Jumaat, 21 Mac 2008

Ulul Albab: Seleweng maksud al-Quran punca Islamofobia

DAKAR satu nama yang melekat dalam minda penulis sejak beberapa dekad lalu. Di bangku sekolah, nama itu sering disebut dalam mata pelajaran geografi dan ketika belajar di Kuwait, nama ibu kota Senegal itu terus bermain di bibir penulis kerana ramai pelajar dari negara itu belajar di negara Teluk.

Kini Dakar muncul lagi apabila ibu negara Senegal itu dipilih sebagai tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Kali Ke-11 yang bermula pada 13 Mac lalu dan berakhir hari ini.

Antara perbahasan yang menyentuh kepentingan umat Islam semasa ialah isu Islamofobia di Barat yang tidak pernah reda bahkan dikatakan semakin menjadi-jadi. Entah disengaja atau tidak, ketika umat Islam sedang bersiap-siap menyambut kedatangan Rabiulawal di mana kita akan meraikan Hari Keputeraan Rasulullah SAW, akhbar di Denmark bulan lalu mencetak semula karikatur Baginda memakai serban berbentuk bom dengan fius di atasnya, selepas dakwaan wujud satu rancangan untuk membunuh pelukis karikatur berkenaan.

Di Belanda, Geert Wilders, seorang ahli perundangan membuat filem dokumentari mengenai al-Quran yang didakwanya sebagai pencetus keganasan dan mengajak umat manusia sering bermusuhan. Apa salahnya al-Quran? Sungguh suatu tuduhan keji yang tidak akan pernah dikatakan oleh seorang manusia kecuali orang itu menghidap penyakit mental yang teruk.

Jika kita tanyakan kepada fikiran waras manusia apakah faedahnya kedua-dua perbuatan itu, sudah tentu jawapannya adalah negatif kerana di samping tidak memberi sebarang faedah, ia akan memicu untuk memanjangkan lagi pertembungan Barat dan Islam.

Antara perkara yang ditegaskan dalam perhimpunan 57 negara itu adalah perbuatan 'Islamofobia' melanggar peraturan antarabangsa, melarang sebarang bentuk penghinaan terhadap kepercayaan mana-mana agama walaupun berselindung di sebalik kebebasan bersuara.

Perbuatan Wilders sebenarnya bukan perkara baru. Ia adalah satu mata rantai yang telah berguling sejak diutusnya Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul. Sejak diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk dan rahmat bagi alam, al-Quran telah ditentang kebenarannya oleh orang kafir dan musyrik Quraisy di Makkah. Mereka tidak hanya mencaci wahyu Allah itu, malah menudingnya sebagai cerita dongeng. Dalam al-Quran dikatakan maksudnya: Dan orang kafir itu berkata: “(al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan dia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain”. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta. Dan mereka berkata lagi: “Al-Quran itu adalah cerita dongeng orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)? (Surah al-Furqan: 4-5) Dalam ayat lain disebutkan maksudnya: “Apabila dibacakan kepadanya ayat keterangan Kami, dia berkata: “(Ini ialah) cerita dongeng orang dahulu kala.” (Surah al-Qalam 15).

Ketika Nabi SAW dan sahabatnya berhijrah ke Madinah, cercaan terhadap al-Quran berterusan. Orang kafir, kelompok Yahudi dan Kristian sekata menolak dan meragukan kebenaran ayat Allah SWT. Hal ini dapat dimengerti kerana di antara tujuan kedatangan al-Quran adalah mengulangkaji dan meluruskan penyimpangan akidah dan pandangan hidup mereka.

Penentangan dan penolakan terhadap al-Quran dengan dua sebab di atas terus berlanjutan. Sebagai contoh, Leo III, Kaisar Bizantium (717-741) ketika menjawab surat yang dihantar Khalifah Umar ibn Abul Aziz berkata: “Mengenai kepunyaan mu (al-Quran), kamu telah memberikan contoh yang salah, dan orang tahu, antaranya bahawa al-Hajjaj di mana kamu menyebutnya sebagai Gabenor Persia, menyuruh orang untuk menghimpun buku kuno, yang kemudian dia ganti dengan yang lain yang dikarangnya sendiri, menurut seleranya, dan kemudian dia propagandakan di mana-mana dalam bangsamu.” (Adnin Armas, Metodologi Bibel dalam Studi Al-Quran, 2004) Dalam surat balasan Leo III ini menunjukkan dia menuduh al-Quran kitab dikarang oleh manusia.

Ramai ahli sejarah dan perbandingan agama seperti dilaporkan eramuslim.com pada 1 Disember tahun lalu, menyatakan Injil ditulis dan disusun bukan pada zaman Nabi Isa AS, tapi ia dikerjakan setelah 200 tahun nabi Isa diangkat ke langit. Penulisan berkenaan mempunyai pelbagai versi dari paderi Kristian.

Ada menyebut 65 sampai 73 penulis, tapi disepakati hanya empat iaitu Matius (satu daripada kelompok Hawariyyun); Markus (mengenal nabi Isa AS melalui Batres di akhir masa hidupnya); Lukas (Injil lebih banyak dipengaruhi budaya Yunani); dan Barnabas. (Lihat Dr Ahmad al-Samhrani, Al-Bayan fi Muqaranah al-Adyan, 2001).

Dari penelitiannya itu, al-Sahmarani menyimpulkan, wajar saja bila dalam Injil terjadi pelbagai macam penyimpangan dan kekeliruan. Dalam bukunya yang terbaru, The Biografical of Bibel (2007), Karen Amstrong, menjelaskan, revisi dan kritik terhadap Injil itu terus berlarutan, dan yang paling serius dimulai oleh Baruch Spinoza.

Selepas 23 tahun surat Leo III itu, Johannes al-Dimasyqi juga datang bertanyakan kebenaran al-Quran. Dia menuduh Islam sebagai satu daripada aliran bidaah. Dia menuduh: “Muhammad menulis banyak cerita bodoh, yang setiap satu daripadanya, dia lengkapi sebelumnya dengan judul. Misalnya, perbahasan mengenai wanita, di mana dia jelas membenarkan seseorang untuk memiliki empat isteri dan seribu gundik jika sanggup, sebanyak yang dia mampu menjaga mereka di samping empat isteri,” tuduh Johannes. (Adnin Armas, Metodologi Bibel).

Kemudian Abdul Masih al-Kindi (873) juga ikut tersenarai dalam kelompok pencetus Islamfobia apabila dia mendakwa bahawa setelah Muhammad wafat, al-Quran diubah oleh Abdullah bin Salam bin Kaab.

Memasuki abad ke-10, penentang al-Quran semakin bertambah dengan pelbagai cara dan bentuk. Kali ini muncul nama Petrus Venerebalis (1094-1154). Dia adalah Ketua Gereja Cluny di Perancis. Melalui dana yang besar, dia menugaskan sejumlah orang dalam sebuah pasukan terjemahan al-Quran. Usaha terjemahan oleh Robert Ketton dalam bahasa Latin ini dinilai berhasil walaupun banyak penyimpangan di dalamnya.

Susah payah Ketton inilah kemudian dijadikan rujukan terjemahan ke bahasa Itali, Jerman dan Belanda.

Selama 600 tahun kemudian, terjemahan Ketton itu dijadikan sumber rujukan misionaris, paderi, pastor dan lainnya untuk menentang al-Quran. Mereka antara lain, Martin Luther (1483-1546) dan Hugo Grotius (1583-1645).

Sampai di sini, niat Petrus dianggap telah berhasil. Sebab, sejak awal motif Petrus membuat membentuk pasukan terjemahan al-Quran untuk membaptis pemahaman kaum muslimin terhadap al-Quran.

Dan sekitar 200-300 tahun kemudian, usaha Petrus itu berhasil. Sudah ratusan sarjana Muslim yang dicetak (disekolahkan dan dididik) oleh Barat menjadi pengikut mereka. Kini mereka menjadi penyebar dan penentang al-Quran sebagaimana kafir Quraisy, kaum Yahudi dan Kristian.

Di antara mereka sudah tidak lagi percaya pada hukum faraid yang diatur secara terperinci dalam al-Quran. Mereka juga menghalalkan pernikahan sesama jenis. Dan mereka juga menyamakan semua agama. Demikian laporan dalam eramuslim.com.

Kita jawab perbuatan mempertikaikan al-Quran yang dilakukan oleh minoriti bising itu sama dengan jawapan al-Quran yang diberikan kepada Junjungan kita ketika berdepan dengan minoriti Islamfobia pada masa itu. Kita katakan kepada mereka maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Furqan: 6) Semua dakwaan di atas yang tidak berasas dan salah adalah bukti kewujudan Islamfobia yang dibawa oleh segelintir manusia yang berkuasa demi mengheret majoriti senyap untuk berhadapan dengan kebenaran al-Quran sebagai kitab panduan umat Islam. Mereka tahu bahawa dengan mengadakan propaganda yang menggoncang kedudukan al-Quran, maka mereka dengan mudah memenangi pertempuran minda yang boleh membawa kepada konflik bersenjata dan menumpahkan darah.

Pendirian majoriti senyap adalah pendirian sebenar daripada sesebuah masyarakat yang berjalan di atas landasan yang benar dan lurus. Minoriti bising pula adalah suatu wabak penyakit yang boleh memesongkan perjalanan dan menggugat keharmonian dan perpaduan. Jika tidak ada penerbitan semula kartun yang didakwa gambar Nabi dan juga filem pendek menghina al-Quran yang dilakukan minoriti bising Islamfobia akankah terjadi keresahan dan ketegangan di kalangan majoriti senyap warga masyarakat dunia?

Sudah semestinya umat Islam berusaha untuk sentiasa berdakwah demi memperbetul keadaan. Dakwah yang paling berkesan adalah seperti yang ditetapkan al-Quran yang maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)


Dalam ayat ini ada tiga cara berdakwah sama ada dalam memperkenalkan Islam mahupun mempertahankan ajarannya. Yang pertama dengan cara hikmat kebijaksanaan di mana keutamaan diberikan kepada sesuatu yang sememangnya diperlukan pada masa itu. Dengan perkataan lain menerapkan fiqh al-awwaliyat. Yang kedua dengan contoh tauladan nasihat pengajaran yang baik menerusi perbuatan dan kata-kata. Jangan kita cakap tidak serupa bikin. Mesti konsisten dan sinkron antara cakap dan bikin. Dan yang ketiga adalah menerusi dialog yang membina, bukan debat tidak ada guna yang hanya menghabiskan masa dan tenaga saja kerana dengan dialog kesamar-samaran akan jelas, dan syak wasangka akan menjadi saling percaya. Wallahualam

(Artikel dari ruangan Agama Berita Harian)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Câmera Digital, I hope you enjoy. The address is http://camera-fotografica-digital.blogspot.com. A hug.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude