Rabu, 5 Mac 2008

Guna dakwat dibatal -- Ada pihak beli dari luar negara rancang calit kuku pengundi – SPR-Mengapa?


PUTRAJAYA 4 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada kuku dalam pilihan raya umum 8 Mac ini. Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, laporan keselamatan yang diterima SPR mendedahkan terdapat pihak tertentu di Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara.

Pihak itu dikatakan merancang untuk mencalitkan dakwat itu pada kuku pengundi di kawasan luar bandar bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan. Menurut Ab. Rashid, jika pengundi-pengundi itu hadir untuk mengundi pada hari pilihan raya, sudah tentu ia akan menimbulkan keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi itu.

Ekoran terbongkarnya komplot tersebut dan selepas mendapat nasihat dari segi perundangan dan ketenteraman awam, SPR dalam mesyuarat hari ini memutuskan untuk membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu. Keputusan SPR itu juga selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak asasi rakyat untuk mengundi dalam pilihan raya. ‘‘SPR berasa amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini. Namun demi menjamin kelancaran proses pengundian dan demi ketenteraman serta keselamatan awam, keputusan ini perlu dibuat.

‘‘Saya berharap semua pihak boleh menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” kata Ab. Rashid pada sidang akhbar di sini. Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor. Menurut Ab. Rashid, selain bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, penggunaan dakwat kekal itu dikhuatiri akan mencetuskan kekecohan di tempat pengundian Sabtu ini.

Keadaan tersebut, ujarnya, boleh menimbulkan kekecohan di tempat mengundi yang mungkin menular sehingga sukar dikawal. SPR baru-baru ini telah mengimport 30,000 botol dakwat kuku itu dari India dengan kos RM1 juta. Penggunaan dakwat berwarna hitam itu diperkenalkan kerana beberapa parti politik mendesak SPR melaksanakan suatu kaedah bagi menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.

Sementara itu, Musa ketika mengulas pembatalan penggunaan dakwat itu berkata, pada masa ini polis sedang menjalankan siasatan terhadap empat kes membabitkan empat individu berlainan yang disyaki mempunyai kaitan dengan cubaan menipu menggunakan dakwat kuku itu. Menurut Ketua Polis Negara, dua daripada kes yang disiasat itu berlaku di Perlis dan masing-masing satu di Kelantan dan Kedah.

Katanya, keempat-empat lelaki berkenaan yang bekerja sendiri dan berusia antara 20 hingga 33 tahun sedang disiasat kerana cuba menipu. ‘‘Modus operandi mereka ialah pergi ke kampung-kampung untuk meletak dakwat pada kuku pengundi dan mereka memberitahu pengundi kononnya tanpa dakwat itu mereka tidak boleh mengundi. “Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai cubaan menipu dan bahagian jenayah perdagangan sedang menyiasat,” katanya.

Musa memberitahu, siasatan awal polis mendapati pihak yang terbabit cuba menimbulkan kekeliruan semasa pilihan raya dan ekoran perkembangan itu polis menghantar laporan kepada SPR bagi suruhanjaya itu menimbangkan penggunaan dakwat itu Sabtu ini. Ab. Rashid pula menjelaskan, dari sudut perundangan, seseorang pemilih berdaftar tidak boleh dinafikan haknya untuk mendapatkan kertas undi hanya kerana terdapat dakwat kekal pada kukunya.

Beliau berkata, hak seseorang pemilih berdaftar untuk mengundi dijamin di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan hak tersebut tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar berkenaan hilang kelayakan untuk mengundi di bawah undang-undang.

Hak asasi
‘‘Hak ini merupakan hak asasi seseorang pemilih berdaftar. Undang-undang yang memperuntukkan selainnya adalah ultra vires (bercanggah) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. Ab. Rashid menolak dakwaan pembatalan itu dibuat kerana SPR menerima tekanan daripada pihak tertentu.

‘‘Jangan tuduh SPR tidak mahu buat (guna dakwat kuku). SPR mahu buat apa sahaja bagi meyakinkan semua pihak tiada penipuan dalam proses pilihan raya. Bagaimanapun, keadaan tidak mengizinkan kita kali ini. Kena sabarlah,” katanya. Mengenai jumlah wang yang telah dibelanjakan SPR bagi membeli dakwat kuku itu yang diimport dari India, beliau berkata, ia tidak terlalu banyak. ‘‘Kami akan menyelesaikan perkara itu. Lagipun masih ada negara lain yang menggunakan dakwat itu. Kami akan berhubung dengan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada kajian telah dibuat terlebih dahulu sebelum SPR mengumumkan pelaksanaan cadangan itu, beliau menjelaskan, kajian SPR sebelum ini terhad kepada cara-cara penggunaan dakwat dan SPR hanya merujuk kepada Akta Pilihan Raya. ‘‘Kita tidak melihat jauh lebih mendalam dari segi Perlembagaan Persekutuan. Kita hanya sedar kemudian, iaitu selepas pertimbangan dan selepas mendapat nasihat daripada pakar undang-undang,” ujar Ab Rashid.

Beliau menambah, terpulang kepada kerajaan sama ada untuk meminda Perlembagaan Negara bagi membolehkan penggunaan dakwat kuku dilaksanakan dalam proses pilihan raya di Malaysia pada masa depan. Sementara itu, Abdul Gani pada sidang akhbar yang sama ditanya sama ada dakwat itu boleh digunakan pada pilihan raya akan datang. Abdul Gani berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi menyediakan peruntukan mengenai hak seseorang untuk mengundi.

“Anda boleh lihat Artikel 119, dan terdapat juga Akta Pilihan Raya serta peruntukan Perlakuan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya. “Pindaan boleh dibuat jika kerajaan ketika itu bersetuju, jika Parlimen setuju... jika Parlimen meluluskannya dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, baru ia menjadi undang-undang,” katanya.

Ulasan : Persoalannya mengapa dalam tempoh yang kritikal ini, dibatalkan rancangan untuk mencalit kuku pengundi. Ia akan menimbulkan banyak keraguan tentang prinsip SPR untuk menjaga ketelusan perjalanan pilihanraya dan membenarkan dakwaan bahawa SPR digunakan oleh pihak tertentu. Bersikap teluslah dan berkata benarlah dengan mendedahkan siapa pihak berkenaan. Jangan hanya untuk melindungi kepentingan pihak tertentu, maka pengumuman menjeut ini dibuat !

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude