Rabu, 13 Februari 2008

Graduan al-Azhar pengisi kebangkitan Islam


Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
MASJID al-Azhar dibina pada 359 hijrah/970 Masihi dengan nama Masjid Kaherah dan tujuan pembinaannya bukan untuk dijadikan universiti sebaliknya sebagai pusat penyebaran dakwah oleh Khalifah Fatimiah. Mereka menjadikan Mesir untuk menyebarkan kefahaman Ahli Bait dan Syiah. Antara orang yang bertanggungjawab mengadakan kelas pengajian di Masjid al-Azhar ialah Yaakub bin Kals, seorang menteri pada masa pemerintahan Khalifah Mu’izzuddin.


Pada 378 hijrah, Yaakub bin Kals meminta kepada Khalifah al-Aziz untuk menjadikan pusat pengajian dengan memanggil ulama mengajar di situ dan dibayar gaji. Sejak itu, Masjid al-Azhar menjadi pusat pengajian, terutama mengenai fekah Syiah. Masjid al-Azhar mula menjadi pusat pengajian apabila kejatuhan Baghdad pada 656 hijrah dan pertumbuhan ekonomi Mesir yang semakin mantap, di samping galakan khalifah yang mewakafkan harta untuk al-Azhar, ulama dan pelajarnya. Pada zaman Mamluki, al-Azhar menjadi tempat umat Islam belajar. Kurun kesembilan adalah zaman keemasan bagi al-Azhar sebagai pusat pengajian Islam terkenal di seluruh dunia. Antara pernah mengajar ketika itu ialah Ibn Khaldun yang meninggalkan anak muridnya yang terkenal dalam bidang sejarah seperti al-Maqrizi dan al-Sayuti.


Pada zaman moden, al-Azhar mula melakukan rombakan sistem pembelajaran daripada bentuk tradisional kepada sistem moden. Antara mereka yang menyeru ke arah pembaharuan itu ialah Syeikh Hassan al-Attar, seorang ulama yang mempunyai hubungan baik dengan Perancis. Beliau meminta anak muridnya Rifa’at al-Tantawi belajar di Perancis. Apabila pulang ke Mesir, Rifa’at al-Tantawi mula memperjuangkan pembaharuan al-Azhar ke arah lebih moden. Syeikh Hassan al-Attar menjadi Syeikh al-Azhar pada 1246 hijrah hingga 1250 hijrah/1834 masihi. Antara tokoh pembaharuan al-Azhar yang terkenal ialah Syeikh Muhamad Abduh. Beliau pernah menyebutkan bahawa pembaharuan di al-Azhar adalah sumbangan cukup besar kepada agama Islam. Perubahan itu mengambil jangka masa panjang. Muhamad Abduh berkeyakinan bahawa strategi memperkukuhkan umat Islam mestilah menerusi sistem pendidikan dan bukannya bergantung kepada politik semata-mata.


Sejak itu, rombakan demi rombakan dilakukan. Pada 1930, di bawah pimpinan Syeikh al-Azhar Syeikh Ahmadi al-Zawahiri, ditubuhkan tiga kuliah iaitu Kuliah Syariah, Kuliah Usuluddin dan Kuliah Bahasa Arab. Di samping itu, al-Azhar mempunyai sekolah rendah, menengah dan universiti. Pada 1961, berlaku rombakan besar di al-Azhar di bawah pimpinan Syeikh Mahmud Syaltut. Al-Azhar bukan saja pusat pengajian agama, tetapi mempunyai kuliah lain seperti Kuliah Ekonomi dan Perubatan. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Azhar: Antara Semalam, Hari Ini dan Masa Depan menegaskan tanggungjawab mahasiswa al-Azhar. Graduan al-Azhar mempunyai tanggungjawab berlipat ganda daripada orang lain. Antaranya, sebagai seorang muslim yang membezakan daripada orang yang sesat, sebagai seorang pemuda Islam yang mempunyai kekuatan, sebagai orang berpengetahuan dan sebagai seorang al-Azhari. Menurut al-Qaradawi, al-Azhar bukan saja berfungsi sebagai tempat mengajar ilmu agama, tetapi tempat lahirnya pendakwah Islam yang unggul. Tanpa peranan itu al-Azhar adalah seperti badan yang tidak mempunyai ruh. Tugas utama graduan al-Azhar ialah sebagai pendakwah iaitu sebaik-baik pekerjaan kerana ia tugas rasul. Al-Azhar adalah universiti yang memberi ilmu, masjid yang mendidik jiwa rabbani dan organisasi yang memperjuangkan nasib umat. Al-Azhar pencetus kepada kebangkitan Islam kepada generasi belia kini. Al-Qaradawi juga menggariskan tiga perkara dalam menjayakan risalah al-Azhar iaitu menyediakan generasi umat Islam yang beragama dan memahami pemikiran Islam sebenar. Kedua, tugas al-Azhar yang terbesar ialah membawa risalah Islam dan ketiga, memahami keperluan zaman yang kita hidup sekarang ini iaitu keperluan manusia kembali kepada agama.


Oleh itu, graduan al-Azhar perlu sentiasa mengkaji Islam secara mendalam, memiliki contoh teladan yang baik dengan beriltizam kepada ajaran Islam dan beramal dengan ilmunya. Al-Qaradawi juga menegaskan bahawa graduan al-Azhar perlu memiliki akhlak ulama iaitu keberanian dalam menyatakan kebenaran, zuhud, ikhlas dan kemuliaan. Kegagalan graduan al-Azhar memainkan peranan ini akan mengakibatkan lahirnya pemikiran kebendaan di kalangan umat Islam, lahirnya pemikiran menyesatkan dan lahirnya golongan ekstremis agama. Hari ini, hampir ribuan pelajar Malaysia yang lulus dari al-Azhar setiap tahun. Tidak dinafikan graduan al-Azhar memberi sumbangan cukup besar dalam kebangkitan orang Melayu. Graduan al-Azhar adalah pewaris kepemimpinan negara dan pewaris dalam mewarnai dakwah di Malaysia. Namun, sejak kebelakangan ini, graduan al-Azhar yang pulang agak kurang berperanan dalam berorganisasi dan berpersatuan, terutama dalam gerakan dakwah dan belia. Walaupun ketika di Mesir, mereka begitu bersemangat melakukan perubahan. Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar yang akan diadakan pada 15 hingga 18 Februari ini bakal memberi impak besar terhadap kemajuan umat Islam serta mempereratkan lagi dialog peradaban Islam dan Barat. Persidangan diadakan di Malaysia, yang pertama kali di luar Mesir adalah satu penghormatan dan bakal dihadiri Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi, menteri, duta, tokoh ulama dan ilmuwan dunia Islam lepasan Universiti al-Azhar. Graduan al-Azhar perlu mengetahui bahawa pembabitan dalam organisasi dakwah akan membolehkan suara mereka didengari dan mereka lebih memahami strategi musuh untuk memecah belahkan umat Islam. Menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia supaya pelajar di Timur Tengah, khususnya di al-Azhar pulang membawa ilmu diperoleh dengan berhikmah dan bijaksana.


Ada ilmu yang tinggi saja, tetapi tidak berhikmah dalam berdakwah tidak akan memberi kesan kepada masyarakat. Masyarakat Malaysia berdepan dengan tiga isu besar iaitu globalisasi, dialog ketamadunan dan pemikiran pluralisme yang pelbagai seperti modernisme-sekularisme, tradisionalisme dan Islam liberal. Untuk menghadapi rempuhan arus globalisasi Barat memerlukan kita memahami permasalahan daripada pemikiran dan peradaban masyarakat bukan Islam. Dialog peradaban pula memerlukan jalinan hubungan yang meraikan persamaan dan perbezaan antara kita dengan pemikiran dan peradaban masyarakat bukan Islam. Pluralisme dan pola pemikiran memberi permasalahan baru kepada umat Islam kini. Tiga permasalahan ini memerlukan persiapan dan kelengkapan khusus jika kita ingin terus relevan dalam melaksanakan proses islah. Perubahan globalisasi dan politik semasa menyaksikan dominasi menyeluruh pemikiran dan peradaban Barat dalam dimensi politik, ekonomi dan sosial. Umat Islam memerlukan satu pendekatan baru untuk mengisi kebangkitan umat Islam.


Penulis ialah Felo Bidang Pemikiran Islam di Future Global Network, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga graduan al-Azhar jurusan Bahasa Arab

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude