Allah s.w.t berfirman "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadian (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).Serta mengilhamkannya(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih(dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya(dengan sebab kekotoran maksiat)". (Surah al-Syams, Ayat 7-10)
Saya terpanggil untuk menulis artikel ini apabila akhi Ridhwan Alias mengingatkan saya tentang isu ini, yang pernah saya ungkapkan dulu sewaktu bergelar pimpinan mahasiswa. Sesugguhnya banyak kenangan pahit manis bersama dengan sahabat seperjuangan dalam usaha mendaulatkan Islam di kampus.
Benar, siapa yang tidak ingin untuk memasuki menara gading. Kalau seseorang itu anak kampung, pasti seluruh kampung berbangga dengannya. Kalau seseorang itu anak sebuah taman di kota sekalipun, pasti akan menjadi buah mulut jiran tetangga yang lain. Majlis doa selamat akan dibuat, menandakan kesyukuran anak masing-masing terpilih melanjutkan pengajian ke IPTA atau IPTS, samada dalam atau luar negeri.
Namun begitu, usaha mendapatkan segulung ijazah bukan begitu mudah. Niat yang benar dan ikhlas di awal pengajian sewaktu mendaftar diri di kampus, bisa sahaja terpesong dek godaan yang pelbagai di kampus. Kampus tidak seperti sekolah yang masih ada guru yang boleh memberikan nasihat dan bimbingan. Bagi yang berada di sekolah berasrama, warden yang biasanya dibenci itulah, kadangkala murabbi yang terbaik pernah kita temui. Mungkin ada yang ditangkap sewaktu lompat pagar, ada yang disebat dengan getah paip kerana tidak solat Subuh berjamaah di surau sekolah, ada yang ditangkap sewaktu merokok di loteng asrama dan banyak lagi hukuman yang kita alami sewaktu di asrama. Tanpa kita sedari, itulah tarbiyyah dari mereka yang memungkinkan kita menjadi seorang yang berjaya pada hari ini. Maklumlah, waktu itu kita salahkan mereka sebab kita merasa kita betul, tetapi kini barulah kita merasakan ingin menyampaikan ucapan terima kasih atas didikan yang bermakna itu.
Suasana di kampus jauh berbeda dengan sekolah. Di kampus, kita hanya ada kawan yang menjadi antara faktor terpenting dalam membentuk diri kita. Benar, kita ada pensyarah yang berkaliber dan memiliki ilmu yang tinggi, tetapi tidak semua bersifat sebagai murabbi. Rata-ratanya hanya sebagi mu’allim. Oleh kerana itu, kadangakala disebabkan kawan, boleh menyebabkan kita hina di sisi Allah sebagaimana kisah Uqbah bin Abi Muaith dan Ubay Ibn Khalaf (dua-duanya kafir dan sahabat karib) yang dirakamkan kisah mereka di dalam surah al-Furqaan, ayat 27-29 "Dan (ingatkanlah)perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata :”Alangkah baiknya kalau aku(di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? ”Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib! ” Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Qur’an) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia(yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
Uqbah bin Abi Muaith menyesal kerana mengikut suruhan kawan karibnya ; Ubay Ibn Khalaf berbanding memuliakan Nabi saw. Ia bermula apabila Uqbah mengadakan jamuan di rumahnya. Nabi saw juga dijemput untuk hadir, namun Nabi saw enggan menjamu makanan yang dihidangkan. Bagi orang Arab, menjadi keaiban besar bagi diri mereka apabila tetamu yang diundang tidak menjamu makanan yang dihidangkan. Dalam ungkapannya, dia menyebut dan mengakui Nabi saw itu sebagai lelaki yang mulia "Telah datang ke majlisku seorang lelaki yang mulia (Muhanmmad), namun dia enggan memakan makanan aku".
Lau dia bertemu dengan Nabi saw dan bertanya " Wahai Muhammad, kenapa engkau tidak mahu menjamu makanan aku?" Lantas Nabi saw menjawab "Aku tidak akan makan sehinggalah engkau mengucap dua kalimah syahadah". Oleh kerana tidak mahu malu, akhirnya dia mengucap on the spot ; bukan atas kerelaannya. Akhirnya, barulah Nabi saw menjamu makanannya. Selepas peristiwa itu, sahabat karibnya ; Ubay Ibn Khalaf telah mendapat berita bahawa Uqbah telah memeluk Islam. Dia bertemu dengan Uqbah dan bertanya "Benarkah kau dah memeluk Islam?". Uqbah menjawab "Oh tidak. Aku hanya nak sedapkan hati Muhammad. Kalau tidak, dia tak menjamu makananku". Lantas Ubay dengan marah berkata "Sekarang, wajahku haram ke atas wajahmu dan kita putus saudara sehinggalah kau mencari Muhammad dan ludah ke atas mukanya!". Terkejut bukan kepalang Uqbah. Mulanya dia terasa berat, tetapi mengenangkan Ubay adalah sahabat karibnya dan dia mengucap depan Muhammad pun bukan dengan kerelaannya, maka akhirnya dia akur dengan permintaan Ubay ; sahabat karibnya.
Ternyata, dia lebih mengutamakan Ubay berbanding Nabi saw. Pada suatu hari, sedang Nabi saw duduk di hadapan rumahnya, Uqbah dengan nekad meludah ke muka Nabi saw. Seseungguhnya, perlindungan Allah mengatasi segala perbuatan jahat Uqbah. Ludahan itu seolah-olah terhalang dengan suatu benteng yang melindungi wajah mulia Nabi saw. Ludahan itu memantul balik dan kena di mukanya sendiri. Waktu itu, wajah Uqbah mula berubah seolah-olah ditimpa semacam penyakit kulit akibat ludahannya sendiri. Nabi saw pantas bangun dan dengan tegas mengatakan "Sekiranya aku menjumpaimu di luar Mekah selepas ini, nescaya dirimu akan kubunuh!". Dipendekkan kisah, dalam suatu peperangan, Uqbah menjadi tawanan perang tentera Muslimin. Ketika itu, Nabi saw melaksanakan janjinya dengan membunuh Uqbah kerana dianggap musuh Islam.
Lalu, perhatikanlah kekesalan yang dialami oleh Uqbah di akhirat nanti, yang telah dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Furqaan. Dia telah menjadi hina kerana mengutamakan kawan karibnya ; Ubay berbanding Nabi saw, sedangkan dia telah mengucap dua kalimah syahadah sebelum itu. Jelas, Islamnya seseorang bukan atas kerelaannya, akan menerima akibat sebagaimana Uqbah!
Lantaran itu, benarlah kata-kata Imam Ghazali, bahawa untuk mencari sahabat yang soleh di akhir zaman bukan mudah. Sahabat yang soleh ialah yang boleh menegur dan menasihati kita apabila kita melakukan kesilapan. Sahabat yang soleh juga ialah mereka yang mendokong kita di atas jalan kebenaran dan bersama dengan kita dalam membanteras kemungkaran. Bahkan, Nabi saw pernah mengibaratkan sahabat yang baik seumpama penjual minyak wangi. Kalau kita tidak membeli minyak wangi darinya sekalipun, kita tetap mendapat tempias bau wanginya. Dan kawan yang jahat seumpama tukang besi. Kalaupun baju kita tidak terbakar akibat percikan api besi yang diketuk, kita tetap mendapat tempias bau busuk besi yang diketuk.
Di kampus, kita perlu mencari sahabat yang sejati. Bukannya yang gembira bersama dengan kita sewaktu kita senang, tetapi meninggalkan kita seorang diri apabila kita ditimpa kesusahan. Sebab itu, selama saya berada di kampus hampir 5 tahun, maka saya mengkategorikan para mahasiswa kepada 3R :
1) Mahasiswa Reader (bookworm/ulat buku)
2) Mahasiswa Relaks (tiada arah tuju, suka berseronok, gemar hedonisme)
3) Mahasiswa Reaktif ( cakna dan prihatin dengan suasana sekeliling)
Saya pernah mengatakan bahawa Mahasiswa Reader (bookworm/ulat buku) ini bukannya tidak baik. Tetapi matlamat untuk mengejar hanya pointer yang terbaik (4.00 flat) setiap semester dan impian mendapat Anugerah Diraja/ Canselor , tidak mencukupi jika tidak disertai dengan kemahiran komunikasi dan interpersonal(pergaulan dan penampilan). Sebab itu ditonjolkan Mahasiswa Reader sebagai budak ’net’ (genius dan pintar dalam akademik tetapi fail dari sudut pergaulan dan komunikasi). Pernah saya mengungkapkan bahawa golongan ini, kalau Naib Canselor bertukar atau Bangunan Canselori runtuh, mungkin tidak disedari dek terlalu khusyuk menghadap buku! Justeru, tidak hairan, mengikut laporan para majikan dalam sesi temuduga, ada pelajar yang memperoleh result yang cemerlang dalam akademik, tetapi gagal untuk berkomunikasi dengan baik sewaktu sesi temuduga. Akibatnya, mereka gagal mendapat tempat di hati majikan. Dalam hal ini, saya memerhatikan kelompok ini mewakil sekitar 20 % dari keseluruhan mahasiswa di kampus(di peringkat ijazah sarjana muda sahaja).
Mahasiswa Relaks pula bagi saya merupakan golongan majoriti di kampus. Tidak salah untuk berhibur dan berseronok, tetapi kalau kelas pun tidak hadir akibat sibuk melayan aweks(bahasa Apek Senario) dan pakwe masing-masing, nak jadi apa? Kadangkala saya terfikir di tengah-tengah malam (12.00 tengah malam ke atas), ke mana pasangan yang asyik memadu kasih pergi? Bukan untuk bersangka buruk, tetapi faham-fahamlah apabila berdua, pasti ada pihak yang ketiga ; iblis yang sentiasa menghasut supaya terlanjur. Sebab itu, pernah seorang kaunselor di UM menyatakan kepada saya bahawa, banyak kes siswi Muslim yang mengaku terlanjur dengan pasangan masing-masing, bahkan ada yang sampai mengandung. Itu tidak masuk lagi yang sanggup melacurkan diri demi mendapat duit poket untuk menampung kehidupan yang mewah bergaya! Golongan inilah yang menjadi sasaran mad’u utama sewaktu saya dan sahabat yang lain berada di kampus dahulu. Mungkin mereka terlalai seketika, dan kitalah yang perlu mengajak dan membimbing mereka ke arah jalan yang dituntut agama. Bagi saya, orang yang tenggelam dalam kejahilan dan kemaksiatan seumpama orang buta yang berjalan menuju suatu lubang. Sekiranya kita yang celik dan sedar tidak memaut tangan mereka, nescaya mereka akan jatuh ke dalam lubang kehinaan!
Mahasiswa reaktif pula, saya maksudkan kepada sekumpulan mahasiswa yang menginginkan kebaikan di kalangan mahasiswa kampus. Suasana biah solehah mungkin agak mustahil dalam kampus yang bercampur-aduk muslim dan non-muslim, tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu perlu digerakkan. Golongan ini saya perhatikan mungkin hanya mewakili 5-10 % dari keseluruhan mahasiswa kampus. Mereka sentiasa berusaha mengajak mahasiswa ke arah yang makruf dan sedaya upaya mencegah kemungkaran. Dan kelompok inilah yang kerapkali menjadi sasaran pihak HEP yang tidak sealiran dengan mereka. Bagi HEP, kelompok dianggap pengacau dan menyusahkan mereka. Sebab itu, pada pandangan saya apabila berlaku pertembungan sengit di antara calon pro-mahasiswa dan calon pro-aspirasi dalam pilihanraya kampus tempoh hari, saya yakin pro-mahasiswa akan kembali bangkit untuk mendominasi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar di kampus dalam tahun-tahun yang mendatang. Bilangan kelompok ini yang sedikit, tidak pernah mengecilkan semangat dan ilmu mereka. Banyak kisah sejarah yang membuktikan, betapa bilangan yang sedikit mampu menewaskan bilangan yang banyak dengan syarat kekuatan diri, bertunjangkan iman yang kental kepada Allah. Namun begitu awas, buat golongan ini-saya nasihatkan padang di alam realiti dalam masyarakat di luar kampus, tidak sama sebagaimana dengan padang di alam kampus yang mungkin rata dan tiada cacat celanya. Padang di luar itu, kadangakala banyak lubangnya, yang akhirnya menyebabkan mahasiswa reaktif, ada yang tersungkur dan tidak bangkit lagi. Seolah-olah telah exhausted, setelah menjadi seorang yang workholic di kampus! Sebab itu, jangan cepat menghukum orang lain, kelak diri sendiri terhukum! Doakan kebaikan untuk sahabat-sahabat yang terlalai dan ia menjamin stamina istiqamah jangka panjang untuk menjadi anggota masyarakat yang reaktif pula.
Akhir kalam, moga sedikit perkongsian pengalaman di alam kampus dahulu dapat menjadi iktibar buat adik-adik yang sedang berada di kampus. Fokus kepada matlamat untuk menuntut ilmu, di samping jadilah mahasiswa yang cakna dengan suasana sekeliling. Cabaran di luar kampus lebih hebat dan sedang menanti anda! Mahasiswa 3R (Reader, Relaks dan Reaktif) ; yang mana satu pilihan hati?
7 November 2007, 26 Syawal 1428,
8.30 pagi, Malaysia Timur.
1 ulasan:
Sdr,
penggunaan istilah 'reaktif' itu agak mengelirukan. Dalam bahasa motivasi atau self-help, istilah tersebut bersifat negatif, iaitu sikap yang hanya akan aktif apabila diaktifkan. Sikap yg bergantung pada persekitaran.Ada external force, baru bertindak. Sikap outside in, bukan inside out.
Istilah yg lebih sesuai ialah 'proaktif'.
Mungkin link ini membantu
http://www.quickmba.com/mgmt/7hab/
Catat Ulasan