Sabtu, 22 Mac 2008

UMNO semakin bergolak ?


KUALA LUMPUR 21 Mac – Pemimpin-pemimpin UMNO hari ini menyifatkan langkah Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden parti itu sebagai satu usaha ‘menangguk di air keruh’.

Mereka juga menganggap tindakan bekas Menteri Kewangan tersebut sebagai tidak sesuai pada masanya ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang berusaha mengukuhkan semula kedudukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pandangan paling lantang disuarakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempertikaikan keikhlasan hasrat bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) itu.

Sambil menentang sebarang cubaan untuk mencabar kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Hishammuddin menegaskan tindakan Tengku Razaleigh umpama ‘menangguk di air yang keruh’.

‘‘Saya tak setuju langsung apatah lagi dalam keadaan semua pihak telah menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan untuk merapatkan barisan, membina semula parti dan memberi semangat kepada ahli-ahli.

‘‘(Lagipun) usaha hendak mencabar atau hendak menawarkan diri dalam keadaan kita belum lagi masuk ‘gear’ pemilihan UMNO, saya rasa tidak sesuai. Masanya tidak kondusif,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya yang pertama di Putrajaya hari ini.

Kelmarin, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang membuat kejutan dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu dengan mengatakan beliau bersedia bertanding sekali lagi bagi jawatan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti akan datang.

Pemimpin veteran UMNO itu berkata, jika mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, tiada sebab baginya menolak ‘harapan’ bahagian-bahagian yang mahukan perubahan pada peringkat pucuk pimpinan.

Tengku Razaleigh juga secara terbuka menyatakan kesediaan merawat UMNO bagi memastikan parti itu tidak hilang kekuasaan dan Melayu terus dibela.

Hishammuddin berkata, sebarang usaha mencabar kepimpinan yang dilakukan pada waktu ini boleh dipertikaikan keikhlasannya.

‘‘Ini akan menimbulkan tanda tanya sama ada hasratnya (Tengku Razaleigh) ikhlas atau tidak, atau ingin mengambil kesempatan di dalam suasana sekarang ini,” katanya.

Beliau menambah, tawaran tersebut juga terlalu awal kerana pemilihan parti masih lama lagi.

Di MELAKA, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menganggap tindakan Tengku Razaleigh hanya akan mengeruhkan keadaan.

Beliau berkata, sepatutnya ketika ini, seluruh ahli UMNO bersatu padu di belakang pucuk pimpinan bagi memperkuatkan UMNO menghadapi cabaran masa depan.

“Masa sekarang adalah untuk kita meningkatkan lagi perpaduan dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan supaya UMNO dapat dipulihkan kembali,” jelasnya.

Katanya, tindakan Tengku Razaleigh itu akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan anggota dan pemimpin parti yang akhirnya menjurus kepada perpecahan.

“Saya percaya majoriti ahli UMNO sentiasa berada di belakang pucuk pimpinan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagaimana yang dibuktikan pada masa lepas,” katanya.

Bagi mengelak perpecahan dan terjejasnya usaha memulihkan semula kekuatan UMNO, Mohd. Ali berkata, beliau berharap anggota parti tidak terpengaruh dengan cadangan Tengku Razaleigh itu.

“Kita di saat yang susah ini patut sentiasa menyokong dan bersama pucuk pimpinan seperti yang kita telah buat pada masa lepas supaya semua cabaran yang kita hadapi dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Beliau percaya kepimpinan sekarang mampu memulihkan kekuatan UMNO dengan sokongan kuat semua pihak termasuk anggotanya yang bersatu hati.



Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong saranan tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah agar Umno menganjurkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membincangkan kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya 8 Mac.

"Saya dimaklumkan Tengku Razaleigh telah menulis surat kepada semua bahagian menggesa mereka meluluskan usul untuk menganjurkan EGM untuk membincangkan masalah-masalah melibatkan Melayu. Saya sokongan cadangan itu," katanya.

Beliau bagaimanapun "tidak memihak" apabila Tengku Razaleigh ingin mencabar presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti diumumkan kelmarin.

Ditanya kali kedua persoalan yang sama, bekas presiden Umno itu berkata: "Jika saya menyokongnya untuk jawatan presiden, calon-calon lain akan minta sokongan juga".

"Soal memilih presiden baru sepatutnya dibincang selepas kita menyelesaikan masalah kita. Kerana mungkin juga calon lain berminat pada jawatan itu," katanya di sidang media di Carcosa Seri Negara selepas satu majlis pelancaran buku petang tadi.

"Lagi pun, untuk melayakkan bertanding presiden Umno, beliau (Tengku Razaleigh) memerlukan sokongan daripada 60 bahagian. Saya tidak fikir 60 bahagian berani menyokongnya."

Tengku Razaleigh mengisytiharkan kesediaannya mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli parlimen Gua Musang gagal memperolehi sokongan pada 2004 walaupun menyatakan bertanding. Beliau hanya mendapat satu sokongan sahaja - daripada bahagiannya sendiri, Gua Musang.

Dalam perkembangan di luar dugaan hari ini, naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong saranan Tengku Razaleigh dengan syarat "ia dijalankan mengikut perlembagaan parti" dan "tidak melemahkan Umno".

Dr Mahathir, mengulas kebimbangan akan wujud perpecahan jika ada pertandingan seperti yang dialami pada 1987 dan 1999, berkata perkara itu tidak berbangkit sekarang.

"Semasa yang presiden dan Perdana Menteri, Umno berpecah dua kali," akuinya.

"Akibatnya, muncul Semangat 46 dan PKR. Walaupun mengalami perpecahan, Umno mampu bersatu semula dan ketika pilihanraya umum 2004, kita dalam keadaan padu.

"BN menang 90 peratus kerusi dan itu bermakna pengundi tidak memilih PKR."

Walaupun perpecahan tidak elok untuk parti, jelasnya, tetapi perbahasan terbuka itu penting.

"Malangnya, suasana kini tidak mengizinkan pertentangan idea atau perbincangan. Ahli-ahli sekarang takut bersuara, bimbang hilang kedudukan dalam kerajaan, bahagian dan malah cawangan."

Halangan bersuara itu, tambahnya, bukanlah cara Umno.

"Sejak zaman Tunku (Abdul Rahman), Umno sentiasa mewujudkan budaya berbeza pandangan. Ketika presiden pertama Datuk Onn (Jaafar) mahu menjadikan Umno parti berbilang kaum, ahli-ahli membantah. Dan beliau menarik diri.

"Dan ketika saya membuat masalah pada Tunku, beliau menarik diri dan Umno kekal bersatu."

Jadi akibat ruang bersuara yang terbatas, ramai anggota Umno menyokong pembangkang sebagai melahirkan bantahan, katanya.

"Ia bukan bermakna mereka menyokong pembangkang, tetapi kerana mereka menentang pucuk pimpinan," kata Dr Mahathir lagi.

Untuk menghalang gejala ini, beliau mengesyorkan ditubuhkan satu jawatankuasa peringkat presiden untuk mengawal pemimpin nombor satu itu. Kalau tidak, terlalu banyak kuasa di tangan seorang pemimpin, hujahnya.

Bekas negarawan itu turut bersetuju dengan idea menghadkan jawatan presiden Umno. Tetapi, tambahnya, peralihan itu tidak bererti bapa mertua menyerahkan jawatannya kepada menantu sendiri - dengan jelas merujuk hubungan Abdullah dengan Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda Umno.

Mengulas ura-ura PKR membeli wakil-wakil BN, beliau berkata negara ini mengamalkan demokrasi dan sama ada kerajaan atau pembangkang melakukan hal yang sama.

"Kedua-dua pihak cuba membeli. Itulah cara yang sangat demokratik. RM10 juta harganya," katanya. "Bayangkan, jika anda seorang Yang Berhormat dan anda memiliki RM10 juta. Memang sangat demokratik."

Mahathir sebelumnya melancarkan buku kedua bekas pengerusi Malaysian Airports Holdings Bhd, allahyarham Basir Ismail, Management - Astray.

Ulasan : Kita tunggu dan lihat apakah Ku Li akan berjaya dalam misinya merawat UMNO ?


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude