Jumaat, 21 Mac 2008

Ahli Parlimen BN mula menyeberang ?


Ahli parlimen Serian, Richard Riot telah keluar dari Supp - parti komponen Barisan Nasional (BN) - bersama ramai ahli parti itu dari kawasannya selepas beliau tidak dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat pusat.

Richard, seorang Bidayuh, telah menjadi ahli parlimen Serian selama lima penggal. Beliau menang kerusi Serian sebagai calon bebas pada 1990 dan menyertai Supp untuk mengekalkan kerusinya sebagai ahli parlimen BN kerana Serian merupakan kerusi tradisi Supp.

Richard menyerahkan surat keluar parti kepada Presiden Supp, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam pada hari yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan barisan kabinetnya.

Seorang ahli veteran parti itu, yang bertindak sebagai jurucakap ahli parlimen Serian itu, mengesahkan kepada Malaysiakini desas-desus bahawa Richard telah keluar parti bersama ramai penyokongnya dari lima cawangan Supp kawasan tersebut.

Setiap cawangan mempunyai lebih 1,000 ahli.

Jurucakap tersebut yang tidak mahu namanya disebut berkata, selepas surat itu diserahkan kepada Chan, presiden Supp itu menghantar setiausaha agungnya Sim Kheng Hui pergi memujuk Richard.

"Tetapi Richard tidak dapat ditemui," tambahnya.

Menurut jurucakap itu lagi, ramai ahli Supp di Serian, sebahagian besarnya suku kaum Bidayuh, telah memulangkan kad keahlian mereka dan menghantarnya dalam sebuah beg kepada presiden parti bersama dengan surat keluar parti.

Bendera parti Supp di pejabat Serian telah diturunkan dan dibakar oleh ahli-ahli yang marah.

'Tidak dipenting'

Dalam suratnya itu, Richard dikatakan telah memberitahu Chan - salah seorang timbalan ketua menteri Sarawak - bahawa parti itu tidak mementingkan kaum Dayak.

Chan dituduh mengemukakan empat nama dari parti tersebut untuk pertimbangan perdana menteri sedangkan beliau (Chan) sendiri tahu kuota untuk parti itu hanya tiga jawatan - seorang menteri penuh dan dua timbalan menteri.

Empat nama tersebut ialah ahli parlimen Miri, Datuk Peter Chin, Datuk Robert Lau (Sibu), Datuk Yong Khoon Seng (Stampin) dan Richard Riot.

Richard memang kerusi Serian untuk penggal kelima dengan majoriti besar 13,427 undi, mengalahkan calon Snap, Sylvester Belayong Jayang. Parlimen Serian mempunyai 27,901 pemilih berdaftar - 80 peratus daripadanya suku kaum Bidayuh.

Ekoran keputusan Richard itu, Supp kini hanya mempunyai lima ahli parlimen - semua kaum Cina. Parti itu kalah kerusi parlimen (Bandar Kuching) kepada penyandang dari DAP, Chong Chieng Jen.

Richard tidak dapat dihubungi tetapi jurucakapnya memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah pulang ke kampungnya dan tidak akan menemui sebarang pemimpin Supp.

Beliau dijangka menjadi ahli parlimen bebas walaupun terdapat laporan yang mengatakan beliau telah menunjukkan minat untuk menyertai PKR.

SUPP nafi Riot keluar BN

Richard Riot, yang dilaporkan telah meninggalkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), masih lagi ahli parlimen BN di Serian, kata presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam hari ini.

Surat peletakan jawatan Richard belum diterima oleh parti, kata Chan.

"Saya dan setiausaha agung tidak menerima apa-apa pun. Saya tidak fikir ia benar. Saya cuba hubungi beliau tetapi tidak berjaya," katanya kepada Bernama.

Chan mengakui Richard "kecewa" selepas tidak tersenarai dalam barisan kabinet seperti diumumkan Selasa.

Menurut laporan itu, Chan menasihati Richard, yang mewakili kawasan itu selama lima penggal, bersabar ketika parti itu "sedang mengusahakan penyelesaian untuknya".

"Terdapat khabar angin bahawa beliau (Richard) mahu menyertai pembangkang tetapi sehingga sekarang, kami masih belum dapat menghubungi beliau," Chan dipetik sebagai berkata.

"Saya telahpun meminta YB Ranum (Mina) dan YB Francis (Harden) untuk mencari beliau memandangkan beliau tidak dapat dihubungi."

Chan dilaporkan masih berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi pertimbangan satu jawatan lain untuk Richard.

SUPP bertanding di tujuh kerusi parlimen dan hanya gagal di Bandar Kuching kepada DAP.








Walaupun Perdana Menteri yakin wakil-wakil BN tidak akan melompat kepada parti-parti pembangkang, Umno bagaimanapun akan menyiasat kemungkinan wujudnya usaha berbuat demikian dalam kalangan pemimpin Umno.

Setiausaha agung baru Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya akan menghantar ejen risikan untuk memastikan dakwaan bahawa kini wujud percubaan memujuk ahli-ahli parlimen meninggalkan BN.

"Wakil-wakil rakyat kita sedar bahawa BN dan Umno satu-satunya gabungan dan parti untuk mereka," katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada parti pembangkang agar "jangan jadi bodoh" untuk menghasut wakil-wakil BN melompat parti, lapor laman web Star Online.

Tengku Adnan mengulas kenyataan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihaknya menyambut baik wakil-wakil rakyat BN yang ingin berpindah parti.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dilaporkan menyedari usaha memujuk wakil-wakil BN lompat parti dan yakin tiada sebab kerajaan pimpinannya tumbang kerana ia kuat dan mendapat sokongan rakyat.

Sementara agensi berita Bernama melaporkan BN akan mengirim pasukan risikannya ke Sabah dan Sarawak tidak lama lagi untuk meninjau percubaan wakil-wakil parti itu berpindah kepada pembangkang.

Memetik kenyataan Tengku Adnan, laporan itu menyebut BN memerlukan maklumat sahih untuk menilai perkembangan mutakhir.

"Maklumat yang diterima setakat ini ada yang sahih dan tidak sahih. Ada kata gini, ada kata gitu," beliau dipetik sebagai berkata.

Usaha menarik wakil BN kepada pembangkang muncul selepas parti itu gagal memperolehi majoriti dua pertiga, sementara parti-parti pembangkang pula hanya memerlukan 30 kerusi di Dewan Rakyat untuk memerintah dengan majoriti mudah.

BN mendapat 140 kerusi dan pembangkang 82 kerusi parlimen.

Mengulas isu yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, dan juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng hari ini meminta Perdana Menteri membuat laporan polis jika ada bukti parti pembangkang "membeli" wakil-wakil BN.

Lim berkata, ia harus dilaporkan kepada polis kerana "membeli" wakil rakyat satu kesalahan di sisi undang-undang dan dianggap rasuah.

"Kalau ada bukti, saya harap beliau boleh tunjukkan supaya tindakan boleh diambil," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri itu.

Lim menafikan DAP terlibat dalam kegiatan seumpama itu.

Beberapa hari lalu, Anwar menyatakan beliau kini sedang mengadakan rundingan dengan sejumlah wakil BN yang berhasrat berpindah parti.

"Mereka datang dan mendekati kita," kata Anwar.

Bekas timbalan perdana menteri itu menambah, beliau telah bercakap dengan "sejumlah" wakil rakyat BN dan memaklumkan bahawa sokongan mereka tidak akan diberikan ganjaran.

"Jika mereka mahu menukar parti dengan sejumlah harga, nampaknya mereka telah memilih parti yang salah," katanya.

Tambahnya, mereka dialu-alukan beralih parti "jika mereka menerima agenda kita".

Anwar mengesahkan beliau kini sedang mendapatkan dukungan ahli-ahli parlimen BN dari Malaysia timur, kumpulan sokongan besar yang boleh menumbangkan parti itu jika berlaku pertukaran parti.

Ulasan : Apakah ini akan menjadi kenyataan? Ramai ahli parlimen BN yang tidak berpuas hati dengan line up kabinet yang baru. Sampai ada yang terasa dan meletak jawatan seperti Datuk Seri Syeikh Radzi Ahmad (ex- SU Agung Umno dan BN). Kita tunggu dan lihat.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude