Selasa, 4 Mac 2008

Sokongan BN meningkat -- Impian pembangkang tawan lebih banyak kerusi sukar- Ye ke?


KUALA LUMPUR 3 Mac – Impian parti pembangkang untuk menawan lebih banyak kerusi di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sukar menjadi kenyataan ekoran sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) semakin meningkat selepas lapan hari kempen pilihan raya.

Walaupun pada peringkat awal kempen pembangkang agak menonjol terutama di negeri-negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung, namun setelah seminggu berkempen sokongan pengundi kepada BN semakin ketara.

Negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Terengganu yang sebelum ini dikatakan mempunyai banyak kawasan ‘panas’ yang mungkin ditawan oleh pembangkang menunjukkan tanda-tanda sebaliknya.

Para pemimpin BN negeri-negeri itu yakin pengundi mula memberikan reaksi yang baik kepada calon-calon BN dan menerima penjelasan kerajaan mengenai pelbagai isu politik, ekonomi dan pembangunan yang dibangkitkan oleh parti-parti pembangkang.

Perkembangan itu jika dapat diteruskan sehingga 8 Mac ini bakal memberi tamparan kepada pembangkang yang bercita-cita untuk memperluaskan pengaruh mereka ke negeri-negeri berkenaan.

Ketika parti pembangkang Pas berada dalam keadaan tertekan untuk mempertahankan Kelantan, parti itu turut mengimpikan kembali memerintah Terengganu dan mahu menawan Kedah.

Para pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dilihat agresif dalam kempen di Pulau Pinang dan Perak.

Berdasarkan corak kempen sejak beberapa hari lalu, Pengerusi BN di negeri-negeri terbabit percaya impian pembangkang itu akan berakhir dengan kehampaan.

Di ALOR STAR, Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN Kedah yakin dapat memenangi semua kerusi yang ditandingi di kawasan ‘panas’ berikutan terdapat peningkatan positif dalam kempen yang dijalankan BN sepanjang minggu lalu.

Tanpa menamakan kawasan-kawasan ‘panas’ tersebut, Mahdzir berkata: “Sejak hari penamaan calon 24 Februari lalu, tiap-tiap hari ada perubahan dan ia makin positif kepada BN.

“Kita akan beri tumpuan khusus terutama di kalangan pengundi atas pagar.”

Mahdzir bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Keda Bagan Sena, Merbau Pulas hari ini.

Keputusan pilihan raya umum 2004 menunjukkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dianggap kawasan ‘panas’ dan Pas meletakkan sasaran untuk memenangi kerusi-kerusi yang dimenangi BN dengan undi majoriti kurang daripada 1,000 undi.

Negeri itu mempunyai 16 kerusi Parlimen dan 36 DUN.

“Di Kedah, pengundi atas pagar banyak tertumpu di bandar. Ramai di antara mereka tidak menganggotai mana-mana parti. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan pengamatan masing-masing.

“Sebaliknya, di kawasan kampung, pengundi menunjukkan pendirian yang jelas. Yang sokong BN atau Pas, kita nampak nyata (dari segi sikap mereka),” katanya.

Di KANGAR, BN Perlis dijangka menang dan tidak menghadapi masalah menguasai semua kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, cita-cita besar pembangkang untuk menawan negeri itu pada pilihan raya umum 8 Mac ini tidak akan kesampaian.

Malah, katanya, BN Perlis sejak awal-awal lagi telah meletakkan sasaran 100 peratus kemenangan di semua tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN yang dipertandingkan.

“Kemenangan itu nanti akan kita jadikan hadiah istimewa buat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” kata beliau.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Perlis berkata, ‘pergolakan’ UMNO negeri itu yang diheboh-hebohkan ketika ini hanya gelora yang bersifat sementara.

“Walaupun ada pandangan rambang mengenai UMNO Perlis yang dikatakan bergolak, ia tidak akan memberi kesan kerana 80 peratus sokongan akar umbi kekal bersama kerajaan BN,” katanya.

Baru-baru ini, Pas Perlis menerusi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Harun Din menyatakan parti itu yakin dapat menawan Perlis dengan meletakkan sasaran merampas tujuh kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.

Antara kawasan yang disasarkan oleh Pas termasuk DUN Sanglang, Simpang Empat, Guar Sanji dan Pauh di Arau; Bintong dan Kayang di Kangar dan Santan di Padang Besar selain kerusi Parlimen Arau.

Pada pilihan raya 1999, Pas menang tiga kerusi DUN di Perlis iaitu Guar Sanji, Santan dan Sanglang tetapi bilangan kerusi itu berkurangan kepada satu kerusi, iaitu DUN Sanglang, pada pilihan raya 2004.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, sokongan terhadap UMNO dan BN semakin ketara selepas lapan hari berkempen, sekali gus memantapkan peluang parti itu untuk terus mempertahankan kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2004.

Beliau percaya rakyat akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN kerana mereka sedar hanya parti itu yang mampu membawa kemajuan dan dalam masa sama memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Menurutnya, mood rakyat Terengganu yang menyokong BN amat jelas khususnya dalam keadaan Pas yang kini semakin ketandusan isu.

“Selain berjaya mempertahankan Terengganu, saya juga optimis pada pilihan raya umum kali ini kerusi-kerusi DUN yang sebelum ini dikuasai Pas akan dapat dirampas semula.

“Inilah kedudukan BN sekarang dan apa yang lebih penting ialah kita beri penekanan kepada mutu khidmat kepada rakyat selepas menang pilihan raya nanti,” katanya.

Idris berkata, masalah yang dihadapi BN Terengganu pada hari pengumuman calon telah berjaya diselesaikan sepenuhnya dan jentera parti ketika ini bertungkus-lumus memastikan kemenangan BN.

“BN sekarang berada pada tahap terbaik. Segala masalah telah diselesaikan dan tumpuan kita adalah memburu kemenangan untuk BN,” katanya

Sementara itu, di NIBONG TEBAL, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ditanya mengenai laporan pihak tertentu bahawa beberapa ‘kawasan hitam’ mula muncul di Pulau Pinang ekoran kempen agresif parti pembangkang menjelang pengundian Sabtu ini.

Kata Tsu Koon: “Saya belum mendapat laporan mengenai perkara itu.”

Ulasan : Wa makaru wa makarallah wallahu khairul makirin. (Mereka merancang tipu daya, Allah juga ada perancangannya dan Allah sebaik-baik perancang mengatasi tipu daya mereka)


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude