Rabu, 27 Februari 2008

Belia Melayu tidak minat mengundi?


PEPATAH Melayu menyebut, pemuda tiang agama pemudi harapan bangsa manakala pepatah Arab menyebut, jika hendak melihat bangsa akan datang maka lihatlah remaja hari ini.

Demikianlah besarnya peranan remaja atau golongan muda-mudi dalam sesebuah negara. Mereka bukan sahaja dikurniakan fizikal yang kuat tetapi sering teruja mencuba sesuatu yang baru. Bagaimanapun, ada tanggapan bahawa golongan muda ini tidak berminat mengambil bahagian dalam proses demokrasi memilih pemimpin melalui pilihan raya.

Pada pilihan raya umum tahun 1999, kira-kira 71.1 peratus pemilih keluar mengundi berbanding 71.6 peratus pada 1995, 1990 (72.6 peratus) dan 1986 (69 peratus).

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET menemu bual pensyarah Sekolah Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail bagi mengupas persoalan ini.

BENARKAH dakwaan bahawa pada usia belia, jiwa seseorang itu lebih suka memberontak?

DR. KHAIDZIR: Pada umumnya, orang muda ini darahnya panas. Dari satu aspek mereka suka kepada memberontak atau tidak sabar apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

Sebenarnya sifat ini dimiliki oleh kita semua. Ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran sebelum kita mencapai tahap kematangan dalam hidup.

Ciri-ciri memberontak ini sudah ada semasa di peringkat bayi lagi. Contohnya, apabila tidak suka kepada sesuatu atau lapar, bayi akan menangis. Ia sebagai isyarat bahawa mereka tidak senang dengan keadaan tersebut.

Darah panas yang dimaksudkan kepada golongan remaja atau orang muda ini bertujuan mencabar minda. Ia adalah sebahagian proses mematangkan diri seseorang itu. Pada tahap umur begini, golongan muda lebih kepada perdebatan atau proses berhujah.

Dalam psikologi, hal ini boleh difahami secara abstrak dan ia akan merangsang individu itu untuk bertindak.

Kes ‘mat rempit’ misalnya, golongan ini sebenarnya cuba mencabar masyarakat melalui tingkah laku dan aksi menunggang motosikal. Jika mereka disekat atau masyarakat melawan balik, mereka akan memberontak. Akibatnya mungkin membawa kepada sifat lebih agresif seperti menyerang polis yang membuat sekatan jalan raya dan sebagainya.

Namun, kalau mereka dibantu contohnya dengan menyediakan litar perlumbaan mungkin tingkah laku mereka boleh bertukar ke arah lebih positif.

Masih ramai golongan muda terutama Melayu yang tidak mahu mengundi pada pilihan raya. Adakah ini memang salah satu ciri psikologi pada tahap umur begini?

DR. KHAIDZIR: Sikap manusia apabila berada dalam zon selesa maka minda kita tidak akan tercabar. Kita tidak akan rasa ada keperluan untuk turut serta misalnya dalam pilihan raya.

Antara hujah yang diberi ialah kita selalu beranggapan sama ada mengundi atau tidak, tidak akan mengubah apa-apa. Kalau aku tidak mengundi, orang lain akan undi. Pendek kata, keputusan bagi pertandingan itu sudah pun diketahui.

Inilah antara punca mengapa generasi muda Melayu kurang berminat mengundi. Apabila telah biasa menikmati kehidupan yang selesa dan tidak pernah merasa jerih payah hidup seperti golongan datuk nenek kita dahulu, kesenangan hidup ini kurang disyukuri.

Sebaliknya, jika kita adalah etnik minoriti atau kedudukan kita tergugat, kita akan sentiasa mencari jalan mengatasinya. Atau dalam situasi pilihan raya, bila ada isu yang kena pada batang hidung baru dirasa perlu mengundi.

Demikian yang berlaku di Indonesia. Majoriti rakyatnya adalah Melayu tetapi kuasa ekonomi masih dipegang oleh golongan minoriti iaitu Cina.

Jadi, adakah kita perlu melalui zaman sukar seperti 13 Mei 1969 baru boleh menyedarkan golongan muda kepentingan mengundi ini?

DR. KHAIDZIR: Sudah tentu kita tidak mahu terpaksa melalui kesukaran atau tragedi berdarah seperti 13 Mei untuk kita mengubah tingkah laku masyarakat terutama orang Melayu.

Apa yang perlu kita tekankan ialah menyedarkan golongan muda tentang hak mereka untuk mengundi dalam negara demokrasi seperti Malaysia.

Dulu, golongan muda yang ke depan dalam berjuang menuntut kemerdekaan. Pendek kata, mereka tidak sayang nyawa. Demikian juga peranan golongan muda dalam membantu dakwah Rasulullah s.a.w.

Contohnya, Abu Qasim yang berusia 15 tahun sudah menyertai Nabi menjelajah hampir dua pertiga India. Demikian juga peranan Saidina Ali yang masih belasan tahun apabila bersetuju menggantikan Nabi di tempat tidur Rasulullah s.a.w dalam peristiwa hijrah baginda ke Madinah.

Sebenarnya orang muda adalah aset kepada negara kerana mereka ini penuh bertenaga dan mampu dikerah melakukan apa sahaja berbanding golongan lebih tua. Cuma persoalannya bila bakat itu akan tertonjol?

Selalunya apabila golongan itu berada dalam risiko barulah daya tahan ini ditonjolkan. Sama seperti turun naiknya negara Islam dalam setiap 100 tahun.

Umat Islam di Kosovo dahulunya lemah tetapi kini bangkit semula termasuk mengisytiharkan kemerdekaan baru-baru ini.

Satu lagi contoh adalah usaha mencari Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang diculik sejak 9 Januari lalu. Dalam kes ini, semua pihak bersatu dan bekerjasama dengan mengetepikan ideologi politik atau agama.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda, “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima.” Antaranya usia muda sebelum tua. Apakah signifikan pesanan ini kepada muda-mudi dalam konteks Pilihan Raya Umum ke-12?

DR. KHAIDZIR: Hadis ini memang tepat menggambarkan betapa pentingnya usia muda digunakan sebaik mungkin. Sebabnya, muda hanya sekali. Masa yang lepas tidak akan kembali.

Semasa zaman mudalah, kudrat kita kuat, minda berada pada tahap paling efisien, sentiasa teruja ibarat orang sedang lapar melihat makanan.

Jadi dalam keadaan begini, banyak yang boleh disumbangkan oleh golongan muda. Lebih-lebih lagi dalam konteks pembangunan negara ke arah Islam hadhari. Salah satu ciri penting ialah penguasaan ilmu pengetahuan masyarakat dan digunakan untuk ketamadunan dan kesejahteraan bukan sebaliknya.

Pada usia begini sepatutnya golongan muda terlibat dalam proses demokrasi seperti mengambil bahagian dalam pilihan raya. Sebabnya, undi kita menentukan kerajaan yang akan memerintah.

Dalam aspek yang lain, golongan ini juga perlu berhati-hati terhadap sebarang cubaan atau anasir merosakkan masyarakat. Sebabnya jika generasi muda sudah rosak maka kepimpinan masa depan negara akan terjejas.

Jangan kita terpengaruh dengan dakyah bahawa usia muda yang sekali ini perlu dihabiskan dengan kegiatan kurang berfaedah atau berfoya-foya. Tanggapan kita, Allah Maha Pengampun. Hari ini aku buat jahat esok bila dah umur 40 tahun aku taubat la.

Bagaimana kita hendak menarik minat golongan muda dalam proses pilihan raya negara?

DR. KHAIDZIR: Kita kena memahami bahawa golongan muda ini sedang mengalami proses transisi sebelum mencapai tahap matang.

Apabila sudah matang mereka akan mula berfikir tentang tanggungjawab kepada negara seperti mengundi.

Yang penting kita perlu melahirkan masyarakat yang berfikir supaya pembangunan fizikal dan minda berada pada kelas pertama.

Kita juga perlu overhaul (baik pulih) proses persekitaran. Sebabnya ada ibu bapa yang benci pada negara dan pembangunan yang berlaku dan ini kadang-kadang memberi kesan kepada anak-anak. Sehinggakan anak-anak juga benci dan tidak mahu terlibat dalam proses demokrasi.

Seperkara lagi, mungkin kita perlu buangkan sedikit keselesaan yang ada untuk bangunkan dalaman. Soalnya adakah kerajaan mampu untuk menangani proses transisi ini. Sebabnya ia mungkin bawa kesan pemberontakan atau perubahan mencuba dan mencabar kuasa setelah diberi kebebasan memilih.

Atau akan terjadi pemikiran bebas seperti pengundian khidmat pesanan suara (SMS) yang banyak mengikut apa yang mereka suka tanpa banyak memikirkan risiko dan kesannya. Ada yang menyalahkan kuasa kebebasan untuk menjatuhkan. Adakah golongan muda kita yang sebenarnya belum bersedia diberi tanggungjawab yang besar ini bukannya kerajaan yang belum bersedia?. Jadi ia bukan soal pilihan yang ada tetapi insan itu sendiri.

Ingatlah firman Allah, Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri yang mengubahnya. (ar-Ra’d: 11)



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude