Ahad, 17 Februari 2008

Pak Samad Said tidak lagi dihargai

Oleh : A Rahim Abdullah

MEMBACA tulisan Azman Ismail (Utusan Malaysia 24 Januari 2008), saya sangat akur dan faham kenapa Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membuat kenyataan supaya jangan menggunakan gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada beliau.

Kebetulan saya juga berada dalam majlis yang berlangsung pada petang itu. Sebagai Sasterawan Negara yang komited dengan dunia sastera dan bangsanya, beliau amat tersinggung dan memang berhak berbuat demikian.

Saya selalu menyebut bahawa nasib sastera kita berada dan dikepung oleh ironi. Dan jauh daripada itu, saya melihat tindakannya atau protesnya itu sangat dalam hikmahnya. Antara lain untuk berkias ataupun mengajar mereka yang berkepentingan dan diamanahkan untuk melaksanakan tugasnya, tetapi gagal atau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya hingga membawa malapetaka kepada bangsa dan tamadun yang sedang kita bina.

Dengan kata lain, kerana berfikiran kelas tiga (ini melanggar hasrat Perdana Menteri yang mahukan pegawai-pegawai kerajaan memiliki minda kelas pertama) maka mustahil dapat kita bina tamadun negara ini dalam jangka masa yang singkat. Bayangkanlah baru 50 tahun merdeka, kita sekarang diserang pelbagai krisis moral dan krisis keyakinan. Apakah dapat kita capai sasaran 2020?

Dapatkah kita bina tamadun Melayu yang panjang sama usianya dengan tamadun Mesir, Yunani atau China? Sedangkan setelah 50 tahun merdeka, tanda-tanda keruntuhan moral dan minda Melayu semakin ketara dan amat dahsyat.

Kalau begitu tidak usahlah kita mimpikan macam-macam slogan: Gemilang, terbilang dan cemerlang. Begitu juga dengan Islam Hadhari hanya pada kulitnya sahaja.

Kita belanja berjuta-juta ringgit menganjurkan kempen Budi Bahasa, tetapi apa untung yang kita nampak sekarang ini?

Celakanya orang Melayu sekarang ini, kerana terlalu banyak membuka pintu masuknya kepada pengaruh asing. Ini juga barangkali kerana sikap tidak apa atau kerana mudahnya orang kita bertolak dan ansur menyebabkan peluang kapitalis pascamoden senang masuk sampai ke dalam rumah kita dan terus menjajah kita anak- beranak.

Bayangkanlah kerana media massa yang berlumba-lumba mengasak kita untuk menyuruh kita jadi kaki hiburan murahan atau pencandu budaya pop ini, soal maruah dan budaya bangsa langsung diabaikan oleh mereka yang terlibat dalam industri hiburan ini.

Misalnya, dalam kuiz menduga akal, soalan bonaza dan sebagainya yang ditawarkan sama ada yang menagih dadah atau suka bertelanjang.

Maksud

Malangnya yang membuat soalan-soalan negatif itu pun DJ (entah apa sebenarnya maksud DJ, bagi saya bila diterjemah ke dalam budaya kita DJ tetap membawa konotasi yang remeh dan negatif). Sepatutnya juruhebah, penyampai berita atau juruacara atau pengacara memperlihatkan jati diri bangsa berbudaya tinggi dengan bertanya soalan-soalan mengenai tokoh ilmuwan, sarjana pemimpin yang berjasa, ulama, sasterawan dan seniman negara yang cemerlang yang banyak jasanya berbanding soalan mengenai budak-budak rock atau pelakon-pelakon drama swasta yang bercakap Melayu pun tidak betul.

Yang anehnya, mereka yang dibayar gaji sebagai juruhebah itu juga ada yang mengejar glamor. Malahan ada pula yang meletakkan status kejuruhebahannya itu setaraf dengan selebriti atau artis pop Hollywood dengan karpet merah dan harus dilayan macam superstar?

Hal-hal begini kita tidak pernah dengar ia ditegur oleh menteri-menteri yang terlibat dalam bidang penyiaran dan media. Media massa pula mengambil kesempatan ini sehingga mengabaikan kepentingan golongan ilmuwan, budayawan dan intelektual bangsa sendiri! Jadi kita berharap, dengan sikap yang diambil oleh A. Samad Said yang tergamak meletakkan dirinya sebagai “mantan Sasterawan Negara” itu memberi satu tanda penting kepada semua pihak. Akan segeralah tindakan proaktif oleh mereka yang berkepentingan dan bertanggungjawab.

Saya kira, masalah menerbitkan buku teks sastera sekolah menengah ini pun ada kaitannya dengan buku-buku teks sekolah rendah juga, yang dibimbangi akan keluar nanti buku bacaan berunsur sastera, tetapi dipalagiatkan atau diubah suai pihak tertentu atas kepentingan kebendaan. Saya harap dengan adanya pernyataan terbuka ini, pihak BPR harus membuka failnya, supaya dengan cara itu, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan masa depan generasi muda kita menjadi mangsa sistem pendidikan yang tempang dan tidak bijaksana.

Buku bacaan

Saya masih ingat, ketika darjah enam tahun 1960-an dulu, ada buku bacaan kami yang menggunakan teks puisi-puisi bertemakan nasionalisme, karya penyair Indonesia seperti Prof. Muhammad Yamin, Rustam Effendi dan Sultan Takdir Alisjahbana dalam ejaan jawi.

Apakah pelajar Melayu zaman baru merdeka seperti saya ini lebih hebat daripada pelajar sekolah menengah masa kini? Malah laporan UPSR dan PMR, kononnya keputusan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pelajar kita, melebihi tahap sasarannya, maka itu timbul pula alasan karya sastera tinggi berat dan sukar difahami pelajar?

Kalau itu benar, ertinya kita bukan melangkah ke hadapan. Para pemikir dan perancang pendidikan negara sekarang ini harus menerima dosanya, sekiranya anak bangsa kita sepuluh atau lima belas tahun lagi semuanya mempunyai minda pops, jadi pencandu budaya murahan, hilang jati diri, sirna rasa nasionalisme dan patriotismenya dan jahil tentang sejarah negara bangsanya sendiri disebabkan mereka yang menjadi perancang pendidikan itu berfikiran kelas tiga seperti ini?

Saya juga menyeru para pemimpin persatuan penulis seluruh negara, agar bangun bertindak melakukan sesuatu bukan untuk kepentingan peribadi. Tetapi berjuang atas nama persatuan yang mereka pimpin, demi menjaga maruah kaum penulis, bangsa dan negara yang mereka cintai. Sehingga kini, kita tidak dengar lagi sebarang reaksi baik daripada Kementerian Pelajaran, mahupun PPK sendiri.

Begitu juga isu ini akhirnya akan mengalir atau menjangkiti pula ke Kementerian Pengajian Tinggi, apabila di IPT pula nanti akan ada cadangan daripada ilmuan dan perancang bangsa Melayu sendiri, supaya jangan diajar sastera (kononnya sastera tidak menjanjikan masa depan bangsa Melayu)

Kita hairan dengan sikap diamnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak menerbitkan buku sastera tinggi dan karya Sasterawan Negara. Kenapa terus membisu? Yang paling ironinya tidak ada pemimpin politik Melayu seperti UMNO, Pas atau Keadilan yang tampil.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude