Selasa, 6 November 2007

UMNO ; Pembela Melayu ?





Bermula jam 8.30 malam tadi, berlangsunglah Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang dimulai dengan perasmian Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO ; Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dan pada hari ini berlangsung persidangan penuh. Sepanjang 5-9 November ini, perhimpunan ini menjadi tumpuan khususnya oleh pemerhati politik, parti komponen BN dan parti pembangkang, baik dari dalam negara mahupun luar negara.

Hampir semua media massa memberikan liputan dan publisiti menyeluruh kepada perhimpunan kali ini. Namun begitu, perbahasan sepanjang perhimpunan tidak akan disiarkan secara langsung, sebaliknya hanya part-part tertentu yang akan diberi liputan seperti ucapan perasmian oleh Presiden dan Timbalan Presidennya. Ia diputuskan oleh Majlis Tertinggi hanya kerana tidak mahu mencetus isu perkauman dan menimbulkan perkara yang tidak diingini.

Ternyata, dari perspektif awal sebagai rakyat biasa, senario ini sudah menampakkan ketidakseimbangannya. Benar UMNO parti pemerintah, tetapi kenapa begitu sekali dimanipulasi media massa hanya untuk kepentingan organisasi mereka. Kenapa parti-parti lain termasuk komponen BN, apatah lagi parti pembangkang tidak diberikan ruang seumpama UMNO?

Jawapannya jelas, kerana UMNO merupakan parti pemerintah dan terkuat dalam BN. Keahlian yang berjumlah hampir 3.3 juta masih belum dapat disaingi oleh parti-parti lain. PAS sebagai parti pembangkang utama baru menjangkau 1.2 juta. Maka diwar-warkanlah, UMNO sebagai tonggak kekuatan Melayu, sedangkan realitinya tidak sebegitu!

Khabarnya banyak isu yang akan dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini. Antara yang menarik perhatian para perwakilan ialah isu kos sara hidup yang semakin meningkat,Wawasan 2020, pemerkasaan UMNO menjelang 2057, WPI, NCER, ECER dan lain-lain. Bagi saya, perhimpunan kali ini diberi tumpuan kerana ia sepatutnya berlaku pemilihan jawatan baru, tetapi ditangguhkan ke tahun 2008 kerana memberikan fokus kepada pilihanraya umum ke-12.


Banyak pemerhati politik meramalkan, kemungkinan ucapan Pak Lah selaku Presiden UMNO akan memberikan hint samada pilihanraya akan diadakan pada bulan November, Disember 2007, Januari, Februari, Mac atau April 2008. UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar pada 1946 diwarisi oleh beberapa pimpinan selepasnya. Antaranya termasuklah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir dan kini Pak Lah.


Setelah menelaah beberapa artikel dan pembacaan ilmiah, maka izinkan saya mencoret fakta berikut :
1) UMNO masih tidak serius menjaga kedaulatan Islam – ini dibuktikan dengan pengamalan dan penghayatan Islam di kalangan isteri para pemimpinnya dan pemimpin wanita mereka. Di mana tudung yang sepatutnya menutup aurat mereka? Kenapa tidak dicontohi Permasiuri Agung Zahirah yang manis apabila bertudung dan menutup aurat? Seterusnya, ada kenyataan dari pimpinan mereka yang masih tidak yakin dengan pelaksanaan hukum syariat Islam untuk menangani masalah sosial yang semakin runcing kini. Pelaksanaan konsep Islam Hadhari masih tercari-cari arah dan hala tuju. Prinsip pertama iaitu meningkatkan iman dan taqwa tidak dihayati sepenuhnya oleh ahli UMNO. Prinsip kesembilan iaitu pemuliharaan alam semulajadi pula hanya tinggal prinsip apabila banyak pembangunan mutakhir ini mengabaikan ekosistem, lantas menyumbang kepada kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya.

2) UMNO masih gagal melaksanakan pencapaian sekurang-kurangnya 30 % ekuiti bumiputera melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada zaman arwah Tun Abdul Razak. Ini dibuktikan dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara UMNO, Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad bahawa pemilikan ekuiti bumiputera sehingga kini hanya 18.9 %. DEB yang diperkenalkan pada tahun 1970 sehingga tahun 2000, masih gagal dinikmati agihan ekonomi sekurang-kurangnya 30 % di kalangan bumiputera! Di mana silapnya? Bukan sedikit jutawan yang lahir hasil pelaksanaan DEB, tetapi tidak kurang ramai juga bumiputera yang masih bergelut dengan masalah kewangan. Jumlah pendapatan isi rumah bumiputera yang merangkumi 65 % dari 26 juta rakyat negara kita hanyalah RM 3,011, jauh ketinggalan berbanding kaum Cina dan India yang lebih tinggi iaitu menjangkau hampir RM 6500++ !

3) ”Di dalam al-Quran tidak pernah mengatakan UMNO akan kekal selama-lamanya”. Saya tertarik dengan ungkapan yang dinyatakan oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia semalam. Setelah sekian lama, terdapat pemimpin UMNO yang begitu angkuh menyatakan UMNO akan memerintah negara tanpa dapat digugat oleh sesiapa untuk selama-lamanya, maka kenyataan ini seolah-olah menempelak UMNO sendiri. Seingat saya MB Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan "Jika UMNO memperjuangkan Islam, maka pada saat itu tidak perlu ada PAS!” Masalahnya, UMNO tidak serius memperjuangkan Islam! Dan ini akan menjadi bukti bahawa UMNO tidak akan selamanya memerintah negara ini. Apatah lagi di dalam surah Isra’, Allah sudah menyatakan "Dan katakanlah Muhammad, kebenaran akan tiba dan kebatilan pasti lenyap. Sesungguhnya kebatilan pasti lenyap".

4) Kos hidup semakin meningkat. Ini diakui oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasssin bahawa kalau dulu dengan RM100, barangan yang dibeli memenuhi satu bakul, tetapi kini dengan nilai wang yang sama, hanya 3 suku bakul dipenuhi. Dengan harga minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat, tidak mustahil harga minyak akan naik tahun depan. Tarif elektrik juga khabarnya akan naik. Tol juga akan naik. Maka, kesannya harga barangan turut naik! Benar, kakitangan awam memperoleh kenaikan gaji antara 15-35 %, tetapi jumlah mereka hanya sejuta orang atau 4 % dari keseluruhan rakyat di negara kita yang rata-ratanya bekerja sendiri, khususnya bumiputera seperti nelayan, petani, pesawah, pekebun, pekerja swasta dan tidak kurang juga yang masih menganggur.

5) Masalah sosial yang semakin meningkat dan keselamatan rakyat mula terancam. Senario ini semakin membimbangkan kita. Dengan program hiburan realiti TV yang tumbuh bagai cendawan bermula seawal 2000, golongan bumiputera(Melayu Islam) semakin leka dan lalai. Hedonisme disogokkan, lantas menghakis jatidiri sebagai seorang Muslim. Bahkan generasi muda bumiputera hari ini tidak mahu mengambil cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling. Bahan bacaan mereka adalah bahan yang ringan seperti Mangga, URTV, Hai dan sebagainya. Perkara yang melibatkan soal kepincangan pentadbiran negara tidak dihiraukan. Selama mana rakyat digula-gulakan begitu, maka selama itulah UMNO merasakan diri mereka selamat dan akan terus disokong. Namun begitu awas, golongan netizen(golongan remaja dan dewasa yang berinteraksi menggunakan yahoogroups, email, YM, blog dan laman web) semakin celik dengan fakta yang dikemukakan oleh media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Banyak blog dan laman web menjadi pilihan mereka sebagai alternatif dalam mendapatkan maklumat tentang isu semasa. Oleh itu, tidak hairan mereka mengugut para bloggers dan laman web alternatif agar tidak menyiarkan fitnah, sedangkan perkara itu ada asasnya! Pembunuhan kanak-kanak perempuan yang tidak berdosa seperti arwah Nurin Jazlin dan yang terbaru mendiang Preeshna makin merisaukan kita. Seolah-olah kita tidak lagi selamat bila berada di tempat sendiri!

6) Penguatkuasaan yang lemah dan salah guna kuasa di kalangan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab. Lalu timbullah isu kebanjiran pendatang asing yang kini berjumlah hampir 2.2 juta. Anda pergilah berjalan-jalan di sekitar Chow Kit dan Puduraya, seolah-olah ada Mini Jakarta atau Mini Bangladesh di sana. Sehinggakan kalau kita berjalan seorang diri, banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku seperti diragut, dirogol dan sebagainya. Isu rasuah yang semakin membarah, bagi saya tidak akan selesai selama mana ’jerung’ tidak ditangkap. ’Bilis’ yang kecil dikambinghitamkan sebagai bukti kononnya pentadbiran kini telus mebanteras rasuah! Kita berharap selective investigation dihapuskan. Isu kandang babi di Melaka senyap begitu sahaja. Hak penternak babi lebih utama berbanding keselesaan bumiputera yang menetap di kawasan itu.

7) Projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat teramai, terus dilaksanakan. Program seperti Monsoon Cup yang menelan belanja ratusan juta ringgit dengan kapal yang belayar tanpa ombak yang beralun, kadang-kadang menyebabkan kita terpinga-pinga apa perlunya program sedemikian? Kalau hanya nak mempromosi Malaysia atau sesebuah negeri, banyak lagi caranya. Itu tidak termasuk lagi cadangan Menteri Pelancongan yang pernah menyarankan supaya kelab malam dan pub hiburan beroperasi hingga 5 pagi hanya semata-mata dengan alasan supaya pelancong asing dapat berhibur dengan masa yang lebih panjang!

8) Mahasiswa terus dibisukan. Buktinya pilihanraya kampus yang baru selesai Oktober lepas. Mahasiswa diancam sekiranya tidak mengundi calon pro-aspirasi akan dibuang kolej, ditarik biasiswa bahkan yang lebih gila ada yang diugut untuk digantung pengajian! Ternyata, demokrasi di kampus telah mati. Mahasiswa yang sepatutnya mempunyai idealisme yang jelas hanya menjadi Pak Turut HEP, yang turut menjadi Pak Turut kepada beberapa pemimpin di dalam UMNO.

9) Nilai demokrasi di dalam negara semakin terhakis. Buktinya SPR yang diharapkan menjadi pihak yang impartial(tidak bias kepada mana-mana pihak) hanya tinggal harapan. Kenyataan Pengerusi SPR kadangkala menampakkan dirinya pro ke arah sesuatu pihak. Pihak pembangkang yang sepatutnya diberikan ruang untuk berkempen melalui media massa juga, terus diabaikan permintaan mereka. Masa kempen disingkatkan, sedangkan UMNO dan BN sebagai pemerintah bermaharajalela memanipulasi media massa milik mereka Tahanan ISA yang sepatutnya dibicarakan di mahkamah terbuka terus dinafikan hak. Anak isteri mereka terus menderita di atas kezaliman yang tidak sepatutnya meragut kebahagiaan mereka. Pertelagahan sesama agensi kerajaan antara PDRM dan BPR baru-baru ini makin merumitkan keadaan. Isu klip video VK Lingam seolah-olah ditwistkan isunya, yang akhirnya menampakkan DSAI yang bersalah kerana tidak menyerahkan klip video yang asal. Maka persoalan yang timbul dalam benak fikiran kita mengapa begitu sekali keadaan yang berlaku?


Oleh itu, sebagai kesimpulan, 10 November ini merupakan hari untuk seluruh rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk turun menyatakan hasrat mereka. Hasrat mereka hanya satu, inginkan pilihanraya yang telus, adil dan bersih. Mereka mahu bertemu dengan Yang di Pertuan Agong supaya meneliti memorandum dan hasrat rakyat Malaysia keseluruhannya. Pemimpin yang akan dipilih nanti dalam PRU ke-12 adalah pemimpin yang benar-benar mahu menjadi wakil rakyat dan bukan rakyat sebagai wakil mereka! Semoga sedikit coretan ini mampu mencelikkan minda kita semua. Maka di saat ini kita akan bertanya dalam hati kecil, benarkah UMNO pembela Melayu atau sebaliknya?


6 November 2007, 25 Syawal 1428,

8.30 pagi, Malaysia Timur.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Saya sendir sangat percaya bahawa UMNO sedar perkara2 ini.

Tetapi, saya tidak percaya UMNO boleh berubah kerana UMNO didiami oleh bangsa Melayu melayu...

Sejarah perjuangan Melayu tidak redikal dan tidak bersifat nasional.

Kita lebih pilih 'meja bulat'.

Sebab itu gagasan "Kebangsaan Yang Bulat" oleh Dr.Burhanuddin el-Hilmy, Penasihat Seumur Hidup PKMM dikhianati sendiri oleh PKMBR (kini dikenali UMNO).

Persoalan saya, abg ada formola tak nak ubah kepala UMNO Melayu layu ini?

http://zainulfaqar.wordpress.com

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude