Khamis, 22 November 2007

Macam-macam ragam 6

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Seorang penoreh getah miskin, Eshah Din, 70, yang membesarkan 17 orang anaknya dengan memberi mereka makan pisang lenyek bercampur nasi dinobatkan sebagai Ibu Mithali 2007.

Seramai 15 orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Eshah yang memenangi Anugerah Ibu Mithali dengan menewaskan empat calon lain menerima hadiah wang tunai RM25,000, plak, naskhah al-Quran, pakej umrah, sijil simpanan premium RM1,000, barang-barang kemas bernilai RM8,000, loket, selendang dan jubah.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah menyampaikan anugerah dan hadiah-hadiah tersebut kepada Eshah yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah. Seramai 4,000 tetamu turut menyaksikan acara bersejarah itu yang menobatkan Eshah sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali Kesembilan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Eshah yang berbaju kurung dan bertudung serba hijau diiringi suaminya, Sulaiman Saipin, 74. Sulaiman ialah penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2006. Seramai 10 orang anaknya bersama keluarga masing-masing turut meraikan kejayaan ibu mereka yang kelihatan tabah dan masih cergas walaupun telah berusia 70 tahun. Eshah yang ditemui selepas acara penganugerahan itu berkata, kesemua 16 anaknya diberikan makan pisang lenyek bercampur nasi ketika mereka berusia empat bulan kecuali anak bongsunya, Nurhana, kini 27, yang berpeluang makan ‘Nestum’.

“Masa dulu mana ada Nestum. Anak-anak saya diberi makan pisang lenyek dan nasi serta minum susu cap junjung,’’ katanya dalam loghat Jawa disambut gelak ketawa para wartawan.
Dengan hanya berpendapatan RM400 sebulan, ibu yang tidak pernah mengerti penat dan kecewa itu turut menjual mihun dan nasi lemak di estet tempat beliau dan suami bekerja sebagai penoreh getah bagi menambah pendapatan.

“Saya menjual mihun lima sen sebungkus kepada penoreh getah di estet selain menjual jamu yang dibuat sendiri,’’ katanya. Menurut anak perempuan sulung Eshah, Rosilah, 45, walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan, ibunya tidak pernah merungut tentang kesusahan membesarkan anak-anaknya yang ramai itu. Beliau berkata, ibunya tidak pernah jemu menemani bapanya menoreh getah di Ladang Malakoff dekat Tawar yang terletak lima kilometer dari Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah.

‘‘Ibu sanggup mendaki bukit untuk menoreh getah ketika mengandung sembilan bulan dan segala kepayahan ditanggungnya sendiri,’’ katanya sambil menitiskan air mata ketika menceritakan kepayahan ibunya menyara 17 adik-beradiknya.

Rosilah, seorang guru, kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur. Di kalangan 17 adik-beradiknya, tujuh adalah guru, dua bekas anggota tentera, seorang pegawai kastam, seorang jurutera, tiga akauntan, seorang tukang masak, pegawai alam sekitar dan pengurus ladang. Katanya, ibunya sentiasa tabah menghadapi segala dugaan dan tidak pernah merungut. Semua masalah dan keperitan membesarkan anak-anak ditanggung sendiri. ‘‘Memang bukan mudah untuk membesarkan 17 orang anak,’’ katanya.

Sebagai anak perempuan sulung dan anak keenam, Rosilah berkata, beliau hanya membantu ibunya di rumah. Abang-abangnya pula menolong bapa menoreh getah di estet. Sementara itu, Eshah ditanya sama ada beliau pernah mengalami keadaan tidak cukup makanan untuk diagih-agihkan kepada 17 orang anaknya. ‘‘Apabila mereka bergaduh kerana berebut makanan yang dihidang, suami saya akan merotan dan melibas mereka kerana cara itu dapat mendisiplinkan mereka. ‘‘Kami berdua tidak makan tak apa asalkan mereka (anak-anak) cukup makan,’’ katanya yang kini mempunyai 80 cucu dan seorang cicit.

Ditanya bagaimana beliau mengajar anak-anak ketika mereka bersekolah, Eshah berkata: ‘‘Saya tidak bersekolah macam mana nak ajar... saya hanya memperingatkan mereka dan bapanya pula jika nampak (dakwat) ‘merah’ itu maknanya anak buat salah.’’Menurut Eshah, kesemua 17 anaknya lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dengan baik dan 15 daripada mereka berjaya meneruskan pelajaran ke menara gading.

Mengenai rahsia kejayaan anak- anaknya dalam pendidikan, Eshah berkata, beliau sentiasa menyuruh anak-anak membaca buku apabila mereka balik dari sekolah. ‘‘Pada sebelah malam, mereka mesti ada di rumah. Saya tidak benarkan mereka tidur di rumah saudara-mara. Kalau susah biar kita sama-sama susah di rumah sendiri,’’ katanya. Menurutnya, setelah mempunyai 12 orang anak, ada juga orang datang meminta untuk menjaga anak-anaknya tetapi beliau enggan menyerahkan mereka kepada orang lain. Kini dua orang anaknya tinggal di luar negara iaitu seorang di New Zealand dan seorang lagi di Mesir
Ulasan : Inilah contoh ibu mithali yang perlu kita contohi. Keberkatan rezeki yang halal dan keikhlasan mendidik anak-anak menjadi tunjang kejayaan beliau. Tahniah buat beliau.

PUTRAJAYA 21 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyiasat tohmahan baru yang dibangkitkan terhadap peguam terkemuka, Datuk V.K. Lingam berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh adiknya, V. Thirunama Karasu di ibu pejabat BPR di sini semalam.
Timbalan Ketua Pengarah 1 BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, siasatan berhubung kes tersebut pernah dibuat oleh BPR pada 1998 dan kertas siasatan telah dihantar ke pejabat Peguam Negara.

Katanya, keputusan telah dibuat oleh pejabat Peguam Negara pada masa itu dan tiada sebarang pendakwaan dibuat terhadap Lingam. ‘‘Walau bagaimanapun ada tohmahan baru yang dibangkitkan oleh adik Lingam dan kita akan siasat kes ini... kita tengok apa yang boleh dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Abu Kassim berkata, Lingam dipanggil ke ibu pejabat BPR pagi ini untuk memberikan keterangan berdasarkan dakwaan yang ditimbulkan oleh adiknya. Ditanya mengenai dakwaan oleh Thirunama Karasu, beliau berkata, perkara itu tidak boleh didedahkan kepada media. ‘‘Semua yang dikemukakan itu tidak boleh diberitahu, biarkan kita selesaikan siasatan dulu,” katanya. Abu Kassim memberitahu, siasatan tersebut tidak ada kaitan dengan kontroversi rakaman klip video yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Semalam, Thirunama Karasu dipanggil memberikan keterangan di ibu pejabat BPR berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan abangnya. Sementara itu, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, BPR akan memanggil beberapa individu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, hakim-hakim kanan dan beberapa bekas Ketua Polis Negara untuk membantu siasatan.

‘‘Prosedur BPR ialah menyiasat setiap aduan yang diterima dan memanggil setiap nama yang disebut dalam aduan berkenaan untuk membantu siasatan termasuklah dalam kes ini,” katanya. Dalam pada itu, Lingam ketika ditemui berkata, beliau mempunyai bukti laporan doktor mengenai penyakit mental adiknya. ‘‘Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada BPR berhubung tohmahan baru yang dibuat oleh adik saya, dan kita tengok hasilnya nanti,” katanya.
Ulasan : Isu ini semakin rumit. Adik VK Lingam pula membuat aduan bahawa abangnya memang terlibat merasuah hakim-hakim. Namun, abangnya menafikan dan menyatakan adiknya gila. Apapun BPR perlu telus dalam menjalankan siasatan dan membongkarkan penyelewengan yang berlaku.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Rakyat Malaysia perlu berhenti meletakkan bahasa Melayu di tempat kedua semata-mata kerana lebih mengutamakan bahasa Inggeris yang dirasakan lebih memberi manfaat kepada mereka. Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Ahmad berkata, golongan yang bersikap demikian terutamanya profesional, sudah lama dipengaruhi pemikiran zaman penjajah yang mementingkan bahasa Inggeris.

“Sikap ini lama-kelamaan akan menghakis keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk terus menjadi bahasa ilmu dan kemajuan dalam pembangunan bangsa Malaysia. “Sebenarnya tiada masalah dengan bahasa Melayu tetapi penggunanya yang bermasalah. Anggapan bahasa Melayu tidak membawa kemajuan adalah salah sama sekali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 di sini hari ini.

Hasan berkata, bahasa Melayu adalah bahasa yang telah digunakan secara meluas sejak 700 tahun lalu dan sudah melalui pelbagai zaman sehingga menjadi bahasa ilmu yang tinggi nilainya.
Beliau berkata, negara Afrika kurang membangun akibat menggunakan bahasa penjajah tetapi Jepun, Korea mahupun Perancis mampu menjadi negara maju kerana menggunakan bahasa sendiri.

“Ini membuktikan tidak ada apa-apa salah dengan bahasa Melayu. Tidak salah jika belajar bahasa asing dan gunakan ia untuk menimba ilmu tetapi jangan sampai menganaktirikan bahasa sendiri,” katanya. Beliau berkata, bahasa Melayu mempunyai banyak nilai tambah kerana di negara ini ia difahami oleh semua kaum.

Jelasnya, perkembangan bahasa Melayu juga tidak sepatutnya disekat sebaliknya, perlu dikembangkan supaya terus menjadi bahasa yang membawa kemajuan kepada rakyat Malaysia. “Jika mahu laksana sesuatu dasar perlu berpendirian tetap dan stabil seperti pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang menjadi isu sekarang,” katanya.
Ulasan : Alhamdulillah para cendekiawan semakin lantang bersuara menegakkan hak Bahasa Melayu agar kembali dihormati. Bukan tiada yang bersuara semasa pelaksanaan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dahulu, tetapi keangkuhan pihak yang berkenaan tetap ingin meneruskan dasar yang nyata kini ada kelemahannya.

PUTRAJAYA 21 Nov. - Pihak berkuasa diminta tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin selagi pembunuhnya belum ditangkap bagi mengelakkan wujud kekeliruan yang mungkin boleh mengganggu proses penyiasatan kes tersebut.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, walaupun tiada kenyataan dikeluarkan, ia bukan bermakna kes itu ditutup, sebaliknya siasatan akan tetap diteruskan hingga tertangkapnya pembunuh itu. “Buat masa ini, media tidak perlulah tanya lagi (berhubung kes Nurin). "Sebarang perkembangan akan tetap diberitahu kepada media kelak,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Ismail Omar di pejabatnya di sini hari ini.

Johari berkata, orang awam seharusnya memahami dan tidak mendesak pihak berkuasa, sebaliknya mereka perlu diberi peluang serta masa untuk menyelesaikan kes tersebut mengikut prosedur siasatan yang ditetapkan. Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju.

Pada 17 September, mayatnya ditemui dengan kesan penderaan seksual melampau dan disumbat ke dalam beg sukan di hadapan sebuah kedai di Petaling Jaya.
Ulasan : Diharapkan pihak polis dapat menangkap perogol arwah Nurin Jazlin. Dan diharapkan kes ini tidak ditutup begitu sahaja walaupun tiada publisiti akhbar.

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan hasil mesyuarat kabinet yang berkaitan dengan suruhanjaya diraja terhadap klip video penuh kontroversi yang didakwa memaparkan perbualan seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan berhubung pelantikan hakim-hakim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengesahkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini berkata, segalanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri. “Kita ada berbincang (mengenai suruhanjaya diraja), itu sahaja. Perdana Menteri akan mengumumkan hasilnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Mohamed Nazri yang dihujani dengan pertanyaan yang berkaitan dengan perkara itu juga enggan mendedahkan identiti anggota suruhanjaya diraja berkenaan, serta segala terma rujukannya. “Kita serahkan perkara itu kepada Perdana Menteri,” katanya. Abdullah ketika ini menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 di Singapura.

Mohamed Nazri, bersama Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; serta Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebelum ini diberikan tugas mengkaji laporan oleh satu panel bebas, yang ditubuhkan bagi menyiasat keaslian klip video itu. Hari ini, Mohamed Nazri, Rais dan Radzi memberikan taklimat kepada kabinet berhubung penemuan-penemuan mereka. Jumaat lepas, Perdana Menteri berkata, suruhanjaya diraja akan ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi membabitkan klip video itu. Semalam Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mesyuarat kabinet hari ini antara lain akan membincangkan terma-terma rujukan suruhanjaya diraja itu, di samping keputusan berhubung keangotaannya.

Ulasan : Diharapkan penubuhan Suruhanjaya Diraja dipercepatkan agar terus tidak menghakis keyakinan rakyat kepada pemerintah.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nice blog Iskandar Zulkarnain. Kemas, puitis dan kritis. Singgah ni nak beritahu tentang majallah TELL kali ini memfokus kepada “Save the Next Child: NURIN ALERT.”

If you are interested in purchasing a copy or more, please do visit all major bookstores this weekend, they should be stocking it by then. Alternatively, if you cannot find it, contact directly for your copy:TELL MEDIA SDN BHD, 1, Jalan SS 7/10, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan TEL: 03-7873 7313 FAX: 03-7873 8545 or email: michelle@tell.com.my

Tembam

iskandar zulkarnain berkata...

Ok terima kasih banyak tuan tembam atas info dan penghargaan. Nanti saya war-warkan.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude