Sabtu, 1 Disember 2007

Modal insan dalam kehakiman


Oleh MASTURA MOHD ZAIN

KEADILAN adalah sesuatu yang didambakan oleh semua pihak. Anak kecil sekalipun sudah pandai mengatakan sesuatu itu tidak adil jika ibu bapanya menyuruh dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

Selalunya kefahaman tentang keadilan itu dikaitkan dengan undang-undang seperti yang tertera pada logo Majlis Peguam Malaysia, iaitu ‘Keadilan melalui undang-undang’. Namun perlu diketahui ini tidak bermakna setiap undang-undang yang digubal itu adalah adil; persoalan berkenaan keadilan tetap wujud kerana terdapat undang-undang yang tidak memuaskan semua pihak. Cuma apabila sesuatu undang-undang itu sudah digubal, maka ia harus dilaksanakan oleh badan kehakiman.

Dalam dasar pengasingan kuasa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, badan kehakiman atau mahkamah diberi kuasa untuk mentafsir undang-undang. Kuasa meluluskan undang-undang diberikan kepada dewan perundangan (Parlimen). Kuasa melaksanakan undang-undang pula dipertanggungjawabkan kepada pihak eksekutif (iaitu kerajaan yang memerintah). Ketiga-ketiga cabang ini perlu dipisahkan dan tidak boleh berhubung antara satu sama lain. Ini supaya tidak berlaku kezaliman. Namun pemisahan kuasa ini hanyalah di atas kertas sahaja, dari segi amalannya agak sukar dilakukan. Ini kerana eksekutif (kerajaan yang memerintah) dan dewan perundangan mempunyai hubungan: Kerajaan dibentuk di Parlimen. Eksekutif juga mempunyai ruang untuk mempengaruhi badan kehakiman. Perdana Menteri Malaysia mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan pelantikan hakim-hakim walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa ia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat beliau.

Badan kehakiman/mahkamah pada dasarnya memang terpisah dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kedua-dua pihak eksekutif dan dewan perundangan. Badan kehakiman seperti yang telah disebut, telah diberi kuasa untuk mentafsir undang-undang, ini untuk mengelakkan satu pihak membolot ketiga-ketiga kuasa tersebut. Namun tuntutan untuk mentafsir undang-undang bukanlah semudah yang disangka, ini kerana undang-undang itu sendiri tidak begitu jelas. Ia memerlukan pengalaman, hikmah dan kematangan.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa seseorang peguam itu hanya layak dilantik menjadi hakim sekiranya ia telah mempunyai pengalaman sebagai peguam bela dan peguam cara atau telah berkhidmat di Jabatan Kehakiman dan Perundangan sekurang-kurangnya sepuluh tahun. Syarat ini tidak semestinya yang terbaik, namun ia adalah persediaan agar hakim dapat dilihat sebagai mentafsir secara hikmah, dan bukan membuat undang-undang dan sekali gus seolah-olah bercampur tangan dalam bidang kuasa dewan perundangan (yang juga eksekutif).

Oleh itu mengikut dasar pengasingan kuasa, mahkamah perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Bayangkan apa akan terjadi kepada institusi kehakiman jika seorang peguam atau sesiapa boleh memilih hakim tertentu yang boleh memberikan kemenangan terhadap kes yang dibawa mereka. Kepercayaan masyarakat akan terjejas, ia juga jelas melanggar akhlak kehakiman kerana sebarang pelantikan hakim dalam membicarakan dan mendengar sesuatu kes itu perlu dibuat oleh Ketua Hakim.

Institusi kehakiman perlu dipelihara kerana ia bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang di dalam sesebuah masyarakat dan negara. Oleh itu tidak harus ada campur tangan daripada mana-mana pihak dalam urusannya. Berdasarkan tamadun Islam, institusi kehakiman hanya dianggotai oleh mereka yang benar-benar layak dari segi ilmu, ketinggian akhlak, peribadi dan kemampuan berhikmah. Seseorang yang tidak berkelayakan untuk menjadi hakim dilarang sama sekali menerima pelantikannya (jika ditawarkan), di samping dia dilarang memohonnya. Malah pelantikannya ke jawatan itu dihukum tidak sah (al-Nawawi, 11:92, 123).

Dalam Surah al-Nisa’ ayat 58, Allah mewajibkan seseorang hakim itu dilantik daripada kalangan yang ahli (memiliki kelayakan) dan apabila dia menghukum maka hendaklah dia menghukum dengan adil. Allah sentiasa mendengar lagi melihat apa yang dilakukannya.

Dan jika seorang Muslim itu yakin bahawa Allah sentiasa melihat dan memantaunya, dia tidak boleh berada dalam dua alam, kadang-kadang baik kadang-kadang buruk. Agama Islam meletakkan sesuatu yang baik itu tetap baik dan sebaliknya. Di sini penekanan terhadap ciri-ciri modal insan yang baik perlu disemai di dalam institusi kehakiman.

Modal insan yang baik adalah membina jiwa manusia itu terlebih dahulu. Bagaimana insan boleh membangun sekiranya jiwa mereka tidak betul dan akhlak menyanggah keadilan? Oleh itu modal insan yang baik adalah mereka yang cintakan kebaikan dan benci kepada keburukan. Kita juga boleh melihat dalam Surah al-A’raf ayat 96, jaminan Allah bagi kelompok masyarakat yang mengamalkan modal insan yang dikehendaki agama, untuk memberi kurnia kepada penduduk yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya manusia tidak akan selesa, keluh-kesah serta tidak tenang jika tidak berpandukan agama sebagai teras kehidupan. Orang yang tidak berpaksikan agama akan menjadikan nafsu dan syahwat sebagai pegangan. Inilah sebab wujudnya kekeliruan, berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain kepincangan dalam kehidupan hari ini.

Seharusnya kita ingat sabda Rasulullah, orang yang cerdik dan berakal ialah yang sentiasa dalam keadaan menimbang amalan dan bersedia menghadapi kematian (riwayat Tirmizi). Oleh itu sepatutnya modal insan yang hendak ditanam adalah yang berasaskan ilmu. Natijahnya, masyarakat akan memperoleh sebuah badan kehakiman yang bebas, dipercayai dan dihormati semua pihak.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude