Jumaat, 7 Disember 2007

Tangani perubahan iklim


Oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA

AGENDA pemanasan bumi yang ‘dingin’ buat seketika dipanaskan semula di Bali pada persidangan yang dihadiri para perwakilan daripada kira-kira 190 negara bagi membincangkan pembentukan satu pakatan baru di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut disertai China dan Amerika Syarikat (AS).

Sidang kemuncak yang bermula kelmarin sehingga 14 Disember akan membincangkan masalah utama yang kini terletak kepada penetapan kadar pembebasan gas rumah hijau antara negara kaya dan miskin, terutamanya negara membangun seperti China dan India yang semakin banyak mengeluarkan gas tersebut.

Negara-negara kaya dikatakan mahu kadar pengeluaran gas oleh negara sedang membangun turut dihadkan atau sekurang-kurangnya tidak meningkat daripada jumlah yang dikeluarkan kini.

Negara sedang membangun pula dijangka mengemukakan rancangan sistem imbuhan untuk membantu memperlahankan aktiviti pembersihan hutan.

Laporan terbaru PBB sebelum ini menekankan perlunya satu pakatan baru menjelang 2009 bagi mempercepatkan pakatan itu diluluskan sebelum Protokol Kyoto tamat pada 2012.

Setakat ini, hanya 36 negara industri di dalam Protokol Kyoto yang menetapkan kawalan terhadap jumlah gas rumah hijau yang dibebaskan menjelang penghujung protokol tersebut.

Dalam hal ini persoalan utamanya ialah setakat manakah komitmen negara maju ingin mengurangkan kadar pengeluaran gas dan bukannya meletakkan tanggungjawab ke atas negara membangun sahaja.

Dalam pada itu negara membangun yang giat pertumbuhannya seperti India dan China harus juga memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar pengeluaran gasnya tetapi kepada had yang tidak membeban dan menjejaskan kadar pertumbuhannya.

Sejauh manakah persoalan-persoalan ini dibicarakan dengan jujur dan dapat diatasi dalam jangka masa 14 hari persidangan berlangsung masih menjadi tanda tanya.

Jangan jadikan persidangan ini sekadar menjadi suatu pertunjukan dengan tiada komitmen seperti persidangan-persidangan yang lalu.

Apakah jika Amerika Syarikat (AS) dan negara maju tidak memberikan kata pemutus atau komitmen mereka hendak mengurangkan kadar pengeluaran gas maka sidang kemuncak terus akan tergendala seperti sidang kemuncak yang lalu?

Jika tidak persidangan yang berhubung dengan perubahan iklim akan sekadar menjadi medan perbincangan, perdebatan, penerbitan segala fakta yang menggerun dan menakutkan tanpa sebarang tindakan bermakna dapat diambil.

Protokol Kyoto melahirkan komitmen 36 negara maju mengurangkan emisi gas tetapi sebagaimana biasa perbincangan mengenai perjanjian politik, mengenai teknologi alternatif dan persoalan ekonomi masih lembap dan tiada kata pemutus mengenainya.

Perkara ini telah menjejaskan komitmen yang ingin dilakukan. Nampaknya jika negara maju tidak melakukan sedikit pengorbanan bagaimana pula dengan negara sedang membangun apatah lagi negara miskin.

Jangan kecewa jika persidangan di Bali ini tidak dapat mencapai perjanjian dan komitmen segera mengenai perubahan iklim terutamanya dari negara maju.

Apa yang mungkin dapat dicapai ialah perbincangan mengenai perjanjian penanggungan dalam keseimbangan kos dan tanggungjawab negara-negara dunia kepada perubahan iklim yang boleh membuka laluan kepada perjanjian yang akan diadakan di Copenhagen pada 2012.

Mungkin dunia ini melihat sekali lagi pendirian, tanggungjawab dan komitmen negara-negara seperti AS, negara maju lain, China dan India dalam tanggungjawab pengurangan kadar gas atau karbon.

Jika tidak seperti yang dibicarakan persidangan atau sidang kemuncak mengenai perubahan sekadar suatu medan perbincangan kosong dan tiada tindakan bermakna yang dapat diambil bagi mengatasinya.

Apa yang diinginkan daripada persidangan perubahan iklim ini ialah komitmen, tanggungjawab, pengorbanan dan tindakan negara maju bagi mengurangkan kadar penetapan gas atau karbon yang akan diikuti oleh negara sedang membangun.

Negara maju seperti AS, Kanada, EU, Jepun dan Rusia umpamanya harus menjadi teladan bagi diikuti oleh negara sedang membangun dan miskin yang kadar minimum yang mampu dilakukan supaya tidak menjejaskan ekonomi mereka.

Harus diingati jika terlalu banyak beban dilonggokkan kepada negara sedang membangun dan miskin maka rakyat merekalah yang akan menanggung kosnya dan segala usaha bagi membasmi kemiskinan akan terjejas dan terbantut.

Bali mungkin boleh menjadi harapan dan permulaan kepada komitmen negara maju bagi mengurangkan kadar penetapan gas atau karbon.

Negara maju tidaklah harus berpolitik di sini dengan memberikan tekanan kepada negara sedang membangun dan miskin supaya dahulu melakukan pengorbanan dalam pengurangan kadar penetapan gas atau karbon.

Sebarang tindakan yang dilakukan sekarang akan menentukan masa depan bumi.

Ulasan : Bumi yang kita diami semakin kritikal dan semakin panas lantaran lapisan ozon yang semakin menipis akibat pencemaran dan kejahatan tangan-tangan manusia.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude