Rabu, 21 November 2007

Terima kasih buat semua


Assalamualaikum buat semua pembaca budiman. Alhamdulillah buat kesekian kalinya saya diizinkan menulis oleh Allah swt.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa template blog ini sentiasa berubah dan di mana tulisan asli saya. Ternyata, untuk maintain sebuah blog bukan mudah. Isi kandungannya perlu diupdate setiap hari, bersifat semasa, memberikan manfaat, input yang baru dan tidak kurang juga mampu mencetus perubahan di dalam diri.

Sememangnya saya selalu memerhatikan isi kandungan sahabat bloggers atau web yang lain seperti Roslan@smscorner (isu semasa dan politik), ustaz Zaharuddin(senior saya di UM-artikel tentang hukum terhadap permasalahan semasa dan isu-isu muamalat), SaifulIslam (artikel yang cukup mantap dan memberikan banyak manfaat), akhi Muhtar Suhaili al-Sarawaki (sahabat yang saya kenali melalui blognya dan anak jati Sarawak yang banyak menyumbang kepada penduduk tempatan) dan yang lain-lain.

Berdasarkan pemerhatian saya, blog mereka seringkali mendapat kunjungan yang tinggi kerana isi kandungannya hebat dan asli, di samping blog mereka yang bersifat friendly user. Saya akui saya tidak sehebat mereka, namun begitu saya cuba berusaha ke arah itu. Banyak lagi kekurangan yang terdapat di dalam blog ini yang perlu diperbaiki. Dari sudut templatenya, linknya, susunaturnya dan kandungannya.

Oleh kerana blog ini bertemakan ilmiah, semasa dan cakna, saya cuba memenuhi kehendak tagline tersebut. Sesungguhnya bukan mudah. Apapun saya bersyukur, kerana blog ini terus mendapat ziarah dari pengunjung yang setia mahupun yang baru pada setiap hari. Kalau para pembaca budiman perhatikan, blog ini mudah dicari. Hanya dengan menaip perkataan disertasi di enjin carian yahoo ataupun google. Pastinya nanti, disertasi.blogspot inilah antara yang teratas dalam result yang dikeluarkan.

Mungkin kerana, ramai penuntut ilmu yang ingin menyiapkan disertasi maka mereka menaip perkataan tersebut. Tanpa disangka, blog ini pula yang keluar dalam hasil carian. Lalu, bermulalah penerokaan di dalam blog yang tidak seberapa ini. Ramai juga pembaca yang mengklik pada blogger profile-siapalah agaknya Iskandar Zulkarnain ni ye? Bagi yang kenal, kenallah dan bagi yang tidak, cukuplah anda mengenali saya dengan nama Iskandar Zulkarnain. Saya mengambil nama ini sempena perjuangan seorang tokoh yang disebut namanya di dalam al-Qur’an(dalam surah al-Kahfi). Tugasnya menegakkan keadilan hampir di pelusuk bumi dan membina benteng menghalang Yakjuj dan Makjuj.

Saya akui, saya ibarat langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan jasa dan perjuangannya. Namun begitu, sekurang-kurangnya saya berusaha menelusuri jejak langkahnya dan menghayati roh dan semangat perjuangannya. Telah saya ungkapkan dulu, perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran bukan mudah. Adakala kita dicela dan dikeji, tetapi itulah antara sifat golongan yang dicintai Allah swt-iaitu mereka yang tidak takut akan celaan. Dunia hari ini didominasi kebatilan, seakan hampir kebenaran tidak kelihatan lagi. Tetapi berbekal keyakinan janji Allah swt-kebenaran pasti muncul dan kebatilan pasti lenyap, maka blog ini diusahakan.

Jadi bagi saya, siapa insan di sebalik nama Iskandar Zulkarnain tidak perlu dipertikaikan lagi ibarat konsep ayat al-Quran yang diturunkan berdasarkan kaedah al-’ibrah bi umum al-lafz laisa bi khusus sabab(Pengiktibaran berdasarkan lafaz yang umum, bukan semata-mata berdasarkan sebab khusus turunnya sesuatu ayat). Ia bermakna, jika ayat itu diturunkan kepada Nabi saw ataupun menceritakan kisah-kisah tertentu seperti Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud-yang penting adalah iktibar umum dari ayat itu, bukan semata-mata khusus sebab turun ayat itu. Apa yang penting kita berkongsi pengalaman, ilmu dan input baru-bukan siapa Iskandar Zulkarnain itu. Terima kasih yang memberikan komentar dan teguran demi kebaikan saya dan blog ini. Saya terima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada kerana manusia cenderung melakukan kesilapan dan kesalahan. Andaikata ada fakta yang tidak benar dan salah-maklumkanlah demi kebaikan bersama.

Untuk berkongsi lagi, saya bersyukur kerana blog ini tersenarai antara top 30 dalam ukhuwwah.com Kunjungan sehari puratanya antara 140-160 kali. Pengunjungnya pula dari negara yang berbeza (boleh rujuk kepada Globetrackr). Ada pengunjung setia dan ada pengunjung yang baru hampir setiap hari. Mungkin hajat di hati hendak mencari contoh-contoh disertasi ilmiah yang sebenar-tetapi berjumpa pula disertasi.blogspot. Nasib badan-apa nak buatkan. Semenjak blog ini diusahakan pada 1 Mei yang lepas, postingnya telah mencapai hampir 225 post (bukan semua artikel asli saya, bahkan dimasukkan artikel orang lain yang saya sebutkan sumbernya) dan kekerapan ziarah hampir 21,880 kali. Alhamdulillah sekali lagi saya ucapkan syukur kepada Allah di atas kunjungan yang bermakna oleh pembaca budiman sekalian. Begitu juga, blog ini dilinkkan kepada hampir 25 blog yang lain.(Technorati Profile). Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi memautkan blog saya di blog mereka.

Tentang template yang berubah, saya fikir kalau hanya template yang sama buat masa yang lama mungkin jemu dibuatnya. Maka, saya beralih angin dengan menukar templatenya sekali sekala agar bertambah ceria. Tentang segmen-segmen yang ada dalam blog ini termasuklah cakna minda(isu-isu yang perlu kita cakna), laman motivasi, disertasi ilmiah, koleksi kertas kerja, klip video pilihan, top entries, disertasi sarjanaku dan laman bicara santai. Menyedari blog ini perlu semasa, maka saya menambah ruangan baru iaitu macam-macam ragam yang berkisar tentang tajuk-tajuk utama akhbar dan saya rasakan bersesuaian dan menarik, di samping ulasan ringkas saya. Saya berusaha membuatnya setiap hari, selama mana ada capaian internet dan selagi saya mampu. Bukan sedikit masa yang diambil dan bukan sedikit kos yang ditanggung, tetapi mudah-mudahan sedikit pengorbanan ini, demi berkongsi maklumat dan isu bersama para pembaca budiman diredhai oleh Allah.

Saya yakin usaha yang benar ditunjangi niat yang tulus akan dibantu Allah swt. Benarlah kata-kata Saidina Ali k.w. ” Ilmu itu apabila kau sebarkan, semakin bertambah ilmumu, sedangkan harta apabila dibelanjakan, maka ia makin berkurangan”. Akhir kalam, terima kasih di atas sokongan dan kunjungan dari pembaca sekalian. Tanpa anda, blog ini mungkin hidupnya segan, tetapi tidak pula terus mati. Andaikata ada komentar yang mahu dikongsi bersama, coretkanlah di ruang ulasan ataupun di bicara santai. Saya berdoa kepada Allah agar setiap artikel yang bermanfaat di dalam blog ini dapat dimanfaatkan bersama dan sebaiknya, nyatakan sumber ambilan dari blog ini. Buat pensyarah dan sahabat saya, terima kasih di atas kertas kerja yang berguna dan himpunan disertasi ilmiah yang kami lakukan bersama, dalam menyiapkan tugasan yang diberikan sewaktu kami belajar Ijazah Sarjana Usuluddin di UM, suatu ketika dahulu.

Buat para pembaca, jika ada yang baik dari blog ini, ambil dan sebarkanlah. Ibarat kata-kata Nabi Nuh a.s. yang dirakamkan di dalam al-Qur’an ” Tidaklah aku inginkan melainkan kebaikan sahaja sekadar kemampuanku, tiada yang dapat memberi taufiq kepadaku melainkan dengan (izin) Allah), kepadaNya aku bertawakkal dan kepadaNya aku kembali”. Terima kasih buat semua.

21 November 2007, 11 Zulqaedah 1428,

2.15 petang, Malaysia Timur.



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude