM sebelum parti itu bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Antara khazanah buku peninggalan bekas kolumnis akhbar New Straits Times dan Dewan Masyarakat itu ialah Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya, Politik dan Polemik Bahasa Melayu, Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya, Menjelang Reformasi, Ke Mana Nasionalisme Melayu? dan Bercanda dengan Mahathir.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kehilangan Allahyarham sangat dirasai kerana beliau banyak menyumbang idea dan pandangan yang boleh dikongsi oleh banyak pihak.

“Walaupun saya baru mengenalinya daripada pemerhatian saya, Allahyarham sangat dihormati oleh rakannya, malah sering menjadi tempat rujukan dalam pelbagai isu.

“Selain itu, saya agak terkilan kerana sudah berjanji dengan Allahyarham untuk menghadiri majlis pelancaran buku terbarunya, Sabtu ini. Tetapi sebagai manusia kita hanya merancang, tuhan yang tentukan,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula menyifatkan Allahyarham sebagai tonggak utama ketika PKR ditubuhkan dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar dalam dunia politik tanah air.




Oleh Khairul Azran Hussin

Allahyarham diserang sakit jantung, tak sempat lancar dua buku terbaru Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Penulis politik terkenal, Rustam Abdullah Sani atau lebih dikenali sebagai Rustam A Sani, 64, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor, 3 pagi semalam akibat serangan jantung.

Allahyarham yang berasal dari Ipoh, Perak juga adalah penganalisis politik, ahli akademik, pengendali blog, penulis kolum dan penyair.


Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Sharif dan dikebumikan jam 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota.

Anak beliau, Azrani, 34, berkata Rustam menghembuskan nafas terakhir di depan isterinya, Rohani Zainal Abidin, 63, dan anak perempuan, Ariani, 30, serta cucu, Arissa Azrani.

“Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit berat kecuali kencing manis dan neuropati, tetapi setengah jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau batuk-batuk dan mengadu sakit dada.

“Kami memanggil doktor peribadi, dan beliau mengesahkan Allahyarham meninggal dunia,” katanya.

Azrani bagaimanapun berkata, beliau sayu dengan pemergian mengejut bapanya kerana Allahyarham dijadualkan akan melancarkan dua buku terbarunya yang bertajuk Failed Nation?: Concerns of aMalaysian Nationalist dan Social Roots of The Malay Left di Shah Alam, Sabtu ini.

“Allahyarham kelihatan ceria ketika berbincang mengenai dua buku terbaru tulisannya bersama keluarga semalam (kelmarin),” katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Ismail adalah antara orang kenamaan yang menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Syed Hussin Ali; Ketua Pemuda PKR, Badrul Hisham Shaharin; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Turut hadir, Sasterawan Negara, Datuk Dr A Samad Said; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah; bekas Timbalan Presiden PKR, Prof Dr Chandra Muzaffa; bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad dan penganalisis politik, Datuk Johan Jaafar.

Ulasan : Moga Allah merahmati rohnya sebagai pejuang kebenaran. Amin.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude