Selasa, 26 Februari 2008

Yang mana satu idaman kalbu?


KUALA LUMPUR 25 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan ikrar membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih selamat, aman dan makmur untuk generasi akan datang.

Manifesto dengan slogan ‘Selamat, Aman, Makmur’ itu menggariskan pencapaian dan kemajuan negara dalam lapan sektor sepanjang tempoh 2004-2007 serta janji BN untuk melonjakkan Malaysia ke era yang lebih gemilang.

Sektor-sektor itu ialah ekonomi, pendidikan, pembangunan seimbang, undang-undang keselamatan awam, perkhidmatan awam, membanteras rasuah dan meningkatkan urus tadbir, agama dan perpaduan serta dasar luar.

Manifesto tersebut turut menyatakan ikrar kerajaan BN kepada para pengundi untuk meningkatkan pencapaian setiap sektor sedia ada selain menawarkan visi dan misi bagi mengemudi negara ke tahap yang lebih baik.

Dalam warkah Abdullah yang dilampirkan pada permulaan manifesto itu, Perdana Menteri menyatakan BN memerlukan sokongan rakyat dalam pilihan raya 8 Mac ini.

‘‘Hasrat untuk melahirkan Malaysia yang lebih selamat, aman dan makmur hanya akan dapat tercapai sekiranya kita bersatu hati dan berganding bahu demi generasi hari ini dan akan datang,’’ katanya pada pelancaran yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu yang turut dihadiri oleh para pemimpin parti komponen BN, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, sejak memperoleh mandat besar pada pilihan raya tahun 2004, kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan setiap apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Beliau berkata, manifesto berkenaan yang turut memberikan laporan kemajuan negara adalah bukti komitmen kerajaan ke atas semua janji yang dibuat pada pilihan raya sebelum ini.

‘‘Kita berpegang kuat kepada Misi Nasional, menjayakan apa yang telah kita janjikan. Hakikatnya banyak yang kita lakukan telah membawa kemajuan dan kejayaan kepada kita,’’ tegas Abdullah di hadapan kira-kira 1,000 penyokong BN.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad juga berada di sisi Abdullah ketika manifesto Malaysia 2008 itu dilancarkan.

Menurut Abdullah, manifesto tersebut akan diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk dibaca, ditatapi dan diperhalusi menjelang pilihan raya.

Katanya, sebanyak 76 perkara besar yang telah diusaha dan dilaksanakan oleh kerajaan dicatatkan dalam manifesto berkenaan.

“Ini adalah perkara penting yang rakyat perlu tahu kerana mereka memberi mandat kepada kita. Janji-janji kita telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan telah pun dimulakan pelaksanaannya.

“Kalau kita ambil semua yang telah kerajaan laksanakan, barangkali ia memerlukan satu buku yang lebih tebal sekali ganda,’’ katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa segala janji kerajaan BN adalah realistik dan bertanggungjawab.

Menurutnya, ia dibuat berdasarkan kesedaran dan komitmen untuk melaksanakannya dan bukan sekadar janji kosong seperti yang ditaburkan oleh parti-parti pembangkang yang terdesak.

“Inilah yang kita tekankan, inilah yang kita laksanakan. Janji kita realistik, janji kita adalah yang bertanggungjawab kerana kita tahu bahawasanya kita akan sekali lagi dapat mandat daripada rakyat untuk tubuhkan kerajaan.

“Maka kita sentiasa berhati-hati dalam berjanji dan janji mesti berasaskan kepada kesedaran dan kita bertanggungjawab melaksanakannya.

“Ia bukan janji-janji kosong sekadar untuk menghiburkan rakyat, bukan janji yang tiada tanggungjawab, bukan janji kosong, kita bukan begitu,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, pihak pembangkang sebaliknya mengemukakan pelbagai janji yang jelas membayangkan sikap yang terdesak.

“Pas dengan manifestonya, DAP dengan manifestonya. Masing- masing dengan cara mereka. Ini adalah satu pakatan main- main sahaja,’’ ujarnya.

Menurut beliau lagi, parti-parti pembangkang juga tidak dapat meyakinkan rakyat kerana masing-masing mempunyai pendirian dan ideologi berbeza serta tidak boleh berkompromi.

‘‘Mereka tidak dapat yakinkan rakyat dan pendekatan mereka tidak disenangi kerana mereka jelas berbeza dan manifesto pun berlainan,’’ katanya.

Abdullah turut menegaskan kerajaan BN akan terus bekerja untuk rakyat dan berbelanja serta mengurus kewangan negara dengan berhemah.

Beliau berkata, kerajaan tidak berbelanja dan menguruskan kewangan negara secara sesuka hati dan tindakan ini memberi keyakinan kepada pelabur.

Beliau memberitahu, walaupun kerajaan memberi subsidi dan berjimat dalam berbelanja, negara masih boleh mencapai kejayaan pembangunan dalam pelbagai bidang.

Manifesto BN 2008

Meningkatkan produktiviti, pendapatan dan daya saing negara
Menangani kesan kenaikan harga bagi menjamin kualiti hidup rakyat yang bermutu
Memperkasa peranan sektor swasta sebagai enjin utama menjana pertumbuhan ekonomi negara
Memupuk dan membantu 1 juta syarikat dan usahawan IKS dalam masa 5 tahun
Menjana lebih 2 juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam masa 5 tahun
Mengurangkan lagi defisit fiskal negara bagi membolehkan lebih
banyak dana digunakan untuk tujuan pembangunan, tanpa meningkatkan cukai
Melaksanakan pelan pembangunan kelima-lima koridor ekonomi bagi menjana pertumbuhan, pelaburan, serta peluang pekerjaan ke seluruh pelosok negara



Menghapuskan kemiskinan tegar, dan mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8% menjelang tahun 2010
Meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan bermutu di luar bandar
Meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan bagi isirumah berpendapatan rendah di kawasan bandar, termasuk golongan yang telah berhijrah dari desa ke bandar
Meningkatkan penyediaan rumah bermutu dengan harga yang mampu dibeli
Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang moden dan bermutu
Menaiktaraf perkhidmatan pengangkutan awam di bandar dan mengurangkan kesesakan lalulintas
Meningkatkan pembangunan jalan di kawasan luar bandar dan lain-lain kawasan kurang membangun
Menaiktaraf infrastruktur rel dan penerbangan
Meningkatkan liputan bekalan elektrik bagi kawasan luar bandar di Sabah kepada 81%, dan di Sarawak kepada 90%, menjelang tahun 2010 n Meningkatkan liputan bekalan air bagi kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak kepada 70% menjelang tahun 2010
Meneruskan usaha merapatkan jurang digital dan meningkatkan penembusan perkhidmatan internet jalur lebar (broadband) melalui Pelan Jalur Lebar Negara
Meneruskan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampung-Kampung Baru
Memastikan pengagihan seimbang peluang-peluang bermutu yang dapat menjana pendapatan, pekerjaan, perniagaan, dan pendidikan ke seluruh pelosok negara. Pendekatan ”Kelantan Baru, Kelantan Maju” berhasrat memastikan berlangsungnya
pembangunan berkualiti dan mutu kehidupan yang lebih baik bagi penduduk di Kelantan







Menaikkan tahap kelayakan minima para guru dan menyediakan lebih banyak peluang latihan
Meneruskan usaha menjadikan Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah pilihan; antara lain, melalui usaha peluasan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil
Memelihara kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan
Meningkatkan perpaduan nasional dengan menggalakkan interaksi di kalangan pelajar
Menyediakan lebih banyak biasiswa di peringkat ijazah untuk pelajar yang berkelayakan dari keluarga miskin, tanpa mengira kaum
Mengenalpasti Universiti Apeks dan memberikan lebih autonomi dan sumber untuk membolehkan institusi pengajian tinggi awam mencapai tahap global
Meningkatkan lagi pelaburan di bidang Sains dan Teknologi, khususnya R&D di dalam negara



Mengurangkan indeks jenayah negara
Menangani penyalahgunaan dadah dan lain-lain gejala sosial
Menangani isu pendatang asing tanpa izin
Menambah 60,000 anggota Polis menjelang tahun 2011
Membina 150 balai dan pangkalan rondaan bagi meningkatkan kehadiran Polis dalam kawasan setempat
Meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah, taman-taman permainan, dan tempat-tempat awam
Meningkatkan usaha kepolisan dalam masyarakat melalui kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, serta masyarakat tempatan
Menaiktaraf teknologi komunikasi, peralatan senjata, kenderaan, alat bantuan teknikal serta program-program latihan pasukan Polis
Memberi fokus sumber dan operasi di kawasan-kawasan cenderung jenayah di serata negara
Menyusun semula persempadanan daerah Polis agar lebih sepadan antara sumber Polis dan keperluan keselamatan masyarakat setempat

Mempercepatkan pelaksanaan inisiatif e-Kerajaan
Merekayasa semua pejabat tanah dan daerah
Mempercepatkan pengeluaran lesen dan permit
Memperkenalkan sistem penilaian pihak berkuasa tempatan untuk mempertingkatkan prestasi
Kenaikan pangkat, ganjaran dan penalti anggota perkhidmatan awam diasaskan kepada pencapaian sasaran prestasi kerja
Meningkatkan kepelbagaian etnik dalam perkhidmatan awam
Menginstitusi agensi Kerajaan dengan budaya mengambil tindakan dan memberi maklumbalas dalam tempoh 3-7 hari bagi semua aduan dan pertanyaan awam

Membina persefahaman yang lebih baik tentang Islam di kalangan orang Islam dan bukan Islam melalui pendekatan Islam
Hadhari
Meningkatkan pemahaman mengenai pelbagai budaya di kalangan masyarakat majmuk Malaysia
Meluaskan program J-QAF kepada lebih banyak sekolah
Memastikan tanah simpanan bagi tempat beribadat disediakan dalam kawasan yang baru dibangunkan, seiring dengan garis panduan yang telah dirangka
Memudahcara pembinaan, penggabungan, dan penempatan semula semua tempat beribadat melalui mekanisme khusus di
peringkat kerajaan negeri, yang akan diselaraskan di peringkat Persekutuan, bagi PERPADUAN menjaga kepentingan semua pihak
Meningkatkan usaha dialog berkenaan isu-isu antara agama melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
Meningkatkan keberkesanan pelbagai program perpaduan, terutamanya di sekolah dan pusat pengajian tinggi

Meneruskan usaha memerangi rasuah tanpa gentar atau pilih kasih
Memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan oleh BPR, Kastam Di-Raja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Menubuhkan satu Suruhanjaya Aduan Khas bagi menangani aduan berhubung salah laku agensi penguatkuasa
Meneruskan usaha memupuk budaya integriti dan tahap etika yang tinggi melalui Pelan Integriti Nasional


Meneruskan peranan secara aktif, berprinsip dan berkecuali dalam hubungan antarabangsa
Meningkatkan rangkaian perdagangan dan pelaburan
Memajukan agenda ekonomi OIC melalui program-program bina upaya di negara-negara Islam yang kurang membangun
Menggalakkan kerjasama strategik antara Barat dan dunia Islam untuk memajukan agenda ekonomi di bawah Deklarasi Makkah 2005
Meneruskan usaha pembinaan persefahaman antara masyarakat Islam dan dunia Barat melalui dialog yang berterusan
Memberi sumbangan ke arah agenda membangunkan negara-negara termiskin

Manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) PRU ke-12

’Kerajaan Beramanah, Adil, Bersih, Berkebajikan’

Para Pengundi yang dihormati,

Negara sekali lagi menjalani pilihanraya umum. Ini adalah pilihanraya umum ke-12. Pilihanraya adalah kaedah utama bagi memilih sebuah kerajaan dalam sebuah negara demokrasi. Namum demokrasi bukanlah hanya pilihanraya.

Menuntut Demokrasi Sebenar

Demokrasi sebenar, semesti mendukungi keluhuran undang-undang, keadilan capaian maklumat dan media serta menjalankan proses and sistem pilihanraya yang bebas, bersih dan

adil. Sesungguhnya demokrasi sebenar mengizinkan rakyat dan pengundi untuk menentukan kerajaan yang mereka mahu. Pilihanraya yang bebas, adil dan bersih menjamin kehendak rakyat tertunai. Andainya pilihanraya dipenuhi penipuan, kepincangan dan ketidakadilan, maka ia menjadikan hasrat rakyat untuk mengecapi demokrasi sebenar kecundang.

PAS Komited, Meskipun Pilihanraya Tempang dan Curang

PAS adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat. PAS terus akan menyertai pilihanraya meskipun ia curang dan tempang, bagi memperjuangkan keadilan dan membenteras kezaliman seperti yang dianjurkan oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam ayat Surah Al-Baqarah: ayat 251.

”Kalaulah Allah tidak menolak dan mengimbangi kezaliman sesetangah manusia dengan golongan lain, maka rosak dan musnahlah seluruh muka bumi ini”.

Sejak lebih 50 tahun, PAS telah membuktikan komitmen kami terhadap mempertahankan kedaulatan negara, kesejahteraan rakyat dan kesucian Islam, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran getir, rintangan dan ujian bersaing di atas padang politik yang tidak sama-rata.

Negara Dalam Krisis

Menjelang pilihanraya ke-12 ini, negara terus dilingkungi krisis. Walaupun pemimpin Umno/BN bercakap tentang ’cemerlang, gemilang dan terbilang’, Allah SWT sebaliknya pula mendedahkan kebejatan dan kebobrokan pemerintahan Umno/BN ini, sebagai omongan kosong.

Rakyat Susah - Ekonomi Gagal di Urus-Tadbir

Walaupun rakyat disajikan dengan berita-berita gembira bahawa ekonomi berkembang pesat dan maju, malang sekali semua ini tidak dapat dirasakan oleh majoriti rakyat.

Buktinya harga barang harian naik, yuran tambahan dan kini tambang sekolah yang juga tinggi, kenaikan bahan bakar petrol dan disel, tarif elektrik dan tol, yang kaya semakin mewah dan yang miskin seperti lama. Jumlah pengangguran lulusan tinggi semakin ramai tanpa pekerjaan yang sepatutnya dijana dengan pembangunan pesat. Pembanjiran pekerja asing pula mengenepikan rakyat sendiri dari mendapat pekerjaan di pasaran buruh. Pembaziran dana awam terus berlaku atas projek-projek besar yang akhirnya gagal.

Baru-baru ini kerajaan Umno/BN melancarkan pelbagai Pembangunan Wilayah seperti di Utara, Selatan dan Timur Semenanjung. Pertanian dikatakan akan menjadi industri penting dan besar. Dalam pada itu, rakyat sebaliknya pula berdepan dengan hakikat susahnya mendapat bekalan asas seperti minyak, beras dan tepung. Apa yang jelasnya, 80% keperluan makanan negara termasuk daging mentah masih diimpot, sekaligus menjejaskan aliran tunai negara bahkan berpotensi mengancam keselamatan negara di segi ’Keselamatan dan Kemandirian Makanan’ seperti yang kerap disaksikan mutakhir ini.

Jenayah Meningkat, Rakyat Terancam

Kerajaan Umno/BN gagal memenuhi janji keselamatan kepada rakyat, sebaliknya kadar jenayah semakin meningkat. Laporan PDRM yang terakhir menujukkan kes jenayah terus meningkat dari tahun ketahun; 156,313 pada tahun 2003 meningkat kepada 224,298 pada tahun 2007, tambahan 45% semasa dalam penggal parlimen ke-11 ini, dan kes rompakan tanpa senjata dalam tahun lepas meningkat 159%.

Kes rogol pula meningkat dari 4 kes setiap hari dalam tahun 2003, kepada 8.5 kes dalam tahun lepas, lonjakan 100%. Wanita, kanak-kanak, pelawat dan pelancong asing, serta segenap lapisan rakyat berasa tidak selamat dalam negara kita sekarang. Nurin Jazimin, adalah lambang kegagalan yang mengecewakan seluruh rakyat di negara ini.

Kekayaan Negara Musnah – Rasuah Membarah

Pemimpin Umno/BN berjanji untuk menghapuskan rasuah dan membenteras salah-guna kuasa. Sebaliknya rakyat mengikuti pelbagai pendedahan rasuah dan penyahgunaaan kuasa melibatkan pimpinan tertinggi politik dan kerajaan termasuk Badan Kehakiman, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Polis Di Raja Malaysia serta penjawat tertinggi kerajaan dan swasta. Laporan Ketua Audit Negara memaparkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di semua peringkat kerajaan Umno/BN, bermula dengan pimpinan politik pemerintah. Kesan rasuah membawa kepada kenaikan kos projek-projek negara di samping risiko keselamatan kepada rakyat akibat bangunan, jalanraya dan jambatan runtuh.

Ternyata segala janji yang ditabur tinggal omongan kosong yang tidak bererti buat rakyat. Apakah ini punca Allah SWT menurunkan pelbagai bala dan masalah yang tidak berkesudahan?

Pemimpin negara telah mengabaikan tanggungjawab akibat tidak lagi takut kepada ancaman siksa Allah kepada penerima dan pemberi Rasuah. Umum mengetahui kerajaan Umno/BN adalah sinonim dengan Rasuah. Inilah bahaya-bencana dan bala nasional (BN) yang menimpa rakyat dan negara.

Amalan Demokrasi Tulen Rosak dengan Media dan Undang-undang Zalim.

Sistem demokrasi kini adalah pincang dan oleh itu gagal menangani dan mengatasi pelbagai masalah yang timbul di negara kita. Masih ramai di kalangan rakyat dan pengundi gagal mendapat maklumat dan sedar tentang hakikat yang sebenarnya.

Penguasaan media perdana oleh Umno/BN mengkibatkan rakyat tidak tahu keadaan sebenar dalam negara. Bagi demokrasi untuk berkesan memerlukan rakyat mendapat maklumat yang benar, bebas dan tepat. Ketika itu rakyat dan pengundi akan bijak menyemak-imbang segala polisi dan tindakan kerajaan.

Matlamat Manifesto PAS – Menggarap Bencana Nasional (BN).

Manifesto PAS untuk Pilihanraya Umum Ke-12 ini bertujuan menangani seluruh permasalahan rakyat di negara ini. Manifesto PAS ini bertujuan mendedahkan segala kekotoran dan kebejatan amalan dan polisi Umno/BN, dan lebih menawarkan “Agenda Perubahan” dari sudut pandang penilaian dan keyakinan PAS.

Memandangkan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dalam semua aspek kehidupan mereka yang sekaligus menjejaskan kesejahteraan serta mengorbankan mutu hidup rakyat di negara ini, maka Parti Islam Se-Malaysia PAS, menawarkan ‘Dua Belas Teras Utama’ kepada rakyat dalam Manifesto ini dengan cogan kata:

”Kerajaan Beramanah, Adil, Bersih dan Berkebajikan”.

Dengan ini PAS menyeru sokongan dan penggemblengan tenaga semua pihak termasuk parti-parti politik, kakitangan kerajaan, badan-badan bukan-kerajaan (NGO), wanita, golongan pemuda serta seluruh lapisan rakyat, merentasi pelbagai anutan agama, bangsa dan budaya, yang turut berasa bertanggungjawab terhadap nasib mereka serta masa depan negara yang dicintai, supaya BANGUN BERTINDAK bagi:

· Menamatkan keangkuhan dan penguasaan mutlak Umno/BN.

· Membenteras rasuah sekaligus mempertahankan maruah dan wibawa negara

· Mempertahankan keluhuran dan kedaulatan undang-undang,

· Mengembalikan amalan demokrasi tulen dan pilihanraya bebas, adil dan bersih.

· Membela kepentingan rakyat dan negara melalui pengurusan ekonomi yang bijak dan pembangunan seimbang, mesra-manusia dan mesra-alam.

· Melindungi keselamatan seluruh lapisan rakyat khususnya kaum wanita dan kanak-kanak, dari ancaman jenayah.

Kesemua matlamat ini akan hanya dapat kita dicapai dengan melakukan perubahan dan pilihan bijak dalam pilihanraya umum ini.

Anda Mampu Mengubahnya!

Teras Pertama

Menyedari segala kepincangan pemerintahan yang ada kini, khususnya amalan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi-institusi penting dalam kerajaan, maka Manifesto ini menawarkan:

Kerajaan Bersih, Kepimpinan Beramanah dan Negara Berkebajikan yang mempunyai prinsip dan ciri-ciri berikut:

· Menginstitusikan dan memperkasakan amalan ‘Pemisahan Kuasa’ Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif, supaya amalan Demokrasi Berfungsi dan Berkesan serta tidak dicerobohi serta dipintas oleh pihak Eksekutif.

· Menegaskan penghayatan Islam sebagai Ad-Deen bagi ummat Islam di negara ini.

· Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

· Menyegerakan kelulusan ’Rang Undang-Undang Hak Mendapatkan Maklumat’ bagi memperkasakan prinsip Kerajaan Adil, Bersih dan Beramanah.

· Memperkukuh agensi-agensi ‘Watchdog’ atau ’Pemantau’ seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan lain-lain. dengan sumber dan mandat supaya tidak terbelenggu kepada mana-mana pihak dan terus bertanggungjawab kepada Parlimen.

· Melindungi kedudukan Pelapor atau ”Whistleblowers” dengan jaminan kerahsian demi mempertahankan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

· Meminda dan/atau menghapuskan Akta-Akta Zalim yang menyekat Hak dan Kebebasan Rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.

· Menjamin sistem Pilihanraya yang Bebas, Adil dan Bersih dengan reformasi sistem dan proses Pilihanraya secara menyeluruh seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH).

· Meningkat amalan dan urus-tadbir kerajaan dengan berpandukan amalan terbaik (Best Practice) dalam jabatan-jabatan awam, agensi-agensi serta syarikat yang berkaitan kerajaan supaya menjauhi rasuah dan ketirisan dalam sistem penghantaran awam khususnya dalam pembekalan awam (public procurement) projek mega-mewah melalui tender terbuka dengan penubuhan Badan Tender Bebas di bawah kuasa Parlimen.

· Memastikan masjid dimakmurkan oleh masyarakat tempatan dan tempat-tempat ibadat tidak boleh dimusnahkan tanpa perundingan dan kelulusan masyarakat setempat.

· Menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman di bawah Parlimen yang bertanggungjawab melantik Hakim-Hakim berdasarkan merit dan integriti serta menambahbaik pengurusan bagi meningkatkan kewibawaan institusi Kehakiman dengan menguatkuasakan etika kehakiman yang saksama.

Teras Kedua

Menginsafi kedudukan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil mahsul seperti minyak, kayu-kayan serta hasil galian, sementara sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu diperkembangkan, negara kini kehilangan daya-saing bahkan semakin buruk dikacamata masyarakat bisnes antarabangsa. Ini mesti dibaikpulih segera dengan usaha membanteras segala kepincangan, rasuah dan kronisme yang telah menggagalkan pencapaian DEB dan matlamat dasar-dasar pembangunan yang lain. Maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Pengurusan Berhemat (Pruden) Kekayaan Negara dengan polisi berikut:

· Meletakkan PETRONAS di bawah seliaan Parlimen (dan bukan lagi di bawah Perdana Menteri) seperti trend terkini dibeberapa buah negara atas perkiraan ketelusan dan pertanggungjawaban.

· Mempastikan harga bahan bakar kekal ’menasabah’ dengan pendekatan ’subsidi’ bagi menangani ’inflasi’ harga barang keperluan dan kos perkhidmatan serta bersifat ’progresif’ atau subsidi yang memberi menafaat kepada golongan sasaran berbanding yang diamalkan kini.

· Meletakkan kembali prioriti pacuan pembangunan supaya ’pertumbuhan’ bukan sahaja akibat dari kegiatan pembinaan dan infrastruktur mega-mewah, tetapi mestilah menepati dan selaras dengan strategi dan prioriti pembangunan mapan.

· Menumpukan kekayaan hasil minyak akan diutamakan untuk pembangunan potensi insan serta penyelidikan dan pembangunan R&D termasuk sumber tenaga alternatif untuk menggantikan sumber kekayaan ini apabila minyak habis suatu masa nanti.

· Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dalam kaum dan antara kaum dengan menekankan aspek pendidikan dan peningkatan sumber pendapatan bagi meningkatkan jumlah pendapatan dan keupayaan keluar dari garis kemiskinan serta meningkat mobiliti sosial mereka.

· Menekankan program pembasmian kemiskinan mengikut ’Keperluan’ di kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira ras atau kaum.

· Melebarkan golongan kelas menengah dalam semua kaum bagi memperkukuhkan ekonomi dengan meningkatkan kuasa membeli serta perbelanjaan (juga pelaburan) domestik dan kestabilan perhubungan kaum.

· Pertumbuhan menasabah dalam sektor yang menjana pekerjaan samada di sektor awam mahupun swasta serta mengelakkan pelaburan ratusan bilion ringgit dalam projek infrastruktur, pembinaan dan mega-mewah yang banyak menggunakan tenaga asing tanpa faedah yang menjana kesan berganda atau ’multiplier’ bagi memangkin pertumbuhan yang lestari atau berterusan (sustainable).

Teras Ketiga

Menyedari hakikat bahawa negara telah terjerumus dalam bahaya-bencana jenayah dengan pelbagai kejadian jenayah kekerasan seperti culik, bunuh, rogol, rompak dan menyamun secara bersenjata atau tanpa senjata, maka Manifesto PAS menawarkan:

Pembenterasan Jenayah dan Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda dengan polisi dan komitmen berikut:

· Menubuhkan segera dan memperkasakan Suruhanjaya Bebas Salah-Laku Polis dan Komplain –IPCMC serta menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) yang membelakangi 125 cadangan-cadangan Suruhanjaya Pembaikan Polis.

· Menjadikan PDRM sebuah Pasukan Keselamatan yang profesional, mesra-rakyat, bebas dari pengaruh pihak Eksekutif dan tekanan orang politik serta membantu pihak Kehakiman bagi melaksanakan penyiasatn dengan profesional dan berkesan sehingga mampu membantu penangkapan dan penghukuman penjenayah.

· Mengangkat amalan Integriti dan Amalan Terbaik (Best Practise) dalam semua urus-tadbir kementerian, agensi kerajaan khususnya pihak keselamatan seperti PDRM dengan mempastikan, antara lainya, pengambilan pegawai dan promosi ke kedudukan yang tinggi mesti memilikki keupayaan dan integriti yang mantap.

· Memerangi amalan Rasuah, Kronisme dan penyalahgunaan kuasa dengan pendekatan secara Menyeluruh (integrated) dengan ajaran Agama, bimbingan Moral kerana punca rasuah ialah kerakusan dan ketamakan yang digalakkan dengan urus-tadbir yang pincang serta tidak telus. Pendekatan Undang-undang sebagai hukuman yang benar-benar menakutkan dan meninggalkan kesan ’gerun’ atau ’deteren’ kepada pihak Keselamatan dan warga negara seluruhnya perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.

Teras Keempat

Merakamkan pelbagai keceleruan di bidang pendidikan akibat mengalami polisi yang kerap berubah (flip-flop) serta pengangguran graduan yang tinggi dan kejatuhan taraf ranking universiti awam akibat tekanan politik dan campurtangan Eksekutif yang mengekang pertumbuhan institusi-institusi ini, maka Manifesto PAS menawarkan:

Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan yang antara lainya menekankan:

· Penegasan tonggak akhlak dan moral para pelajar sebagai teras pembinaan sahsiah pelajar.

· Melindungi ‘Pendemokrasian Pendidikan’ dengan kewujudan pilihan sekolah-sekolah termasuk pendidikan Islam (SAR), serta bahasa ibunda (Cina dan Tamil). Mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ibunda masing-masing. Memberi sejumlah peruntukan kepada SAR dan sekolah swasta jenis Cina berdasarkan jumlah pelajar.

· Peluang kepada pelajar-pelajar dari sekolah agama rakyat untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh.

· Memberi peruntukan khas bagi PIBG kepada sekolah-sekolah luar bandar bagi membantu kegiatan meningkatan pencapaian akademik.

· Memberikan autonomi kepada sekolah untuk mengawal dan mengurus disiplin para pelajar.

· Meningkatkan bantuan perbelanjaan per kapita mengikut penilaian Indeks Harga Penggguna (CPI) kepada sektor pendidikan termasuk kos-kos buku kerja.

· Menghapuskan semua yuran sampingan persekolahan seperti yuran PIBG, dan kokurikulum.

· Penekanan kepada sistem pendidikan berteraskan ‘Berfikir’ – ‘thinking-based education’ dan bukan ‘berteras-peperiksaan’ (exam-based education).

· Memperkasakan pendemokrasian pendidikan dengan penetapan subjek ‘core’ atau ’teras’ seperti sejarah, budaya, agama dan moral, bagi menjayakan misi perpaduan nasional melalui pendidikan.

· Menekankan tumpuan selain akademik bagi lepasan sekolah bagi meningkatkan aspek latihan berteraskan ketrampilan atau ’skilled-based apprenticeship’ bagi melebarkan peluang pekerjaan dan guna tenaga secara penuh dan menyeluruh.

Memperkasa IPT dan Memacu Penjelmaan Institusi Pendidikan Berprestasi Tinggi

p

· Menjana iklim akademik di ‘menara gading’ bagi menghasilkan ciri-ciri graduan: ‘berdaya saing dan berdikari-competitively enterprising’, ‘bermoral-bersahsiah mulia’- ‘morally- spiritually vibrant’ dan berintelek tinggi-‘intellectually superior’.

· Memansuhkan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengongkong hak dan kebebasan mahasiswa dan tenaga akademik.

· Menjana Institusi Pendidikan Berprestasi Tinggi dengan penambahan peruntukan R&D yang setara dengan dunia maju (yakni 2-3% dari Belanjawan).

· Mengembalikan semula pemberian biasiswa sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan

· Menghapus kira semua pinjaman tertunggak PTPTN

· Mengembalikan peluang mendapat tempat pendidikan tinggi secara percuma.

· Menambah tempat belajar di IPTA

Teras Kelima

Memandangkan kesengsaraan rakyat yang semakin parah akibat kos saraan hidup dan inflasi yang semakin meningkat, maka Manifesto PAS menawarkan:

Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta dengan menekankan:

Menghapuskan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan menggantikannya dengan suatu sistem baru yang dipersetujui bersama dengan Kesatuan Sekerja.

Memastikan gaji permulaan (graduan dan juga bukan graduan) dipertingkatkan sesuai dengan tahap inflasi kini, serta menjalankan semakan dan pelarasan gaji dan saraan setiap lima (5) tahun. Pelarasan ini akan berdasarkan CPI (Indeks Harga Pengguna, IHP).

Memastikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) akan dikaji setiap lima (5) tahun, juga berdasarkan CPI.

Memastikan kakitangan kerajaan boleh mengikuti perkembangan politik termasuk menjadi ahli mana-mana parti politik pilihannya tanpa kongkongan selagi mana kualiti kerja tidak terjejas.

Menghapuskan Akujanji di kalangan kakitangan kerajaan

Melaksanakan Akta Gaji Minima berdasarkan permuafakatan di antara majikan dan kesatuan sekerja, sesuai jenis pekerjaan dan dengan keperluan tuntutan kualiti hidup yang paling munasabah antara RM 700-1200.

Teras Keenam

Memandangkan kos rawatan di hospital swasta mahupun awam terus meningkat dan keupayaan rakyat untuk menampung kos menjaga kesihatan ini semakin berkurang, maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Penjaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat dengan polisi-polisi berikut:

Mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) setiap rakyat yang tidak mempunyai Skim Perlindungan Kesihatan daripada majikan masing-masing agar dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di semua hospital kerajaan atau pun swasta.

Membatalkan Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan dan Hospital yang membebankan rakyat dan menguntungkan pihak swasta dan korporat tertentu yang punya kaitan dengan elit politik tertinggi.

Penjagaan kesihatan percuma (termasuk rawatan gigi) sepenuhnya untuk kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung. (Pembiayaan saraan setiap kanak-kanak sehingga berumur 12 tahun (6.3 juta x 50 x 12 =RM3.8bilion).

Teras Kelapan

Memandangkan kos saraan hidup terus meningkat dan meletakkan rakyat termiskin semakin tertekan maka, Manifesto PAS ini menawarkan:

Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra-Rakyat dengan cara:

Menggabungkan satu peranan Pejabat Hasil Dalam Negeri (IRB) dengan aspek keperluan Pusat Kebajikan Masyarakat (PKM).

PKM mesti diperkasakan untuk membantu golongan yang miskin dengan lebih meluas dan berkesan bagi mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan dengan program pengkeupayaan.

Disamping itu, jumlah bantuan akan diselaraskan setiap tahun berdasarkan CPI (Indeks Harga Pengguna) semasa.

Untuk permulaan, PAS percaya potongan cukai untuk individu adalah sebanyak RM12,000 setahun (sekarang RM8,000).

Meneliti kembali pemberian Permit Impot (AP) bagi barangan makanan (foodstuffs) utama seperti gandum, gula dan beras supaya tidak berlaku Monopoli dan Pakatan (Cartels) yang mencekik pengguna dengan pelbagai kaedah manipulasi seperti penyorokan, pengedaran, pengangkutan kepada peruncit.

Menyemak kembali semua perjanjian konsesi (tol dan utiliti) dan memastikan setiap perjanjian konsesi akan datang, sekiranya ada, bersifat telus, adil dan tidak membebankan rakyat.

Teras Kesembilan

Menyedari kepentingan pengupayaan wanita supaya bersama-sama kaum lelaki dalam pembinaan institusi keluarga mahupun pembangunan negara maka Manifesto ini memajukan:

Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita, antara lainnya:

Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan 7 hari.

Elaun Khas buat ibu tunggal dan memperkenalkan Takaful Armalah.

Menggalakkan majikan memperkenalkan konsep bekerja dari rumah untuk para wanita. Ini dapat dilaksanakan dengan memberikan pelepasan cukai kepada perbelanjaan syarikat untuk membeli peralatan pejabat dan komunikasi untuk memboleh konsep ini dilaksanakan dalam syarikat mereka.

Cuti ehsan 14 (?) hari untuk wanita yang suaminya meninggal dunia.

Untuk kesihatan dan kegiatan sukan, PAS akan mewujudkan Pusat Sukan dan Rekreasi Khusus untuk kaum wanita.

Waktu kerja Anjal akan terus diperkasakan bagi memenafaat serta tidak mengorbankan kepentingan institusi keluarga.

Mengenalkan Undang-undang bagi mengelakkan wanita dieksploitasi untuk kepentingan komersial.

Teras Kesepuluh

Meskipun telah dibentangkan pelbagai program raksaksa pertanian mutakhir ini, ia masih merupakan impian yang terawang-awang yang belum berpijak di bumi nyata (terlalu diangkasakan).

Maka adalah menjadi komitmen PAS dalam hal memperjuangkan nasib petani dan nelayan di negara ini dengan Manifesto PAS ini:

Memajukan Industri Pertanian sekaligus Membela Kaum Petani dan Nelayan dengan polisi-polisi berikut:

· Mewujudkan dasar pertanian sebagai industri yang menjamin Dasar Makanan yang memelihara ‘Kemerdekaan dan Keselamatan Negara’ supaya tidak terdedah dan terjejas kepada manipulasi kuasa dunia dan ‘kartel’ atau pakatan konglomerast besar antarabangsa.

· Menolak sebarang bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mengancam pelbagai industri khususnya pertanian dan pelbagai aspek urus-tadbir pemerintahan dalam negara.

· Harga minima belian padi yang dinilai setiap tiga tahun sekali berpandukan Indeks Harga Pengguna (CPI).

· Mengawal harga input pertanian (benih, baja, racun, jentera pertanian) dengan memecahkan monopoli impot bagi bahan-bahan di atas.

· Meningkatkan kualiti hidup nelayan pantai dengan menyediakan perumahan tersusun serta mewujudkan peluang-peluang baru pekerjaan di dalam kegiatan ekonomi berasaskan perikanan tajaan Kerajaan atau Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) agar setiap keluarga nelayan mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM1200 sebulan.

· Menawarkan peluang menjadi peserta Felda bagi generasi kedua Felda dan mana-mana rakyat yang memerlukan ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations atau dengan membuka tanah-tanah baru.

· Membenarkan peserta Felda untuk berdikari dalam pengurusan ladang milik mereka ke arah menjana pulangan pendapatan maksima kepada mereka.

· Mengembalikan hak peneroka untuk mendapatkan wang tanam semula dari Tabung Tanam Semula tanpa sebarang syarat.

· Menggunakan keuntungan Felda Holdings Bhd dengan mewujudkan program-program yang bersifat Cakna Rakyat Petani agar manfaatnya kembali kepada golongan peneroka dan keluarga mereka.

Teras Kesebelas

Antara tonggak negara bertamadun ialah dasar penyiaran dan wujud institusi media yang membela kebenaran dan beretika. Selaras dengan itu PAS mengajukan pilihan berikut kepada rakyat.

Dasar, Etika dan Amalan Media Massa Adil, Bersih dan Demokratik dengan memajukan polisi-polisi berikut:

· Menggubal dasar media massa negara yang lebih mendedahkan rakyat kepada maklumat yang seimbang.

· Menyediakan akses atau capaian kepada media setiap parti politik yang sah untuk menjelaskan manifesto mereka.

· Memastikan tiada penyalahgunaan media massa untuk manipulasi pemikiran rakyat oleh pihak penguasa dan lain-lain.

· Memperkasa perlaksanaan etika media massa di kalangan khalayak media, stake holder-pemilik media dan rakyat.

· Mengarusperdanakan konsep ketelusan media amalan dan operasi media massa untuk meningkatkan kebijaksanaan rakyat bagi mengamalkan serta membudayakan politik-berteraskan-pengetahun.

Teras Kedua Belas

Berlatarbelakangkan scenario politik dan hakikat perpaduan nasional yang kerap diancam dengan pelbagai ketegangan kaum akibat amalan politik perkauman dan manipulasi agama, maka Manifesto PAS mengemukakan serta menjanjikan kepada rakyat:

Dasar Perpaduan Nasional dengan polisi berikut:

· Merangka dasar perpaduan yang diperkukuhkan dengan sikap saling hormat- menghormati atas dasar saling mengetahui tuntutan agama terhadap penganut agama masing-masing.

· Menjamin penubuhan sebuah Majlis Perundingan penganut agama-agama (selain Islam) oleh Kerajaan bagi mempastikan hak-hak setiap kelompok penganut agama untuk melaksanakan tuntutan upacara ibadat dan budaya masing-masing.

· Mencadangkan penubuhan satu Majlis Dailog ke arah memperkukuhkan permuafakatan dan perpaduan nasional merentasi semua kaum.

Panel Manifesto PRU ke-12

Parti Islam Se-Malaysia, PAS

4 Muharram 1429H/13 Januari 2008.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude