Khamis, 17 April 2008

Kanak-kanak thai maut bas masuk gaung


SETIU 16 April – Seorang kanak-kanak warganegara Thailand maut, manakala seorang lelaki rakyat negara itu parah apabila bas ekspres yang mereka naiki bersama 21 penumpang lain terhumban ke dalam gaung di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, tengah malam tadi.

Kanak-kanak itu, Anna Mail Amin, 11, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan teruk di kepala akibat dihempap bas.

Lelaki yang parah, Ibrahim Teh, 40-an, pula patah paha, manakala 21 penumpang lain serta dua pemandu bas itu cedera ringan.

Sebanyak 16 penumpang dikejarkan ke Hospital Setiu, manakala lapan lagi dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Ini nahas maut kedua dalam tempoh dua minggu yang membabitkan bas ekspres.

Pada 6 April lalu, sebuah bas ekspres dari Johor Bahru yang membawa 29 penumpang termasuk pemandunya, terbabas dan terbalik di Kilometer 265 Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur dekat Seremban, mengakibatkan seorang terbunuh dan lima dilaporkan cedera parah.

Sementara itu, dalam nahas terbaru pukul 12.58 tengah malam tersebut, bas Ekspres Mutiara terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 12.5 meter di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berdekatan Kampung Pagoh.

Bas berkenaan membawa 16 warga Thailand serta sembilan rakyat tempatan dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuantan, Pahang dikatakan terbabas ketika melalui selekoh di jalan berkenaan.

Seorang mangsa ketika ditemui di Hospital Setiu, Mohd. Najhan Othman, 28, yang berasal dari Pahang berkata, dia yang duduk di kerusi di sebelah kiri bas berkenaan hanya mampu memejamkan mata dan mengucap dua kalimah syahadah apabila bas melanggar penghadang jalan dan menjunam ke dalam gaung.

‘‘Saya berasa badan saya melambung dan terhentak apabila bas itu berpusing sekali sebelum terhempas di tanah. Saya merangkak keluar melalui tingkap bahagian depan bas untuk menyelamatkan diri.

“Saya mendengar seorang wanita meminta tolong menyelamatkan anak perempuannya yang tersepit, tetapi saya sendiri sudah tidak berdaya,” katanya yang patah jari tangan kirinya.

Seorang lagi penumpang, Abd. Rahman Ismail, 62, dari Rantau Panjang berkata, dia yang sedang tidur, terjaga apabila terdengar bunyi berdentum akibat bas melanggar pembahagi jalan.

‘‘Apabila saya buka mata suasana gelap dan saya merangkak keluar melalui pintu kecemasan bas,” ujarnya yang cedera di dahi dan kaki akibat terkena kaca.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abd. Rahman ketika ditemui berkata, jalan raya tersebut telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada kawasan kemalangan di negeri ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua warga Thailand itu masuk ke negara ini secara sah bagi mengikuti satu rombongan ke Kuantan.

Ulasan : Langkah segera perlu diambil bagi membendung kemalangan yang melibatkan bas ekspres yang mutakhir ini kerap berlaku. Takziah buat keluarga mangsa.

1 ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude