Rabu, 13 Februari 2008

Penjawat awam perlu hargai jasa majikan ?


BAHANG Pilihan Raya Umum ke-12 semakin hangat dan lebih bersemarak apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa beliau ‘sudah mendapat ilham’ mengenai tarikh pilihan raya. Ramai tertarik untuk mengetahui perkembangan politik dan pilihan raya daripada media massa. Rata-rata meramalkan pilihan raya diadakan bulan depan. Pun begitu di sebalik kehangatan musim pilihan raya ini semua pihak terutamanya kakitangan kerajaan harus sedar bahawa selama ini negara kita berada dalam keadaan cukup aman, harmoni dan maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Sebagai penjawat awam mereka sememangnya tahu bahawa kerajaan dari semasa ke semasa tidak putus-putus berusaha dengan pelbagai cara untuk meningkatkan profesion mereka ke tahap lebih tinggi dan berkualiti. Segala kemahuan dan tuntutan kakitangan awam menjadi agenda utama kerajaan. Misalnya penambah baik kualiti bekerja menerusi pelaksanaan Sistem Kualiti MS ISO, pengurangan hari bekerja daripada enam kepada lima hari seminggu, pengenalan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang lebih berkesan dan adil dalam hal kenaikan pangkat, pelarasan dan kenaikan gaji kakitangan awam serta sebagainya.


Ia sekadar contoh berbanding usaha pembangunan mikro dan makro lain yang dilaksana kerajaan demi kepentingan kakitangan awam dan hal ini tidak ubah seperti peribahasa ‘bagai menatang minyak yang penuh’. Yang menjadi keanehan dan sedihnya apabila ada sebilangan penjawat awam seakan-akan menjadi ejen penentang aspirasi kerajaan. Duduk bekerja dalam pejabat kerajaan, tetapi pemikirannya dangkal dan hatinya gelap apabila mudah percaya dan terpedaya dengan fitnah dan berita palsu pihak penentang kerajaan. Mereka bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ dan tidak keterlaluan untuk dilabel sebagai ‘gunting dalam lipatan’. Pelbagai tohmahan dan komen melampau terhadap kerajaan yang diterima bulat-bulat kemudiannya disebar luas kepada pihak lain dengan harapan ada orang terpengaruh dan ikut sama menentang kerajaan. Pendek kata, kerjanya tak sudah-sudah mencari kesalahan dan kesilapan kerajaan dan dengan mudah melabel kerajaan sebagai tidak efisien, zalim dan mengkhianati rakyat.


Golongan ini terlupa atau tidak sedar bahawa setiap akhir bulan, apabila wang gaji mereka masuk dalam akaun bank masing-masing, siapakah yang memberikan gaji berkenaan? Jika ada antara ahli keluarga yang sakit dan dirawat di hospital, siapa yang membantu meringankan beban bayaran perubatan mereka? Mereka mendapat kemudahan pinjaman perumahan atau pembelian kereta, siapakah agaknya yang memberikannya? Atau jika anak mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, siapakah yang membantu dalam pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka? Sudah tentu jawapannya adalah majikan mereka iaitu kerajaan. Tetapi kalau hati sudah gelap, semua perkara ini akan ditenggelami dengan rasa benci tidak berasas lalu mereka mengangkat dan memuliakan golongan penentang kerajaan! Bukanlah hajat untuk mengajak kakitangan awam menghargai usaha kerajaan secara membuta tuli. Tetapi cuba timbang-timbangkan dengan pemikiran rasional mengenai kepentingan menghargai segala jasa dan budi kerajaan selama ini. Buka lembaran sejarah negara dan hayati akan keikhlasan pemimpin kerajaan dari dulu hingga kini dalam memartabatkan keagungan negara. Kemudian bandingkan dengan apa yang berlaku di sesetengah negara lain yang kerajaannya gagal memenuhi hak dan tuntutan rakyatnya, sehingga perbalahan, perpecahan dan peperangan tidak mampu dikawal lagi. Bersyukurlah kita kepada Tuhan kerana dianugerahkan pemerintah adil, bijak dan berjaya membina tamadun agama, bangsa dan negara.


Penjawat awam seharusnya menggunakan kematangan pemikiran dengan terus menyokong aspirasi kerajaan. Jika ada yang tersilap masuk haluan, marilah kita pupuk kembali kesedaran mereka supaya dapat kembali berpijak di bumi nyata. Jadilah kakitangan awam yang memiliki kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan BN yang diakui kredibilitinya di mata dunia!


KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Ulasan : Undi adalah hak individu. Penulis seumpama pengampu kepada pemerintah sedia ada tanpa melihat kepincangan yang berlaku-rasuah, nepotisme dll !

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pada saya penulis bukan pengampu, bahkan telah berfikir dengan waras, menimbang dengan baik akan mana yang hak mana yang batil. Tidak semua orang maksum dan sempurna, saudara pun tahu. Sehelai kain berwarna putih akan nampak cacat dengan satu tompokan kecil berwarna hitam kerana ianya adalah hasil pandangan orang umum atau pemikirannya di tahap 'biasa-biasa sahaja' atau lebih tepat pemikirannya belum matang dan jahil. Tetapi orang yang waras (bukan saudara saya pasti) sudah tentu tidak mengendahkan tompokan kecil tersebut kerana tahu bahawa ia tidak merosakkan langsung kemurnian kain berwarna putih tersebut.Sesetengah daripada kita cukup suka mencari-cari dengan begitu teliti akan kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain, tanpa dia sedar bahawa pekung, kurap, kayap dan nanahnya sendiri tersebar luas dihidu oleh semua orang. Saudara mendakwa penulis artikel ini kaki ampu, biarlah dia. Adakah saudara iri hati?marah? kalau dia mengampu, biarkan sahaja dia sebegitu kalau saudara tak mahu membantu. Tapi kalau saudara rasa saudara sudah cukup bagus dan mampu, berikan pendapat yang bernas, bimbing dan bantu dia untuk mengikut apa yang saudara rasa tepat..bukan dengan mengeji dan menista orang.
Kesimpulannya, saudara sememangnya belum matang pemikirannya, walaupun saudara nampak hebat menganjurkan blog yang sarat dengan ilmu pengetahuan ini. Sayangnya, pemilik blog ini perlu dibimbing untuk benar2 menjadi orang yang cemerlang pemikiran,mungkin juga akhlaknya.Semoga Allah membimbing saudara menjadi seorang manusia yang lebih matang pemikirannya. Barulah boleh dipanggil sebagai pemuda harapan agama, bangsa dan negara...amin!

Tanpa Nama berkata...

terima kasih kepada tanpa nama yang sudi mencoretkan pandangan dan nasihat buat saya. Saya secara terbuka menerima namun saya mempunyai asas untuk menyatakan demikian. Kita boleh menilai seseorang berdasar kepada penulisannya. Dan itulah penilaian saya kpd penulis tersebut. Terpulang juga kpd anda untuk menilai saya, tetapi yakinlah setiap orang mempunyai prinsip dan kecenderungan untuk memilih yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita tidak nafikan sumbangan BN dalam mentabdir negara hampir 50 tahun, namun demikian kini mentaliti rakyat telah berubah dan saya yakin rakyat akan membuat perubahan. Ini kerana ada beberapa isu besar yang cukup mencengkam rakyat di bawah sana seperti rasuah, nepotisme, kronisme, harga barang yang semakin naik dan projek mega yang tidak menguntungkan kebanyakan rakyat. Sekian, terima kasih atas ziarah dan pandangan saudara-iskandar

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude