Rabu, 5 Disember 2007

Rundingan Annapolis hanya sandiwara

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

PERSIDANGAN damai Palestin-Israel yang akan diadakan dilihat tidak lebih daripada suatu sandiwara sahaja.

Kononnya tujuan Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush mengadakan perundingan bukannya sebagai suatu inisiatif politik tetapi bagi mengelakkan masyarakat antarabangsa daripada menumpukan perhatian kepada isu kegagalan AS di Afghanistan dan Iraq.

Nampaknya ia tidak lebih daripada propaganda murahan dan pertunjukan perhubungan awam bagi meyakinkan masyarakat antarabangsa yang Bush masih berminat dengan proses damai Palestin-Israel.

Bayangkan, di tengah-tengah masyarakat antarabangsa menantikan perdamaian di Annapolis, Perdana Menteri Israel Ehud Olmert memotong bekalan elektrik kepada penduduk Gaza kerana tidak tunduk kepada undang-undang mereka.

Apakah rundingan hanya ingin mengiktiraf Fatah yang dipimpin oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang sudah terbelah dua dan tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi?

Adakah rundingan ini tidak mengiktiraf Perdana Menteri, Ismail Haniyeh yang menang pilihan raya hasil daripada undian rakyat. Dengan siapa sebenar mereka (AS, Israel dan perunding damai lain) harus memberikan keutamaan dalam mengadakan perbincangan? Kerajaan sah Hamas atau parti yang ditolak rakyat?

Hakikatnya apa yang sedang diusahakan oleh Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice adalah suatu sandiwara dan jenaka sahaja, suatu publisiti murah sahaja.

Mereka ingin merundingi sesuatu yang tidak dapat diputuskan, sesuatu yang terhujam begitu dalam dengan realiti Zionisme berkaitan kebangkitan negara haram Israel dan tiada tolak ansur dalam pemberian hak kedaulatan kepada rakyat Palestin dalam memerintah negara mereka dengan bebas.

Jika tercapai sesuatu yang positif dalam rundingan damai dalam kemerdekaan, Palestin tetap dalam genggaman Israel.

Ia telah dirakam dalam sejarah sejak Perjanjian Balfaour di mana negara haram Israel akan terus berkembang dan Palestin akan menjadi sebuah wilayah.

Dapatkah AS dan Kesatuan Eropah (EU) merungkaikan sesuatu yang tidak dapat dirundingi itu?

Bagi Mahmoud Abbas dengan mengetepikan Hamas apakah yang dapat dicapai? Adakah beliau ingin memulihkan keyakinan penduduk Palestin terhadap Fatah dan kepimpinannya melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan Allahyarham Yasser Arafat iaitu memberi hak kedaulatan kepada rakyat Palestin?

Atau sekadar mendapat publisiti murahan media berjabat tangan dengan pemimpin AS, negara Barat, Israel dan pemimpin negara Arab dan kemudian diterima sebagai pemenang Hadiah Nobel keamanan pada tahun depan.

Olok-olok

Segala rundingan ke arah perdamaian tetap disokong, masyarakat antarabangsa mahukan perdamaian tetapi ia harus dilakukan dengan keikhlasan dan tidak bersandiwara dan olok-olok menjadi mainan media antarabangsa sahaja yang kemudian dilupakan selepas perbincangan rundingan tamat.

Misalnya dapatkah Bush benar-benar meyakinkan Israel, AIPAC dan kumpulan konservatif baru supaya Israel tidak menguasai Baitulmaqdis, memberi hak kedaulatan dan kemerdekaan kepada Palestin, membincangkan perjanjian mengenai pelarian dan membebas semua tahanan politik tanpa mengira parti.

Apalah gunanya rundingan jika sebelum bermula sudah diletakkan halangan iaitu syarat bahawa penduduk Palestin dan pemimpin mereka harus mengiktiraf negara Isreal.

Ia turut diikuti oleh seorang pemimpin berhaluan kanan Liberman yang tidak akan menghadiri sidang damai jika mereka tidak memenuhi tuntutan atau ‘ugutan’ itu.

Penduduk Palestin dan pemimpin tidak perlu melakukannya kerana mereka sudah melakukan semasa Perjanjian Oslo dahulu malah Israel sehingga sekarang masih tidak mengiktiraf hak bernegara penduduk Palestin berdasarkan kepada sempadan garisan hijau itu.

Sekarang apa yang mereka mahu ialah pengiktirafan Israel sebagai sebuah negara Yahudi pula. Sebuah negara Zionis yang rasis.

Jika ini diiktiraf oleh Mahmoud dan konco-konco maka penduduk Palestin akan menjadi warga kelas dua sahaja.

Segala soalan yang dipersoalkan ini bertujuan meminta kita berfikir tentang latar dan isu-isu tertangguh dalam rundingan damai ini. Ia sebenarnya mahukan keikhlasan di pihak AS, EU dan Israel sendiri jika mahukan perdamaian sebenar dicapai.

Ulasan : Inilah sikap sebenar Bush dan US. Memperdaya pemimpin Fatah Palestin yang tidak bijak untuk terus menandatangani sekian banyak perjanjian, yang ternyata lebih bias kepada Israel. Bush hanya menunjukkan dialah pencatur kemanan dunia. Saat kejatuhannya pasti tiba!

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude