Seorang wanita Arab Saudi baru-baru ini dilaporkan tidak menghiraukan barah yang semakin membesar dalam payudaranya kerana tidak mahu menanggung risiko dirujuk kepada doktor lelaki. Seorang wanita lagi diheret menjauhi mesin mamogram kerana pengendalinya adalah seorang lelaki.
Walaupun contoh-contoh yang diketengahkan ini hanya kejadian terpencil namun ia dapat menjelaskan kepada kita mengapa 70 peratus kes barah payudara di Arab Saudi tidak dilaporkan sehingga ia sudah terlalu lewat.
Sikap enggan dirawat oleh lelaki tidak berlaku di Arab Saudi sahaja. Didapati bahawa ramai wanita Islam yang berpindah ke negara Barat membawa sikap ini bersama mereka.
Kajian yang dijalankan di sesetengah kawasan di Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa wanita Islam yang berpindah ke negara itu amat jarang mendapatkan khidmat kesihatan khususnya perkhidmatan rawatan pencegahan seperti ujian saringan barah payudara dan pangkal rahim.
Didapati bahawa mereka terhalang daripada mendapatkan perkhidmatan ini atas sebab-sebab seperti bahasa, pengangkutan, insurans dan tekanan keluarga. Ramai wanita tersebut enggan melakukan ujian-ujian di atas dengan alasan ia menjejaskan nilai-nilai budaya dan agama mereka.
Dalam perkataan lain, perkhidmatan doktor-doktor lelaki untuk ujian-ujian yang melibatkan alat sulit wanita dianggap sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan nilai-nilai budaya dan agama mereka.
Didapati juga kadar wanita Islam yang melakukan ujian saringan mamogram di AS amat rendah. Akibatnya, kadar kematian penghidap barah payu dara di kalangan mereka adalah tinggi kerana ia gagal dikesan pada tahap awal lagi. Sekali lagi, kononnya, budaya dan agama telah dikenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini.
Maka, demi untuk memelihara nyawa lebih ramai wanita, khususnya wanita Islam yang berpindah ke AS, sekumpulan pengkaji di Universiti California Los Angeles (UCLA) memulakan kajian untuk memahami sebab-sebab ini dan apakah keperluan-keperluan tertentu yang mesti diwujudkan agar wanita Islam itu lebih bersedia untuk melakukan ujian-ujian saringan barah.
Bagi kumpulan pengkaji ini, apa yang penting, pada akhirnya mereka boleh meningkatkan kesedaran tentang barah payudara di kalangan wanita-wanita tersebut serta meningkatkan jumlah mereka melakukan ujian-ujian ini.
Di samping itu, pertubuhan-pertubuhan Islam di
Cabaran
Di Malaysia, walaupun mendapat rawatan daripada doktor lelaki bukanlah sesuatu yang menghalang kaum wanita di negara ini daripada mendapatkan rawatan, namun satu perkara yang menjadi cabaran kita dalam melawan penyakit ini ialah kecenderungan masyarakat kita untuk menggunakan kaedah ‘tradisional’ dalam merawat barah.
Dakwaan-dakwaan bahawa ada pengamal perubatan tradisional di
Dilaporkan bahawa 80 peratus pesakit barah datang ke hospital apabila penyakit sudah di tahap yang tidak boleh dirawat, setelah mendapati rawatan tradisional tidak dapat menyembuhkan penyakit tersebut. Pada tahap ini, penyakit itu sudah tidak dapat diubati lagi.
Pada zaman di mana kita telah memiliki angkasawan sendiri, adalah diharapkan agar rakyat dapat memilih bentuk rawatan yang tepat dalam merawat barah. Pemilihan yang salah hanya akan membazirkan wang, masa dan tenaga.
Bagi kaum hawa di negara ini, dengan adanya Program Subsidi Mamogram yang dilaksanakan oleh kerajaan, ia sepatutnya menyuntik semangat untuk kita memastikan tubuh kita bebas daripada barah.
Program ini memberi subsidi sebanyak RM50 kepada wanita-wanita yang layak untuk membuat ujian saringan barah payudara. Dengan subsidi ini, para wanita hanya perlu mendapatkan wang sebanyak RM100 sahaja lagi untuk menjalankan ujian tersebut.
Untuk melayakkan diri bagi mendapatkan subsidi ini, mereka perlulah mempunyai latar belakang pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM5,000. Melihat kepada syarat kelayakan ini, penulis berpendapat bahawa program ini bakal memberi manfaat kepada ramai wanita kerana ia mencakupi bukan sahaja wanita yang berpendapatan rendah, tetapi juga yang berpendapatan sederhana. Persoalannya kini ialah sejauh manakah wanita memanfaatkan subsidi ini?
Setakat ini, program yang bermula Mei 2007 yang lalu, telah dimanfaatkan oleh 1,045 orang wanita dengan pecahan 61 peratus Cina, 31 peratus Melayu dan lapan peratus India. Dengan penghebahan secara besar-besaran oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai program ini menerusi iklan di akhbar-akhbar, adalah diharapkan lebih ramai wanita memanfaatkan subsidi ini demi kesejahteraan diri dan keluarga.
* Siti Fatimah Abdul Rahman ialah Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan