MENJELANG pilihan raya umum ke-12 yang mungkin akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja, kita dapati pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan menyatakan kesediaan mereka untuk dipilih bertanding di mana-mana kerusi. Perlu diingat pemimpin yang berkarisma mempunyai agenda dan bakat tersendiri yang tidak boleh dibuat-buat.
Sekiranya karisma dan bakat tersebut hanya terletak kepada populariti atau kejayaan melobi, ditakuti kerusi yang bakal diisi hanya akan menjadi batu loncatan untuk kepentingan peribadi. Akibatnya jawatan wakil rakyat hanya dikejar kerana peluang-peluang kekayaan yang bakal terbentang di depan mata.
Senario itu berlaku kerana jawatan yang dipegang bakal menjanjikan berbagai-bagai kemudahan yang boleh disalahguna dengan senang. Apabila kuasa sudah berada di tangan, tabiat manusia yang gopoh selalunya akan menjangkau kesedaran biasa. Soalan yang terlebih dahulu perlu diajukan kepada mana-mana bakal pemimpin ialah layakkah anda untuk memegang amanah yang bakal dipikulkan rakyat? Atau anda hanya berhasrat untuk membesarkan lagi periuk nasi anda.
Kebimbangan yang tinggi kepada kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa menyebabkan Rasulullah mengelak daripada melantik orang-orang yang bersungguh-sungguh meminta jawatan sebagai sebuah hadis: Daripada Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata:
Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Jadikanlah keimanan kita kepada pembalasan Allah di akhirat sebagai benteng atau neraca timbangan untuk mengawal tingkah laku kita. Para salafussoleh apabila dipertanggungjawabkan dengan sebarang amanah akan merasa takut sekiranya mereka tidak menunaikan amanah tersebut.
Jauh sekali untuk mereka menjerit kegembiraan dijulang oleh para penyokong setelah memenangi mana-mana kerusi atau menjerit kekecewaan kerana gagal mempertahankan kerusi yang dipertandingkan.
Perlu diingat bahawa hidup kita bukan sekadar untuk bertakhta sekadar dua tiga penggal sahaja akan tetapi akan terus berkekalan sehingga ke akhirat. Segala perbuatan, jasa bahkan penyelewengan dan ketidakadilan yang mungkin kita lakukan pasti akan tetap dipersoalkan di akhirat kelak.
Pembalasan di mahkamah Allah yang Maha Adil pastinya tidak sekali-kali dapat dibeli dengan sogokan rasuah ataupun janji kosong manifesto parti kita. Ketahuilah bahawa kuasa dan jawatan adalah amanah Allah yang perlu ditunaikan sebaik mungkin, bukannya peluang keemasan untuk mengumpulkan kekayaan.
Manusia yang rakus mengejar kekayaan kebiasaannya akan cenderung untuk melakukan kemungkaran sebagaimana firman Allah : Ingatlah! Sesungguhnya manusia akan melampaui batas (yang sepatutnya,) Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (al-‘Alaq: 6 & 7).
Janganlah kegilaan kepada kuasa dan harta yang hanya mampu bertahan buat sementara waktu di dunia ini akan menyebabkan kita diseret ke neraka yang kekal abadi. Sesungguhnya itu adalah satu pelaburan yang amat merugikan.
– ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM,
Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ulasan : Satu ingatan yang sangat baik buat semua bakal calon yang akan bertanding !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan