KUALA LUMPUR 24 Feb. – Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding di sembilan kerusi pada hari penamaan calon hari ini, memberikan petanda awal ia akan mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Permulaan cemerlang BN itu dicatatkan di tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika pakatan pembangkang cuba memberikan cabaran sengit di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Kemenangan tanpa bertanding itu kini menguatkan lagi keyakinan jentera BN untuk bekerja keras menguasai baki 215 kerusi Parlimen dan 502 kerusi DUN.
Hari ini Pas juga menang tanpa bertanding di kerusi DUN Kijang di Kelantan selepas calon BN dibatalkan pencalonannya kerana masalah teknikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengulas kejayaan awal tersebut berkata, ia merupakan petanda BN bakal memperoleh mandat untuk memerintah negara pada pilihan raya 8 Mac ini.
“Ini berita baik, dan sudah tentunya ia bukti keyakinan (rakyat) terhadap parti kita,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Majlis Sukan Seberang Perai di Kepala Batas tengah hari ini.
Sementara itu, di PEKAN pada sidang akhbar selepas penamaan calon, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemenangan tanpa bertanding BN pada hari penamaan calon membuktikan sokongan rakyat negara ini kepada pembangkang tidak menyeluruh.
Katanya, rakyat yakin dengan BN yang meletakkan calon di semua kawasan bagi membolehkan wakil-wakil parti itu berkhidmat di seluruh negara.
“Ada juga tempat mereka sukar hendak dapatkan calon yang sanggup bertanding. Jadi, kalau di kawasan-kawasan tersebut kita menang tanpa bertanding, ia memperlihatkan kekuatan parti pembangkang tidak menyeluruh serta tidak meliputi semua kawasan.
"Ini berbeza dengan BN yang kekuatannya mencakupi semua kawasan Parlimen dan DUN, bermakna kita mampu menampilkan calon-calon yang berkemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat di semua kawasan," katanya.
Daripada baki 215 kerusi Parlimen yang bakal direbut oleh BN dan parti-parti pembangkang, sebanyak 183 adalah pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan pembangkang, 23 pertandingan tiga penjuru, tujuh perebutan empat penjuru dan dua pertarungan lima penjuru.
Di peringkat DUN, sebanyak 437 pertandingan dua penjuru, 41 tiga penjuru, 17 empat penjuru, lima pertandingan lima penjuru dan dua pertarungan lapan penjuru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan