Jumaat, 25 April 2008

'Hanya kenyataan politik'

PUTRAJAYA 24 April - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakatan pembangkang boleh menubuhkan kerajaan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia 16 September ini hanya satu kenyataan politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sering membuat pelbagai ramalan mengenai perubahan terhadap kerajaan sedia ada namun sehingga kini tiada satu pun menjadi kenyataan.

''Bagi saya, Anwar boleh buat macam-macam ramalan dan jika ia tidak menjadi kenyataan, sudah pasti menjejaskan kredibiliti tuan punya badan.

''Orang ramai sendiri boleh menilai sendiri, bila ia tidak menjadi kenyataan, ia sekadar kenyataan politik,'' katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM21,800 daripada Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) kepada bapa Sharlinie, Mohd. Nashar Mat Hussin di sini hari ini.

Semalam, Anwar berkata, pakatan pembangkang tidak perlu tergesa-gesa untuk memikirkan mengenai perkara itu kerana keutamaan kini ialah terhadap program penjelasan agenda dan hala tuju mereka.

"Sekarang kita biarkan Parlimen bersidang seperti biasa, kita tidak perlu tergesa-gesa kerana tidak ada sebab untuk kita tergesa-gesa kerana saya yakin dengan izin Allah, kami akan berada di sana (sebagai kerajaan).

"Kalau tidak bulan depan, mungkin bulan seterusnya, mungkin Mei, Jun, Julai, sambutan merdeka atau sambutan Hari Malaysia. Saya jangka kita tidak akan melepasi tarikh itu," kata Anwar.

Menurut Hishammuddin, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai tugas yang lebih utama daripada melayani dakwaan Anwar.

Katanya, jika dakwaan sedemikian membelenggu pemikiran BN, sudah pasti banyak tugas yang diamanahkan oleh rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat sebab-sebab merosotnya sokongan terhadap BN, beliau berkata, ia perlu diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT).

''Perkara yang sedemikian tidak boleh diputuskan di peringkat sayap parti seperti Pergerakan Pemuda UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, BN tidak gusar dengan dakwaan Anwar sebaliknya pakatan pembangkang yang sepatutnya berasa bimbang dengan kemungkinan anggota Parlimen mereka menyertai BN ekoran kemarahan rakyat terhadap projek ternakan babi bernilai RM100 juta di Selangor.

Katanya, Anwar tidak perlu terkejut apabila ada komponen pakatan itu yang akan menyertai BN dan meninggalkan parti pimpinannya lalu menjadikan ia satu kumpulan yang kecil.

''Saya percaya dia patut bimbang, mungkin ada parti komponen pakatan pembangkang akan bersama dengan BN. Ramai marah dengan apa yang berlaku di Selangor sekarang ini. Dia kena sedar, orang Melayu marah sekali.

''Bukan saya mahu mainkan sentimen perkauman di sini. Bukan soal ternakan babi itu isu perkauman tetapi apakah itu menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri pimpinan PKR,'' katanya.

Ahmad Shabery berkata, kedudukan UMNO dalam Dewan Rakyat masih kuat dengan menguasai lebih 70 kerusi berbanding PKR hanya 31 kerusi.

Katanya, Anwar bermimpi terlalu lama untuk menjadi Perdana Menteri malah ia semacam menjadi satu igauan kepadanya.

''Dan keputusan pilihan raya baru-baru ini macam mimpi itu mahu menjadi realiti. Tetapi saya rasa, Anwar boleh terus bermimpi untuk melihat ada orang BN melompat menyertai beliau,'' katanya.

Ahmad Shabery berkata, PKR merasakan ia kuat dengan gabungan parti-parti lain tetapi sebenarnya ia terlalu bergantung kepada parti lain.

Tegasnya, parti yang mempunyai suara paling kuat sekarang masih lagi UMNO dan BN.

Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyifatkan tindakan penasihat PKR yang didakwa cuba 'membeli' ahli-ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak adalah sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, sekiranya Anwar berjaya sekalipun menubuhkan Kerajaan Persekutuan baru seperti yang diuar-uarkannya, ia adalah sebuah kerajaan yang tidak 'bersih' ekoran tindakannya itu.

Katanya, ia juga bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Anwar kepada rakyat yang kononnya beliau akan mewujudkan kerajaan yang bersih di negara ini.

''Jika beliau (Anwar) mahu menjadi Perdana Menteri, saya rasa dia boleh lakukannya melalui proses pilihan raya yang lebih demokrasi bukannya dengan cuba membeli ahli Parlimen untuk menyertai parti pembangkang,'' katanya.

Katanya lagi, beliau yakin rakyat tidak mahu kerajaan yang mentadbir negara ini bukan melalui proses demokrasi.

Sebelum ini terdapat desas-desus beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan melompat keluar parti dan menyertai PKR bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Selain itu, Anwar juga dikatakan turut menabur janji untuk memberikan tambahan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus kepada Sabah sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan baru.

Bagaimanapun, janji tersebut disangkal oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini yang menyifatkan ia tidak dapat diterima sama sekali.

Musa berkata, ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau banyak mengetepikan permohonan peruntukan pembangunan kepada Sabah.

Ulasan : Dalam hal ini, ternyata pemimpin UMNO dan BN mula gelisah. Namun begitu kita mengharapkan, Anwar Ibrahim juga tidak membeli ahli Parlimen BN. Biarlah mereka menyertai Pakatan Rakyat atas dasar memperjuangkan kebajikan dan keadilan untuk rakyat, bukan kerana jawatan yang dijanjikan.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude