Isnin, 3 Mac 2008

Pas kepanasan ; Angin perubahan politik mula dirasai di Kelantan -Benarkah?


KOTA BHARU 2 Mac – Pas yang berusaha mempertahankan cengkaman 18 tahunnya di negeri ini kini kepanasan ekoran kempen bersungguh-sungguh Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan Kelantan kepada pemerintahan BN.

Setelah tujuh hari berkempen dan dengan tarikh pilihan raya umum tinggal enam hari lagi, angin perubahan politik mula dirasai para pengundi di negeri ini.

Persaingan sengit merebut 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini menyaksikan segenap jentera BN giat memenangi hati pengundi, manakala Pas pula bekerja keras mempertahankan negeri ini daripada jatuh ke tangan BN.

Ketika Parlimen dibubarkan 13 Februari lalu, Pas hanya memiliki kelebihan satu kerusi di DUN dengan Pas mempunyai 23 kerusi, manakala BN diwakili 22 wakil rakyat.

Lima daripada 23 DUN Pas dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan undi majoriti antara dua dan 75 undi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkempen di tujuh kawasan di negeri ini hari ini membayangkan arus perubahan semakin jelas di Kelantan, terutama di kawasan-kawasan Parlimen dan DUN yang Pas dikatakan mempunyai pengaruh besar.

Beliau yang diiringi calon BN di Parlimen Bachok dan DUN Perupok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dalam kempen itu menerima sambutan memberangsangkan dengan penduduk negeri ini mengalu-alukan Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan yang dinamakan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan jika BN mengambil alih kuasa pada 8 Mac ini.

Menurut Najib, di sesetengah kawasan jentera BN sebelum ini terlalu sukar untuk menganjurkan majlis bertemu rakyat kerana ia menjadi kubu kuat Pas, tetapi masalah itu tidak lagi dihadapi sekarang.

‘‘Tempat yang saya pergi pagi ini, kawasan Perupok, Bachok (Kampung Sungai Dua) memberikan sambutan yang luar biasa sekali.

‘‘Nampaknya pengundi sudah membuka minda untuk memikirkan kemungkinan menyokong BN pada pilihan raya umum nanti,” kata Najib pada sidang media selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 dekat sini.

Najib yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN telah dua kali melawat Kelantan selepas penamaan calon 24 Februari lalu.

Manifesto BN di Kelantan yang menjanjikan agenda perubahan ekonomi, sosial dan agama untuk penduduk negeri ini bagi membentuk Kelantan Baru menjadi modal politik yang dibincangkan secara terbuka dan diterima baik oleh penduduk negeri ini.

Najib percaya sambutan baru rakyat Kelantan kepada komitmen BN bagi membawa pembangunan baru merupakan satu petunjuk yang positif.

‘‘Dulu bukan senang majlis sebegini (majlis pemimpin bersama rakyat) dapat diadakan.

‘‘Mudah-mudahan dengan lawatan Perdana Menteri, saya, para pemimpin BN lain dan pemimpin setempat bagi memberi penjelasan dan kesedaran, ia akan memantapkan lagi sokongan kepada BN.

‘‘Insya-Allah perkembangan yang ditunjukkan akan memberi kemenangan kepada BN,’’ katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melawat Kelantan Jumaat lepas.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan sejurus selepas program di Kubang Kerian 2 petang ini, Najib menerima borang kemasukan menjadi ahli UMNO melibatkan lebih 200 bekas ahli dan penyokong Pas yang diketuai Abdul Salam Ismail, bekas pegawai khas kepada Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Abdul Salam berkhidmat dengan Husam ketika pemimpin Pas itu menjadi ahli Parlimen.

Najib mengingatkan seluruh jentera parti BN supaya memfokus kepada usaha menawan Kelantan serta mengetepikan segala persoalan remeh- temeh.

‘‘Kita kena bersama-sama memastikan kemenangan BN. Usah fikir lagi soal siapa calon kerana mereka semua calon BN dan kita sebagai anggota parti mesti menyokong calon yang diputuskan parti di samping bekerja habis-habisan.

‘‘Perubahan tidak akan menjadi kenyataan melainkan kita sendiri turut menunjukkan kesungguhan untuk membawa perubahan itu,’’ ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut menyeru anak Kelantan yang berada di luar negeri ini, yang dianggarkan seramai 800,000 orang, supaya pulang beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya bagi menterjemahkan hasrat mereka yang inginkan perubahan.

‘‘Kita (BN) setakat mampu sediakan gagasan dan program yang disusun untuk Kelantan, tetapi sama ada ia dapat menjadi realiti, pengundi mesti pulang untuk mengundi ke arah perubahan bagi membentuk sebuah Kelantan baru dan maju,’’ kata Najib

Ulasan : BN seolah-olah begitu yakin akan menawan Kelantan. BN seolah-olah berlagak seperti Tuhan ; hanya mereka pandai memerintah sedangkan pihak lain tidak. Insya Allah Kelantan akan terus kekal, aman dan damai di bawah pemerintahan ulama dan mereka yang ikhlas membantu menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude