Apabila keputusan UPSR diumumkan 15 November 2007 lalu, pelbagai perasaan bercampur-baur. Bagi yang beroleh keputusan cemerlang, pengorbanan ibu bapa, jasa guru diangkat pada tahap yang sewajarnya.
Bagi yang tersasar kehendak untuk duduk sebaris bersama lebih 48,000 pelajar yang mendapat 5A, maka timbullah rasa rendah diri, malu sehingga sampai ke tahap membunuh diri.
Lantas apabila isu sebegini kedengaran maka pelbagai sudut pandangan dilontarkan. Media pula diminta jangan terlalu mensensasikan pencapaian terbaik kanak-kanak cemerlang, takut akan memuramkan lagi perasaan pelajar yang lain.
Adakah ukuran kecemerlangan akademik penentu kejayaan seseorang individu? Kenapa sistem pendidikan negara lebih cenderung berorientasikan pencapaian gred ‘A’ dalam setiap peperiksaan?
Adakah kegagalan pelajar pada tahap peperiksaan sekolah rendah seperti UPSR akan menutup peluang serta membantutkan usahanya mencapai cita-cita?
Di mana perlunya penambahbaikan supaya insiden pelajar seawal usia 12 tahun tidak lagi membunuh diri akibat kecewa kerana keputusan peperiksaan yang tidak seberapa.
Hakikatnya, ujian, peperiksaan dan konsep penilaian adalah satu proses yang harus dilalui oleh semua insan. Sama ada masih hidup, ataupun apabila menuju ke alam barzakh. Tujuan peperiksaan untuk menguji kefahaman, menilai daya pemikiran, tahap kesiapsiagaan.
Konsep peperiksaan bukan mahu menghukum, tetapi sebagai satu ‘tanda aras’ dalam menjadi insan terbaik. Sama seperti ukuran kepada seorang peniaga. Yang dilihat adalah keuntungan dan pertambahan permintaan bagi barang keluarannya.
Ukuran dan nilaian bagi seorang profesor adalah hasil kajian, penulisan dan penyelidikannya. Malah dalam Islam misalnya ukuran terbilang manusia adalah dari segi sifat takwanya (menuruti segala titah perintah Allah dan Rasul serta menjauhi segala larangan-Nya).
Demikian juga, jasad yang sudah dimasukkan ke liang lahad akan disoal, diuji oleh malaikat Mungkar Nangkir. Ironinya sepanjang sejarah hidup manusia dari dalam buaian hingga ke liang kubur akan terus diuji dengan pelbagai macam bentuk peperiksaan dan penilaian.
Ironinya, konsep ujian, peperiksaan adalah satu proses menguji, memilih dan meraikan kerja keras atau daya usaha seseorang individu. Ini adalah fitrah, tabii semula jadi manusia “barang siapa berusaha, dia akan dapat apa yang diusahakannya.”
Sebab itu, ada pelajar di sekolah luar bandar, anak nelayan, pesawah miskin turut sama beroleh kecemerlangan dalam peperiksaan. Kerana daya usaha mereka, peranan dan bantuan guru-guru, keprihatinan pentadbir sekolah untuk merencana program pengajaran dan pembelajaran yang tersusun.
Hal ini disokong dengan doa yang tidak putus-putus daripada ibu bapa. Suasana dalam rumah yang tenang dengan anak-anak merasa aman untuk belajar. Galakan motivasi berterusan daripada ibu bapa. Mengulang kaji bersama kumpulan dan rakan-rakan di sekolah.
Kemudahan pembelajaran yang pelbagai dari kelas tuisyen dan latihan ‘latih tubi’ anjuran sekolah. Kem menjawab peperiksaan dan pelbagai lagi diusahakan dalam mempersiapkan diri pelajar sebelum menempuh gerbang peperiksaan. Secara logik yang betul, sesiapa yang mengkaji, mempelajari sesuatu bidang ilmu dengan usaha gigih dan kaedah yang bijak maka mereka itulah yang beroleh kejayaan.
Proses tapisan yang menggunakan medium peperiksaan adalah mekanisme terbaik, sudah pun berlangsung puluhan tahun dalam konteks
Justeru bagi pelajar yang kurang baik keputusannya sama ada dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM, usah gusar. Gagal dalam peperiksaan bukan bermakna peluang untuk maju dan berjaya terus pudar.
Jangan jadikan pencapaian lemah dalam peperiksaan sebagai satu isu atau masalah berpanjangan. Sebaliknya cari hikmah tersembunyi dan anggaplah ia ujian mematangkan hidup kita dan mampu mencernakan peluang bentuk baru yang tidak pernah termimpi dalam hidup kita.
Apa yang penting, tangani setiap peperiksaan sebagai satu rutin, kemestian hidup sebelum mampu mengangkasa tamadun diri, bangsa, keluarga dan agama.
– SOBRI SUDIN,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan