Salam buat semua pengunjung yang setia bersama menjengah blog ini walaupun lebih dari sebulan ianya tidak diupdate.
Saya seakan terputus hubungan bila tiada talian internet sewaktu saya pulang ke Semenanjung bulan Disember yang lepas. Tambahan dengan dugaan Allah, pak mentua yang dikasihi ditimpa pula penyakit yang agak kronik iaitu kanser usus. Bagi saya benarlah kata Nabi saw " Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, maka dia akan diuji. Dan ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk-antaranya penyakit.
Sebab itu, bagi saya bagi mereka yang diuji Allah dengan penyakit yang kronik akan menghadapi dilema antara 2 situasi. Situasi pertama think positive lalu redha dan sabar dengan ujian itu dan pada waktu yang sama terus berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Yang kedua dia akan memandang negatif dengan ujian penyakit itu. Lalu sampai tahap yang berbahaya, kadangkala dia boleh mempertikaikan Allah-mengapa aku yang dijui tidak orang lain. Dirinya semakin lemah dan tidak mahu lagi berusaha untuk mencari penawar penyakitnya.
Namun begitu, Alhamdulillah pak mentua saya positif orangnya. Walaupun umurnya sudah menjangkau hampir 73 tahun, dia masih sihat jika nak dibandingkan dengan mereka yang sebaya dengannya. Cuma ujian Allah ini diterimanya dengan redha dan tabah.
Skandal pita video seks Datuk Seri Chua So Lek
Walaupun beliau telah meletak jawatan-pa yang jelas kepada kita rakyat tidak boleh menerima pemimpin yang ada masalah akhlak dan moral walau bagaimana hebat sekalipun kerja dan visinya.
Pita video Datuk VK Lingam
Dengan Tun Dr Mahathir menjadi saksi pada hari ini-rakyat masih tertunggu ke mana akhirnya nanti keputusan Suruhanjaya Diraja. Apa yang dipersoalkan-bagaimana Datuk VK lingam boleh mengetahui malkumat rahsia kerajaan? Hubungan baik dengan pimpinan utama ketika tidak mustahil menjadi asbab pelantikan hakim boleh diketahui seorang peguam sepertinya!
Partai Mahasiswa Negara(PNM)
Akhi Ridhwan Alias ada bertanya saya tentang pendapat mengenai keinginan mahasiswa menjadi calon dalam PR akan datang. Bagi saya terpulang-jika ada perencanaan strategi yang baik, capacity building yang mencukupi, dana yang mantap serta keberanian meredah arus-silakan. Jangan hanya retorik semata-mata. Mahasiswa boleh menubuhkan parti tapi apakah mereka bersedia meredahi tembok AUKU yang masih menjadi fobia kepada mahasiswa? Apapun jika benar ia langkah yang terbaik demi menambahkan pilihan buat rakyat untuk memilih calon pemimpin sebagai wakil rakyat mereka-dengan segala hormatnya anda dipersilakan untuk masuk ke gelanggang pertarungan yang sehingga hari ini masih bias kepada pemerintah sedia ada.
Mencari adik Sharlinie
Usaha bersama semua pihak demi memastikan tragedi adik Nurin tidak berulang-amat dipuji. Namun begitu, saya bimbang jika ada pihak yang mengambil kesempatan-samada yang mahu mencari atau yang memberi maklumat. Jangan terpesona dengan kemilau publisiti-seolah-olah kemaruk ingin mendapat nama dialah yang banyak membantu usaha mencari Sharlinie. Pihak polis perlu dibantu dengan sewajarnya. Elakkan memberi maklumat palsu dan banyakkan solat hajat di surau dan masjid seluruh negara secara bersepadu agar adik Sharlinie ditemui dengan selamat.
Membina azam setiap kali menjelang tahun baru
Tahun ini agak istimewa. Kita menyambut Awal Muharram sebanyak dua kali. Pertama pada 10 Januari 2008 bersamaan 1 Muharram 1429 H dan yang kedua pada 29 Disember 2008 bersamaan 1 Muharram 1430 H. Jadi, harus diingat barangsiapa yang lahir pada 1 Muharram tahun ini anda genap 30 tahun jika anda berumur 28 tahun kerana 2 kali 1 Muharram pada tahun ini. Perkara yang selalu ditanya-adakah anda ada azam baru? Cukuplah kita mengenang kata-kata Saidina Ali k.w. " Jadikan hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini". Dengan kata lain, persoalan azam dan pengislahan diri berterusan setiap hari dan bukan hanya menunggu ketibaan tahun baru untuk dicipta azam baru yang akhirnya jauh panggang dari api, kerana azam hanya tinggal azam dan tidak menjadi realiti!
17 Januari 2008, 8 Muharram 1429 H
4.48 petang, Bumi Kenyalang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan