Sabtu, 8 Disember 2007

Sandiwara AS pada laporan perisikan Iran

BEGITU menakjubkan bagaimana analisis risikan dikeluarkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan mempunyai aset perisikan terbaik dan tercanggih di dunia, boleh berubah haluan dengan begitu mendadak dalam jangka masa perbezaan dua tahun sahaja.

Laporan perisikan – Anggaran Perisikan Nuklear (NIE) mengenai pembangunan nuklear Iran yang dikeluarkan oleh Majlis Perisikan Kebangsaan AS (NIC) beberapa hari lepas tidak mengejutkan kerana apa yang diperkatakan oleh NIE telah lama diketahui oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Laporan NIE telah menempelak tuduhan pentadbiran White House yang selama ini menuduh Teheran membangunkan senjata nuklear.

Bermula pada tahun 2005, Presiden AS, George W. Bush serta sekutu kuat beliau Tony Blair dan John Howard, masing-masing Perdana Menteri Britain dan Australia pada ketika itu, telah menghebahkan kepada seluruh dunia bahawa Teheran sememangnya dalam peringkat terakhir memperoleh senjata nuklear.

Laporan terbaru NIE bagaimanapun telah menyanggah kepercayaan Bush, Blair dan Howard dengan analisis bahawa Iran telah memberhentikan program senjata nuklear mereka lewat tahun 2003.

Begitu ironis sekali kerana laporan NIE yang terhasil daripada himpunan analisis 16 agensi perisikan AS bukan sahaja bertentangan dengan pendapat White House, malah telah menguatkan hujah Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei bahawa tiada tanda yang menunjukkan Teheran sedang membangunkan senjata nuklear.

Lebih melucukan lagi, laporan NIE telah mengesahkan kebenaran pendapat Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa Teheran tidak mempunyai rancangan untuk memiliki senjata nuklear.

Mungkin agensi perisikan AS telah belajar daripada kesilapan yang dilakukan apabila membuat telahan yang silap dengan mengandaikan Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) pada tahun 2002. Laporan NIE terbaru itu juga mempamerkan bagaimana kesemua agensi perisikan AS telah bekerjasama bertukar maklumat risikan untuk mengelak kelemahan perisikan yang mengakibatkan komplot tragedi 11 September 2001 terlepas pandang.

Ramai mengharapkan perbalahan di antara Washington dan Teheran dapat dikendurkan ekoran laporan NIE yang terbaru kerana secara logiknya sukar bagi Bush untuk mengambil pendirian tiada kompromi dengan Iran ekoran telah terbukti negara tersebut tidak mempunyai program pembangunan senjata nuklear.

Malah ada satu ketika beberapa minggu yang lepas, Bush mengandaikan jika niat Teheran tidak disekat, situasi sebegini bakal mencetus Perang Dunia Ketiga. Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pula memberi amaran bahawa tindakan bentuk ketenteraan terhadap Iran tidak boleh ditolak ke tepi jika Teheran masih berdegil. Tidak perlu dihuraikan apa pula ugutan yang diluahkan oleh pemimpin rejim Israel kerana segala kenyataan yang keluar seakan- akan berpaksi di negara Yahudi tersebut.

Jika Washington boleh mengubah pendirian apabila berhadapan dengan pembangunan nuklear Korea Utara dengan membuka pintu perbincangan, tidak ada sebab mengapa strategi yang serupa menjadi halangan untuk digunakan ke atas Iran. Begitu juga dengan sikap Washington yang mengambil sikap berlembut dengan India, malah sanggup membantu memindahkan teknologi nuklear walaupun New Delhi bukan ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), maka tidak ada sebab mengapa Washington mahu berkeras dengan Teheran.

Tetapi semua tanggapan yang mengharapkan akan berlaku perubahan strategi Washington menghadapi Teheran meleset sama sekali. Malah Bush telah mempergunakan laporan NIE tersebut untuk menguatkan hujah beliau bahawa Teheran tidak boleh dipercayai.

Beliau menegaskan pembangunan teknologi senjata nuklear Teheran secara sulit selama 18 tahun adalah bukti nyata mengapa Iran tidak boleh dipercayai. Bush memberi penekanan bahawa Teheran sebagai ahli NPT, telah melanggar peraturan yang melarang perlaksanaan aktiviti nuklear secara rahsia. Hujah yang serupa digunakan oleh Bush apabila ramai yang mempersoalkan kenapa Washington berlembut dengan New Delhi sedangkan India bukan ahli NPT, beliau menegaskan negara tersebut tidak menyembunyikan aktiviti program pembangunan nuklear. Ternyata hujah Bush begitu terpesong kerana memang benar New Delhi tidak menyembunyikan aktiviti program pembangunan nuklear mereka, tetapi keterbukaan ini hanya terhad kepada kegunaan awam sahaja sedangkan kegunaan nuklear ketenteraan masih menjadi rahsia.

Begitu juga dengan sikap sekutu Washington di Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman masih tidak nampak sebarang perubahan strategi untuk menangani isu nuklear Iran. Malah pertemuan antara Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels beberapa hari lepas telah mengeluarkan kenyataan menyokong saranan Washington supaya Teheran dikenakan sekatan lebih ketat kerana tidak mematuhi ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pemprosesan uranium. Malah Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice dikatakan bekerja keras untuk memastikan laporan NIE tidak mengaburi perbincangan Menteri Luar yang hadir di Brussels.

Laporan NIE telah mempamerkan bagaimana rasional dan pragmatik pemimpin Iran apabila berhadapan dengan tekanan masyarakat antarabangsa.

Penamatan pembangunan nuklear pada tahun 2003 adalah ekoran daripada saranan PBB yang lebih dikenali sebagai ‘ugutan 48 hari Majlis Keselamatan’ yang menghendaki Teheran menghentikan aktiviti senjata nuklear mereka.

Laporan NIE tersebut juga membuat kesimpulan bahawa pemimpin Iran pada ketika itu lebih mementingkan kesan yang bakal dihadapi jika meneruskan pembangunan senjata nuklear.

Jika Teheran sanggup menamatkan program senjata nuklear mereka kerana memikirkan kesan yang bakal diterima, sikap ini sudah jelas mempamerkan bahawa kedudukan Iran adalah jauh lebih mudah untuk berunding berbanding Pyongyang atau New Delhi. Malah Pyongyang mahukan habuan untuk menamatkan program senjata nuklear dan New Delhi pula langsung tidak mengehadkan pembangunan senjata nuklear mereka.

Apa yang Teheran kehendaki hanyalah mahu meneruskan program pembangunan nuklear untuk perolehan tenaga kerana program senjata nuklear telah lama dihapuskan. Keputusan sebenarnya terletak di pihak Washington dan sekutunya sama ada mahu mengubah pendekatan berhadapan dengan Teheran ataupun masih ingin meneruskan strategi tiada kompromi.

- PROF. MADYA DR. AZMI HASSAN ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ulasan : Begitulah pembohongnya Amerika. Sekian lama dunia ditipu bahawa Iran sedang membina rektor nuklear. Tiba-tiba kenyataan itu beralih arah bahawa kajian sebenar Iran telah lama memberhentikan projek itu, walaupun dalam masa yang sama Iran juga membuat perang psikologi. Ternyata Bush di ambang akhir pemerintahannya yang bakal berakhir dengan sad ending!

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude